Wednesday, February 28, 2018

MASIH DEGIL? KINI PENGUATKUASA SPAD PULA YANG PANTAU KOC WANITA


Telah terlalu banyak rungutan di buat ke atas penceroboh dari kaum lelaki yang sengaja menaiki koc merah jambu KTM Komuter yang dikhaskan untuk kaum wanita. Sehinggakan, pihak media juga telah membuat liputan meluas. Namun, masih ada yang berdegil sedangkan dengan terang tertera notis koc khas wanita.

Pihak KTMB juga sedang merangka undang-undang untuk mengenakan denda untuk lelaki-lelaki yang degil dan tidak tahu malu. Namun ia bukan satu proses undang-undang yang boleh diputuskan dengan segera, maka ramailah yang mengambil peluang walaupun telah ditegur berkali-kali. Pemantauan yang dibuat KTMB juga adalah sangat jarang dan berkemungkinan disebabkan kekangan kakitangan penguatkuasa di antara Polis Bantuan KTMB.

Peringatan dan nasihat disuarakan oleh pihak-pihak NGO seperti Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) untuk memahami dan mematuhi peraturan serta menghormati hak wanita, namun masih ada yang berdegil dan tidak bertanggungjawab. Tiada cara lain, tindakan tegas seperti denda harus dilaksanakan dengan kadar segera.

Untuk pengetahuan umum, Koc Merah Jambu adalah khusus untuk wanita, diperkenalkan KTMB bagi memenuhi permintaan 60 peratus penumpangnya atau kira-kira 98,000 wanita setiap hari, selain bertujuan menjamin keselamatan serta keselesaan mereka.

Kejadian terkini, seperti yang dilaporkan media, seorang gadis dalam perjalanan pulang dari stesen KTM Shah Alam ke Rawang, Selangor telah meluahkan kekecewaannya di Facebook di mana telah sering menyaksikan pencerobohan penumpang lelaki di Koc Merah Jambu. Tetapi kali ini, beliau telah dimarahi pula kerana menegurnya.

Penceroboh lelaki tersebut telah dengan selamba duduk di Koc Merah Jambu tanpa memperdulikan seorang wanita yang berdiri untuk menyusukan bayinya. Lebih mengecewakannya apabila tiada penumpang lain yang turut berani bersuara kerana katanya semakin ramai penumpang lelaki yang berada di dalam Koc Merah Jambu tersebut.

Oleh itu, langkah seterusnya, pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil keputusan untuk meminta bantuan penguatkuasaan SPAD bekerjasama mengatasi pencerobohonan ini. Sejak beberapa hari lalu, kedua-dua pihak Polis Bantuan KTMB dan penguatkuasa SPAD telah pun menjalankan operasi di samping beberapa siri kempen kesedaran.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui ketegasan dan keberkesanan pihak penguatkuasa SPAD ketika mengambil tindakan. Namun jika seronok ingin mencabar mereka, yang pasti, penceroboh ini tidak akan dikompromi lagi dan denda pasti menanti mereka.

Sepertimana kita sering melihat keberkesanan pihak penguatkuasa SPAD menjalankan operasi mereka di dalam menangkap ulat teksi dan ulat tiket, operasi mengesan pemandu teksi yang sengaja melanggar undang-undang serta pemandu-pemandu lori yang membawa muatan berlebihan sehingga membahayakan pengguna jalanraya lain, kesemuanya dilakukan dengan penuh displin dan ketegasan.

Di harap kehadiran ketegasan dan kecekapan penguatkuasa SPAD nanti dapat dirasakan yang akhirnya masalah pencerobohan penumpang lelaki di dalam Koc Merah Jambu dapat diatasi segera. Akhirnya, keselamatan dan keselesaan penumpang wanita akan lebih terjamin.

Sunday, February 25, 2018

2 SENARIO JIKA DR MAHATHIR ADALAH PERDANA MENTERI PAKATAN HARAPAN


Oleh kerana tidak mampu menepis dakwaan UMNO yang Pakatan Harapan sebenarnya dikuasai DAP dan walau siapa pun calon Perdana Menteri mereka, Lim Kit Siang adalah figura yang sebenarnya ketua umum mereka, PH telah menukar strategi dengan melantik Dr Mahathir yang bermula sebagai Top Dog dan kemudiannya, calon Perdana Menteri mereka dan Wan Azizah sebagai Timbalannya. Ini satu strategi PH untuk alih serangan ke atas Kit Siang dan DAP,  namun rakyat Malaysia bijak menialinya.

