Tuesday, August 18, 2015

TIADA KENAIKAN GAJI PEKERJA LADANG FGV SEPERTI LAPORAN MAYBANK IB



Felda Global Ventures Bhd (FGV) menjelaskan bahawa ia tidak menaikkan gaji pekerja ladangnya sebagaimana terdapat dalam laporan Maybank InvestmentBank Research (Maybank IB) pada 12 Ogos lalu  bertajuk, Maybank IB Kekalkan Saranan 'Neutral' Ke Atas Sektor Perladangan.

Dalam kenyataan Maybank IB ada menyebut;
 
"Peneraju perladangan yang besar seperti Felda Global Ventures Holdings Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd, antara lain, telah bersetuju untuk menaikkan gaji pekerja ladang mereka (termasuk pekerja kilang minyak sawit dan pekerja am yang lain) sebanyak 8-10 mulai 1 April 2015." dan "Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) telah mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor perladangan Malaysia berikutan keputusan Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA) yang dibuat semalam untuk menaikkan gaji sebanyak 8-10 peratus berkuatkuasa 1 April 2015.

Walaubagaimanapun dalam kenyataan balas pihak FGV mengulangi bahawa dasar buruhnya berpandukan kepada Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu (Mapa), yang menyediakan standard industri mengenai gaji minimum, dan dikawal selia oleh Kementerian Sumber Manusia.

Tiada kenaikan gaji sebanyak 8-10 peratus untuk pekerja ladang FGV termasuklah pekerja kilang minyak sawit mahupun pekerja am yang lain yang berkuatkuasa 1 April 2015 seperti cadangan laporan.

FGV sedang dalam kajian pelarasan gaji dan sebagai entiti senaraian awam, sebarang perubahan dalam dasar buruh FGV memerlukan kelulusan daripada lembaga pengarah.

Di dalam senario harga minyak sawit mentah yang sangat rendah, sememangnya kenaikan gaji ketika ini mampu memberi kesan penurunan keuntungan apabila tidak diimbangi dengan pertambahan produktiviti.

Maka adalah tidak munasabah sekiranya FGV ingin mengambil risiko penurunan keuntungan syarikat dan pihak Maybank IB perlu lebih bertanggungjawab mendapatkan pengesahan maklumat sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia mampu memberi persepsi negatif seandainya FGV didapati tidak menaikkan gaji pekerja seperti laporan mereka.

FGV juga sedang berhadapan persepsi negatif seperti dilaporkan WSJ apabila portal berita ini hanya menyiarkan sebahagian kecil dari jawapan penuh FGV.

Di antara jawapan penuh FGV kepada WSJ adalah;
Ketika ini FGV menggaji kira-kira 33,720 pekerja asing (kira-kira 85 peratus daripada tenaga kerja kami) secara sah dan mematuhi sepenuhnya syarat-syarat peraturan.

Mengenai kebimbangan gaji minimum, FGV berkata dasar buruhnya berpandukan kepada Persatuan Pengeluar Pertanian Malaysia yang menyediakan standard industri bagi gaji minimum dan dikawal selia oleh Kementerian Sumber Manusia.

Bagaimanapun, pekerja perlu memenuhi minimum 26 hari bekerja seperti yang digariskan oleh peraturan bagi menerima gaji minimum.

Selain daripada itu, semua pekerja asing diberikan hak dan keistimewaan yang sama seperti rakyat Malaysia, dengan dasar buruh standard kami yang berasaskan kepada peraturan buruh Malaysia, serta Deklarasi Organisasi Buruh Antarabangsa bagi Prinsip Asas dan Hak di Tempat Kerja. 

Semua perkara berkaitan dengan penggajian Pekerja Asing diuruskan oleh Jabatan Tenaga Kerja FGV di bawah Kluster Huluan Sawit.

DATUK WEE : KEJATUHAN RINGGIT PERLU DIAMBIL KESEMPATAN UNTUK TINGKATKAN EKSPORT


Adalah menjadi satu putaran dalam dunia perniagaan di mana kita akan saksikan jatuh bangunnya serta suasana baik dan sukar, maka senario ekonomi negara kini bukanlah satu krisis tetapi ia hanyalah satu putaran ekonomi global.

Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997-98 adalah berbeza dengan situasi kejatuahun ringgit hari ini di mana ringgit jatuh sehingga paras  RM5 berbanding USD dan ini telah mengakibatkan keseluruhan sektor ekonomi mengalami kerugian.

Dalam menghadapi cabaran ekonomi khususnya kejatuhan nilai ringgit berbanding US Dollar, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab portfolio Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Datuk Ir Wee Ka Siong telah menyarankan sektor awam dan swasta mengutamakan barangan buatan Malaysia dan menukar corak perniagaan yang berorientasikan eksport.

