Saturday, May 20, 2017

PEREBUTAN KERUSI PM SESAMA PH, SATU KISAH YANG TIDAK AKAN BERAKHIR


Siapa sebenarnya pilihan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan? Nampaknya sesama Pakatan Harapan tidak mampu membuat satu keputusan yang muktamad, malahan dijadikan satu perebutan di antara mereka sehingga timbul rasa tidak puas hati dan berbalah antara satu sama lain.

Perebutan jawatan Perdana Menteri telah bermula terlebih awal lagi apabila Anthony Loke dari DAP telah mengumumkan yang Wan Azizah adalah pilihan Pakatan Harapan dan segera ditolak Zaid Ibrahim untuk memilih Dr Mahathir. Malahan pilihan PPBM sendiri adalah Muhyiddin.

Ini ternyata ketika Kongres PKR 2017 yang lalu apabila hampir kesemua pemimpin utama parti-parti di dalam PH memegang placard terpampang nama Anwar Ibrahim sebagai PM mereka, terasa agak pelik apabila Dr Mahathir dan Muhyiddin Yassin yang duduk sebaris mereka kelihatan enggan untuk bersetuju dan memilih untuk tidak memegang placard tersebut.

Kepada PKR, gimik ini adalah strategi mereka untuk mengikat dan justeru mengakhiri perebutan jawatan Perdana Menteri untuk Anwar tetapi di mata rakyat pula perebutan ini tiada pengakhiran dan akan berterusan walaupun nanti mereka akan berkuasa.

Berkemungkinan Dr Mahathir telah dimaklumkan lebih awal mengenai gimik yang bakal berlaku di Kongres PKR itu, maka sebelum berlangsungnya kongres PKR ini, Dr Mahathir telah membuat kenyataan yang menegaskan bahawa calon Perdana Menteri mereka bukan ditentukan oleh satu parti tetapi ia mestilah keputusan bersama.

Dr Mahathir juga telah mengingatkan pemimpin-pemimpin PH berusaha untuk menegakkan kedaulatan undang-undang apabila Anwar masih menjalani hukuman penjara. Ini kedengaran agak tegas dari sebuah parti yang kecil dan paling lemah di antara parti-parti lain di dalam PH tetapi apakah abang besar DAP dan kakak tertua PKR akan menurut kehendaknya?

Sebaliknya apakah Dr Mahathir dan PPBM ditinggalkan bersendirian kerana tidak bersetuju dengan memilih Anwar sebagai calon tunggal PH?

Namun begitu, rasa tidak puas hati PPBM dilanjutkan mempersoal niat sebenar PKR dalam plotnya untuk memerangkap Dr Mahathir dan Muhyiddin. Ia telah dizahirkan oleh Ketua Pemudanya yang mempersoalkan keikhlasan PKR dengan kerjasama mereka dalam Pakatan Harapan.

Lain pula halnya dengan Mukhriz di mana beliau lebih bersetuju jika nama Wan Azizah dipilih dan bukannya Anwar. Perlu diingatkan yang Mukhriz telah dipersetujui untuk dicalonkan sebagai PM di dalam perjanjian rahsia di antara bapanya dan Kit Siang. Malangnya Mukhriz hanya diletakkan sebagai Menteri Miti dalam senarai kabinet bayangan PKR. Tetapi siapakah Mukhriz untuk bersuara apabila beliau bukan pun presiden mana-mana parti politik.

Persoalannya apakah Mukhriz kecewa dengan gimik PKR yang tidak meletak namanya sebagai calon PM atau beliau berasa marah apabila Kit Siang dan DAP tidak akan menunaikan janji persetujuan rahsia mereka?

Betapa liciknya permainan PKR sehinggakan perlantikan Dr Mahathir sebagai penasihat PH juga digambarkan semata-mata dijadikan boneka untuk 'skru' undi Melayu dalam PRU14 nanti.

Apa yang berlaku semasa PKR kongres adalah pendirian sebenar dari PKR dan DAP. Mereka juga sedar Dr Mahathir mempunyai agenda peribadi yang ingin Mukhriz dilantik sebagai Perdana Menteri. Ia kini jelas yang PKR dan DAP tidak mudah untuk tunduk kepada kehendak Dr Mahathir walaupun beliau cuba menunjukkan kesungguhannya dengan menubuhkan sebuah parti baru dan bekerjasama dengan mereka dalam Pakatan Harapan, kemudian mengampuni Kit Siang yang rasis, menandatangani kempen 'Free Anwar'.

Jelas sekali hanya Dr Mahathir dan Mukhriz saja tidak mampu menerima kenyataan walaupun telah jelas dipermainkan DAP dan PKR. Nampaknya perebutan calon PM di kalangan parti Pakatan Harapan ini tidak akan ada pengakhirannya malahan berkemungkinan ia akan menjadi lebih buruk lagi.

No comments: