Wednesday, April 27, 2016

80% KECEWA DENGAN PERKHIDMATAN TEKSI, S.P.A.D DIPERSALAHKAN?


Apabila diumumkan kajian selidik yang dilakukan oleh pihak S.P.A.D melalui talian yang menunjukkan 80 peratus respond untuk memilih perkhidmatan Uber dan GrabCar berbanding teksi, ia bukan sesuatu yang memeranjatkan malahan telah dijangkakan. Tetapi bagi pihak Shamsubahrin Ismail yang juga pemilik KLCC Big Blue Taxi Services dengan mudah menuding jari kepada Tan Sri Syed Hamid, Pengerusi S.P.A.D.

Malahan, beliau tidak mempercayai kajian selidik itu dan menuduh pihak SPAD menipu pula. TS Syed Hamid diselar Shamsubaharin apabila pada awalnya memberi amaran kepada kerajaan tentang bahaya mengguna perkhidmatan Uber dan GrabCar tetapi sekarang seolah-olah memberi sokongan. Pada pandangan beliau seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Apa yang tidak kena sebenarnya bukan pihak Tan Sri Syed Hamid, mahupun kerajaan ataupun SPAD mahupun perkhidmatan Uber dan GrabCar tetapi di pihak pengendali dan pemandu teksi itu sendiri. Jika benar kaji selidik yang dilakukan SPAD adalah tidak benar, mengapa persatuan-persatuan teksi atau pemilik syarikat teksi itu tidak berani melakukan kajian selidik mereka sendiri?

Jika Shamsubahrin membaca kenyataan akhbar dari Utusan Malaysia semalam, jelas yang pihak SPAD masih mencari jalan penyelesaiannya dan ini juga melibatkan SKMM kerana perkhidmatan Uber dan GrabCar melibatkan perkhidmatan aplikasi di atas talian.

Kegagalan pemain industri teksi seperti Shamsubahrin ini apabila cuba menafikan hakikat yang pengguna perkhidmatan Uber dan GrabCar telah beralih arah kerana sikap mereka yang tidak mahu berubah. Tan Sri Syed Hamid di dalam ucap utamanya di dalam program anjuran Institut Pengangkutan Malaysia (Mitrans) telah memberi pandangan yang rasional dan agak lembut dengan alasan ia lebih mudah dan cepat.

Tetapi rata-rata respon yang diterima dari pengguna Uber dan GrabCar adalah kerana mereka sentiasa mengalami keadaan di mana mereka tidak diterima dan pemandu-pemandu teksi sentiasa menolak permintaan untuk ke destinasi mereka. Oleh kerana mereka mempunyai pilihan yang lebih baik seperti Uber dan GrabCar, maka apa perlu lagi perkhidmatan teksi.

Malahan Tan Sri Syed Hamid secara terang juga ingin memastikan industri teksi tidak akan lenyap dari sistem pengangkutan awam di negara ini. Bukankah jelas yang S.P.A.D. dan kerajaan masih ingin industri teksi terus dimajukan? Hanya segelintir saja yang terkesan dengan kaji selidik S.P.A.D. tetapi ramai lagi terutama yang telah memperbaiki sikap dan keadaan teksi mereka masih digemari penumpang mereka.

Janganlah asyik salahkan pihak lain jika diri sendiri malas untuk berusaha berubah. Yang menentukan pendapatan pemandu-pemandu teksi adalah penumpang kamu. Jika mereka tidak diberi layanan yang baik, apakah mereka akan terus mengguna perkhidmatan teksi? Dengan perangai yang gemar berkelahi dengan penumpang, memilih penumpang dan kerap melanggar undang-undang, maka 80% penumpang telah beralih ke perkhidmatan Uber dan
GrabCar!

