Monday, May 15, 2017

PM NAJIB TIDAK BERSENDIRIAN APABILA GELOMBANG MERAH UTUH BERSAMANYA


Tidak pernah terjadi dalam mana-mana sejarah politik dunia yang mampu mengekalkan kuasanya sebagai peneraju kerajaan selama 71 tahun melainkan UMNO. Nampaknya kekuatan UMNO sukar untuk diruntuhkan pihak lawan melihatkan kehadiran lebih dari 100,000 ahli yang berhimpun di dalam dan luar Stadium Bukit Jalil. Suasana gegaran semangat ahli UMNO yang mewujudkan gelombang lautan merah telah cukup membuktikannya.

Justeru, perhimpunan ini jelas memberitahu dunia dan pihak lawan, UMNO masih kekal parti politik terbesar dan terkuat di Malaysia. Lebih utama ahli-ahlinya adalah dari bangsa Melayu dan Bumiputra. Tanpa boleh dinafikan, kuasa politik di Malaysia ditentukan dengan kuasa Melayu.

Malah PM Najib Razak selaku Presidennya kelihatan jelas teruja dengan suasana himpunan mega itu lalu menegaskan yang ia menjadi bukti nyata bahawa UMNO tetap kuat dan berpadu. Beliau dengan beraninya melontarkan soalan jika UMNO adalah parti yang tidak kuat, apakah ia mampu terima penyertaan perhimpunan beratus ribu ahli dan sebahagian 3 juta lain berada di seluruh pelusuk tanah air.

Sekali gus, PM Najib yakin yang beliau tidak keseorangan dalam mempertahankan perjuangan UMNO. Semangat luar biasa ini adalah untuk persediaan untuk menghadapi PRU14 akan datang kerana UMNO bersama-sama parti-parti komponen Barisan Nasional bakal bersaing sekali lagi di dalam pemilihan kuasa dalam proses demokrasi.

Walaupun UMNO sentiasa dicabar dengan pelbagai cubaan untuk meruntuhkannya, namun ia tetap gagal dan apakah kekuatannya selama ini? Prinsip kesetiaan dan istiqamah dengan perjuangannya untuk Islam, Melayu dan tanahair. UMNO bukan rasis tetapi telah terbukti memperjuangkan untuk semua rakyat Malaysia idak kira kaum, agama dan keturunan sehinggakan sanggup berkongsi kuasa dengan rakan-rakan parti komponennya.

Parti-parti pembangkang sememangnya cuba untuk meniru konsep perpaduan Barisan Nasional namun sentiasa gagal bukan kerana objektik untuk menjatuhkan kerajaan BN tetapi asas utama mereka yang sentiasa tidak sehaluan yang menggagalkan mereka. DAP dengan doktrin perkaumannya, PKR yang sentiasa bertelagah sesama sendiri yang hanya memperjuangkan nasib Anwar Ibrahim manakala parti-parti baru PPBM  dan PAN, hanyalah terdiri dari ahli-ahli serpihan yang kecewa kerana telah ditolak ahli-ahli UMNO dan PAS.

Tujuan perhimpunan raksasa UMNO ini bukanlah untuk menunjukkan bongkak sepertimana didakwa pihak pembangkang. Di dalam mana-mana peperangan, kejayaannya bukan saja bergantung kepada cerdiknya mengatur strategi, malahan kekuatan bala tenteranya juga adalah faktor kemenangan. Dakwaan pembangkang terutama dari parti yang diterajui Dr Mahathir yang sentiasa mendakwa UMNO ibarat kapal kosong, kini terpaksa berfikir seribu kali untuk merebut mana-mana kerusi UMNO.

PKR yang selama ini terpaksa bergantung kepada kekuatan jentera PAS juga sedang berhadapan dengan kekurangan ahli yang mampu mengambil alih tugas PAS. Malahan, ketika Pakatan Rakyat wujud, DAP juga telah diberi sokongan padu dari PAS. Kini, DAP terpaksa bergantung sepenuhnya kepada ahli-ahli mereka yang rata-rata berbangsa Cina untuk turun berkempen.

Kebanjiran semangat warna merah yang meliputi setiap sudut di Stadium Bukit Jalil juga mencerminkan semangat waja ahli-ahli UMNO dan inilah kekuatan yang akan digunakan untuk mempertahankan sehingga ke titisan darah yang terakhir sehingga kejayaan diperolehi nanti. UMNO bukan saja relevan di masa lalu malahan di bawah kepimpinan PM Najib Razak, perpaduannya lebih utuh dan semangat juangnya lebih tinggi walaupun kini dikhianati bekas Presidennya, Dr Mahathir.

UMNO terus mara untuk rakyat Malaysia!

No comments: