Thursday, December 25, 2014

DARI PONDOK KE HAVARD



Untuk menghantar anak-anak ke sekolah pondok bukan satu pilihan utama ibubapa di negara kita kerana fenomena kejayaan seseorang anak terlalu bergantung kepada pencapaian akademik sahaja. Oleh itu, Sekolah Berasrama Penuh atau Sekolah Berprestasi Tinggi adalah pilihan ibubapa yang mengimpikan kecemerlangan akademik anak-anak mereka untuk menghadapi nasib masa depan mereka.

Walau sejauh mana cemerlangnya akademik anak-anak mereka, namun jauh di sudut hati ibubapa menaruh satu harapan agar anak-anak ini dilengkapi dengan asas-asas agama.

Namun ada juga di kalangan ibubapa hari ini yang berhasrat melihat di antara anak-anak mereka mendalami ilmu agama, walaupun seorang. Tetapi apakah pendidikan sekolah pondok dijadikan pilihan? Apakah pengajian sekolah pondok dilengkapi dengan pendidikan selaras dengan sistem pendidikan negara?

Jika dihantar ke sekolah pondok, apakah anak-anak sekadar menerima pendidikan agama tetapi bagaimana pula dengan pendidikan kontemporari agar mereka mampu bersaing di dalam masyarakat yang kompetitif hari ini?

Inilah di antara dilema ibubapa yang mengenai pengajian pondok.

Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) telah mengorak langkah yang lebih jauh bagi meningkat dan memastikan lulusan pondok juga mempunyai masa depan serta peluang yang setanding dengan lulusan universiti.

Di antara universiti dan institusi pengajian tinggi tempatan yang telah memberi persetujuan bekerjasama adalah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam pendidikan di peringkat Diploma Pengajian Islam dijangka bermula tahun 2016.

Selain UPSI, beberapa usaha kerjasama dengan universiti tempatan dan di antaranya Senat Universiti Insaniah di Kedah telah meluluskan penubuhan Pusat Kajian Pondok, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan satu projek kajian pengajian pondok oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).

Perbincangan khusus mengenai kajian semula kurikulum pendidikan Islam di Malaysia membabitkan semua peringkat, termasuk pengajian pondok telah pun diadakan dengan Majlis Dekan-Dekan Pengajian Islam IPTA.

Sebenarnya institusi pengajian pondok bukan sesuatu yang asing di rantau Asia Tenggara, malahan ia telah lama diteroka di negara jiran seperti Indonesia, Thailand dan Singapura.

Di Gontor,Jawa Timur, sebuah pondok yang ditubuhkan 90 tahun lalu akan menjadi sebuah IPT dipanggil Universiti Darussalam mulai 2015 dengan bilangan pelajar berjumlah lebih 20,000, termasuk sekitar 200 dari Malaysia.

Di Singapura, pengajian pondok dan sekolah agama meliputi mata pelajaran yang diambil oleh pelajar sekolah biasa dan mereka boleh memohon masuk ke universiti kerajaan, tanpa perlu menduduki ujian tambahan.

Di Thailand pula, Pondok Bantan di wilayah Nakhon Sithammarat telah wujud 75 tahun lalu dan diasaskan oleh Tok Guru Haji Yaakob Abdul Rauf, seorang ulama yang mendapat pendidikan di Patani dan Makkah. Menariknya Pondok Bantan ialah pengasasnya adalah datuk kepada Dr Abdul Halim Ismail, yang lebih dikenali sebagai Dr Surin Pitsuwan, bekas Menteri Luar Thailand dan Setiausaha Agung Sekretariat Asean.

Dr Surin adalah hasil didikan pondok di Thailand di mana di negara tersebut, umat Islam adalah rakyat minoriti. Beliau adalah contoh yang perlu dibangga walaupun kehidupan awalnya berlatarbelakangkan pendidikan pondok namun telah berjaya menerima MA dan Ph.D daripada Universiti Harvard. Kini Dr Surin adalah pensyarah Universiti Oxford serta Felo Tun Abdul Razak.

Sebenarnya negara kita juga tidak kekurangan tokoh-tokoh agama dan di antaranya seperti Ustaz Kazim Elias dan Dato Mohd Noh Gadut.

Pada tahun hadapan Malaysia adalah Pengerusi ASEAN dan selaras dengan itu, YPPM telah mengusahakan satu cadangan awal hasil dari perbincangan dengan beberapa ulama pondok dan tokoh akademik untuk mengadakan satu seminar bagi membincangkan sejarah, peranan, sumbangan dan masa depan Komuniti Pondok Nusantara tahun depan.

