Showing posts with label PLKN. Show all posts
Showing posts with label PLKN. Show all posts

Saturday, June 27, 2015

PERKEMBANGAN TERKINI PLKN DARI DATUK EHSANUDDIN


Selepas menganjurkan Hari Terbuka Transformasi PLKN pada April lalu dengan anjuran Kementerian Pertahanan dengan kerjasama PEMANDU dari Jabatan Perdana Menteri, nampaknya beberapa penambahbaikan telah dilakukan. Tujuan Hari Terbuka tersebut adalah bertujuan agar rakyat dapat dimaklumkan mengenai hasil Makmal Transformasi PLKN dan seterusnya memberi maklum balas, input serta idea terhadap perancangan transformasi PLKN sebelum ia dilaksanakan.

Dalam laporan Bernama bertajuk "Pelatih PLKN Bakal Ikuti Latihan Kemahiran Teknikal, Vokasional Lanjutan", Datuk Ehsanuddin selaku Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara telah memberi perkembangan terkini PLKN. Ini termasuk beberapa kandungan modul program baru yang lebih mantap dan memenuhi kehendak semasa serta pasaran pekerjaan.

Diringkaskan di antara kandungan temubual Bernama pada Jumaat lepas;

1. Mengekalkan pendekatan kesedaran kenegaraan dengan penambahan kursus lanjutan dalam kemahiran teknikal dan vokasional.

2. Jangkamasa latihan program selama lapan bulan dan tambahan 2 atau 3 bulan untuk kursus lanjutan.

3. Kemahiran yang ditawakan adalah mekanikal, minyak dan gas, automotif.

4. Inisiatif yang tercetus melalui Makmal Transformasi PLKN mampu menepati keperluan semasa dan menarik minat belia.

5. Perubahan modul program PLKN dibuat untuk penambahbaikan setiap 5 tahun.

6. Elemen ketenteraan bukan saja mempersiapkan pelatih dengan kekuatan fizikal tetapi mampu menerapkan tahap disiplin dan jati diri.

7. Pengambilan pelatih adalah terhad, maka hanya yang pernah mengikuti latihan khidmat negara ini saja yang tahu kebaikan dan impak program ini terutama dalam soal perpaduan kaum.

8. Akan datang, cara pengambilan pelatih adalah secara rawak dan sukarela.

9. Penangguhan PLKN yang telah diumumkan Januari lepas dijangka akan bermula pada tahun hadapan.
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama)
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kini dalam peringkat kajian semula akan mewujudkan elemen-elemen yang mampu meningkatkan kemahiran insaniah dan kemahiran lahiriah para pelatihnya.

Menerusi transformasi PLKN itu, para pelatih turut akan diperkenalkan dengan modul kemahiran teknikal dan vokasional, di samping penekanan terhadap aspek-aspek kenegaraan, pembinaan karakter, semangat kesukarelaan dan patriotisme.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrasshid berkata latihan kemahiran dan vokasional ini akan dilaksanakan sepanjang program selama lapan bulan diikuti kursus lanjutan lebih kurang dua atau tiga bulan.

"Antara kemahiran yang akan ditawarkan adalah mekanikal, minyak dan gas, automotif. Selepas tamat program latihan, pelatih akan mengikuti kursus lanjutan di pusat-pusat latihan kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negara," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Jumaat.

Katanya inisiatif itu masih di peringkat perancangan dan akan dimuktamadkan sebelum sesi baharu program itu bermula, yang dijangka tahun hadapan.

Noor Ehsanuddin berkata terdapat 21 inisiatif yang tercetus melalui Makmal Transformasi PLKN dan masih di peringkat perancangan dalam usaha mentransformasikan PLKN untuk memastikan modul-modul program kekal bersifat dinamik, terkini dan menepati keperluan semasa di samping menarik minat belia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2015 pada Oktober tahun lepas mengumumkan bahawa PLKN yang telah mengeluarkan lebih 800,000 pelatih sejak diperkenalkan pada 16 Feb 2004, akan dikaji semula, selain memperkenalkan konsep baharu menjalinkan keperluan kemahiran dan kenegaraan.

Najib, dalam Perutusan Khas Perkembangan Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara pada Januari lepas mengumumkan penangguhan PLKN tahun ini untuk membolehkan penjimatan RM400 juta selain membolehkan program itu dikaji semula dengan penambahbaikan.

