Showing posts with label PRK Sg Besar. Show all posts
Showing posts with label PRK Sg Besar. Show all posts

Wednesday, June 22, 2016

DATUK WEE : SUNTIKAN SEMANGAT UNTUK MCA BERHADAPAN PRU14

Bermula dengan kejayaan besar BN di pilihanraya negeri Sarawak serta pilihanraya berkembar Sg Besar dan Kuala Kangsar memberi suntikan semangat kepada Barisan Nasional khususnya MCA untuk persediaan yang lebih konstruktif berhadapan ujian yang lebih besar iaitu PRU 14 nanti. Di dalam meraikan kesemua kejayaan berturut-turut ini, Datuk Wee Ka Siong selaku pemimpin nombor dua MCA, beliau mengingatkan agar kejayaan ini dijadikan panduan persediaan dan tidak lekas berpuas hati.

Malahan perkhidmatan untuk masyarakat Cina khususnya perlu ditingkatkan. Pendekatan yang dibawa MCA iaitu berhemah dan merendah diri ketika bertemu pengundi adalah pendekatan kempen yang menyebabkan pengundi Cina meyakini BN dan memberi undi mereka kepada parti ini.

MCA berikrar untuk bekerja lebih keras dan memastikan parti mereka terus dan lebih giat berbakti kepada masyarakat Cina. Justeru, Datuk Wee menekankan akan menumpu kempen MCA kepada lebih berkhidmat daripada lebih bercakap. Ini adalah kehendak pengundi kerana isu utama rakyat adalah isu untuk meneruskan kehidupan yang lebih baik dan terjamin.

Justeru, masyarakat Cina perlu diyakinkan bahawa hanya dengan mempunyai wakil mereka di dalam kerajaan maka segala bentuk pembangunan akan dapat dilaksanakan. Ini memandangkan, aspirasi Barisan Nasional yang diterajui PM Najib Razak akan meneruskan tema 'Rakyat didahulukan'. MCA yang mewakili masyarakat Cina di dalam kerajaan, satu-satunya parti politik yang membawa suara dan hasrat mereka.

Kesatuan yang ditunjukkan di antara parti-parti komponen di dalam BN, telah membuktikan ia utuh dan erat serta bersatu. Inilah yang gagal dilakukan pakatan pembangkang samada yang Pakatan Rakyat mahupun Pakatan Harapan. Perebutan kuasa dan pertelingkahan yang tiada kesudahannya di antara parti-parti pembangkang jelas menunjukkan mereka tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat tetapi sekadar menjadikan undi rakyat sebagai barangan untuk mereka berebut kuasa sesama sendiri.

Walaupun baru kembali setelah menjalani rawatan di luar negara, Datuk Wee tidak melepaskan peluang untuk berkongsi kejayaan MCA di dalam kempen mereka di PRK Sg Besar dan juga Kuala Kangsar. Pada masa yang sama, Datuk Wee yakin, jika MCA terus mengambil berat dan menyelesaikan masalah utama rakyat iaitu keperluan seharian mereka, maka pengundi Cina tidak akan melihat parti-parti pembangkang lagi yang hanya mampu berpolitik sahaja tetapi gagal menyelesaikan masalah mereka.

Oleh itu, Datuk Wee yakin dengan plan transformasi MCA yang kini telah memberi kesan positif. Maka, kejayaan demi kejayaan ini mampu memberi suntikan semangat untuk MCA berhadapan dengan PRU14 akan datang - 'STRONGER TOGETHER'
 

Sunday, June 19, 2016

#PRK SG BESAR : PLAN TRANSFORMASI MCA BERJAYA PIKAT PENGUNDI CINA DI SEKINCHAN


Tumpuan ketika berlangsungnya pilihanraya kecil di Sungai Besar adalah di DUN Sekinchan di mana menguji keberkesanan kempen MCA di kalangan pengundi Cina yang merupakan majoritinya. DUN Sekinchan juga adalah kubu kuat DAP selama 3 penggal. Justeru, Perdana Menteri dan juga Pengerusi Barisan Nasional telah menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus perlu dicapai di dalam PRK ini.

Setelah keputusan diumumkan, dengan majoriti yang sangat memberangsangkan di mana YB Budiman telah memperolehi majoriti sebanyak 9,191 mengalahkan calon PAS yang merupakan ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan calon tajaan DAP iaitu Amanah, Azhar Abdul Shukur, telah menyaksikan peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding hanya 13 peratus sahaja ketika PRU13 yang lalu.

Sekali gus, ini telah melepasi sasaran yang diinginkan DS Najib Razak dan secara keseluruhan kawasan yang dijaga MCA telah mendapat 40 peratus pengundian dari pelbagai kaum. Kempen di Sekinchan yang diketuai Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon yakin bahawa ia sebagai satu titik permulaan kejayaan misi transformasi MCA dan prinsip parti 'Stronger Together'.