Apakah ia satu gabungan yang mantap? Yang pasti ia memperlihatkan betapa rapuhnya kepimpinan tertinggi mereka sekiranya dibiarkan memerintah. Itu adalah pesanan YAB Perdana Menteri DS Najib Razak di dalam blognya. Bagaimana mungkin rakyat Malaysia akan berhadapan dengan risiko ini jika dibiarkan memerintah?

Jelas sekali, jawatan yang dibenarkan DAP kepada Dr Mahathir hanyalah sekadar sementara sahaja dan kemudiannya diserahkan kepada Anwar Ibrahim setelah dibebaskan dari menjalani hukuman penjara kerana kesalahan meliwat pembantu khasnya sendiri.

Bagi seorang yang bukan saja mengenali tetapi telah berkhidmat di bawah pentadbiran Dr Mahathir, PM Najib telah memberi dua senario yang bakal berlaku kepada negara dan juga rakyat Malaysia. Bagi PM Najib, Dr Mahathir tidak semudah itu akan melepaskan jawatan dan kuasa tertinggi negara ini kepada  Anwar Ibrahim. Dr Mahathir yang terkenal dengan sikapnya yang tidak pernah meyakini mana-mana individu untuk menerajui negara atau mana-mana pertububuhan.

Beliau sendiri telah membuktikannya. Beliau tidak sehaluan dengan mantan Perdana Menteri, Pak Lah yang dipilihnya sendiri dan kini sedang menyerang pentadbiran PM Najib. Di dalam parti politik barunya, jawatannya sebagai Pengerusi berkuasa veto dan mengatasi keputusan Presiden. Di dalam Pakatan Harapan pula, beliau mendesak diberi jawatan sebagai 'Top Dog' yang mempengerusikan mesyuarat dan setiap majlis rasmi PH. Kini beliau inginkan pula dipilih sebagai calon Perdana Menteri PH.

Di mana saja beliau berada, kedudukan nombor dua tidak ada dalam kamusnya.

Dr Mahathir pernah berkali-kali mengulangi yang beliau tidak mungkin membenarkan seorang yang bermasalah moral sebagai Perdana Menteri dan juga pernah mengaku yang Anwar terlalu tua untuk jawantan tersebut. Jika Dr Mahathir meneruskan hasratnya untuk berebut kuasa, yang pasti adalah PKR akan memberontak dan Pakatan Harapan akan berperang untuk menentang Dr Mahathir. Itulah senario pertama yang PM Najib ingin berkongsi kepada rakyat Malaysia.

Kemungkinan yang kedua pula, jika keadaan tidak dapat dielakkan dan Dr Mahathir terpaksa menyerahkan jawatan sementaranya kepada Anwar Ibrahim, rakyat Malaysia akan ditadbir oleh sepasang suami isteri yang pasti akan menjadikan Malaysia sebuah negara untuk hak mutlak sebuah keluarga yang  akhirnya merekalah raja dan permaisuri mutlak dan berkuasa di negara.

Di manakah letaknya nanti demokrasi yang menjadi amalan negara sejak merdeka? Pada masa yang sama, apakah Dr Mahathir akan membenarkan ini berlaku dengan sewenang-wenangnya?

Adalah tepat sekali jangkaan PM Najib jika rakyat memilih Pakatan Harapan di PRU14 nanti, sesama mereka akan terus bergaduh dan mungkin lebih kritikal untuk berebut jawatan Perdana Menteri. Sedangkan mereka yang belum menguasai negara pun telah mengambil masa lama menentukan calon Perdana Menteri, inikan pula setelah mendapat kuasa. Oleh itu, Pakatan Harapan akan membazirkan sekurang-kurangnya 2 hingga 3 tahun dan mungkin keseluruhan penggal untuk berebut jawatan.

Justeru, persoalan yang dilemparkan PM Najib, apakah mereka ada masa untuk berkhidmat kepada rakyat dan membangunkan negara? Oleh itu, jauh bezanya jika Barisan Nasional sekali lagi diberi mandat untuk menerajui pemerintahan negara di mana setelah diumumkan kemenangan untuk Barisan Nasional nanti, barisan kepimpinan negara yang diterajui PM Najib akan serta-merta meneruskan agenda berbakti untuk rakyat.

Pilihan di tangan kita dan di antara kestabilan Barisan Nasional dengan kekalutan Pakatan Harapan, yang mana satu menjadi keutamaannya?

Saturday, February 24, 2018

APA SPAD DAH LAKUKAN SEPANJANG CUTI TAHUN BARU CINA?