Noor Ehsanuddin berkata perubahan modul program latihan dengan menyerapkan elemen-elemen baharu bukanlah kali pertama dibuat dan ia sebenarnya dilakukan setiap lima tahun cuma pada kali ini transformasi dan perubahan yang akan dilakukan itu lebih ketara dari segi struktur.

Mengulas cadangan pembatalan modul penggunaan senjata api M16 dalam PLKN, Noor Ehsanuddin berkata ia akan dilihat semula dan belum dimuktamadkan lagi.

"Apabila kita cakap tentang modul-modul kursus untuk memupuk semangat patriotisme, tidaklah tertumpu khusus kepada penggunaan senjata sebaliknya lebih kepada kefahaman mengenai sejarah dan sebagainya.

"Dari sudut penglibatan tentera kita mahukan kepakaran tentera dalam melatih para pelatih ini untuk diterapkan dengan disiplin melalui kawad, pembinaan jati diri, kekuatan mental dan fizikal serta elemen-elemen lasak yang lain," katanya.

Noor Ehsanuddin turut menafikan dakwaan kononnya modul PLKN sebelum ini gagal mencapai objektif khususnya dalam soal perpaduan kaum sebaliknya menegaskan pelatih-pelatih PLKN yang pernah menjalani latihan rata-ratanya mempunyai hubungan perpaduan yang baik.

"Cuma mungkin peluang yang dapat pergi itu tidak ramai, contohnya kalau setahun seramai 500,000 pelajar menamatkan persekolahan tetapi yang dapat mengikuti program hanya 90,000, tentulah yang dapat ikuti program sahaja yang tahu kebaikan dan impaknya," katanya.

Mengenai cara pengambilan pelatih bagi sesi latihan akan datang, katanya cara pengambilan adalah secara rawak dan sukarela.

"Kami ambil secara rawak dan sukarela, tidak timbul isu kami ambil pelajar yang lemah akademik... dan kami rancang dalam tahun 2020 pengambilan akan dibuat secara sukarela tetapi belum dimuktamadkan lagi," katanya.


Saturday, May 23, 2015

2 KEM PLKN UNTUK PERLINDUNGAN SEMENTARA PELARIAN ROHINGYA


Ketika ditanya sama ada kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan digunakan untuk menempatkan pelarian Rohingya, Perdana Menteri telah menegaskan bahawa keputusan akan dibuat atas dasar kemanusiaan tetapi ini tidak bermakna, siapa-siapa hendak masuk, boleh masuk.

Ini dituruti pula dengan mesej Menteri Pertahanan, Dato Seri Hishamuddin yang menjawab didalam akaun Twitternya bahawa 2 kem PLKN yang kosong telah dikenalpasti untuk menempatkan pelarian Rohingya bagi memberi perlindungan sementara.

Walaupun secara rasminya arahan belum diterima, namun Ketua Pengarah Datuk Mohamed Asri Yusof, pihak PLKN telah bersedia dan segala bentuk keperluan asas juga telah disediakan dan hanya menunggu keputusan kerajaan.

Setakat ini, hanya 2 kem yang diperlukan kerajaan sementara menunggu proses ekstradisi dan dokumentasi. Pada masa yang sama, pihak PLKN sangat berbesar hati untuk membantu kerana jumlah kem PLKN sebanyak lebih dari 80 pasti tidak menjadi masalah untuk menempatkan pelatih PLKN apabila sesi bermula.

Secara langsung, kem PLKN yang kosong dapat membantu pengendali agar tidak mengalami kerugian ketika latihan dihentikan buat sementara.

Setiausaha Agung PBB telah menghubungi Dato Seri Najib Razak untuk menyatakan kebimbangannya dan mesej untuk bersama-sama mengatasi malapetaka kemanusiaan ini juga perlu ditangani semua negara dan bukan dibebani pemimpin-pemimpin Asean sahaja. Malahan, Malaysia yang mempengerusikan Asean ketika ini sekadar membantu di atas prinsip kemanusiaan dan punca masalah pelarian ini berikutan masalah dalaman negara Myanmar yang Malaysia mengambil pendirian untuk tidak campurtangan.