Semoga seminar ini menjadi kenyataan. Inilah masanya ibubapa mengambil peluang mendapat pendedahan arah tuju dan masa depan pelajar-pelajar pengajian pondok.

Wednesday, December 24, 2014

PELATIH DAN PESERTA PLKN TIDAK TERLEPAS SASARAN PENGGANAS MILITAN

Baru-baru ini, satu pengumuman yang memeranjatkan kita apabila Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan seorang bekas jurulatih PLKN adalah perancang laluan bagi rakyat Malaysia menyertai militan IS di Syria. Bekas jurulatih tersebut telah pun ditahan di KLIA dan PDRM sedang menjalankan siasatan sekira ideologi militan ini sedang menular dan mempengaruhi pelatih PLKN lain. 

Nampaknya kegiatan militan IS ini tidak melepaskan peluang mereka mensasarkan jurulatih dan berkemungkinan pelatih-pelatih PLKN juga. 

Kerajaan telah pun mengumumkan tidak memberi sokongan kepada perjuangan militan dan ekstremisme. Oleh itu beberapa tindakan untuk mencegah bukan sahaja dari segi penahanan tetapi pemantauan sedang giat dijalankan. 

Terdahulu seorang Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaya Dr Mahmud Ahmad, 36, yang merupakan antara lima orang yang dikehendaki apabila disyaki pernah menerima latihan ketenteraan daripada Al-Qaeda di Afghanistan pada akhir 1990-an ketika belajar di sebuah Universiti di Pakistan, dan dipercayai telah merekrut serta menghantar empat rakyat Malaysia termasuk Ahmad Tarmimi Maliki yang dikenali sebagai pengebom berani mati pertama dari Malaysia, ke Syria. Beliau juga didakwa telah mengatur pertemuan dengan pemimpin militan Asia Tenggara bagi menubuhkan Daulah Islamiyah Asia Tenggara. 

Target gerakan militan ini adalah dari golongan anak-anak dari seluruh dunia. Dikatakan seramai 12,000 rakyat asing telah bersama IS dan seramai 15 orang rakyat Malaysia telah dapat dikesan. Modus operandi mereka lebih tersasar kepada pelajar kerana mereka ini lebih banyak meluangkan masa di media sosial dan kebanyakan mereka yang terlibat menggunakan Facebook untuk merekrut pelajar. 

Penglibatan mahasiswa juga tidak dinafikan walaupun masih lagi terkawal, namun ia harus dibendung kerana mampu merebak dengan cepat. 

Dalam masa yang sama, adalah sangat wajar langkah yang telah diambil PLKN apabila menggalakkan pelatih-pelatih yang telah tamat latihan menyertai pasukan keselamatan sukarela selaras dengan objektif program itu melahirkan remaja patriotik dan mempunyai semangat kesukarelaan terhadap negara. 

3 pasukan pertahanan negara yang mereka boleh berkhidmat adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) selain daripada Skuad Muda KDN yang ditubuhkan Kementerian Dalam Negeri dan Pasukan Markas ATM bagi memantau pelatih yang berminat menyertai askar wataniah. 

Penubuhan Briged Sukarela Khidmat Negara (BSKN) juga telah dapat membantu dalam pembentukan perpaduan dan keharmonian dalam negara yang secara tidak langsung dapat membentuk sikap penerimaan antara kaum yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan dan keselamatan negara. 

Apabila dengan tertangkapnya bekas jurulatih PLKN ini, maka adalah wajar sekiranya pihak MLKN turut mengikuti langkah-langkah yang disarankan pihak PDRM di mana Kementerian Pengajian Tinggi dan IPTA/IPTS perlu merujuk kepada pihak polis ke atas pensyarah-pensyarah dari luar negara serta bagi pihak JAKIM pula, penceramah agama dari luar negara juga melalui tapisan pihak polis. 

Mungkin pihak MLKN boleh mengadakan sesi khas mendedahkan kegiatan militan yang merupakan ancaman keselamatan negara terkini. Ini adalah kerana, melalui pendedahan pihak polis, kegiatan militan ini kebanyakannya mengambil kesempatan mengguna 'agama' dan 'jihad' yang mampu menyentuh perasaan anak-anak muda. 

Tuesday, December 23, 2014

KONSEP WASATIYYAH DALAM MEMBENTUK PEMIMPIN MASA DEPAN DI KOREA BERSAMA DATUK DR MASHITAH

Sebaik-baik pemimpin yang perlu dicontohi adalah Rasulullah SAW dan ini telah pun diakui dunia dan sejarah telah membuktikan bahawa kejayaan Rasulullah SAW dalam kepimpinannya untuk mengembangkan syariat dan mendirikan negara Islam adalah berasaskan kepada konsep wasatiyyah.

Firman ALLAH TAALA bermaksud : “Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu.” (Al-Baqarah : 143).

Wasatiyyah adalah merujuk kepada pelaksanaan Islam secara berhikmah, berhemah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas makhluk ALLAH, termasuk manusia dan alam sekitar. Pada masa yang sama, agama Islam dimartabatkan kemuliaannya dengan tidak mendiskriminasi penganut agama lain.




Selaras dengan pendekatan bersederhana dan adil yang dianjurkan Perdana Menteri, kini program "Wacana Wasatiyyah" bersama Datuk Dr Mashitah, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan kolumnis Berita Harian bersama-sama pelajar telah berlangsung di Korea Selatan setelah merentasi Ireland, Jordan, Mesir, Australia dan New Zealand.

Bermatlamat memberi penjelasan penerapan konsep wasatiyyah dalam pembentukan pemimpin masa depan, wacana telah diadakan di Universiti Dongyang Mirae, Seoul anjuran Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia telah disertai lebih 100 pelajar Malaysia yang menuntut di 8 universiti di Korea Selatan.

Di dalam menuju wawasan 2020 seperti yang telah di ilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu, sesebuah negara maju perlukan semangat wasatiyyah, pemimpin wasatiyyah dan penerapan nilai wasatiyyah serta pemikiran wasatiyyah.
 
Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah serta Kolumnis Akhbar Berita Harian, Juhaidi Yean Abdullah. - See more at: http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Program_Wasatiyyah_Bentuk_Pemimpin_Masa_Depan.html#sthash.cgHCTtnO.dpuf
Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah serta Kolumnis Akhbar Berita Harian, Juhaidi Yean Abdullah. - See more at: http://www.tv3.com.my/beritatv3/berita_terkini/Program_Wasatiyyah_Bentuk_Pemimpin_Masa_Depan.html#sthash.cgHCTtnO.dpuf




Jika amalan konsep wasatiyyah ini berjaya diserapkan, maka kita pasti dapat mengekalkan pentadbiran kepimpinan Islam sedia ada dan mampu bertahan lama dalam memperkasa kedaulatan Islam di negara kita.

Cara kepimpinan YAB Perdana Menteri, DS Najib yang ingin konsep 'wasatiyyah' dilaksanakan akan mampu membawa umat kepada gaya hidup yang lebih tinggi, berkualiti dan sempurna, justeru mengendurkan ketegangan dan prasangka antara kaum dan agama.

Konsep ‘wasatiyyah’ ini berpaksikan kepada roh dan semangat Perlembagaan Persekutuan yang mendokong Islam sebagai Agama Persekutuan dan menjamin hak-hak serta keistimewaan orang Melayu.


Monday, December 22, 2014

APAKAH PERS1M MEMBELA NILA SETITIK UNTUK ROSAKKAN SUSU SEBELANGA?

2 isu yang didakwa PERS1M agar SPAD disiasat SPRM.
  • 4 pemandu teksi yang telah disabitkan oleh Mahkamah atas kesalahan tidak mempunyai Kad Pemandu.
  • Acara "Charity Drive With The Stars" anjuran UBER dan Volkwagen.

Dakwaan PERTAMA PERS1M;

SPAD dikatakan zalim terhadap pemandu teksi kerana 4 pemandu teksi dikenakan hukuman yang sangat berat sehingga ada yang tidur dalam Penjara Sungai Buluh hanya kerana ketiadaan Kad Pemandu, malah ada juga yang terpaksa membayar denda sehingga RM8000 kerana tidak mahu masuk penjara di atas kesalahan Kad Pemandu tamat tempoh.

PERS1M juga mendakwa menerima beberapa kes penindasan syarikat terhadap pemandu teksi dan telah merujuk perkara tersebut kepada SPAD, namun mereka hanya bersikap mendiam diri dan melepas tangan.

