Showing posts with label CEO SPAD. Show all posts
Showing posts with label CEO SPAD. Show all posts

Thursday, January 21, 2016

HANYA SATU KAD MELIPUTI SEMUA PENGANGKUTAN AWAM PADA 2017

CEO SPAD En Mohd Azharuddin Mat Sah dan Menteri Pengangkutan

Menjelang 2017, semua pengendali transit seperti LRT, KTM, MRT, monorel, bas ekspres dan yang lain-lain akan menggguna satu sistem tiket pengangkutan tunggal. Sekali gus, ini bermakna sistem konvensional tunai akan diganti dengan sistem tiket penyelesaian pintar tanpa tunai.

Pada bulan Ogos tahun lepas, syarikat dari Australia Vix Technology telah dilantik dan satu kontrak telah ditandatangani dengan Transit Acquirer, sebuah syarikat yang ditubuhkan oleh SPAD untuk sistem tiket tunggal ini. Kontrak ini meliputi kerja-kerja merekabentuk dan memasang sistem, mengendali dan menyelenggara Transit Acquirer System (TAS) dan sistem pembayaran tanpa tunai bersepadu (Integrated Cashless Payment System - ICPS).

Kini kontrak kedua telah ditandatangani dengan Vix Technology untuk membekalkan lebih daripada 10,000 alat Common Reader Module (CRM) sebagai sebahagian daripada projek untuk gabungan rangkaian transit di Greater Kuala Lumpur. Alat sistem tiket Vix ini akan dipasang di premis atau pejabat tiket, pintu masuk, di kenderaan, di permulaan tempat tiket dan mesin vending. Satu sistem bersepadu digunakan bagi pihak pengendali transit yang sedia ada termasuklah Prasarana dan KTM Komuter.

Sistem pembayaran tanpa tunai bersepadu (ICPS) ini juga membolehkan kedua-dua Kad Touch-n-Go serta Kad debit yang dikeluarkan oleh bank-bank Malaysia digunakan untuk pembayaran.

CEO SPAD En Mohd Azharuddin Mat Sah melihat pengukuhan persefahaman dengan Vix Technology mampu melengkapkan kecekapan sistem pembayaran tanpa tunai bersepadu (ICPS) ini. Sekaligus dengan bekalan 10,000 alat CRM ke seluruh rangkaian transit di Malaysia akan bertindak sebagai pengguna utama yang bertujuan untuk memastikan perjalanan yang lebih mudah, cepat dan selesa bagi melonjakkan lagi Malaysia sebagai peneraju global di dalam pengangkutan awam.

Inisiatif yang diambil pihak kerajaan dan diusahakan oleh pihak SPAD ini mampu memudahkan perjalanan dan mesra penggunaannya kepada kita dan pelancong-pelancong apabila hanya satu kad sahaja digunakan berbanding pelbagai kad yang dibawa sebelum ini.

Wednesday, September 02, 2015

TERIMA KASIH EN NUR ISMAL DAN SELAMAT DATANG EN AZHARUDDIN KE SPAD

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diwujudkan pada tahun 2012 dengan bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam darat bagi memenuhi peningkatan perjalanan yang telah mencecah ke 40 juta pada waktu itu.

Setelah kerajaan menggariskan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara, sebagai agensi kerajaan yang telah diamanahkan untuk perlaksanaannya, SPAD telah bergerak secara dinamik dan pastinya memerlukan seseorang yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menerajui agensi ini.

Di antara pengangkutan awam yang mendapat perhatian khusus kerajaan ialah projek keretapi laju di antara KL-Singapura. Memandangkan fokus khusus diperlukan, maka En Mohd Nur Ismal telah diamanahkan untuk menerajui myHSR Corp sebagai Pegawai Eksekutif yang baru.

En Azharuddin mula bertugas sebagai CEO pada 1 September 2015

Bagi meneruskan amanah kerajaan agar operasi SPAD berjalan dengan dinamik untuk mencapai sasarannya, En Mohd Azharuddin Bin Mat Sah telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya, berkuatkuasa 1 September 2015 bagi mengganti En Mohd Nur Ismal.

En Azahruddin pernah memegang jawatan sebagai Pengarah, Greater KL / Lembah Klang dan Bandar Pengangkutan Awam PEMANDU (Persembahan Pengurusan dan Pelaksanaan Unit, Jabatan Perdana Menteri) sebelum dilantik ke jawatan CEO SPAD.