PBB akan menawarkan bantuan yang disalurkan menerusi Suruhanjaya Tinggi PBB mengenai Pelarian (UNHCR).

Dikatakan seramai 1,158 warga Bangladesh dan etnik Rohingya telah tiba di perairan Langkawi dan dilaporkan lebih dari 5,000 lagi warga Bangladesh dan Rohingya sedang menunggu giliran mereka untuk belayar ke Malaysia.

Setakat hari ini, Malaysia telah pun dibanjiri dengan lebih daripada 120,000 pendatang tanpa izin dari Myanmar dan adalah tidak benar jika kerajaan Malaysia tidak memainkan peranan besar dalam menampung dan mengurangkan masalah kemanusiaan kerana  punca pelarian bukan dari negara kita.

Kerajaan hanya mampu berunding dengan negara Myanmar dan berusaha cari penyelesaian menerusi jaringan ASEAN bagi mengelakkan tragedi kemanusiaan yang lebih besar dan dahsyat.

Monday, February 16, 2015

MAKMAL TRANSFORMASI PLKN AKAN LAHIRKAN 'BLUE PRINT'


Perancangan kerajaan bagi mewujudkan satu makmal khas PLKN sebenarnya telah pun diumumkan dalam Bajet 2015 yang selaras dengan Pelan Transformasi Belia Negara. Inisiatif ini akan diketuai Pemandu dan juga telah mendapat persetujuan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

Kewujudan Makmal Transformasi PLKN ini pada awalnya bertujuan sebagai berfungsi mengumpul maklumat dan menjalankan kajian pendapat bagi menambah baik modul PLKN yang sedia ada selaras dengan peredaran masa.

Setelah pengumuman Perdana Menteri bagi langkah-langkah kerajaan mengkaji semula Bajet 2015 untuk menstabilkan kewangan negara, salah satu langkahnya adalah menangguh PLKN 2015. Maka inilah masa terbaik program latihan khidmat negara teruskan perancangan makmal transformasi ini.



Pada 13 Februari lalu, pelancaran Makmal Transformasi Program Khidmat Negara (PLKN) telah diadakan dan akan berlangsung selama 5 minggu bermula 23 Februari sehingga 26 Mac.

Makmal ini akan melibatkan 85 orang akan yang mengambil kira pendapat pelbagai pihak terutama individu atau kumpulan yang dikenal pasti dapat memberikan idea yang bernas bagi menambah nilai dan tambah baik modul sedia ada. Mereka terdiri daripada wakil kementerian, agensi kerajaan, pihak swasta, NGO, pemain-pemain industri, golongan muda, operator kem PLKN, Alumni PLKN, jurulatih PLKN, ibubapa dan sebagainya.

Kumpulan sasaran bagi kajian ini juga akan melibatkan pelbagai kaum dan lapisan masyarakat di seluruh negara.

Selain untuk mendapatkan maklumbalas, makmal ini juga akan menghasilkan satu resolusi yang akhirnya akan menjadi "blue print" transformasi PLKN.

3 fokus utama makmal ini menjurus kepada Modul Latihan, Pengurusan Sumber dan Penjenamaan & Komunikasi bagi mengukuhkan modul latihan yang baharu iaitu Patriotisme, Pembangunan Karakter dan Kesukarelaan.

Bagi menghadapi cabaran masa kini, di antara pengisian program akan menitikberatkan ancaman media sosial dan sebaran pengaruh-pengaruh negatif.

Penangguhan PLKN 2015 ini juga akan digunakan untuk melatih semula kesemua staf dan jurulatihnya sebagai persiapan untuk perlaksanaan PLKN pada tahun hadapan.

Diharap platform perbincangan di dalam makmal ini dapat menjana ide-ide penambahbaikan PLKN demi meningkatkan semangat patrotisme dalam kalangan pelatih, memupuk perpaduan dan integrasi nasional serta membentuk perwatakan positif pelatih melalui nilai murni.

Friday, February 13, 2015

DAP BENCI PLKN TETAPI PESERTA PELATIH LAIN PULA ...

Dengan pantas ada di antara pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat terutama dari DAP yang inginkan PLKN segera dibubarkan dan terus ditutup selepas pengumuman Perdana Menteri untuk menangguhkan sesi PLKN 2015.