Di dalam siaran media SPAD untuk memberi pencerahan, ini adalah jawapan SPAD;


Isu 4 pemandu teksi yang telah disabitkan hukuman penjara dan denda, pemandu-pemandu teksi ini telah diberi peringatan dan amaran yang sewajarnya tetapi mereka ENGGAN membayar kompaun yang pada asalnya dengan jumlah yang PALING MINIMA iaitu RM500. Mereka juga diberi tempoh purata di antara 454 hingga 653 hari untuk menjelaskan kompaun.

Setelah tempoh membayar kompaun tamat, kes-kes tersebut telah diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan mereka telah didakwa di Mahkamah.

Dua (2) daripada pemandu teksi tersebut telah dikenakan denda dan penjara selama sehari.

Dua (2) lagi pemandu diarah membayar denda atau masing-masing dikenakan hukuman penjara selama 2 dan 3 bulan tetapi mereka memilih untuk membayar denda yang dikenakan di bawah bidangkuasa Mahkamah.

Kepada PERS1M, SPAD ingin menjelaskan bahawa sungguhpun Kad Pemandu itu satu dokumen pengenalan yang ringkas, implikasinya besar terhadap keselamatan penumpang. Ini ternyata dengan kaitan kes-kes jenayah yang melibatkan teksi, dimana pemandu teksi tidak dapat dikenalpasti kerana ketiadaan Kad Pemandu ketika penumpang menaiki kenderaan.

Dakwaan KEDUA PERS1M;

Pihak SPAD tidak mensyaratkan pemandu yang memandu kenderaan UBER perlu memiliki Kad Pemandu seperti yang termaktub didalam Perkeliling Bil.4 2013.di dalam acara "Charity Drive With The Stars" anjuran UBER dan Volkwagen yang menampilkan hampir 52 Selebriti.

Jawapan SPAD :


Berkaitan dengan isu Uber yang dibangkitkan pula, S.P.A.D. dan JPJ membuat tindakan berterusan di bawah kesalahan perkhidmatan tanpa permit dibawah Seksyen 23 dan 64 Akta Pengangkutan Jalan, 1987 dan Seksyen 16, 36, 41 dan 80 dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat, 2010.

Pada September 2014, S.P.A.D. telah mengenalpasti lapan (8) syarikat yang menggunakan aplikasi Uber dengan pembabitan sejumlah 50 buah kenderaan, di mana 20 buah daripadanya tidak mempunyai permit yang sesuai. Disebabkan Uber adalah aplikasi baru di Malaysia, S.P.A.D. merasakan perlu dibuat penerangan kepada syarikat terbabit mengenai keperluan undang-undang dan syarat-syarat pengendali. Suruhanjaya telah memberikan peringatan agar pemandu berlesen PSV, insurans dan kenderaan berdaftar yang sesuai sahaja boleh digunakan oleh Uber.

Pada Oktober 2014, S.P.A.D. telah meneruskan operasi terhadap kenderaan Uber. Sehingga kini 13 kesalahan membabitkan Uber telah disiasat dan diambil tindakan dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat, 2010. Ini melibatkan 6 kes gagal kemukakan Lesen Pengendali, 6 kes beroperasi tidak mengikut kelas lesen dan satu perkhidmatan tanpa permit. Di dalam siasatan terdapat beberapa lagi kenderaan yang dikesan beroperasi tanpa permit. Operasi juga tidak terhad di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur dan Lembah Kelang sahaja.

Di sini Suruhanjaya ingin menegaskan bahawa sungguhpun aplikasi Uber itu tidak menyalahi undang-undang secara kasarnya, penggunaan kenderaan berlesen yang sesuai diperlukan dan syarat-syarat pengendali perlu dipatuhi.

Dengan jawapan S.P.A.D. yang jelas ke atas dakwaan PERS1M, mantra tidak pasti samada PERS1M benar-benar berfungsi untuk mentransformasi ahli-ahlinya yang terdiri daripada pemandu-pemandu teksi ke arah yang lebih baik ataupun sebaliknya?

Jelas sekali apabila PERS1M membela 4 pemandu teksi yang telah dikenakan hukuman denda dan penjara itu ibarat sedang membela nila setitik sehingga susu sebelanga mampu dirosakkan. Adalah tidak wajar menganggap pihak SPAD telah bertindak zalim kerana keempat-empat pemandu teksi itu telah diberi masa danpeluang secukupnya. Oleh kerana keengganan dan kedegilan mereka mematuhi undang-undang, mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman. Apakah di dalam perkara ini SPAD yang zalim atau pemandu-pemandu tersebut yang sengaja menzalimi diri mereka sendiri?