Monday, April 25, 2016

DATUK WEE : DEBAT DIBATAL, GUAN ENG TAK PERLU MENDABIK DADA


Debat yang sepatutnya diadakan di antara Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Lim Guan Eng telah ditangguhkan dan ia adalah di atas arahan SPRM dan juga PDRM yang sedang menjalankan siasatan ke atas skandal yang berlaku di dalam kerajaan DAP Pulau Pinang.

Guan Eng dan DAP seperti biasa akan seperti biasa dengan angkuhnya menganggap ia sebagai satu kemenangan walaupun dengan jelas SPRM dan PDRM menjelaskan yang sesi debat tersebut mampu mengganggu proses siasatan dan seterusnya mungki menimbulkan konflik.

Bagi pihak Datuk Wee, Guan Eng tidak perlu mendabik dada dan fikir ia satu kemenangan kerana akhirnya Lim terpaksa berhadapan dengan realiti untuk bertanggungjawab kepada rakyat dan juga pihak berkuasa. 


Sebagai seorang Ahli Parlimen dan juga kakitangan awam, Guan Eng seharusnya sangat maklum dan faham bidang tugas SPRM dan PDRM serta proses siasatan yang sedang berlangsung di mana melibatkan beliau dan bukan bermain politik dengan isu debat ini. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid juga telah meminta supaya Datuk Rahman menyerahkan sebarang bukti kepada pihak polis atau SPRM secepat mungkin untuk disiasat.

Datuk Wee berpandangan yang apabila pihak Datuk Rahman Dahlan bersetuju akur untuk mematuhi arahan SPRM dan PDRM, ini bukan bermakna beliau lari atau takut untuk meneruskan debat, malahan Datuk Rahman telah bersedia terdahulu kemukakan 15 soalan untuk Guan Eng menjawab.



Tanpa disedari, sebenarnya jika debat ini diteruskan juga Datuk Rahman tidak akan rugi apa-apa malahan Guan Eng yang akan menjadi malu apabila segala kesilapan dan kesalahan sendiri akan terbongkar.

Sebagai rakyat, bukan debat yang kita inginkan tetapi kebenaran yang diutamakan. Adalah lebih baik jika mana-mana pihak yang mempunyai sebarang bukti diserahkan kepada pihak berkuasa dan biarkan undang-undang yang menentukan dan bukan persepsi daripada debat yang menjadi hakimnya.

Untuk Guan Eng, fokus untuk menjawab kepada SPRM dan PDRM adalah lebih baik dan hentikan bermain persepsi kerana apa juga alasan penangguhan debat ini, janganlah cuba untuk mengganggu proses siasatan dan dakwaan ini nanti.

Sunday, April 24, 2016

#MCDONALD'S - DENGAN KALIMAH ALLAH, AYAM DISEMBELIH

Seperti yang dijanjikan, kami akan berkongsi maklumat mengenai beberapa soalan berbangkit yang dikemukakan blogger semasa lawatan ini dan di antaranya penglibatan pihak JAKIM serta JAIPerak di kilang Dindings Poultry Processing Sdn Bhd (DPP) iaitu pembekal daging ayam untuk McDonald's Malaysia.

Terdapat 15 orang menduduki kerusi Jawatankuasa Halal di DPP yang diketuai oleh Dato' Dr. Kardin Syukor selaku Pengerusi dan DPP adalah pilihan teratas di dalam senarai pengeluar dan pengedar makanan halal JAKIM mahupun JAIPerak.

JAKIM dan pihak JAIPerak telah meletakkan garis panduan penyembelihan ayam maka dengan kalimah Allah sambil mengadap kiblat adalah aspek utamanya. Selain itu, pihak DPP tidak akan menyembelih ayam-ayam yang telah pun mati.

Amalan syariah ini telah dikuatkuasakan sejak DPP dilantik sebagai pembekal daging mentah ayam kepada McDonald's dan setiap panduan yang telah ditetapkan JAKIM telah pun sempurnakan ketika proses penyembelihan termasuk juga dibuat penelitian dan pemantauan oleh jabatan tersebut. Pihak JAKIM melalui JAIPerak juga akan membuat pemantauan mengejut ke kilang DPP di mana operasi tanpa notis setiap 3 bulan untuk memastikan garis panduan syariah dipatuhi pada setiap masa.

