Monday, January 11, 2016

NASIB PENEROKA FELDA BUKIT GOH CONTOH TERBAIK PENIPUAN TANAH DIPAJAK

Pada awal penyenaraian saham Felda Global Ventures (FGV), pihak pembangkang sibuk mempersoal dan menuduh yang tanah-tanah peneroka Felda akan dipajak dan akhirnya peneroka bakal hilang mata pencarian serta tanah milik mereka. Yang sebenarnya, FGV hanya akan pajak tanah-tanah milik Felda sahaja yang memiliki lebih dari 360,000 hektar serata dunia.

Kini setelah isu perlombongan bijih bauksit di Felda Bukit Goh mendapat perhatian kerajaan dan orang ramai kerana pencemaran yang melampau, maka terdedah kisah tanah-tanah peneroka Felda Bukit Goh yang dipajak kepada  pengusaha bauksit sehingga tergadai. Sudah jatuh ditimpa tangga, bukan sahaja mereka kehilangan tanah milik mereka namun tiada lagi punca pendapatan setelah mereka ditipu dengan tawaran lumayan yang tidak diperolehi.

Kerana terpengaruh dengan hasutan pembangkang, ada peneroka yang rela tanah mereka dipajak oleh kegiatan merbahaya daripada bekerjasama dengan pihak Felda. Ikuti rintihan peneroka Felda Bukit Goh yang terlibat dengan janji manis pengusaha bauksit...

“Ada peneroka yang kini terpaksa jadi jaga kerana wang sudah habis. Tanah ladang sawit pun habis digondol untuk mendapatkan bauksit,” katanya kepada Bernama.

“Siang malam makcik menangis, mengenangkan bayaran yang sehingga kini masih tak dilunaskan pengusaha bauksit,” demikian rintihan seorang peneroka Felda Bukit Goh, Halimah Kadir, 70. - MDigest

“Itu sahaja pendapatan masa depan saya. Terkilan dan menyesal memang ada tetapi nasi sudah menjadi bubur,” - UtusanOnline

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tanah hilang. Setelah ditipu dan tanah dibersihkan, tiada lagi kelapa sawit. Kini, akibat terpedaya dengan janji imbuhan lumayan, bukan saja tanah mereka hilang dan manfaat dari FELDA pun turut terlepas, malahan mereka diberi imbuhan tanah berdebu merah pula.

Ada pula di antara mereka yang telah menerima notis Pejabat Tanah dan Galian (PTG) atas kesalahan melombong tanpa lesen atau pajakan tanah yang sah di bawah Enakmen Mineral 2001 dan jika sabit kesalahan, mereka mereka berhadapan dengan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun.

Masih ingat kata-kata DS Najib Razak... “Dalam isu penyenaraian Felda Global, saya ingin mengulangi bahawa tiada seinci pun tanah hak milik peneroka akan terlibat dengan penyenaraian ini” pada 1 April 2013.

Isu yang pernah diwujudkan oleh pihak berkepentingan mengenai pajakan dan gadaian sejak saham Felda Global Ventures (FGV) bertujuan untuk menjatuhkan Felda. Namun sehingga kini tanah peneroka masih lagi selamat.

 

Sunday, January 10, 2016

PROGRAM 'SUCCESSORS' JPM UNTUK KEMBANGKAN BISNES WARISAN KELUARGA


  
Tunggak kejayaan sesebuah perniagaan adalah kesinambungannya untuk bertahan dalam industri. Selalunya perniagaan yang bertahan lama adalah perniagaan yang diwarisi dari satu generasi ke satu generasi yang berterusan.

Bagi memastikan kejayaan perniagaan yang berterusan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong telah mengambil inisiatif menganjurkan satu program yang dinamakan 'Successors' di bawah Secretariat for the Advancement of Malaysian Entrepreneurs (SAME) dan majalah bisnes Shang Hai.

Selalunya bisnes warisan ini diturunkan kepada generasi seterusnya samada yang kedua mahupun yang ketiga. Di dalam era yang penuh dengang persaingan, mereka seharusnya bukan sekadar menghidupkan perniagaan tersebut tetapi perlu mengembangkannya ke tahap yang lebih tinggi. Ini semua memerlukan pendekatan yang kreatif dan inovatif yang perlu ada pada generasi kedua dan ketiga.

Menurut kajian Labuan International Business and Financial Centre, 71% daripada peminjam yang mudah untuk mendapat pinjaman bank adalah dari bisnes keluarga kerana rancangan penggantinya, manakala kajian Unit Perisikan Ekonomi Singapura pula mendapati pada tahun 2015, 60% dari syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham di negara-negara ASEAN adalah perniagaan yang dikendalikan keluarga. Indonesia mencatatkan peratus tertinggi dengan 78%, kedua adalah Thailand sebanyak 74%, ketiga pula ialah Malaysia sebanyak 66% dan diikuti dengan Filipina 60% dan Singapura 58%.

Pihak sekretariat SAME memilih majalah bisnes Shang Hai sebagai rakan kerjasama berdasarkan kepada majalah ini telah berada di pasaran sejak 37 tahun dan majalah ini telah berkongsi maklumat SME terutamanya kepada usahawan-usahawan muda. Pihak JPM memandang ia adalah bertepatan dengan sasaran program 'SUCCESSORS' yang inginkan generasi kedua dan ketiga di kalangan orang muda menambah pengetahuan dengan perkongsian pengalaman usahawan-usahawan yang telah berjaya.

Datuk Wee Ka Siong adalah menteri yang diberi tanggungjawab di bawah SAME ini, di mana program 'SUCCESSORS' digunakan sebagai platform untuk mewujudkan satu pelan melalui sesi dialog. SAME dan majalah Shang Hai juga merancang untuk menubuh satu kelab di mana ahlinya juga terdiri daripada pengasas-pengasas syarikat. 

Di samping itu, SAME bercadang mengadakan program inisiatif latihan di mana pewaris perniagaan dari syarikat-syarikat lain bertukar tempat untuk beberapa bulan di mana mereka akan belajar dari satu sama lain.
 

Saturday, January 09, 2016

DI MANA DAN BAGAIMANA UNTUK DAPATKAN DISKAUN RAPID, BAS DAN KTM BAGI PELAJAR

Ini adalah berita baik untuk semua kategori pelajar samada sekolah rendah atau menengah dan mereka yang sedang menuntut di kolej atau universiti yang mengguna pengangkutan awam. Setelah promosi dan penyebaran berita mengenai diskaun untuk pengangkutan awam yang diberikan kepada pelajar maka pasti soalan utama yang dikemukakan adalah, di mana dan bagaimana untuk mendapatkannya.

Di sini dikongsikan maklumatnya;

RAPID RAIL DAN BAS
  • Permohonan bolah dibuat di Stesen LRT Pasar Seni.
  • Sediakan RM10 untuk bayaran memproses kad.
  • Pelajar sekolah perlu bawa Kad Pengenalan serta sekeping salinan.
  • Siswa kolej atau universiti perlu bawa Kad Pelajar serta sekeping salinan dan surat pengesahan dari kolej atau universiti.
  • Perlu isi borang dan disediakan sesi bergambar untuk kad. Borang permohonan boleh didapati di stesen LRT.
  • Kad anda akan siap dalam tempoh satu minggu.

Kepada pemegang kad diskaun ini, mereka akan menikmati diskaun 50% untuk semua perkhidmatan LRT, bas dan juga monorel.

Waktu untuk memohon kad diskaun di LRT Pasar Seni hanya pada hari bekerja termasuk pada hari Sabtu juga dan dari 9.00 pagi sehingga jam 5.00 petang sahaja. Pejabat tidak akan beropearai pada hari cuti umum.


KTM
 

Berkuatkuasa 07 Disember 2015, KTMB telah memperluaskan kepenggunaan kad konsesinya untuk Perkhidmatan Komuter Lembah Klang. Para pelajar yang menggunakan Perkhidmatan Komuter, boleh membuat permohonan untuk mendapatkan KTMB i-Card Student dan layak untuk mendapatkan konsesi perjalanan dengan mempamerkan kad ini di kaunter tiket Komuter Lembah Klang sebelum membuat sebarang pembelian tiket perjalanan.

  • Permohonan bolah dibuat di KL Sentral di kaunter 8 & 9, KTM InterCity (Antarabandar).
  • Pelajar sekolah perlu bawa Kad Pengenalan serta sekeping salinan.
  • Siswa kolej atau universiti perlu bawa Kad Pelajar serta sekeping salinan dan surat pengesahan dari kolej atau universiti.
  • Perlu isi borang.
  • Kad anda akan siap dalam tempoh 10 hingga 30 minit.
  • Informasi terperinci dan borang permohonan KTM i-Card boleh didapati dari laman web www.ktmb.com.my atau talian 03-22671200 atau twitter@ktmkomuter

Kepada pemegang kad diskaun ini, mereka akan menikmati diskaun 50% untuk Komuter dan 40% untuk ETS.

Yuran tahunan RM31.80 termasuk GST dan dari 4 Jan 2016 - 4 Feb 2016, pihak KTMB ada membuat tawaran sebanyak RM15.90.

Waktu untuk memohon kad diskaun mula dibuka pada 8.30 pagi hingga 7.00 malam setiap Isnin hingga Jumaat. Permohonan hanya dihadkan kepada 200 sahaja setiap hari. Oleh itu, adalah dinasihatkan untuk datang awal apabila ingin membuat permohonan.

Ini adalah merupakan satu inisiatif bagi mengurangkan beban dan memudahkan pelajar merancang perbelanjaan mereka dan diharapkan agar penjimatan ini dapat menarik lebih ramai pelajar untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Tawaran diskaun ini adalah untuk pelajar tempatan dan pelajar dari luar negara yang belajar di sekolah-sekolah Malaysia atau Singapura, kolej dan juga di mana-mana institusi pengajian tinggi. 
 
Sekiranya, ada di antara para pelajar yang ingin mendapatkan maklumat yang lebih lanjut, pihak SPAD juga boleh membantu. Salurkan maklumat kepada ;
 
 



Friday, January 08, 2016

PUSAT MAKLUMAT KHAS 'ONE BELT ONE ROAD' CHINA UNTUK RAKYAT MALAYSIA


Perdagangan di antara Malaysia dengan China bukan suatu perkara baru malahan telah bermula sejak 2009 dan sekarang adalah rakan perdagangan terbesar di antara negara-negara ASEAN dan ketiga terbesar di Asia. Oleh itu Malaysia telah dijadikan pintu masuk utama bagi China memasuki pasaran ASEAN.

Dengan pengiktirafan demikian oleh negara China, maka MCA telah komited untuk usahawan-usahawan di negara kita yang berminat mengadakan hubungan perdagangan ke negara China. Timbalan Presiden MCA telah umumkan yang MCA akan membuka pusat maklumat khas yang memfokus memberi maklumat inisiatif 'One Belt One Road' China. Pusat ini akan mula beroperasi pada bulan hadapan.

Sesiapa sahaja yang berminat untuk membuat pelaburan atau memperluaskan perniagaan mereka ke negara China, pusat maklumat ini akan salurkan maklumat-maklumat relevan mengenai perdagangan termasuk juga peluang serta 'matching' yang tepat dengan perniagaan di China.

Inisiatif 'One Belt One Road' China ini adalah untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia meningkatkan perniagaan dan mencari peluang pelaburan dan sekaligus mampu meningkatkan ekonomi tempatan.

MCA telah memainkan peranan penting sebagai sahabat China dalam inisiatif 'Silk Road Belt'. Pada bulan Mei tahun lepas, MCA yang diketuai Datuk Seri Liow Tiong Lai telah melakukan lawatan 5 hari bagi memenuhi jemputan khas kerajaan China. Rombongan MCA yang disertai juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun.


Keyakinan China bukan sahaja kepada kepimpinan Datuk Seri Najib, malahan telah diletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada MCA untuk menerajui hubungan diplomatik dan juga perdagangan. Ini jelas apabila perjumpaan khas di antara DS Najib dengan Presiden Xi JinPing ketika Persidangan APEC di Filipina baru-baru ini. Di antara persefahaman yang telah tercapai adalah Presiden Xi berjanji memberi perhatian utama kepada perdagangan ke Malaysia.

Seterusnya pertemuan susulan oleh Perdana Menterinya pula, Tuan Li Keqiang telah menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di mana Kuala Lumpu dan beliau telah diiringi oleh Presiden MCA Datuk Sri Liow Tiong Lai sepanjang kehadirannya ke Malaysia.

Bagi memastikan pusat maklumat ini berkesan dalam menyebarkan maklumat kepada kumpulan sasaran, MCA juga juga akan bekerjasama dengan persatuan-persatuan perdagangan yang lain dan dewan perniagaan di seluruh negara.

Pusat maklumat ini juga akan mewujudkan 'e-dagang' dalam bersaing dengan negara-negara seperti Vietnam dan Korea Selatan. Oleh itu, MCA akan memastikan kelajuan jalur lebar Internet di tahap yang terbaik serta perlindungan yang komprehensif bagi memenuhi permintaan peserta industri.

Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui dan memahami inisiatif perdagangan ''One Belt One Road' negara China, MCA akan membuka pusat maklumat ini di Tingkat 6, Wisma MCA nanti.

Thursday, January 07, 2016

STATUS HALAL MCDONALD'S DIRAGUI?



Apabila kita ingin mengetahui status halal untuk apa saja terutama makanan dan minuman yang dijual atau dikeluarkan oleh sesebuah syarikat, kerajaan telah sediakan kaedah semakan halal JAKIM secara online. Apa kata kita yakinkan diri untuk mengetahui status halal untuk McDonald's Malaysia pula, boleh terus disemak ... DI SINI





SENARAI PRODUK MAKANAN DAN MINUMAN SERTA PREMIS MC DONALD'S.. DI SINI

Begitu terperinci sekali pengawasan pihak Jakim sebelum McDonald's layak diberi sijil halal sehinggakan setiap jenis makanan dan minuman yang dijual ada tarikh tamat tempuhnya. Di dalam senarai Jakim juga, terdapat senarai kesemua makanan dan minuman di  158 premis McDonald's di Malaysia serta tamat tempuhnya.
 
Ketahuilah bahawa McDonald's adalah syarikat rangkaian makanan segera multinasional yang pertama di negara ini yang mendapat sijil halal dari Jakim.

Namun, sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab ke atas setiap produk makanan yang dijual, McDonald's bukan sahaja komited tetapi tidak sekali-kali kompromi dengan apa saja yang berkaitan dengan status halal. McDonald's sangat serius dalam memastikan produk makanan dan minuman mereka dijamin halal sehingga diwujudkan jawatankuasa dalaman dan juga melantik Penasihat Syariah di mana ia merupakan salah satu syarat wajib Jakim.


Sijil halal yang diperolehi McDonald's dari Jakim bukan sesuatu yang mudah untuk diperolehi kerana setiap proses penyediaan makanan perlu diteliti, disiasat, diaudit, dipanatu sehinggakan setiap bahan, ramuan dan produk yang digunakan perlu diumumkan secara terperinci. Ia tidak terhenti di situ, pembekal kesemuanya perlu juga dimaklumkan sehingga pihak Jakim akan membuat siasatan di kilang-kilang pembekal.

Pembekal pula perlu menunjukkan bukti proses pengeluaran mereka adalah halal sehinggakan peralatan dan kebersihan kilang serta persekitaran dan pekerja juga dinilai pihak Jakim.

Setiap premis rangkaian restoran McDonald's diberi sijil halal dan mereka perlu mengikuti jadual semakan bagi tempoh yang dinyatakan pihak Jakim mengikut kelulusan. Pihak Jakim juga akan bertindak membuat siasatan dan pemantauan yang lebih kerap sekiranya terdapat ADUAN.

Seperkara yang perlu kita ketahui, sijil halal yang dikeluarkan pihak Jakim adalah di bawah Akta Perdagangan Halal 2011 di mana undang-undang ini termaktub di di bawah bidang kuasa KPDNKK yang memberi kuasa kepada pegawai Jakim untuk mengambil tindakan. Di bawah akta perdagangan ini setiap ujian makanan dan minuman McDonald's hanya mengiktiraf keputusan dari Jabatan Kimia sahaja.

Sijil halal Jakim tidak berhenti di dalam Malaysia sahaja, malahan kini Jakim ada badan pengiktirafan sijil halal di luar negara di mana McDonald's juga mengimport ramuan dari negara-negara lain. Sistem audit yang ditetapkan Jakim meliputi keupayaan dari sudut syariah, teknikal dan pensijilan dari badan-badan luar negara yang dilantik Jakim sendiri.

Tindakan yang dikenakan Jakim sangat ketat dan tinggi di mana kesalahan yang disabitkan boleh dikenakan tindakan di bawah Perintah Perdagangan Tarif Halal 2011 di bawah Akta Perdagangan 2011 dengan dikenakan denda sehingga RM5 juta maksimum dan minima sebanyak RM1 juta dan penjara tiga tahun. Namun perlu diingat, sebelum ingin membuat sebarang pertuduhan, mahkamah perlukan pembuktiannya.

Sebagai seorang Islam dan rakyat Malaysia, kita janganlah membenarkan diri kita dipengaruhi maklumat-maklumat yang tidak ada kepastian dan kesahihannya. Seandainya kita tidak yakin, maka didiklah diri kita agar merujuk kepada kepada laman-laman web rasmi dan portal berita yang boleh dipercayai. 

Sekiranya kita ingin membuat aduan, pastikan kita mempunyai bukti yang sahih untuk dikemukakan ke mahkamah dan gunakan platform aduan yang sah dan bukan
sekadar mengadu di laman-laman sosial.

Walaupun McDonald's tidak terlepas dari pelbagai serangan dan rekaan cerita, alhamdulillah rangkaian restoran makanan segera ini telah pun mendapat jaminan pihak Jakim. Semoga kita menikmati hidangan makanan dan minuman lazat McDonald's dengan penuh yakin dan bersyukur ke atas komitmen McDonald's memastikan ia bersih, 100% halal dan pasti lazat!