Niat dan hasrat DAP ini bukan sesuatu yang baru dan terkini, Ketua DAPSYnya Teo Kok Seong dalam blog Roketkini menggesa kerajaan memansuhkan PLKN yang kononnya telah gagal memberikan manfaat kepada pembangunan anak muda.

Ini pula pandangan Pengerusi MLKN pula;


Jelas nampaknya DAP dan Pakatan Rakyat tidak tahu apabila di Kem Latihan Etnobotani di Gua Musang, contohnya, 30 hingga 40 peratus terdiri daripada anak-anak bangsa Cina. Kem ini adalah di antara kem yang dijadikan pusat penempatan sementara kepada sebahagian daripada mangsa banjir yang melanda Kelantan baru-baru ini.

Apabila Datuk Ehsan menemui mereka untuk menjelaskan yang mereka perlu dipindah ke kem lain, ada yang menangis kerana terpaksa berpisah dengan kawan-kawan di mana kasih sayang dan persahabatan telah terjalin walaupun hanya sebulan. Pelatih-pelatih ini bukan sahaja telah menjalani modul-modul yang telah disediakan malahan mereka juga adalah di antara sukarelawan yang telah membantu mangsa-mangsa banjir.

Inilah yang dikatakan Datuk Ehsan hasil perpaduan serta 'sense of teamwork' yang berjaya dihasilkan PLKN. Inilah satu program yang sihat untuk anak-anak berbilang bangsa dan agama mengamalkan hormat-menghormati di dalam satu suasan yang terkawal dan penuh displin. Jika diberi peluang yang baik, anak-anak muda tiada masaalah.

Masaalah sebenarnya ialah mereka yang ada kepentingan politik dengan agenda masing-masing sehingga terbentuk satu acuan pemikiran yang tidak membantu membina perpaduan nasional di kalangan rakyat Malaysia. Yang pasti dijadikan mangsa adalah anak-anak muda yang bakal mewarisi negara ini.

Pembangkang yang sekadar membuat kenyataan popular pasti akan tergamam dengan maklumbalas bekas-bekas pelatih PLKN di Twitter mereka. Apa kata mereka?





Kepada Pakatan Pembangkang... adillah kepada anak-anak kita dan jangan bebankan mereka dan jangan jadikan mereka mangsa hanya untuk memuaskan agenda politik masing-masing sehingga tergadai masadepan negara. Maka, apa perlunya untuk menolak terus perpaduan yang dijalankan dalam PLKN?

Wednesday, January 21, 2015

APAKAH PLKN DIKORBANKAN?

Sejurus selepas pengumuman dibuat Perdana Menteri untuk menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara di dalam pelbagai reaksi telah diberi samada dari pihak pro-kerajaan mahupun pihak sebelah kiri. Samada ia perlu diteruskan atau terus dihentikan?

Mesej PM adalah jelas;



Perlu diingat, DS Najib telah membuat pengumuman khas untuk menerangkan langkah-langkah kerajaan berhadapan dengan suasana ekonomi dunia yang tidak menggalakkan dan di dalam suasana negara menghadapi bencana banjir terburuk di Pantai Timur, kewangan negara perlu dibelanjakan dengan penuh hemah.

Namun di dalam memberi keutamaan, kerajaan nampaknya telah memilih untuk mengutamakan rakyat yang sedang ditimpa musibah.

Ini tidak bermakna PLKN dikorbankan tetapi penangguhan ini lebih dilihat sebagai peluang yang perlu dimanfaatkan untuk perkukuh dan penambahbaikan modul dan kemahiran jurulatih serta kem-kem latihan. Itulah pandangan awal Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara,
Datuk Noor Ehsanuddin Bin Haji Mohd Harun Narrashid.
 
Ketika banjir besar melanda Kelantan awal tahun ini, kabinet telah mengumumkan 3 kem latihan di tiga kem PLKN tersebut adalah Kem Cancun Park di Pasir Mas, Kem Batu Jong di Kuala Krai dan Kem Latihan Etnobotani di Gua Musang dijadikan penempatan sementara untuk mangsa-mangsa banjir. Manakala kem latihan yang terjejas banjir iaitu tiga di Terengganu dan satu di Perlis.

Mengambilkira kemusnahan kem-kem ini dan pengubahsuaian kem-kem yang dijadikan penempatan sementara mangsa banjir, pasti melibatkan penambahan kewangan kerajaan.

Walaupun kerajaan sedang mengusahakan pembinaan rumah kekal baru untuk mangsa-mangsa banjir di Kelantan, namun ia akan hanya dijangkakan siap dalam tempuh 3 bulan. Ini bermakna penempatan sementara akan dikosongkan dan seterusnya akan disesuaikan semula sebagai kem latihan yang mungkin memakan masa lebih sebulan.

Di dalam senario ini, masa adalah tambahan perbelanjaan kepada kewangan negara dan belum lagi diambilkira usaha lain yang akan kerajaan utamakan untuk mengatasi berulangnya lagi musibah banjir seperti membina tebatan banjir.

PLKN tidak dikorbankan. Ia hanya ditangguhkan untuk sesi 2015. Setiap tahun PLKN ada 3 sesi pengambilan dan satu sesi telah pun selesai dan penangguhan 2 penangguhan lagi dilihat perlu berdasarkan musibah banjir di luar jangkaan kita.

Seperti kata Pengerusi MLKN, inilah peluang terbaik untuk dimanfaatkan bagi perbaiki apa yang perlu.

Demi melihat jati diri generasi muda terbentuk di dalam latihan khidmat negara dengan sangat berjaya, tak perlulah kita mendengar pandangan-pandangan pasif dari para politikus yang lebih mementingkan kebendaan daripada modal insan.

Thursday, January 15, 2015

SUKARELAWAN PLKN MULAKAN TAHUN BARU BERKHIDMAT UNTUK PASCA BANJIR

Pembukaan tirai 2015 menyaksikan negara kita menghadapi bencana banjir yang terburuk terutama di Pantai Timur. Setelah berjaya mengharungi segala cabaran, kini kita menghadapi cabaran pasca banjir bermula dengan persiapan kerja-kerja pembersihan.

Kemusnahan hartabenda dan kerosakan harta awam tidak dapat dielakkan, namun yang paling utama adalah wabak penyakit yang telah mula merebak. Kesemua itu adalah kesan yang perlu dihadapi dalam pasca banjir. Kesemua itu juga perlu diatasi dengan kadar segera.


Di atas kesedaran itu, maka digerakkan gelombang sukarelawan 1Mindef terdiri daripada 2,500 sukarelawan telah turun padang. Yang pasti sukarelawan PLKN adalah di antara mereka yang membantu proses pemulihan ini.

PLKN telah menubuhkan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) sejak 2012 oleh YAB Perdana Menteri. Keahlian BSKN terdiri daripada bekas-bekas pelatih PLKN memberi khidmat sukarela kepada agensi penyelamat dan penguatkuasa untuk membantu mangsa-mangsa banjir, mangsa kebakaran, mangsa tanah runtuh, kerja-kerja gotong-royong dan kerja-kerja sukarela kemasyarakatan.

Bertepatan dengan matlamat penubuhan BSKN, kehadiran mereka adalah penting kerana daerah yang terjejas teruk seperti Kuala Krai amat memerlukan kekuatan sumber tenaga.

Kehadiran Pengerusi MLKN merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid bersama-sama BSKN di Kelantan, telah menyuntik kesedaran semangat suka dan rela membantu di mana jua dan pada bila-bila masa.



Datuk Ehsan juga telah meninjau keadaan di Kuala Krai dan bersama-sama BSKN memulakan kerja-kerja pemulihan.


 
Selepas kabinet memutuskan tiga buah kem PLKN dijadikan pusat penempatan sementara untuk mangsa banjir, Datuk Ehsan juga telah memastikan ketiga-tiga kem yang terlibat iaitu, Kem Cancun Park di Pasir Mas, Kem Batu Jong di Kuala Krai dan Kem Latihan Etnobotani di Gua Musang di dalamkeadaan memuaskan. Kemudahan sedia di kem-kem PLKN ini, seperti dewan makan, tandas, padang dan dorm dapat membantu sebagai penempatan sementara mangsa-mangsa banjir.




Di situlah sebenarnya Datuk Ehsan meraikan sambutan tahun baru bersama-sama ahli-ahli BSKN menghulurkan bantuan tenaga di Kelantan.

