Wednesday, August 20, 2014

TAN SRI SYED HAMID TURUN PADANG PERIKSA TRAGEDI TAPAK MRT KOTA DAMANSARA


Sejurus berita kemalangan di tapak pembinaan MRT berdekatan Kota Damansara diterima, Pengerusi SPAD dan beberapa pegawainya telah turun padang untuk melihat dengan  lebih dekat apa yang berlaku. 

SPAD adalah penyelia yang diberikan kuasa untuk memantau perkembangan  dan memastikan projek sistem pengangkutan awam negara berjalan lancar mengikut jadual.

Tan Sri Syed telah diberi penerangan ringkas oleh pihak MRT dan Jabatan Bomba dan Penyelamat semasa lawatannya ke tapak projek MRT Corp. V1, Kota Damansara.




Pihak MRT telah diberi selama satu minggu untuk memberi laporan awal kepada SPAD agar dapat diambil tindakan kepada pihak yang bertanggungjawab. Laporan ini termasuk dari pekerja-pekerja, pihak kontraktor dan juga sesiapa saja yang terlibat. Di samping itu, menerusi laporan tersebut akan dapat mencari punca kemalangan ini bagi menjalankan siasatan lanjut.

Kemalangan ini bukanlah satu kemalangan yang samada disengajakan atau tidak disengajakan. Ia berkaitan dengan teknikal. Oleh itu perlunya lapuran awal itu untuk mengetahui bagaimana kemalangan dan mengapa kemalangan tersebut boleh berlaku apabila setiap prosedur keselamatan dipatuhi dan peraturannya amat ketat.






 
Pada insiden pukul 8.30 malam semalam, tiga pekerja rakyat Bangladesh terkorban selepas bongkah konkrit jajaran MRT sepanjang 39.8 meter dan seberat 650 tan jatuh dan mengakibatkan mereka dihempap.

Bagi pihak Kementerian Kerja Raya di dalam siasatan awal mereka pula, Datuk Fadillah Yusof telah mengesahkan kontraktor dan sub-kontraktor telah memenuhi syarat-syarat yang dikenakan pihak Kementerian di mana mereka adalah kontraktor yang berdaftar dengan CIDB (Construction Industry Development Board).

Seperti saranan Tan Syed Hamid, semua pihak perlu mengelak daripada membuat sebarang spekulasi. Dan adalah tidak adil untuk menuding jari kepada mana-mana pihak sehinggalah siasatan sepenuhnya dilakukan.

Tuesday, August 19, 2014

MUAFAKAT RAYA KOTA TINGGI DEMI MENGHARGAI RAKYATNYA


Apabila amalan "Bersatu Teguh" dan "Muafakat bawa Berkat" telah diterjemahkan oleh pihak Majlis Daeran Kota Tinggi, Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kota Tinggi, Agensi-agensi Kerajaan Kota Tinggi dan kerjasama dari pihak Yayasan Mesra, rakyatnya telah diraikan dengan majlis Muafakat Raya Kota Tinggi 2014 pada Sabtu lalu.














Program ini adalah tanda penghargaan kepada rakyat Kota Tinggi di mana mereka benar-benar diraikan dengan juadah yang dihidangkan untuk mereka. Jika dilihat konsep majlis ini, rakyat pada hari itu adalah bagai raja di mana sambil menjamu selera, mereka dihidangkan alunan muzik dan nyanyian dari artis-artis tempatan.

Semua yang hadir bukan sahaja dihidang dengan juadah dan hiburan, malahan mereka telah saksikan pekan di Kota Tinggi bertukar menjadi sangat sibuk dan ceria pada hujung minggu itu. Warga Kota Tinggi dari pelbagai bangsa dari sekitar Johor juga telah beramai-ramai berkunjung tanpa henti sehingga malam.

Lebih mengkagumkan ialah kemesraan di antara pemimpin-pemimpinnya bersama rakyat yang terserlah eratnya di antara mereka. Ahli Parlimen Kota Tinggi, Dato Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid turut turun padang bermesra dengan warga Kota Tinggi tanpa merasa kekok sekali dan hampir semua yang hadir mengenali beliau.











Tetamu istimewa pada hari itu ialah kehadiran Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar Johor yang turut menemui dan bermesra dengan warga Kota Tinggi.

Terdapat sebanyak lebih kurang 20 buah gerai makanan dan juga gerai pameran yang telah dihiasi dengan pelbagai konsep serta hiasan yang menarik. 









Di antara gerai yang paling menarik adalah dari Majlis Daerah Kota Tinggi yang telah berjaya memenangi gerai tercantik. Dengan berkonsepkan tradisional yang dihiasi dengan atap rumbia dan lampu pelita serta perkakas-perkakas tradisional yang lain.



   
Kehebatan yang dibanggakan adalah komitmen dari kakitangan MDKT dengan mengekalkan amalan 'berewang' ataupun gotong royong tanpa mengeluarkan perbelanjaan besar dan sekadar mengguna bahan-bahan yang dikitar semula.

Tangan yang memberi adalah lebih baik dari tangan yang menerima. Tangan yang menerima pula sentiasa bersyukur dengan nikmat muafakat dan keharmonian bersama.  Akhirnya, semua dapat merasa dari pemimpin sehingga rakyatnya... telah berjaya diterjemah pada majlis Muafakat Raya Kota Tinggi.

Terima kasih dan Syabas kepada pihak penganjur terutama Yayasan Mesra menjemput kami dan berjaya mengadakan program semeriah ini. Pengalaman ini pasti tidak akan dilupakan terutama kami yang dari luar Kota Tinggi...


Saturday, August 16, 2014

R&D KOMPONEN UTAMA FGV UNTUK CAPAI SASARAN 2020


Bagi mencapai sasaran RM100 bilion pada tahun 2020, penyelidikan dan pembangunan (R&D) FELDA Global Ventures Holdings Bhd (FGV) merupakan komponen utamanya untuk direalisasikan dan kumpulan perniagaan taninya adalah merupakan unit penyelidikan swasta yang terkemuka di dunia di dalam kelapa sawit.
 
Ketua Unit R&D dan Perkhidmatan Pertanian Kluster FGV, S. Palaniappan yakin dengan pencapaian ini di mana FGV adalah pemain utama di dunia dalam menghasilkan benih kelapa sawit sebanyak 70 hingga 80 juta benih sawit dengan pendapatan hasil daripada jualan sebanyak RM50 dan RM55 juta setiap tahun.

Dengan kelulusan kerajaan Malaysia, selama sembilan tahun FGV telah menjual sebanyak 25 juta benih sawit setiap tahun di mana kebanyakannya telah dijual ke negara seperti Honduras, Sierra Leone, Indonesia, Thailand, Cambodia, Papua New Guinea dan Columbia. 38 peratus benih sawit datangnya dari Felda dan ini tidak menjejaskan hasil pasaran walaupun terdapat banyak pemain di dalam industri kelapa sawit hari ini.

BAGAIMANA FGV MAMPU MENGEKALKAN PESAING LAIN?

Penasihat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang terdiri daripada 12 ahli panel dari Perancis, Netherlands dan United Kingdom (Universiti Cambridge, Universiti Bath, Universiti Nottingham) yang akan bertemu setahun sekali. Perancis merupakan negara yang sangat terkenal dengan ketelitian penyelidikan mereka, telah bekerjasama dengan Felda semenjak 30 tahun yang lalu.

Kini FGV sedang menghasilkan kultur tisu dan kloning yang berkualiti istimewa.

Sebagai sebuah pengeluar gergasi dalam sektor kelapa sawit, ini akan memberikan FGV kelebihan yang mencukupi dalam menjalankan R&D mereka di mana 300 hektar tapak semaian telah disediakan bagi tujuan percubaan dan hasilnhya dipantau untuk tempoh enam tahun akan datang. Pada kadar purata, hasilnya mampu dilihat setiap 26 bulan dengan memastikan kualiti yang bagus dan pengurusan R&D yang cekap.

R&D FGV juga sedang mencari pasaran molekul untuk mengenal pasti rintangan penyakit kelapa sawit dan menetapkan untuk mengeluarkan 'bahan toleran' dalam tempoh tiga tahun. Di samping itu, sasaran juga diletakkan keatas perkara-perkara seperti hasil setiap hektar, kualiti minyak, rintangan kepada penyakit dan kepadatan daripada tapak semaian supaya dapat menanam lebih banyak pokok dalam keluasan sehektar. 

FGV sebagai pengeluar minyak kelapa sawit terbesar di dunia telah mensasarkan sebagai salah satu daripada 10 syarikat perniagaan tani di dunia. Dengan penstrukturan semula operasi perniagaan kepada enam kluster bulan lepas, di mana tumpuannya adalah kepelbagaian hasil minyak kelapa sawit, gula, getah, R&D dan pengangkutan, logistik, pemasaran dan sebagainya.

Friday, August 15, 2014

PAS KELUAR BN... NIK AZIZ TIDAK BERCAKAP BENAR


Oleh kerana sejarah PAS keluar BN masih dianggap oleh PAS terutama Nik Aziz sebagai sejarah pahit, kita tidak mampu menahan peristiwa hitam sejarah politik tanahair. Tetapi apakah Nik Aziz telah memberi kenyataan yang benar? Apakah Nik Aziz tidak tahu apa yang sebenar berlaku?

Ini pula penjelasan dari pihak yang terlibat secara langsung...

 
SEJARAH PAS KELUAR BN
oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad
Mantan Perdana Menteri Malaysia


1. Nik Aziz dilapor telah menjelaskan kenapa PAS tidak boleh bersama UMNO dalam usaha untuk menyatupadu orang Melayu. Katanya PAS telah ditipu oleh UMNO semasa PAS berada dalam Barisan Nasional. Bagaimana UMNO menipu PAS tidak dijelaskan dengan terang.


2. Saya berada sebagai menteri dalam kabinet Tun Hussein di waktu mana PAS keluar dari Barisan Nasional. Saya juga ada dalam kabinet Tun Razak bersama Dato Asri Muda dan Hassan Adli semasa PAS menyertai Barisan Nasional.


3. Dato Asri diberi jawatan Menteri Tanah dan Galian. Ini bermakna dia bertanggung jawab terhadap FELDA.


4. Setelah beberapa bulan PAS berada dalam Barisan Nasional ahli-ahli UMNO Johor membuat komplen kepada Tun Razak dalam majlis makan malam dikediaman Tun sempena mesyuarat agong UMNO bahawa Dato Asri giat mempromosikan PAS di kalangan peserta FELDA. Saya berada di sisi Tun pada ketika itu.


5. Secara kebetulan hampir semua peserta FELDA terdiri daripada penyokong kuat UMNO. Selepas Dato Asri bertanggungjawab keatas FELDA, hampir semua peserta FELDA menjadi penyokong kuat PAS dan menolak UMNO.


6. Ahli-ahli UMNO di seluruh negara berpendapat bahawa penyertaan PAS dalam Barisan Nasional tidak menolong Barisan Nasional. Ia hanya untuk memberi peluang kepada PAS mengembangkan pengaruh di kalangan ahli UMNO dan orang Melayu.


7. Di waktu itu timbul sengketa antara Dato Asri sebagai ketua PAS dengan Dato Mohd Nasir yang sebagai Menteri Besar untuk ganti Dato Asri. Dato Mohd Nasir mendakwa dia telah kesan banyak penyelewengan yang dilakukan oleh Dato Asri semasa dia menjadi Menteri Besar Kelantan.


8. Dato Asri cuba menyingkir Dato Mohd Nasir melalui undi tidak percaya. Walaupun kalah Dato Mohd Nasir enggan meletak jawatan.


9. Ramai ahli PAS memihak kepada Dato Mohd Nasir. Mereka mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran menentang Dato Asri.


10. Kerana PAS berpecah Kerajaan Barisan Nasional Kelantan tidak dapat berfungsi. Darurat terpaksa diisytihar dan seorang pegawai kanan dilantik untuk memangku jawatan Ketua Pentadbir Kelantan.


11. Pada Mac 1978, pilihanraya peringkat negeri diadakan di Kelantan. Dato Mohd Nasir menubuh parti Berjasa yang bertanding melawan PAS. Sokongan kepada Berjasa begitu kuat sehingga ia memenangi 11 kerusi. PAS memenangi hanya 2 kerusi.


12. Perpecahan dalam PAS bukan kerana UMNO tetapi kerana Dato Mohd Nasir mencabar kepimpinan Dato Asri. Kekalahan PAS menyebabkan PAS keluar dari Barisan Nasional. Tidak ada penipuan oleh UMNO.


13. Walau apapun yang terjadi dahulu, jika seruan dibuat supaya berdamai orang Islam disuruh oleh agama Islam supaya menyambut seruan kedamaian dari musuh. Orang Islam disuruh bersatupadu, menganggap semua orang Islam sebagai saudara. Penolakan perpaduan sesama orang Islam tidak menepati ajaran Islam. Janganlah orang Islam menolak usaha menyatupadu untuk memperkuatkan orang Islam dengan membuat tuduhan yang tidak berasas.


Tun Dr. Mahathir Mohamad
Mantan Perdana Menteri Malaysia

Thursday, August 14, 2014

AWAS! SPAD TELAH KESAN 'POT' PREBET SAPU DI KL

Kenderaan persendirian yang ditahan ketika Ops Tegas di sekitar Rawang

Mengguna kenderaan persendirian untuk menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada orang ramai dan meminta upah adalah salah dan inilah dikatakan teksi sapu atau prebet sapu. Kegiatan ini dianggap haram serta menyalahi undang-undang memandangkan mereka tidak berdaftar dengan pihak SPAD.

Risiko yang akan dihadapi penumpang adalah apabila berlaku kemalangan di mana mereka tidak dilindungi inusran dan setiap kesalahan pemandu tidak akan dapat diambil tindakan pihak berkuasa. Tambang yang dikenakan teksi sapu ini adalah mengikut suka hati mereka dan penumpang tidak akan mampu membantah.

Itu adalah kesedaran yang perlu ada sebelum seseorang ingin mengguna khidmat teksi haram.

Sebagai penguatkuasa yang bertanggungjawab ke atas pengangkutan awam, SPAD telah menjalankan satu operasi iaitu Ops Tegas bertujuan membenteras kegiatan teksi-teksi haram ini pada Isnin lalu di Rawang.

Beberapa tangkapan telah dilakukan di mana dua anggota penguatkuasa SPAD telah menaiki kenderaan berkenaan dari Stesen KTM Rawang ke kawasan perumahan dekat Taman Bersatu, Rawang. Hasil siasatan awal, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu adalah penduduk tempatan yang baharu menawarkan khidmat pengangkutan itu.

Selain itu, terdapat tiga prebet sapu ditahan oleh satu pasukan penyamaran dan dua pasukan tangkapan, di tiga lokasi berasingan. Ops Tegas di sini turut menahan lapan pemandu teksi yang melakukan kesalahan kerana tidak menggunakan meter.

Operasi Tegas tersebut turut melibatkan 11 pasukan penyamaran terdiri daripada 22 anggota penguat kuasa.

Lebih memeranjatkan apabila Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad mendedahkan terdapat 50 lokasi panas di mana prebet-prebet sapu ini aktif menjalankan kegiatan mereka.

Tempat-tempat yang mempunyai permintaan di mana yang ada ramai orang turun dari terminal bas atau stesen LRT adalah tumpuan prebet sapu. Tidak memeranjatkan apabila prebet-prebet sapu ini boleh didapati walaupun di bandaraya seperti Kuala Lumpur.

Sejak Ops Tegas dilancarkan SPAD pada Jun 2011, sebanyak 148 kes membabitkan prebet sapu direkodkan, di mana tahun ini sahaja sebanyak 36 kes sehingga Julai ini. Walaupun jumlah kes prebet sapu yang dikesan tidak banyak tetapi ia tetap serius kerana melakukan kesalahan.
Kepada pemilik kenderaan prebet sapu, kesalahan mereka adalah di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 dan keretanya akan dilucutkan hak daripada pemilik kenderaan.