Seperti yang telah diumumkan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), pihak penguatkuasaannya akan melakukan operasi jalanraya sempena cuti Tahun Baru Cina bermula pada 9 Februari selama 17 hari dan berakhir pada 25 Februari 2018. Operasi ini seperti biasa adalah dengan kerjasama penguatkuasaan SPAD bersama Polis Diraja Malaysia (Royal Malaysia Police), Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia dan Pihak Penguatkuasa Lebuhraya.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan kesalahan yang telah dicatitkan ialah 238 kesalahan daripada 3443 buah kenderaan yang diperiksa. Tiga kesalahan utama yang didapati adalah seperti tidak mempunyai kad pemandu untuk mod teksi, kegagalan mengemukakan permit kenderaan untuk bas dan juga termasuk kegagalan mengutamakan keselamatan terhadap penumpang & pengguna jalan raya yang lain seperti membawa muatan secara bahaya, tidak tutup muatan, membawa muatan melebihi paras sisi badan kenderaan untuk kenderaan berat.

Pada tahun ini, kesalahan melibatkan pengangkutan awam dan barangan seperti teksi, bas dan lori yang dikesan sepanjgan Op Tahun Baharu Cina telah menurun daripada 499 kes pada 2015 kepada 446 (2016) dan 221 kes tahun lepas.

Apa yang menyebabkan penurunan kesalahan jalanraya tersebut?

Yang pertama adalah kempen yang dilakukan pihak SPAD tanpa berhenti terutamanya di dalam memberi kesedaran kepada pemandu, syarikat pengendali dan juga penumpang. Di antara pengisiannya termasuklah saluran aduan yang dibuka 24 jam. Operasi bersepadu yang dilaksanakan juga dapat membantu mengurangkan kemalangan dan ia bukan sekadar diadakan di jalanraya tetapi di terminal bas utama juga.

Pihak SPAD telah mengambil langkah awal memberi surat pekeliling memberi pelbagai peringatan kepada syarikat pengendali untuk mematuhi ICOP (Industrial Code of Practice) dan syarat-syarat yang telah ditetapkan ini tidak akan dikompromi. Jika dilanggar, maka bukan saja pemandu berhadapan hukuman malahan syarikat pengendali juga turut terkesan.

Semua pihak dari peringkat menteri sehingga pegawai-pegawai kanan SPAD turut memainkan peranan dan komited dalam kempen keselamatan. di antaranya;

YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri terus meninjau suasana di lapangan terbang Langkawi dan berjumpa dengan pengusaha teksi di sana.




Di Terminal Bersepadu Selatan;



Operasi Pemeriksaan di Jalanraya;



 

SPAD juga telah memperkenalkan aplikasi untuk telefon pintar di mana had laju boleh diketahui penumpang dan jika ingin membuat aduan, aplikasi ini mudah saja digunakan. Aplikasi MeterOn yang telah diperkenalkan SPAD juga boleh menjejaki kenderaan melalui GPS dan termasuklah maklumat mengenai pengendali bas ekspres. Di samping itu, ketika operasi diadakan, penggunaan teknologi seperti kamera jarak jauh dan kamera litar tertutup digunakan untuk memantau pergerakan serta kesalahan  jalanraya yang melibatkan pengangkutan awam.

Hari ini, penumpang akan berasa lebih selamat dan pemandu bas akan lebih berwaspada kerana mengetahui dan menyedari pihak penguatkuasaan SPAD sentiasa memantau perjalanan mereka. Oleh itu...

 

Friday, February 23, 2018

"ORANG KUAT DAP" MELATAH DENGAN PERANGKAP WARTAWAN



 

Sedang Datuk Wee bertalu-talu melontarkan soalan-soalan berbisa sehingga terserlahnya ketakutan dan kebingungan pihak DAP dan Lim Guan Eng dalam skandal Terowong dasar Laut Pulau Pinang, gagal menjawab dengan tepat, kini mereka mendapat satu bahan yang cukup bagus untuk mengelakkan perhatian rakyat.

Pertama, Kit Siang cuba kacau kawasan parlimen Datuk Wee dan cuba beri bayangan yang berkemungkinan orang seperti beliau akan mencabar Datuk Wee.

Apabila Datuk Wee memberi respon, yang sesiapa saja DAP boleh letakkan calon mereka dan yang pasti, calon itu tentulah orang kuat DAP, yang pasti Datuk Wee tidak menamakan sesiapa pun termasuklah samada Guan Eng mahupun bapanya Kit Siang. Apabila Kit Siang yang mengeluarkan kenyataan "orang kuat DAP", bukan saja Datuk Wee, malahan sesiapa saja akan terpandang muka dua anak beranak Lim tersebut dan siapa yang boleh nafikan?