Blog ini telah pun menulis agar Uber mengutamakan undang-undang walaupun menganjur program amal ... DI SINI. Dengan ini, sekali lagi pihak SPAD tidak pernah berlaku sebarang kompromi dengan pihak Uber walaupun di dalam penganjuran program mereka.

Jika dakwa PERS1M bahawa SPAD tidak menjaga kepentingan pemandu-pemandu teksi hanya kerana membenarkan kewujudan Uber yang mampu memberipersaingan sengit kepada mereka, anggapan ini sangatlah SALAH dan pendapat yang sangat SEMPIT!

PERS1M seharusnya menganggap ia satu persaingan yang sihat dan memikirkan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan teksi di Malaysia. Namun tertanya-tanya juga, apakah yang telah PERS1M lakukan untuk perbaiki mutu perkhidmatan mereka apabila mendapat label perkhidmatan teksi yang terburuk di dunia?

Dengan penjelasan SPAD untuk mengutamakan keselamatan penumpang, apa pula langkah PERS1M bagi mengatasi masalah ini?

Janganlah sekadar tahu meminta itu dan ini dari kerajaan serta menuduh itu dan ini tetapi tidak pula menunjukkan sokongan apabila kerajaan berusaha menambahbaik mutu perkhidmatan dan tegas dengan undang-undang. PERS1M juga perlu adil kepada lebih ramai pemandu-pemandu teksi yang mematuhi undang-undang dan ikhlas mencari rezeki tanpa perlu menghasut dan mengadu domba.

Sekiranya SPAD perlu disiasat SPRM, mantra rasa Suruhanjaya ini tiada masalah kerana sepanjang pengetahuan mantra, SPAD adalah satu-satunya agensi kerajaan yang sangat responsive kepada sebarang isu dan dakwaan. Penguatkuasa SPAD pula terdiri daripada pegawai-pegawainya yang tegas dan sebarang bentuk rasuah tiada di dalam diari mereka.

Saturday, December 20, 2014

INSURANS MURID DAN BAS SEKOLAH... APA YANG IBUBAPA PERLU BERI PERHATIAN



3 perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh ibubapa sebelum menghantar anak-anak mereka menaiki bas sekolah pada tahun hadapan;
  1. Skim Insurans Murid Sekolah diteruskan pada 2015.
  2. Murid-murid dilindungi insurans HANYA dengan bas sekolah yang berdaftar.
  3. Bantuan khas disediakan kerajaan untuk bas-bas sekolah.
 
Di dalam Bajet 2013, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah memberi penekanan serius dan prihatin kerajaan terhadap murid-murid sekolah di dalam aspek keselamatan.

Di antaranya adalah;

Mengumumkan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang berlesen dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi Semenanjung Malaysia dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk Sabah & Sarawak.  
 
Kerajaan mengambil berat akan keselamatan anak-anak yang menaiki bas ke sekolah dan pemandu-pemandu bas berikutan kualiti segelintir bas sekolah yang kurang memuaskan. Keadaan ini disebabkan pengusaha bas sekolah tidak dapat menampung beban kos penyelenggaraan yang semakin meningkat sedangkan sebahagian besar bas yang dimiliki telah melebihi jangka hayat ekonomi. Untuk itu, Kerajaan mencadangkan pengusaha bas sekolah diberi pertamanya, pemberian rebat tunai 10 ribu ringgit dan subsidi kadar faedah 2 peratus ke atas pinjaman penuh untuk menggantikan bas sekolah lama berusia melebihi 25 tahun kepada bas baru yang berkapasiti 12 hingga 18 tempat duduk. Skim pinjaman ini diuruskan oleh BSN ditawarkan untuk tempoh permohonan 2 tahun bermula 1 Januari 2013.

Pada tahun ini, selepas deregulasi tambang bas sekolah diumumkan SPAD, yang akan bermula pada Januari 2015, ibubapa dan pengendali bas sekolah diberi kebebasan untuk menentukan tambang ... (selanjutnya DI SINI)

Sekali lagi, demi keselamatan murid-murid sekolah dan memastikan pengusah-pengusaha bas sekolah tidak menghadapi kesukaran memberi perkhidmatan terbaik, maka SPAD telah memaklumkan perkara-perkara yang perlu diberi perhatian terutama ibubapa.

Berikut adalah pengumuman media;


SKIM INSURANS MURID SEKOLAH DITERUSKAN

KUALA LUMPUR (19 Disember 2014) – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (‘S.P.A.D’ atau ‘Suruhanjaya’) ingin mengumumkan bahawa murid-murid sekolah yang menaiki bas sekolah berdaftar, akan terus menikmati perlindungan Skim Insurans Murid Sekolah pada 2015. Skim insurans ini telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa sesi pembentangan Bajet 2013 di mana kerajaan telah melantik S.P.A.D. sebagai agensi penyelaras skim ini.


Pihak kerajaan telah meluluskan penerusan perlaksanaan skim insurans ini berdasarkan kepada keperluan dan sambutan baik oleh ibubapa, pengurusan sekolah dan pengusaha bas sekolah. Skim insurans ini merupakan suatu langkah SPAD dalam mempertingkatkan perkhidmatan industri bas sekolah dan pada masa yang sama membantu murid-murid dan keluarga murid bagi menghadapi keadaan yang tidak diduga.


Untuk makluman juga, bantuan khas juga telah diberikan kepada pengusaha bas sekolah yang ingin menggantikan bas sekolah lama kepada bas baru melalui Skim Penggantian Bas Sekolah yang akan berakhir pada 31 Disember 2014. Sehingga kini sebanyak 200 pengendali bas sekolah telah berjaya mendapat bantuan tersebut.


S.P.A.D. juga ingin mengambil kesempatan ini, menjelang musim balik ke sekolah, untuk mengesyorkan agar ibubapa memilih pengendali bas sekolah yang berdaftar bagi keselamatan anak-anak. Suruhanjaya juga mengalakkan pengendali bas sekolah yang masih belum berdaftar dengan S.P.A.D., supaya tampil ke hadapan untuk mengesahkan perkhidmatan mereka dan dengan itu melayakkan mereka bagi Skim Insurans Murid Sekolah dan manafaat-manafaat lain.


Maklumat tambahan:

SKIM INSURANS MURID SEKOLAH

  • Skim Insurans Murid Sekolah memberi perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang berdaftar dengan S.P.A.D. bagi Semenanjung Malaysia dan LPKP bagi Sabah & Sarawak.
  • Inisiatif ini memberi manfaat kepada hampir 2 juta murid-murid sekolah dengan perlindungan maksimum sebanyak RM 100 ribu.
  • Antara bentuk perlindungan insurans yang diberikan adalah yang melibatkan kematian akibat kemalangan (RM100,000), hilang keupayaan kekal (sehingga RM100,000), bayaran perubatan sehingga RM3,000, manfaat hospital (RM100 sehari sehingga 30 hari) dan khairat kematian (RM2,500).
  • Skim perlindungan ini juga meliputi kegunaan bas sekolah untuk aktiviti-aktiviti luar seperti rombongan, lawatan sambil belajar dan sebarang kurikulum tambahan yang disahkan oleh pihak sekolah.
  • Sejak Januari 2013 hingga kini, 10 kes tuntutan telah direkodkan. Jumlah tuntutan adalah sebanyak RM 316,612.10. Skim ini telah membantu keluarga, waris dan murid-murid; seperti dalam kes Mohd. Sanusi Bin Ismail, murid SMK Seri Gadong. Bantuan telah diberikan bagi membolehkan pembedahan dilakukan untuk menyelamatkan kakinya yang tinggal.

SKIM PENGGANTIAN BAS SEKOLAH

  • Skim Penggantian Bas Sekolah adalah satu skim pinjaman dengan bantuan khas kepada pengusaha bas sekolah yang ingin menggantikan bas sekolah lama kepada bas baru.
  • Pihak kerajaan telah menyediakan bantuan rebet tunai sebanyak RM10,000 dan pemberian subsidi kepada kadar faedah tahunan sebanyak 2%.
  • Inisiatif yang diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional turut menawarkan pinjaman sehingga RM 150,000 dan tempoh pinjaman sehingga 9 tahun.
  • Sebanyak 220 permohonan telah diterima oleh BSN dengan 200 permohonan diluluskan, 20 ditolak (pemohon telah diisytiharkan bankrap).
  • Skim ini akan berakhir pada 31 Disember 2014 dan pihak BSN masih menerima permohonan yang dihantar sebelum 31 Disember 2014.