Namun, apabila teringat peristiwa demonstrasi Bersih pada tahun lalu, terfikir pula di manakah mereka di saat mangsa-mangsa banjir sangat-sangat memerlukan tenaga mereka. Malangnya, tenaga sukarelawan Bersih hanya mampu digunakan untuk merosakkan harta awam dan kita nilailah sendiri...


Wednesday, December 24, 2014

PELATIH DAN PESERTA PLKN TIDAK TERLEPAS SASARAN PENGGANAS MILITAN

Baru-baru ini, satu pengumuman yang memeranjatkan kita apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan seorang bekas jurulatih PLKN adalah perancang laluan bagi rakyat Malaysia menyertai militan IS di Syria. Bekas jurulatih tersebut telah pun ditahan di KLIA dan PDRM sedang menjalankan siasatan sekira ideologi militan ini sedang menular dan mempengaruhi pelatih PLKN lain. 

Nampaknya kegiatan militan IS ini tidak melepaskan peluang mereka mensasarkan jurulatih dan berkemungkinan pelatih-pelatih PLKN juga. 

Kerajaan telah pun mengumumkan tidak memberi sokongan kepada perjuangan militan dan ekstremisme. Oleh itu beberapa tindakan untuk mencegah bukan sahaja dari segi penahanan tetapi pemantauan sedang giat dijalankan. 

Terdahulu seorang Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya Dr Mahmud Ahmad, 36, yang merupakan antara lima orang yang dikehendaki apabila disyaki pernah menerima latihan ketenteraan daripada Al-Qaeda di Afghanistan pada akhir 1990-an ketika belajar di sebuah Universiti di Pakistan, dan dipercayai telah merekrut serta menghantar empat rakyat Malaysia termasuk Ahmad Tarmimi Maliki yang dikenali sebagai pengebom berani mati pertama dari Malaysia, ke Syria. Beliau juga didakwa telah mengatur pertemuan dengan pemimpin militan Asia Tenggara bagi menubuhkan Daulah Islamiyah Asia Tenggara. 

Target gerakan militan ini adalah dari golongan anak-anak dari seluruh dunia. Dikatakan seramai 12,000 rakyat asing telah bersama IS dan seramai 15 orang rakyat Malaysia telah dapat dikesan. Modus operandi mereka lebih tersasar kepada pelajar kerana mereka ini lebih banyak meluangkan masa di media sosial dan kebanyakan mereka yang terlibat menggunakan Facebook untuk merekrut pelajar. 

Penglibatan mahasiswa juga tidak dinafikan walaupun masih lagi terkawal, namun ia harus dibendung kerana mampu merebak dengan cepat. 

Dalam masa yang sama, adalah sangat wajar langkah yang telah diambil PLKN apabila menggalakkan pelatih-pelatih yang telah tamat latihan menyertai pasukan keselamatan sukarela selaras dengan objektif program itu melahirkan remaja patriotik dan mempunyai semangat kesukarelaan terhadap negara. 

3 pasukan pertahanan negara yang mereka boleh berkhidmat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) selain daripada Skuad Muda KDN yang ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri dan Pasukan Markas ATM bagi memantau pelatih yang berminat menyertai askar wataniah. 

Penubuhan Briged Sukarela Khidmat Negara (BSKN) juga telah dapat membantu dalam pembentukan perpaduan dan keharmonian dalam negara yang secara tidak langsung dapat membentuk sikap penerimaan antara kaum yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan dan keselamatan negara. 

Apabila dengan tertangkapnya bekas jurulatih PLKN ini, maka adalah wajar sekiranya pihak MLKN turut mengikuti langkah-langkah yang disarankan pihak PDRM di mana Kementerian Pengajian Tinggi dan IPTA/IPTS perlu merujuk kepada pihak polis ke atas pensyarah-pensyarah dari luar negara serta bagi pihak JAKIM pula, penceramah agama dari luar negara juga melalui tapisan pihak polis. 

Mungkin pihak MLKN boleh mengadakan sesi khas mendedahkan kegiatan militan yang merupakan ancaman keselamatan negara terkini. Ini adalah kerana, melalui pendedahan pihak polis, kegiatan militan ini kebanyakannya mengambil kesempatan mengguna 'agama' dan 'jihad' yang mampu menyentuh perasaan anak-anak muda. 