Tanpa mendengar kenyataan sebenar Datuk Wee dan hanya berpandukan soalan wartawan, Guan Eng pula yang melatah. Melatah dan gembira kerana dapat lari untuk sementara waktu dari pening kepala terpaksa menjawab soalan-soalan Datuk Wee. Sepatutnya Guan Eng tanyakan samada benarkah Datuk Wee berkata sedemikian sepertimana yang selalu beliau lakukan. Kali ini nampaknya Guan Eng seronok melatah dan menampakkan betapa beliau perlukan satu isu yang boleh mengalihkan tumpuan rakyat daripada skandal projeknya.

Kemudian, ada pula akhbar harian berbahasa Mandarin yang melaporkan Datuk Wee keluar kenyataan yang meramalkan UMNO akan kalah pada PRU14.

Dalam satu temuramah, menurut Datuk Wee, beliau diajukan dengan soalan-soalan andaian seperti apa akan jadi jika Dr Mahathir tidak menang cukup kerusi? Apabila soalan andaian yang diberikan, sudah pasti Datuk Wee pun beri jawapan dalam bentuk andaian. Bagi beliau, segalanya mungkin berlaku dan politik adalah seni segala kemungkinan.

Malahan Datuk Wee menyifatkan PRU14 akan datang dijadikan sebagai referendum masyarakat Cina terhadap Dr Mahathir untuk menyampaikan mesej “orang Cina tidak percayakan beliau”, walaupun tempoh pentadbirannya dihadkan.

Tetapi apa yang ditulis, Datuk Wee meramalkan UMNO akan kalah pula. Bukankah begitu jauh menyimpang maksudnya. Lebih jelas, ia mungkin sengaja ditulis sebegitu agar Datuk Wee dikutuk ahli-ahli dan pemimpin UMNO supaya beliau dialihkan tumpuan menyerang Guan Eng dan DAP.

Justeru tanpa berlengah lagi, Datuk Wee mengarahkan akhbar berkenaan supaya menyemak semula rakaman wawancara dengannya dan terus membuat penjelasan segera. Apakah mereka telah membuat perubahan? Jelas tidak dan fahamlah kita, mereka sengaja putarbelitkan kenyataan Datuk Wee untuk kepentingan pihak tertentu.

Menjawab Ketua DAP Johor yang membawa kemungkinan DAP dan UMNO akan bekerjasama selepas keputusan PRU14 nanti, bukan saja Datuk Wee atau pun MCA, malahan semua kepimpinan UMNO dan termasuk ahli-ahlinya mengetahui ia tidak akan terjadi sampai bila-bila.

Apakah DAP begitu cemburu dengan kerjasama UMNO dan PAS dan apakah DAP tidak yakin dengan kekuatan parti Dr Mahathir? MCA adalah rakan setia UMNO sejak merdeka dan kedua-dua parti ini telah bekerjasama dan saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam keadaan apa jua. Bagi UMNO, kepimpinan DS Liow dan DS Wee menerajui MCA adalah terbaik dan memang telah nampak perubahan di kalangan komuniti Cina yang kini lebih mempercayai MCA.

Apa pun angan-angan DAP untuk bekerjasama dengan UMNO, mereka ternyata bukan rakan politik yang boleh dipercayai. Lihat saja keangkuhan mereka membubarkan Pakatan Rakyat dan menyerang peribadi Presiden PAS. DAP adalah racun kepada kemakmuran negara dan seharusnya komuniti Cina menyedari hakikat ini.

Jika dahulu telah berjanji kepada PAN (parti tajaan DAP) meletakkan calon mereka, dengan sesuka hati boleh mengikarinya. Apakah DAP rakan yang baik jika dibandingkan dengan MCA?

Wednesday, February 21, 2018

#PERJUANGAN4ALL - MAHATHIR GURU TERBAIK DATUK NAZRI AZIZ


Di antara Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang paling lantang dan berani mengkritik politik Dr Mahathir hari ini adalah Datuk Seri Nazri Aziz di samping pemimpin-pemimpin lain seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Rahman Dahlan, Datuk Salleh Syed Keruak, Datuk Puad Zarkashi dan beberapa pemimpin yang lain.

Ada kalanya beliau nampak terlalu berani dan terlalu kasar apabila mengkritik mantan Presiden UMNO ini dan mengapa ia berlaku?