Di samping itu, tugas jawatankuasa halal di DPP termasuklah memastikan polisi halal dipraktikkan dengan betul di kesemua jabatan dan juga memberi penerangan kepada setiap kekeliruan yang timbul. 


Ayam yang disembelih juga bertepatan dengan garis panduan MS1500:2009 - Makanan Halal dan ini menjadikan DPP sebagai sebuah syarikat yang mematuhi keperluan yang ditetapkan dalam standard pengeluaran, penyediaan, pengendalian dan penyimpanan makanan halal serta pemeriksaan tapak oleh pihak berkuasa.

DPP juga telah memperkenalkan slogan ''Halalan Toyyiban Teras kepada Pembangunan Ummah' di mana ia bukan sahaja menitikberat soal halal tetapi mementingkan aspek kebersihan serta pengeluaran produk berkualiti dan selamat. Justeru itu, DPP yang telah memulakan operasinya sejak 30 tahun lalu telah diiktiraf sebagai kilang yang berkualiti tinggi yang patuh syariah.

Selain daripada diperakui oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), DPP yang juga merupakan syarikat dibawah kumpulan Malayan Flour Mills Berhad turut diiktiraf mengikut piawaian antaranya daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP), ISO 9001:2008 (Sistem Pengurusan Kualiti), ISO 22000:2005 (Sistem Pengurusan Keselamatan Makanan) dan Amalan Pengilangan Baik (Good Manufacturing Practices - GMP).

Piawaian ini bukan saja dipatuhi kilang DPP yang menjalankan proses penyembelihan dan pembersihan, ia juga dipatuhi kilang ternakan yang dikendali oleh Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (DPDC) dan kedua-dua kilang ini adalah syarikat kumpulan Malayan Flour Mills Berhad (MFM).

Di dalam berhadapan dengan cabaran cuaca panas El Nino, ayam ternakan di reban DPDC tidak sedikit terkesan pun kerana dilengkapi dengan teknologi-teknologi canggih seperti kipas bagi memastikan suhu dalam reban kekal sejuk mengikut keperluan dan persekitarannya bukanlah seperti reban yang biasa kita lihat.

Seandainya terdapat wabak penyakit atau permasalahan yang melanda ayam ternakan ini, maka pihak syarikat akan mengambil langkah yang mengutamakan keselamtan pelanggan dan mengurangkan risiko kerugian di mana kesemua ayam yang terkesan akan dihapuskan serta-merta walaupun mampu diubati.

Walaubagaimanapun, pihak MFM tidak mahu mengambil risiko kerugian dan oleh kerana itu ciri-ciri keselamatan dan kebersihan sangat-sangat diutamakan tanpa sebarang kompromi. Dengan pengawasan yang begitu ketat serta komitmen DPP untuk mematuhi setiap syarat yang dikenakan, maka tidak hairanlah mengapa syarikat ini menjadi pilihan dan diyakini pihak McDonald's Malaysia sebagai pembekal daging ayam.


Saturday, April 23, 2016

PERJALANAN LEBIH JAUH DENGAN SAMBUNGAN LRT KELANA JAYA YANG BERMULA AKHIR JUN


Setelah kesemua persiapan berjalan lancar kini laluan sambungan LRT Kelana Jaya yang ditunggu-tunggu akan beroperasi sepenuhnya pada akhir bulan Jun nanti. Apa relevannya kepada warga kota?

Penyambungan laluan LRT Kelana Jaya (seperti rajah di atas), bermula dari stesen Kelana Jaya dan melalui 12 stesen baru termasuk Ara Damansara, Subang Jaya dan USJ sebelum berakhir di Putra Heights yang menjadi stesen sambungan ke laluan Ampang. LRT Kelana Jaya juga akan melalui stesen Lembah Subang, Ara Damansara, Glenmarie, Subang Jaya, SS 15, SS 18, USJ 7, Taipan, Wawasan, USJ 21 dan Alam Megah.

Yang penting, laluan sambungan Kelana Jaya ini menghubungi stesen Komuter KTM Subang Jaya dan laluan BRT (Bus Rapid Transit – Laluan Sunway) di stesen USJ7 agar perjalanan lebih lancar.

Apabila laluan LRT Kelana Jaya diperluaskan, maka perjalanan penduduk dari sekita Kelana Jaya akan bertambah mudah untuk pergi sehingga Petaling Jaya, Bangsar, Gombak, Taman Melati, Setiawangsa dan sekitar kawasan pusat perniagaan di Kuala Lumpur.

Sementara itu, LRT Ampang telahpun memulakan fasa pertama perkhidmatan dengan pembukaan empat stesen dan fasa kedua dan baki stesen telah pun dibuka pada 31 Mac lalu.

Dengan usaha kerajaan dalam mentransformasikan Lembah Klang sebagai sebuah bandar pilihan dunia untuk didiami, melalui "Greater Kuala Lumpur dan Perancangan Lembah Klang", projek ini bakal meningkatkan kemudahan jarak perjalanan bagi perkhidmatan pengangkutan awam darat.

Justeru tahap keselesaan serta keselamatan yang tinggi kepada pengguna telah diberi perhatian utama apabila tren generasi baharu yang lebih aerodinamik diperkenalkan telah ditempah daripada Bombardier Transportation dari Kanada.

Ciri-ciri seperti saiz yang lebih luas untuk keselesaan dan meningkatkan kapasiti penumpang, aspek keselamatan serta sistem maklumat penumpang elektronik diutamakan dan tren ini dilengkapi sistem pelincir roda untuk mengurangkan kesan bunyi.

Sebelum ini, pihak syarikat operasi telah menjalankan latihan ERP (Emergency Response Plan) atau Plan Tindakan Kecemasan bersama-sama S.P.A.D (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) sebagai satu syarat wajib di stesen Subang Alam sebelum dibenarkan untuk beroperasi. Latihan ini meliputi ujian kesediaan pasukan operasi dan kesediaan sistem serta kemudahannya.


Ambillah peluang ini untuk menikmati kelancaran perjalanan kita dengan pengangkutan awam yang mampu menjimatkan perbelanjaan serta masa dan kita tidak lagi perlu berasa stress setiap kali ingin ke bandaraya atau ke destinasi yang jauh di mana kesesakan lalulintas tidak akan mampu dielakkan.

Wednesday, April 20, 2016

PENDIDIKAN SEKOLAH ECAH - PELAJAR DIGILIS LORI, DITANGGUNG MCDONALD'S MALAYSIA


Cemuhan, fitnah yang dilempar serta kritikan dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap McDonald's Malaysia sekali-kali tidak akan menghalang dan membantutkan usaha kebajikan syarikat makanan segera ini. Malahan bantuan seperti pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar miskin yang layak sentiasa diteruskan dan pencarian pelajar ini dilakukan di setiap negeri di seluruh Malaysia pada setiap tahun.

Di bawah Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia atau Ronald McDonald House Charities Malaysia (RMHC Malaysia) yang dahulu dikenali sebagai Tabung Kebajikan Ronald McDonald Untuk Kanak-kanak Malaysia (RMCC), ia adalah sebuah badan kebajikan berdaftar dan NGO yang telah ditubuhkan pada 15 Februari 1990 bermatlamat untuk membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik daripada aspek pendidikan, kesihatan dan sosial.

Ecah atau nama sebenarnya Siti Nuraisyah Syahrin telah mendapat perhatian McDonald's Malaysia untuk dijadikan anak angkat mereka. Tragedi malang yang dialami Ecah apabila kakinya putus digilis lori pasir pada awal tahun ini telah diberi tawaran biasiswa berjumlah RM5,000 untuk membiayai pembelajarannya dari tingkatan satu hingga tingkatan lima.

Pelajar ini yang baru berusia 13 tahun telah hilang keupayaan apabila kedua-dua kakinya hilang telah diberi sinar harapan dan suntikan semangat dari RMHC turut menyumbang wang tunai berjumlah RM2,000, buku-buku sekolah bernilai RM300 serta baucar tunai McDonald's bernilai RM400 selama setahun.

Kepulangan Ecah ke Sabak Bernam telah diraikan McDonald's bersama-sama rakan-rakannya, ahli keluarga, guru dan kakitangan McDonald's Sungai Besar dan ia adalah sebahagain daripada tanggungjawab sosial syarikat. Ecah juga telah menerima buku-buku rujukan dan baucar tunai sumbangan McDonald's manakala wang tunai akan dimasukkan ke dalam bank Ecah.

Ecah hanyalah salah seorang daripada beribu-ribu kanak-kanak yang telah mendapat perhatian berterusan McDonald's. Adalah tidak adil sekiranya ada yang mengatakan McDonald's sekadar membuat keuntungan untuk perniagaan tanpa memberi perhatian kepada tanggungjawab sosial.

Di dalam pelbagai inisiatif, RMHC bermatlamat untuk mengukuhkan komitmen McDonald's membantu masyarakat dengan meningkatkan kualiti hidup kanak-kanak kurang bernasib baik.

Sejak 1990, sebanyak RM11 juta telah disalurkan untuk membantu kanak-kanak dari segi kesihatan, pendidikan dan kebajikan. Di antara inisiatif ini termasuklah Rumah Ronald McDonald di Pusat Perubatan UKM untuk kemudahan penginapan kepada pesakit pediatrik dan ahli keluarga mereka di mana lebih dari 600 keluarga telah menginap di sini dan RMHC telah membelanjakan sebanyak RM4.5 juta bagi menampung program ini.

Selain dari itu, RMHC telah membina Bilik Sensori Ronald McDonald dan lebih 5,000 kanak-kanak menggunakan kemudahan yang disediakan di 20 buah bilik di seluruh Malaysia yang membantu perkembangan kanak-kanak istimewa dengan menggunakan peralatan multi deria khas.

Program Ronald McDonald 'Gift of Smile' yang pernah dilancarkan pula adalah untuk mengembalikan senyuman kanak-kanak yang dilahirkan sumbing bibir dan lelangit dan akibatnya mereka mengalami masalah pertuturan serta kesan-kesan psikologi. RMHC Malaysia akan membiayai sepenuhnya kos pembedahan dan pembetulan kanak-kanak ini dan bantuan ini tertumpu kepada golongan keluarga yang berpendapatan rendah.

Sejak program ini mula diperkenalkan pada 2004, lebih daripada 350 kanak-kanak telah menjalani pembedahan yang telah menelan belanja sebanyak RM3 juta.

Bagi program biasiswa Ronald McDonald yang dijalankan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia pula, ia adalah bantuan kewangan bagi pelajar cemerlang dari golongan keluarga berpendapatan rendah. Sehingga kini, lebih dari 500 pelajar telah mendapat manfaat dan bantuan yang diberikan berbentuk elaun untuk makanan, di samping sejumlah wang tambahan pada awal tahun untuk bayaran pengangkutan, pakaian seragam dan yuran sekolah.

Diharap rakyat Malaysia akan terus menyokong dan prihatin bersama-sama inisiatif McDonald's Malaysia dalam membantu lebih ramai kanak-kanak dan keluarga yang memerlukan yang pastinya mampu mengurangkan beban mereka dan jangan pula ada yang cuba menghalang usaha murni ini.