Wednesday, October 29, 2014

604 PELATIH PLKN TIDAK BOLEH BERCAKAP BAHASA MELAYU TELAH DIATASI



Kajian mengenai 604 pelatih PLKN yang tidak boleh bercakap bahasa Melayu telah ditimbulkan semula oleh Prof Dr Tewo Kok Seong, seorang pensyarah dari Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM adalah suatu perkara yang bukan sekadar membimbangkan tetapi telah menjadi tandatanya bagaimana mereka layak melepasi peperiksaan SPM dan seterusnya layak sebagai pelatih PLKN.

Rupanya kajian yang ditimbulkan semula ini adalah kajian pada tahun 2010. Dan kita juga tertanya-tanya apakah pelatih-pelatih yang tidak boleh bercakap bahasa Melayu di dalam kategori tidak boleh menyebut langsung perkataan-perkataan Melayu, tidak langsung boleh mengucapkan Selamat Pagi dan seterusnya tidak langsung mampu mengucapkan perkataan semudah "terima kasih" atau "nama saya Lim Kit Siang"?

Walaubagaimanapun, Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid telah menjelaskan bahawa jabatan telah pun mengatasi masalah ini.

Modul I-Smart yang telah pun diperkenalkan pada tahun 2011 bukan sekadar menumpukan kepada pelatih yang tidak boleh berbahasa Melayu namun modul khas ini telah pun membantu pelatih yang buta huruf sepanjang menjalani latihan di kem seluruh negara. Pelatih yang buta huruf akan dapat menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira melalui kelas petang yang diadakan selama sejam selepas tamat latihan harian mereka.

Ada lima tahap yang digunakan dalam program ini bagi membolehkan tahap celik huruf mereka diukur dan dipertingkatkan bagi mempersiapkan mereka di alam pekerjaan
nanti.

Sebelum ini pengambilan pelatih PLKN dibuat secara rawak di mana ada yang tidak bersekolah, ada yang belajar sehingga Tingkatan Tiga sahaja. Namun, menurut Datuk Ehsan, kaedah pengambilan pelatih PLKN akan dikaji semula dan langkah ini adalah untuk membuka peluang kepada belia-belia yang berminat secara sukarela menyertai program ini.

Nampaknya program khidmat negara ini  telah berjaya mengesan pada peringkat awal remaja-remaja yang tidak boleh bercakap bahasa Melayu mahupun buta huruf. Justeru, adalah lebih efektif sekiranya bakal-bakal pelatih ini melalui satu ujian mudah samada lisan atau menulis sebelum diterima menyertainya.

Di dalam usaha untuk penambahbaikan dari segi modul, penyertaan pelatih dan kemudahan infrasturtur mencapai sasarannya, PLKN akan dinilai secara berterusan dengan melantik beberapa pasukan. 

Sunday, September 14, 2014

TRANSFORMASI PROGRAM PLKN UNTUK PERSEDIAAN GEN-Y MENGHADAPI CABARAN MAKLUMAT TANPA SEMPADAN


Komunikasi dunia hari ini semakin pantas dan lebih terbuka. Segala-galanya adalah di hujung jari kita. Senario cara hidup hari ini terutama generasi Y banyak bergantung kepada komunikasi di hujung jari di mana hampir setiap remaja di era ini memiliki alat hubungan komunikasi samada sebuah telefon bimbit, telefon pintar, tab dan jugalaptop. Dengan penyediaan infrastruktur jalur lebar, segala maklumat mudah saja diperolehi mereka.

Inilah cabaran hebat yang sedang dihadapi kerajaan apabila segala maklumat dan komunikasi yang terdedah kepada Gen Y tanpa batasan, tanpa kesahihan kebenaran, tanpa sekatan dan juga tanpa tanggungjawab.

Bagaimana pula pihak kerajaan mampu membuat persediaan menghadapi senario komunikasi dan penyebaran maklumat yang lebih pantas dan terdedah ini terutamanya kepada generasi Y di dalam tempuh 10 tahun akan datang? Di dalam tempoh 5 hingga 10 akan datang, Gen Y ini akan menentukan masadepan dan hala tuju negara apabila mereka akan layak memilih kerajaan di dalam pilihanraya nanti.