Langkah ini mampu mendorong aktiviti ekonomi yang menguntungkan Malaysia kerana aliran wang tunai hanya berlaku dalam negara ini dan tidak mengalir ke negara asing dan kerajaan sedang menggalakkan pengeluar barangan tempatan yang berkualiti dan berupaya untuk dieksport.

Perniagaan yang berorientasikan eksport dan menggunakan bahan mentah tempatan dalam pengeluaran produk yang akan mengaut keuntungan berbanding perniagaan berorientasikan import. Contohnya perniagaan pengeluaran yang berasaskan getah seperti pembuatan sarung tangan, mereka tidak terkesan dengan kejatuhan ringgit kerana bahan mentah boleh diperolehi di negara kita sendiri.

Bagi menggiatkan aktiviti eksport, kerajaan telah pun menubuhkan Majlis Eksport Malaysia Negara sejak tahun lepas dengan sasaran dari 19 peratus kepada 25 peratus menjelang 2020. Oleh itu, Datuk Wee menjelaskan dengan penubuhan  Majlis Eksport Malaysia Negara tersebut, maka kerajaan bersedia membantu usahawan PKS dari segi dana untuk mengembangkan pasaran eksport mereka.

Pada masa yang sama, industri pelancongan juga mampu meningkatkan pengaliran Ringgit ke dalam negara. Dalam usaha ini, kerajaan telah melanjutkan visa percuma dari 15 hari ke 30 hari bagi pelancung-pelancung dari negara Taiwan. Ini bukan sahaja bagus untuk meningkat ekonomi negara tetapi hubungan diplomatik antara dua negara juga mampu diperluaskan dan dieratkan.

Cadangan untuk melanjutkan tempoh visa percuma ini telah disuarakan oleh  Duta Malaysia ke China Datuk Seri Tiong King Sing. Seramai 274,000 pelancong dari Taiwan telah mengunjungi Malaysia pada tahun lalu.

Nampaknya walaupun baru sebulan Datuk Wee menjalani pembedahan dan kelihatan agak susut, namun demi rasa penuh tanggungjawabnya meneraju PKS, beliau tidak henti-henti menjelajah ke seluruh tanahair untuk menjelas keadaan ekonomi hari ini dan seterusnya memberi cadangan dan galakan kepada komuniti peniaga agar mereka tidak panik dan mengetahui bahawa kerajaan sentiasa membantu.

Monday, August 10, 2015

PERSENDAKAN MH370 DAN CHARLIE HEBDO ULANGI SEKALI LAGI


Majalah jenaka Charlie Hebdo sekali lagi dikritik apabila baru-baru ini mereka mempersendakn mangsa MH370 dengan memaparkan di kulit majalah yang bertajuk 'Malaysia Airlines: Hope'. Lukisan sepasang tangan yang dikerat kelihatan terdampar di sebuah pulau sedang meraba-raba serpihan sepasang buah dada wanita manakala dua kartun di latar belakang seolah-olah gembira seolah-olah menyambut kemunculannya.

Lukisan kartun ini adalah untuk mengejek ke atas penemuan yang disyaki sebagai bangkai pesawat di Pulau Perancis Reunion, di Lautan Hindi, minggu lepas.

Pengerusi Biro Publisiti MCA Datuk Chai Kim Sen mempersoalkan perasaan dan etika penerbitan majalah ini yang sepatutnya menunjukkan perasaan simpati dan belas kasihan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terdiri daripada 239 penumpang dan anak kapal MAS, dan tidak menganggap ia sama seperti sindiran yang selalu mereka lakukan.

Chai menyarankan penyokong yang berteriak "Je Suis Charlie Hebdo" yang membawa makna "Saya Charlie Hebdo' turut sama menyertai slogan ""Je Suis MH370 " disamping menggesa pihak berkuasa serta organisasi media di seluruh dunia untuk mengecam majalah tersebut apabila mereka menghina krew dan penumpang MH370.

Ibu pejabat penerbitan Charlie Hebdo di Paris sememangnya terkenal kerana menimbulkan kontroversi dengan lukisan kartun yang sering menimbulkan kemarahan. Pada bulan Januari tahun ini, mereka telah berhadapan dengan serangan maut di mana berpuluh-puluh termasuk ketua editor Stephane Charbonnier terbunuh berikutan karikatur Nabi Mohamad.

Lukisan kartun yang mengejek mangsa MH370 ini telah mencetuskan reaksi marah di kalangan pelayar Twitter yang antara lain menanggapnya sebagai biadap bukan sahaja kepada mangsa tetapi satu penghinaan terhadap profesion juruterbang. Terdapat juga yang menganggap lukisan di kulit majalah ini sebagai kejam dan ada yang menganggap cover majalah baru-baru ini sebagai kejam dan "biadap seperti biasa".

Penemuan flaperon  baru-baru ini yang terdapat di Pulau Reunion di Lautan Hindi telah disahkan oleh pakar-pakar antarabangsa bahawa Boeing 777 adalah kapalterbang MH370 milik MAS, telah hilang dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac tahun lalu.


Sunday, August 09, 2015

JOSHUA PARFITT DINOBAT PEMIDATO TERBAIK PABM 2015

Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2015 telah ke kemuncaknya dengan menobatkan pidato dari United Kingdom Joshua Parfitt sebagai juara; 


 
 

Joshua juga menjuarai kategori antarabangsa dan Emma Cecilia Roberts dari Australia pula muncul naib johan sementara Wyatt Evan Gordon dari Amerika Syarikat di tempat ketiga.

Johan bagi setiap kategori menerima hadiah wang tunai AS$7,000 (RM27,500), Piala Perdana Menteri, piala iringan, hadiah sampingan dan sijil manakala naib johan membawa pulang hadiah wang tunai AS$5,000 (RM19,600). Pemenang tempat ketiga pula membawa pulang AS$3,000 (RM11,700).

Hadiah disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dengan diiringi timbalannya, Datuk Mary Yap Kain Ching.

Sementara itu, Mohd. Akmal Aizat Umar dari Malaysia muncul juara dalam kategori Alam Melayu menumpaskan rakan senegara, Then Siaw Lian (naib johan) dan Awabeen Samsuding dari Thailand (tempat ketiga).

Dalam kategori pelajar asing Malaysia pula, Mahmoud Abdel Fattah Ibrahim Essa dari Mesir muncul juara, Waleed Basil Mohammed Ali dari Iraq (naib johan) dan Maher G.M. Abdolrasol dari Libya (tempat ketiga).

SPRM BUKAN MUSUH POLIS - KETUA POLIS NEGARA


Sepanjang minggu lepas, betapa kecohnya apabila dua pegawai kanan SPRM, Pengarah Operasi Khas Bahri Mohd Zin dan Pengarah Strategik Komunikasi Rohaizad Yaakob dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri dengan serta merta dan seterusnya pelbagai kenyataan yang terkeluar dari pelbagai pihak.

Ia seolah-olah kedua-dua pegawai kanan ini telah dianiaya pihak polis kerana siasatan pertuduhan kebocoran maklumat yang telah diterbitkan portal Sarawak Report.

Perselisihan faham antara Polis dan SPRM telah dijadikan isu oleh pihak umum dan politik yang telah menimbulkan pelbagai andaian dan persepsi. Untuk mengelakkan salah faham yang berterusan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengumumkan bahawa siasatan akan ditangguhkan buat sementara waktu sehingga diberitahu kelak.

Dalam memerangi rasuah, Tan Sri Khalid juga telah menyatakan dengan jelas bahawa ia sentiasa menjadi tanggungjawab PDRM untuk menyokong dan bukan menjadikan SPRM sebagai musuh.

Tindakan terhadap pengarah SPRM dan dua pegawai kanan itu diambil kerana terdapat keperluan untuk mencari bagaimana salinan kertas pertuduhan boleh disiarkan ke portal Sarawak Report. Malah, saksi dari Bank Negara dan bank-bank komersial yang lain juga telah diminta untuk hadir semasa proses penyiasatan.

Polis bertindak di atas arahan Peguam Negara di mana tumpuan diberikan kepada maklumat yang diterbitkan dalam Sarawak Report serta maklumat perbankan. TS Khalid juga telah menelefon Tan Sri Abu Kassim, Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk menerangkan matlamat tindakan polis yang bukan untuk menyiasat mahupun mensasarkan SPRM.

Pihak polis telah menerima aduan dari individu dan ia adalah sesuatu yang sangat serius di mana siasatan polis tidak boleh memilih dan berpihak. Pihak polis bertanggungjawab sempurnakan siasatan dan hantar laporan ke pihak Peguam Negara untuk dibuat keputusan.

Sebagai tunggak untuk mengekalkan kestabilan dan keharmonian negara, Tan Sri Khalid mengingatkan bahawa sesiapa juga yang dilantik sebagai Perdana Menteri yang sah, polis akan sentiasa menyokong dasar dan setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Mereka tidak mudah lemah dan dipermainkan hanya dengan sebaran khabar angin dan maklumat yang tidak tepat melalui media sosial tetapi mempertahankan kepimpinan kerajaan sekarang kerana ia dipilih dalam sistem demokrasi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihak polis mengambil tindakan di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 (BAFIA) dan mencari dalang di belakang kebocoran maklumat ini. Oleh itu, ia tidak pernah dikaitkan untuk campur tangan dalam siasatan SPRM.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Dalam Negeri pula menegaskan bahawa polis tidak mensasarkan SPRM tetapi menyiasat kebocoran dalam siasatan 1MDB dan semuanya dilakukan mengikut prosedur.