Kehadiran pemimpin serta kesungguhan pasukan kempen MCA mendekati masyarakat Cina di Sekinchan dengan penuh sopan dan merendah diri telah berjaya meyakinkan mereka dan sekali gus telah menunjukkan mereka telah menolak dan bosan dengan pakatan-pakatan yang diwujudkan pembangkang khususnya di Selangor.



Kegagalan pembangkang untuk bersatu di mana pertelingkahan yang berterusan di antara PAS dan DAP dan sekarang sesama sendiri di dalam PKR, telah membuka mata pengundi bahawa hanya Barisan Nasional yang mampu dan serius memperjuangkan masa depan mereka. Kerjasama yang terjalin di antara parti komponen utama parti iaitu UMNO, MCA, Gerakan dan disokong dengan beberapa parti dari Sarawak, telah berjaya meyakinkan bahawa hanya BN satu-satunya parti politik di Malaysia yang mampu mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

Saranan MCA untuk mempastikan agar mereka mempunyai wakil kerajaan di dalam kawasan Parlimen mereka juga telah berjaya disambut dan diterima masyarakat Cina di Sekinchan. Ini jelas terbukti apabila pembangkang dipilih sebagai wakil mereka, tiada peningkatan pembangunan yang mampu dibawa malahan segala pembangunan yang dinikmati adalah hasil daripada wakil-wakil BN yang terdahulu.

Walaupun kejayaan kerajaan BN membawa pulang dua nelayan Sekinchan yang ditahan di Indonesia dilihat sebagai strategi kempen BN, namun masyarakat Cina di Sekinchan telah menyedari hanya MCA dan BN mampu melakukan kebaikan untuk mereka.

Sekali gus, MCA bukan sahaja berani menembusi kubu kuat DAP di dalam siri kempen PRK Sg Besar ini tetapi mereka juga berjaya memberi penerangan di dalam setiap isu semasa termasuklah peluang-peluang yang terbentang luas yang disediakan kerajaan yang telah diamanahkan kepada MCA. Di antaranya adalah isu pendidikan sekolah Cina, peningkatan pembangunan di kampung-kampung baru dan juga peluang perniagaan ke negara China.


Sesungguhnya, semua barisan kepimpinan BN perlu meneruskan lagi kesatuan yang telah ditunjukkan di PRK Sg Besar ini dan berusaha lebih gigih lagi untuk mendekati masyarakat Cina. Tahniah MCA, setelah berjaya di PRN Sarawak dan kini di Sg Besar, sesungguhnya kesungguhan dan ketelusan kepimpinan DS Liow Tiong Lai dan DS Wee Ka Siong, akan berterusan meyakini masyarakat Cina untuk kembali menyokong Barisan Nasional.

Thursday, June 16, 2016

#PRK SG BESAR : PERMAINAN JAHAT DAP DIKESAN MCA


Oleh kerana terlalu terdesak untuk mempastikan pengundi Cina di Sekinchan menyokong calon pilihan mereka, DAP terpaksa mengguna pelbagai taktik kotor. Tidak cukup dengan bahasa-bahasa kesat ketika berceramah, apa saja yang mampu dijadikan bahan kempen politik mereka sehinggakan billboard pun dijadikan pilihan untuk provokasi.

Situasi terdesak ini semuanya berlaku di sekitar Sekinchan di mana DUN ini dimenangi DAP dan majoriti penduduknya adalah bangsa Cina. Kali ini, oleh kerana kedatangan MCA dan secara aktif mendekati pengundi serta memberi penerangan-penerangan berfakta tentang isu-isu semasa, DAP nampaknya sangat terkesan dan terdesak.

MCA Sungai Besar telah membuat laporan polis ke atas tuduhan yang dilempar DAP kerana mendakwa parti itu telah mengguna nombor telefon bimbit mereka untuk menghasut pengundi Cina Sekinchan melalui pesanan ringkat untuk menolak PAS dan PAN di hari pembuangan undi nanti. Tujuan laporan adalah agar pihak polis menyiasat dan menuntut agar DAP kemukakan bukti ke atas tuduhan mereka.

DAP telah diberi tempuh 24 jam untuk kemukakan bukti dan MCA menuntut mereka memohon maaf atau sekiranya mereka gagal, tindakan seterusnya pasti akan diambil. MCA Sekinchan juga ingin membersihkan nama baik mereka yang telah dicalarkan DAP kerana tuduhan ini telah disiarkan oleh sebuah akhbar Cina.