Pengguna media sosial di Malaysia adalah di antara yang tertinggi di dunia dan penglibatan Gen-Y didapati tinggi peratusannya. Di sinilah sumber maklumat tidak dapat dipastikan kesahihannya. Di sini juga Gen-Y mudah dipengaruhi kerana ada di antara maklumat berikut sekadar membeli jiwa dan ada kalanya sangat memenuhi naluri orang muda, terutama sesuatu yang berunsur memberontak.

Oleh itu, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diperkenalkan kerajaan sejak 10 tahun lalu memainkan peranan sangat penting di mana pelatih-pelatih adalah terdiri daripada Gen-Y lepasan SPM terpilih untuk menyertainya.

Di sinilah bermulanya cabaran kerajaan. Gen-Y hari ini bukan lagi seperti 10 tahun yang lalu. Dengan kemajuan teknologi internet yang pesat dan cepat, mereka mudah terdedah dengan pelbagai jenis maklumat. Di sinilah cabaran sebenar kerajaan mempersiapkan langkah-langkah untuk mempersiapkan mereka menghadapi cabaran maklumat tanpa sempadan dan tanpa tapisan.

PLKN merupakan platform yang terbaik untuk Gen-Y memupuk jati diri, ketahanan jiwa yang cintakan sebuah negara yang aman dan harmoni. Walaupun objektif utama PLKN 10 tahun lalu telah mampu memastikan pelatih-pelatih ini meningkatkan semangat patriotisme, memupuk perpaduan kaum dan juga melahirkan generasi yang cergas dan penuh keyakinan diri, namun oleh kerana tuntutan cabaran hari ini, MLKN akan melakukan transformasi secara berperingkat untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN)
dengan mengambil kira keperluan lima ke sepuluh tahun akan datang.

Selaku Pengerusi MLKN, Datuk Ehsanuddin memastikan transformasi yang akan dilakukan dengan penambahbaikan termasuk modul, penyertaan pelatih dan kemudahan  infrastuktur yang selari dengan perubahan zaman dan maklumat terbuka ini.

Adalah sangat kritikal bagi kerajaan untuk menambahbaik modul PLKN di mana nilai bertanggungjawab dan menghormati undang-undang negara di samping mengamalkan kebebasan bersuara. Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara hendaklah ditekankan di dalam modul di mana sejarah tanahair hendaklah juga diberi perhatian. Apabila seseorang pelatih memahami sejarah tanahair, maka mereka tidak akan mudah dipengaruhi gejala-gejala negatif yang cuba mempersoalkan hak Melayu, hak ugama Islam dan hak Raja-Raja Melayu.


Di dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan Akta Keharmonian Nasional di masa akan datang, pemahaman asas perlu diberi kepada Gen-Y agar mereka bersiap sedia apabila perbahasan di media sosial dijadikan rujukan pula. Gen-Y perlu didedahkan dengan maklumat yang tepat dan tiba masanya Gen-Y dilibatkan sama dalam isu-isu semasa terutamanya yang boleh membawa terjejasnya perpaduan dan keamanan negara.

Bersesuaian dengan salah satu modul PLKN tahun ini iaitu Malaysiaku Berdaulat, maka dilihat transformasi MLKN perlu diberi lonjakan baru bagi memastikannya kekal relevan sebagai satu instrumen utama dalam mempersiapkan Gen-Y negara menghadapi cabaran masa depan disamping membimbing pelatih kearah kehidupan yang lebih sempurna..

Oleh itu, saranan Pengerusi MLKN untuk meneliti semula bagi membolehkan semua pelajar lepasan SPM dapat mengikuti latihan itu mulai tahun depan adalah dialu-alukan.

Golongan Gen-Y yang dipilih menyertai PLKN diingatkan supaya tidak menganggapnya semata-mata untuk memenuhi kewajipan kerajaan atau ia sesuatu yang tidak penting dalam kehidupan mereka. Ia perlu dianggap sebagai hak istimewa dan ia perlu diterima dengan serius kerana program transformasi itu adalah perlu bagi menyuntik kekuatan dan hala tuju baharu untuk menghadapi perubahan semasa dan kemajuan teknologi.