Satu pengakuan yang tidak ramai tahu. Di dalam program diskusi Perjuangan 4All yang diadakan secara langsung dari Dewan Kesedar Kuala Krai, Datuk Nazri mengaku yang adakalanya beliau terlebih kurang sopan dalam melontarkan kritikannya dan kesemua itu diajar oleh bekas bosnya, Dr Mahathir.

“Sebab itu, saya boleh serang dia kerana dia tahu, saya tahu. Banyak benda yang Dr Mahathir buat sekarang, kalau zaman dia jadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO dulu, dia akan pancung kita, kalau kita buat apa yang beliau buat sekarang ini,” katanya.

Sepanjang berkhidmat di bawah Dr Mahathir, beliau sering menasihatkan betapa penting dan perlunya perjuangan UMNO untuk bangsa Melayu khususnya dan di masa yang sama bangsa-bangsa lain jangan dipinggir dan dianiaya. Kesemuanya itu adalah sepertimana slogan UMNO untuk agama, bangsa dan negara.

Tetapi kesemua itu rupa-rupanya hanya satu pembohongan Dr Mahathir apabila telah bersatu dengan parti yang anti-Melayu dan anti-Islam untuk menentang UMNO. Apakah pendekatan yang terlalu berterus-terang ini perlu dipertikai dan ditegur?

Seperkara lagi, Datuk Nazri juga mengaku yang Dr Mahathirlah yang mengajarnya menjadi kurang ajar kerana baginya guru yang mengajarnya berbuat perkara yang baik tetapi hari ini dia sendiri mengkhianati kata-katanya sendiri. Jika Datuk Nazri mengamuk, ia adalah kerana beliau telah ditipu oleh gurunya Dr Mahathir. Lantas, beliau tidak boleh berdiam diri.

Mengapa pula Dr Mahathir marahkan PM Najib Razak?

Mungkin ramai telah mengetahuinya dan kini disahkan lagi oleh Datuk Nazri. Kesemuanya adalah kerana bagi Dr Mahathir, PM Najib tidak langsung memberi muka kepada anaknya, Mukhriz. Mukhriz kalah di tangan KJ dalam pertandingan Ketua Pemuda, kalah di dalam merebut jawatan Naib Presiden dan paling tidak boleh diterima, apabila Mukhriz digugurkan dari jawatan Menteri Besar Kedah.

Kesemua itu telah membantutkan rancangan Mahathir untuk melihat pewarisnya di tampuk kepimpinan tertinggi parti dan negara.

Apabila PM Najib menghapuskan sistem kouta dalam pemilihan UMNO, Dr Mahathir tidak senang hati kerana politik wang tidak dapat lagi digunakan untuk membeli undi perwakilan saja kerana lebih banyak wang yang perlu ditaburkan kepada bahagian dan cawangan untuk pengaruh undi.

KJ yang dilantik sebagai Menteri juga mendapat tentangan Dr Mahathir dan bukan kerana KJ tiada kredibiliti tetapi takut pengaruh KJ akan lebih luas di akar umbi bagi mengekalkan kedudukannya sebagai Ketua Pemuda. Manakala pertandingan Naib Presiden UMNO, Hishamuddin telah menang tipis dan walaupun diadakan kiraan semula, Mukhriz tetap kalah.

Keputusan PM Najib menggugurkan Mukhriz dari jawatan Menteri Besar Kedah, bukanlah keputusan beliau seorang. Dr Mahathir perlu ingat, ini adalah kehendak hampir kesemua pemimpin UMNO di negeri Kedah. Mukhriz didapati gagal melaksanakan tugasnya sebagai Ketua UMNO Kedah yang mampu melemahkan Barisan Nasional.

Ahli-ahli Majlis Tertinggi UMNO pula telah sebulat suara bersetuju menggugurkan keahlian Mukhriz kerana mencabar institusi Presiden. Apa yang berlaku ke atas anaknya, bukanlah keputusan mutlak PM Najib seorang sepertimana yang sering dilakukan Dr Mahathir ketika beliau adalah Presiden UMNO. PM Najib mementingkan suara majoriti pemimpin UMNO dan ini tidak disenangi Dr Mahathir.

Oleh itu, jika guru yang pernah mengajar anak muridnya supaya kencing berdiri tetapi beliau juga sudah mula kencing berlari, apakah perbuatan guru itu perlu didiamkan? Jika ada yang ingin mengikuti langkah guru itu, beliau janganlah marah tetapi terpaksa terima padah dari ajaran songsangnya.