MCA telah berjaya mengesan satu mesej yang tersebar di kalangan pengundi Sg Besar di dalam Mandarin yang membawa maksud ... PAS dan Amanah adalah dari dua muka yang sama seperti duit syiling. Sebelah mereka mengkhianati masyarakat Cina dan di sebelah lagi pun sama juga. Apa yang DAP cuba gambarkan ialah seolah-olah MCA mempunyai kepakaran menggodam telefon seseorang. Jika benar tuduhan DAP, adalah lebih baik MCA membantu kerajaan di dalam mengenalpasti kedudukan militan IS dan godam telefon mereka.

Pada masa yang sama, beberapa taktik jahat kempen DAP di Sekinchan dengan menimbulkan billboard yang berbau rasis seolah-olah dibuat dari pihak Barisan Nasional. Wakil rakyat Sekinchan pula cuba membuat provokasi terhadap YB Budiman ketika membuat walk-about di pekan tersebut namun setelah diteliti billboard yang mengeluarkan kata-kata rasis, ia bukan dari pihak MCA mahupun BN.

YB Budiman telah membuktikan yang setiap bahan cetak kempennya, beliau tidak memaparkan gambar berpakaian baju melayu mahupun di dalam 'suit' dan bertali leher. Akhirnya Tony Pua sendiri yang membuat pengakuan mereka yang bertanggungjawab dan yang paling dikesali beliau tidak berasa salah langsung malahan berbangga dan angkuh apabila mengguna perkataan-perkataan sensitif yang dengan terang mengguna perkataan-perkataan hasutan berbau rasis.


Jelas menunjukkan DAP di dalam keadaan yang sangat terdesak untuk pastikan calon Amanah mereka menang. Sekali gus ini membuktikan yang DAP telah hampir hilang keyakinan dengan kehadiran MCA di Sekinchan kerana mampu memperbetulkan dan menjawab setiap tohmahan dan perbuatan jahat DAP.

Monday, June 06, 2016

#PRK SG BESAR : MCA YAKIN BUDIMAN DAPAT TAWAN HATI KAUM CINA


Apabila calon Barisan Nasional diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri selaku Pengarah Kempen untuk pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, MCA sangat meyakini bahawa ia adalah pilihan yang sangat tepat. YB Budiman Mohd Zohdi yang juga wakil rakyat Sungai Panjang akan mampu dan berkebolehan memenangi hati kaum Cina terutamanya di DUN Sekinchan.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai telah bersama-sama mengiringi bergandingan tangan bersama-sama YB Budiman serta pemimpin-pemimpin tertinggi BN ke Dewan Seri Bernam untuk proses penamaan calon.

Oleh itu, bagi melancarkan lagi perjalanan kempen PRK yang kebetulan serentak di Kuala Kangsar, MCA akan menggerakkan lebih 2,000 anggotanya dari seluruh negara bagi mendekati pengundi.

Sehubungan itu, MCA mengambil kesempatan ini untuk memberi penerangan secara telus mengenai isu-isu semasa terutamanya yang menyentuh kepentingan negara dan juga rakyat. Inilah masanya parti kaum terbesar kaum Cina yang mewakili kerajaan menjawab dan menerangkan kepada komuniti Cina ke atas segala tohmahan serta fitnah yang dilemparkan oleh DAP dan rakan-rakan pembangkang mereka selama ini.

Seperkara lagi, Datuk Liow akan mengajak khususnya pengundi Cina di Sekinchan melihat sendiri konsep kesatuan yang diamalkan BN sehingga mampu membuktikan keteguhan dalam pentadbiran negara selama ini. Kenyataan Datuk Liow adalah benar dibandingkan dengan apa yang sedang melanda di dalam pakatan pembangkang.

Tiada kesefahaman, tiada setiakawan dan tiada kompromi justeru tiada perpaduan yang mampu ditunjukkan oleh pakatan pembangkang samada yang terdahulu mahupun yang baru. Dulu Pakatan Rakyat dan apabila DAP tidak bersetuju dengan PAS, terus dibubarkan dan kemudiannya ditubuh pula Pakatan Harapan dengan kelompok-kelompok pemimpin PAS yang tewas dengan parti baru Parti Amanah Negara (PAN).

Walaupun berlakon untuk bersatu dan kononnya sehati sejiwa, di antara PKR dan DAP telah buktikan drama pembohongan mereka di Sarawak apabila sesama mereka bertanding. Kini di PRK Sg Besar berulang lagi. Berbeza sekali dengan BN, kesemua parti komponen bergerak seiring di bawah satu lambang, iaitu dacing.

YB Budiman adalah anak tempatan dan juga wakil rakyat di Sg Panjang di dalam parlimen Sg Besar yang sangat arif dengan selok belok walaupun di Sekinchan. Oleh itu, MCA yakin dengan keharmonian yang dibawa BN dan diwakili YB Budiman, maka BN telah membuat pilihan tepat dan yakin YB Budiman mampu menang untuk mewakili suara masyarakat Cina di Sekinchan di dalam kerajaan.