Pelbagai pengalaman dan pengalaman dari pelbagai jawatan penting dalam organsasi seperti Microsoft sebagai Pengarah Kumpulan Sektor Awam, Malaysia, Khazanah Nasional sebagai Naib Presiden Kanan Projek Khas dan Royal Dutch / Shell dengan tugas di Malaysia dan korporat ibu pejabat di London, adalah merupakan satu kelebihan bagi penambahbaikan pengurusan SPAD. Kesinambungan usaha-usaha SPAD dalam memastikan pertumbuhan eksosistem pengangkutan awam darat agar berdaya maju adalah peranan utama yang dipertanggungjawabkan kepada En Azharuddin.

Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar selaku Pengerusi SPAD positif dengan perlantikan En Azharuddin dan yakin dengan kemampuan pengetahuan serta pengalaman beliau untuk bekerjasama dalam menggerakkan setiap rancangan dengan lebih fokus dan lancar.

Pada masa yang sama, Tan Sri Hamid juga mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada En Nur Ismal yang telah bersama-sama SPAD sejak penubuhannya. Bukan sahaja SPAD telah mampu mencapai sasaran perancangannya dalam masa 5 tahun, tetapi En Nur Ismal adalah merupakan rakan kerja yang sentiasa bersama-samanya menghadapi dan mengatasi setiap isu pengangkutan awam darat.

Sepanjang 5 tahun ini juga, En Nur Ismal bersama-sama Tan Sri Hamid telah mampu menyelesaikan beberapa isu kritikal dan di antaranya seperti tragedi kemalangan bas di Genting Highlands, isu kenaikan tambang teksi yang dipolitikkan sesetengah pihak, penyelesaian tuntutan kenaikan kadar tambang bas sekolah serta penyelesaian tuntutan Kesatuan Pekerja KTMB.

Adalah bertepatan apabila kerjasama Tan Sri Hamid dengan En Nur Ismal diibaratkan seperti aur dengan tebing mahupuan seperti isi dengan kuku apabila setiap konflik rakyat yang bersabit pengangkutan awam, mendapat respon pantas dari mereka berdua. Imej SPAD juga telah dibawa ke tahap yang dihormati dan diterima baik rakyat apabila isu-isu seperti ulat tiket, samseng kereta sapu dan lori hantu telah diambil tindakan agresif mengatasinya.

Selama SPAD diterajui Tan Sri Hamid bersama-sama En Nur Ismal, nasib pengusaha-pengusaha bas henti-henti dan teksi telah dapat diselamatkan malahan diperbaiki dengan usaha-usaha rancangan 'win-win' kepada mereka dan juga rakyat.

Terima kasih En Nur Ismal dan Selamat Datang En Azharuddin ke SPAD semoga setiap perancangan akan lebih dinamik dan berterusan.

Friday, November 14, 2014

SELEPAS UGUT, DIBERI PULA KEBEBASAN... KINI PENGUSAHA BAS SEKOLAH TAKUT BERSAING?


Pada bulan Januari lalu, Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia (PPPBSM) telah mengugut untuk menghentikan operasi jika SPAD meneruskan dengan tindakan perundangan ke atas tuntutan mereka menaikkan tambang sebanyak 40 peratus. Alasan kenaikan yang dituntut, seperti biasa iaitu untuk menampung kerugian sedia ada semenjak lima tahun yang lepas.

Akhirnya bagi mengatasi masalah ini, SPAD telah membuat keputusan untuk deregulasi tambang bas sekolah di mana SPAD tidak akan lagi menetapkan sebarang harga siling atau maksimum yang boleh dikenakan oleh pengendali bas sekolah. Ini juga bermakna pengendali bas sekolah bebas untuk menawarkan perkhidmatan mengikut kemampuan ibubapa.

Sejak ditubuhkan pada 2010, SPAD belum pernah mengumumkan kadar tambang yang baru. Perlu kita ingat bahawa kadar tambang sekarang adalah kadar yang telah diluluskan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pada bulan Ogos 2009.

Setelah SPAD diasak, dilempar dengan pelbagai tuduhan dan diugut, kini PPBSM kembali memohon agar SPAD membantu mereka menentukan harga siling tambang bas sekolah bagi berunding dengan ibu bapa. Bukankah dengan memberi kebebasan, pengusaha-pengusaha bas sekolah ini akan lebih
kompetitif dalam perkhidmatan mereka?

Lagipun panduan dari LPKP telah pun diwujudkan Kementerian Pengangkutan, apa masalahnya?

CEO SPAD
Ketegasan SPAD disuarakan CEO, Mohd Nur Ismal Kamal di mana suruhanjaya itu tidak bercadang memperkenal kadar siling baru. Beliau menyarankan agar pengendali bas sekolah tidak mengenakan tambang yang melampau dan yakinkan ibubapa dengan tambang yang berpatutan. Seandainya SPAD menentukan kadar siling tambang, kesukarannya adalah kos operasi yang berbeza-beza di antara bandar dan luar bandar serta saiz dan usia bas yang juga berbeza.

Apa yang SPAD akan pantau adalah sekiranya berlaku suasana monopoli atau anti-persaingan. Di samping itu, SPAD akan memantau tahap perkhidmatan yang diberikan pengendali bas sekolah. Langkah deregulasi ini adalah usaha SPAD dalam meningkatkan keselamatan dan mutu perkhidmatan bas sekolah demi keselesaan murid-murid sekolah.

Oleh itu, SPAD masih akan memainkan peranan yang besar dalam memastikan perkhidmatan bas sekolah yang akan diwajibkan (bermula dari 1 Januari 2015) untuk mengamalkan garis panduan SPAD ICOP SHE untuk memastikan keselamatan menerusi Pengurusan Operasi, Pengurusan Pemandu, Pengurusan Kenderaan, Pengurusan Risiko dan Pengurusan Rekod serta amalan keselamatan sebagai budaya dan norma industri pengangkutan awam.

SPAD juga akan meningkatkan standard minima untuk aspek fizikal bas, seperti penggunaan tali pinggang, jumlah tempat duduk, badan bas yang lebih teguh, dan aspek-aspek keselamatan yang lain yang akan menambahkan keyakinan ibubapa terhadap perkhidmatan bas sekolah.

Bagi meningkatkan keselamatan murid-murid sekolah, SPAD juga akan mencadangkan adanya penetapan tempat meletak kenderaan di luar kawasansekolah. Kesemua ini akan dimulakan dan dikuatkuasakan secara berperingkat bermula 2015.

Monday, February 10, 2014

PENYANGAK TEKSI DI KAWASAN "HOT SPOT"... SPAD BERTINDAK TEGAS!



Kerap kali kita mendengar rungutan penumpang-penumpang teksi terutamanya di kawasan 'hot spot' Lembah Kelang seperti Bukit Bintang, KLC, Kelana Jaya, Subang Jaya dan Serdang. Di antara rungutan yang sering kita dengar ialah tidak mengguna meter, mengenakan tambang melampau dan melencong perjalanan.

Pada suatu hari, kita mungkin akan menjadi mangsa penyangak teksi ini dan apa perlu kita lakukan? Apakah kita akan terus bersungut sahaja tanpa membuat apa-apa dan membiar kita dimangsakan berterusan? Apakah ada saluran yang boleh kita laporkan rungutan kita?

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD Mohd Nur Kamal Mohamed Ismal memberi jaminan bahawa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat telah meningkatkan usaha untuk membasmi penyangak teksi dengan menggerakkan lebih ramai pegawai penguatkuasa dalam operasi penyamaran mereka. Di dalam usaha ini, beberapa rakaman video ke atas penyangak-penyangak teksi ini ketika mengenakan tambang berlebihan.

Dalam kenyataan media SPAD baru-baru ini, SPAD memaklumkan mereka sedang memproses semua video dan menjalankan soal siasat ke atas penyangak teksi ini sebelum tindakan tegas diambil. Di samping itu, SPAD bukan sahaja tegas mengambil tindakan ke atas penyangak-penyangak teksi ini, malahan tindakan yang lebih tegas juga akan dikenakan ke atas pengusaha-pengusaha teksi yang berkaitan supaya mereka akan mengambil iktibar daripada tanggungjawab mereka dan memastikan kewajipan dan ketelusan dilaksanakan.

Hari ini, kebanyakan dari kita  mengguna handphone dan teknologi ini, kita boleh membuat rakaman kesalahan penyangak teksi ini atau sekurang-kurangnya membuat aduan terus kepada SPAD... seperti yang pernah ditulis DI SINI.


 
Aduan yang diperolehi di laman twitter SPAD @aduanSPAD dan dikongsi di Facebook oleh kumpulan "How to Deal with Errant and Rogue Malaysian Taxi Drivers". Hasil daripada bukti dan aduan kepada pihak SPAD, satu siasatan telah dilakukan dan tindakan menggantung lesen dan pengusaha teksi tersebut telah diberi surat amaran.

Jika kita tidak ingin dijadikan mangsa-mangsa penyangak teksi ini, maka seharusnya bekerjasama dengan pihak SPAD. Bantuan dan sokongan ramai terhadap langkah-langkah SPAD untuk menamatkan penyangak-penyangak teksi ini juga dapat menyelamatkan mereka-mereka yang bersih dan sentiasa mengamalkan peraturan dan adalah tidak adil jika mereka juga disabitkan dengan segelintir penyangak teksi ini.
 
Orang ramai boleh membuat aduan kepada S.P.A.D. melalui;
 Twitter, laman rasmi Facebook, 
e-mel (aduan@spad.gov.my),
 atau SPAD Aduan hotline (1-800-88-7723)