Showing posts with label myBAS. Show all posts
Showing posts with label myBAS. Show all posts

Monday, April 16, 2018

MyBas BAKAL BEROPERASI DI JOHOR BAHRU PULA


Bermula dengan bandaraya Seremban, kemudian Arau, Ipoh, Kuala Terengganu dan kini giliran warga Johor Bahru pula bakal menikmati perkhidmatan MyBas dalam masa terdekat. Satu kontrak telah pun termeterai di antara pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama Handal Indah Sdn Bhd dalam pra-pelancaran myBas Johor Bahru di bawah program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST).

Kontrak tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi SPAD, Puan Qamar Wan Noor, dan Pengarah Urusan Handal Indah, En. Lim Han Weng dan disaksikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Sri Mohamed Khaled Nordin bersama-sama Pemangku Pengerusi SPAD Tan Sri Datuk Seri Utama Mohd Isa Abdul Samad.

MyBAS Johor Bahru akan melalui 27 laluan utama dan jarak perjalan sejauh 16.8 juta kilometer setahun dengan kekerapan setiap 20 minit berbanding kekerapan setiap 30 minit sebelum ini. Justeru, penumpang myBas di sekitar Johor Bahru pasti akan menikmati perkhidmatan bas yang lebih kerap dan menepati waktu di samping keselesaan dan keselamatan yang lebih terjamin.

Di samping itu, 222 bas diesel dan 27 bas eletrik akan memulakan perkhidmatan pada suku ketiga 2018 dan perkhidmatan sepenuhnya terutama bas eletrik yang bakal beroperasi secara berperingkat, lengkap pada suku kedua 2019. Namun, laluan-laluan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi akan diberi keutamaan dan seterusnya, fasa terakhir myBas ini akan memperkenalkan penggunaan bas elektrik.

Handal Indah sebagai syarikat pengendali utama akan disokong oleh syarikat-syarikat tempatan lain. Kenderaan yang digunakan pula terdiri daripada 4 jenis yang merangkumi bas panjang dengan kapasiti 65 penumpang, bas midi yang mampu dinaiki 50 penumpang, bas mini dengan 30 penumpang danbas elektrik bersaiz panjang dengan 65 penumpang.

Program myBas adalah inisiatif kerajaan dalam membantu syarikat-syarikat pengendali terus mampu bertahan dan berdaya-saing. Ia juga bertujuan agar penduduk di kawasan laluan bas henti-henti dapat meningkatkan mutu perkhidmatan mereka terutamanya ketepatan waktu.

Di bawah model SBST ini, laluan bas, kos operasi, kutipan tambang akan dipantau dan ditentukan pihak SPAD manakala syarikat pengendali akan dibayar mengikut Kos Pengendalian Kenderaan (Vehicle Operating Cost, VOC) bagi setiap kilometer dengan mematuhi syarat-syarat perkhidmatan yang telah dipersetujui didalam kontrak.

Sehingga Februari 2018, sejak dilancarkan Kangar, Seremban dan Ipoh, program myBas telah berjaya mencapai sejumlah 10.6 juta penumpang dan jarak laluan sejauh 1,723km.

Bukan saja penumpang yang selesa menikmati kenderaan yang lebih bagus malahan syarikat-syarikat pengendali bas henti-henti juga turut terbela dan perniagaan mereka dapat terus bernyawa.
 

Wednesday, March 14, 2018

PENGUMUMAN SPAD : LALUAN MYBAS IPOH DISUSUN SEMULA


Sejak dilancarkan khidmat MyBas Ipoh pada 1 Jun 2016 lalu, pengguna bas di Ipoh telah pun menikmati perjalanan yang lebih selesa dan mudah malahan mereka juga hanya membayar dengan kadar tambang serendah RM1.00. Perkhidmatan bas henti-henti di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) di Ipoh ini telah dikendalikan oleh Perak Transit Berhad.

Program SBST oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang dilaksanakan sepenuhnya seawal 1 September 2016 telah menyusun jaringan laluan bas yang merentasi 19 laluan dan meliputi 314km. MyBas Ipoh adalah bandaraya ketiga di Semananjung Malaysia yang menerima manfaat dari peruntukan Kerajaan Pusat selepas dilakasanakan dengan jayanya di Seremban dan Kangar.

Peruntukan sebanyak RM100 juta ini juga akan dilebarkan ke bandaraya Johor Bahru dan terkini telah dilaksanakan di Kuala Terengganu.

Walaubagaimanapun, penyusunan semula laluan MyBas Ipoh tidak dapat dielakkan agar liputan laluan dapat ditingkatkan di mana 16 laluan yang merangkumi 367km berbanding 19 laluan yang hanya melalui jarak 314km sebelum ini. Kesemua laluan telah dikenalpasti dan akan dihubungkan kepada dua terminal utama iaitu Terminal Medan Kidd dan Terminal Amanjaya.

SBST yang diperkenalkan SPAD pada Ogos 2015 adalah juga bertujuan untuk menambah baik serta  meningkatkan standard syarikat perkhidmatan dengan membenarkan mereka untuk menumpukan perhatian kepada penyediaan perkhidmatan perjalanan yang terbaik; tanpa perlu bergantung kepada kutipan tambang. Selain daripada itu terdapat faktor insentif bagi menggalakkan syarikat pengendali bas terlibat untuk menjana pendapatan yang lebih.

Namun, sebagai satu langkah penambahbaikan, SPAD memantau KPI terhadap syarikat pengendali termasuk ke atas ketepatan masa, kebolehpercayaan, spesifikasi kenderaan dan kepuasan pengguna. Syarikat pengendali perlu mematuhi KPI tersebut dan akan dikenakan penalti sekiranya gagal memenuhi sasaran. 

Penyusunan semula ini juga akan memberi manfaat dan kemudahan kepada seluruh warga Ipoh di mana beberapa laluan telah digabung dan dipanjangkan berasaskan kepada jumlah penumpang di setiap kawasan. Maklumat butiran perubahan laluan myBAS Ipoh yang telah disusun boleh didapati ... DI SINI, atau menghubungi pengendali Perak Transit (peraktransit.com.my) di talian 05-545 5318 atau emel kepada enquiry@peraktransit.com.my atau layari laman Facebook www.facebook.com/PerakTransit/.

Selaras dengan komitmen kerajaan pusat di bawah parti pemerintah Barisan Nasional, ini telah membuktikan segala penambaikan pengangkutan awam darat adalah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Ia juga satu persiapan rapi apabila segala projek mega infra-rakyat untuk pengangkutan awam di Greater KL dan Lembah Klang beroperasi sepenuhnya menjelang 2022 nanti.

Yang pasti mobiliti dan akses rakyat akan bertambah selesa, selamat dan mampu menjimatkan waktu dan perbelanjaan mereka.

Saturday, January 27, 2018

PRIHATIN KERAJAAN TERENGGANU, RAKYAT MENIKMATI TAMBANG MYBAS YANG RENDAH


Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) telah pun berjaya di beberapa lokasi seperti di Kangar-Perlis, Ipoh-Perak dan Seremban-Negeri Sembilan. Berteraskan pemerintahan kerajaan negeri yang prihatin nasib rakyatnya, Terengganu adalah destinasi seterusnya di mana tujuan skim SBST ini adalah untuk menghubungkan kawasan luar bandar dengan lebih berkesan yang pasti jadualnya menepati waktu supaya dapat membantu penduduk setempat berulang-alik ke tempat kerja, sekolah dan destinasi lain.

Pihak SPAD telah pun menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) kontrak Pengendali Perkhidmatan dengan MARA Liner Sdn Bhd di mana melibatkan 30 buah bas dan sebagai permulaan sebanyak 11 bas akan disediakan. Lebih menarik lagi Terengganu sangat bertuah apabila 11 buah ni adalah bas elektrik pertama di Malaysia dalam kempen kerajaan menurunkan kadar pelepasan karbon ke alam sekitar hingga 45 peratus pada 2030, dengan inisiatif penggunaan kenderaan cekap tenaga.


 
Apabila MyBas mula beroperasi di Kuala Terengganu pada bulan April nanti, yang pasti, rakyat setempat akan dapat menikmati kadar tambang serendah 90 sen hingga RM2.50 dalam keadaan perkhidmatan bas yang selesa, mempunyai ciri-ciri moden serta mesra alam. Bagi pelajar, diskaun sebanyak 50% akan diberi selain daripada orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

Laluan MyBas di sekitar Kuala Terengganu ini akan melalui jumlah keseluruhan jarak 235.9 kilometer dan berikut adalah 3 fasa yang telah ditetapkan pihak SPAD;

Fasa 1 : 3 laluan utama dan 1 laluan perantara manakala
Fasa 2 dan 3 : 4 perkhidmatan tambahan seperti berikut;


Pihak SPAD yakin dalam tempuh 3 bulan, perkhidmatan myBas ini akan menjadi popular dan mampu dimanfaatkan penduduk di Kuala Terengganu berdasarkan kepada perkhidmatannya yang menepati waktu, selesa, selamat dan juga tambang yang sangat berpatutan. Setakat ini, kerajaaan telah pun melabur sebanyak RM100 juta untuk program MyBas ini. Pihak SPAD sebagai pihak yang dipertanggungjawabkan kerajaan akan memantau perkhidmatan dan keselamatan setiap bas.

Program SBST ini juga telah berjaya bukan saja menawarkan perkhidmatan yang baik malahan telah berjaya selamatkan industri bas henti-henti di kawasan laluan yang kurang mendapat penumpang. Perkhidmatan myBAS telah beroperasi di Kangar, Seremban dan Ipoh, setakat ini telah mencapai sasaran penumpangnya yang berjumlah 9.3 juta orang (atau 400,000 penumpang sebulan), beroperasi sepanjang 51 laluan dengan jarak gabungan 1,434km.

 

Tuesday, November 22, 2016

MYBAS DI PERAK DIMINTA TAMBAH LALUAN


Nampaknya perkhidmatan bas yang dikenali sebagai myBas yang telah diperkenal oleh kerajaan mendapat sambutan. Keberkesanan rangkaian yang lebih teratur dan dengan laluan yang lebih meluas telah menjadi topik perbahasan di Sidang Dewan Undangan Negeri Perak baru-baru.

Negeri Perak memohon agar ditambah laluan untuk meliputi kawasan berpenduduk padat seperti di Manjoi agar lebih ramai rakyat dapat menikmati perkhidmatan myBas ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan Awam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon (BN Chenderian) telah menjawab pertanyaan YB Mohammad Ziad yang pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menilai keberkesanan rangkaian yang sedia ada sebelum sebarang penambahan atau pengurangan laluan myBas di Perak nanti.

Pihak SPAD akan mengkaji data yang dikumpul untuk tempoh enam bulan sejak dilancarkan pada 1 Jun lalu. Pasti jika didapati keberkesanan laluan myBas ini melebihi 75% di sesuatu kawasan yang ditetapkan memberi faedah kepada penduduknya, SPAD akan menambah lebih laluan.

Di antara aspek yang diberi penekanan di dalam perkhidmatan MyBas adalah memastikan yang ia mempunyai akses dengan perkhidmatan bas lain, perkhimatannya, waktu operasi, bilangan bas dan paling utama adalah ketepatan waktu. Kesemua ini adalah keutamaan bagi menentukan kualiti perkhidmatan myBas demi memberi kemudahan dan kesenangan kepada penumpang.

Ketika MyBas dilancarkan, ia mempunyai dua fasa dan meliputi 19 laluan.

Perkhidmatan bas berhenti-henti myBAS Ipoh adalah usaha kerajaan di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) yang menawarkan laluan di sekitar bandar raya Ipoh dan kawasan luar daerah tersebut dengan kadar tambang serendah RM1.00.

Fasa 1 meliputi sebanyak 6 laluan bas, iaitu 4 laluan utama  dan 2 laluan pengantara (feeder routes) iaitu T30a (Stesen Bas Ipoh – Terminal Amanjaya), T30b (Stesen Bas Ipoh – Terminal Amanjaya – Chemor), T34 (Stesen Bas Ipoh – RTC Gopeng), T37 (Stesen Bas Ipoh – Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah – Terminal Amanjaya), F303 (Stesen Bas Ipoh - Oldtown Ipoh, perkhidmatan ‘loop’) dan F304 (Stesen Bas Ipoh – Jusco Ipoh).

Semua kenderaan myBAS Ipoh mempunyai ciri-ciri seperti perkhidmatan bas yang dilengkapi dengan penyaman udara, kerusi yang selesa dan pemantauan menerusi sistem GPS.

Memandangkan usaha kerajaan Barisan Nasional yang mementingkan rakyat, dan sekali gus nampak berkesan, maka dengan permintaan penambahan laluan di Ipoh telah menunjukkan betapa usaha kerajaan ini telah berjaya dan berkesan.
 

Sunday, September 04, 2016

myBAS IPOH FASA KEDUA - LENGKAP DAN LEBIH TERATUR


Fasa kedua dan terakhir myBAS Ipoh, yang bermula pada 1 September telah memperkenalkan 8 laluan utama dan 5 laluan perantara seperti berikut:
  
T31 : Stesen Bas Ipoh - Jalan Tun Abdul Razak - Jalan Panglima Bukit Gantang - Jalan Kuala Kangsar - Jalan Chemor-Tanjung Rambutan – Chemor   

T32 : Stesen Bas Ipoh - Jalan Tun Abdul Razak - Jalan Panglima Bukit Gantang - Jalan S. P. Seenivasagam - Jalan Sultan Idris Shah - Jalan Raja Dr Nazrin Shah - Jalan Sultan Azlan Shah - Jalan Sultan Azlan Shah Utara - Jalan Bercham - Jalan Tambun – Tanjung Rambutan  

T33a : Stesen Bas Ipoh - Jalan Tun Abdul Razak - Jalan Panglima Bukit Gantang - Jalan S. P. Seenivasagam - Jalan Sultan Idris Shah - Jalan Raja Dr Nazrin Shah - Jalan Sultan Azlan Shah - Jalan Tambun - Jalan Chemor - Tanjung Rambutan – Chemor   

T33b : Stesen Bas Ipoh - Jalan Tun Abdul Razak - Jalan Panglima Bukit Gantang - Jalan S. P. Seenivasagam - Jalan Sultan Idris Shah - Jalan Raja Dr Nazrin Shah - Jalan Sultan Azlan Shah - Jalan Tambun – Tanjung Rambutan   

T35a : Stesen Bas Ipoh - Jalan Tun Abdul Razak - Jalan Leong Boon Swee - Jalan Pasir Puteh - Jalan Pengkalan Barat 32 - Medan Stesen 18/18 - Jalan Pasir Puteh - Jalan Perindustrian Pengkalan - Jalan Lembah Permai Utama - Jalan Gopeng -Jalan Baharu – Batu Gajah   

T35b : Stesen Bas Ipoh - Jalan Tun Abdul Razak - Jalan Leong Boon Swee - Jalan Pasir Puteh - Jalan Pengkalan Barat 32 - Medan Stesen 18/18 – Station 18   

T36 : Stesen Bas Ipoh - Jalan Tun Abdul Razak - Jalan Lahat - Jalan Lee Ming Hin - Jalan Lahat - Jalan Bukit Merah - Lebuhraya Ipoh-Lumut - Jalan Bemban - Jalan Changkat - Jalan Gopeng - Jalan Baharu – Batu Gajah   

T38 : Medan Gopeng - Jalan Raja Dr Nazrin Shah - Persiaran Lapangan Siber - Jalan Seri Botani Utama - Jalan Simpang Pulai - Medan Stesen 18/18 – Station 18   

F300 (Loop): Jusco Kinta - Persiaran Medan Ipoh - Jalan Burung Belibis - Jalan Perajurit - Lebuh Bandar Baru Tambun - Jalan Tambun Permai - Jalan Tambun – Jalan Tambun Lama - Tingkat Perpaduan 12 - Jalan Perpaduan - Persiaran Bercham Timur 10 - Lorong Bercham 14 - Jalan Bercham – Jalan Lorong Bercham 19 - Hala Tasek Timur 26 - Laluan Tasek Timur 16 - Regat Tasek Timur 16 - Jalan Bercham - Jalan Sultan Azlan Shah Utara - Persiaran Medan Ipoh   

F301 (Loop) : Lebuh Wirajaya - Lintasan Hillview - Jalan Raja Musa Mahadi - Jalan Raja Dr Nazrin Shah - Jalan Gunung Rapat - Jalan Raja Musa Mahadi - Jalan Sultan Azlan Shah - Jalan Raja Musa Mahadi – Jalan Sri Cempaka - Jalan Ampang Baru 7 - Persiaran Wira Jaya Barat 32   

F302 (Loop) : Stesen Bas Ipoh - Jalan Tun Abdul Razak - Jalan Tun Perak - Jalan Sungai Pari - Jalan Ng Song Teik - Jalan Ng Weng Hup - Jalan Silibin - Jalan Raja Perempuan Mazwin - Jalan Kledang Utara - Lebuhraya Ipoh-Lumut - Hala Perusahaan Menglembu 13 - Persiaraan Kledang Utara - Jalan Kledang Utara - Laluan Sungai Pari -Jalan Sungai Pari - Jalan Tun Perak - Jalan Tun Abdul Razak  

F305 (Loop) : Stesen Bas Ipoh - Jalan Tun Abdul Razak - Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab - Jalan Dato Sagor - Jalan Sultan Yusuf - Jalan Sultan Idris Shah - Jalan Dato' Onn Jaafar - Jalan Raja Musa Aziz - Jalan Hospital - Jalan Dato Seri Ahmad Said - Jalan Raja Musa Aziz - Jalan Sultan Idris Shah - Jalan Sultan Iskandar - Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab - Jalan Tun Abdul Razak  

F306 (Loop) : Stesen Bas Ipoh - Jalan Tun Abdul Razak - Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab - Jalan S.P. Seenivasagam - Jalan Sultan Idris Shah - Jalan Raja Di Hilir - Jalan Sultan Azlan Shah - Jalan Kelab Golf - Lorong Tun Dr Ismail - Persiaran Brash - Jalan Brash - Jalan Kelab Golf - Jalan Raja Di Hilir - Jalan Sultan Iskandar - Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab - Jalan Tun Abdul Razak   

Projek myBas adalah salah satu daripada pencapaian cemerlang projek kerajaan khususnya di dalam sektor pengangkutan awam, yang diselenggarakan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di bawah Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST).

Kini, rakyat Ipoh khususnya dan sekitar Perak amnya boleh menikmati penjimatan perbelanjaan dan masa seandainya ingin menyelusuri sekitar bandar Ipoh dan mengelak diri daripada tersesat bagi mereka yang pertama kali di sekitar bandar Ipoh.

Sejak dilaksanakan pada peringkat fasa pertama pada Jun 2016 dengan 6 laluan baru, jumlah penumpang sehingga Julai 2016 telah mencapai sehingga 47,147 penumpang. Kini, laluan myBas telah merangkumi tambahan laluan sebanyak 19 laluan yang meliputi 314km.

myBas di Ipoh adalah merupakan bandaraya ketiga di Semananjung Malaysia menerima manfaat ini selepas dilancarkan di Kangar dan juga Seremban. Bandaraya Johor Bahru dan Kuala Lumpur juga termasuk di dalam program myBas.

Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) ini telah diperkenalkan pada Ogos 2015 bertujuan agar perkhidmatan bas henti-henti di bandar-bandar di setiap negeri terus kekal dan dijadikan pilihan pengangkutan awam utama agar permudahkan akses perjalanan rakyat. Lebih utama, mutu perkhidmatan bas ditingkatkan manakala pengendali bas tidak perlu lagi bergantung kepada kutipan tambang untuk meneruskan operasi perniagaan mereka.

Bagi memastikan mutu perkhidmatan yang baik, pihak SPAD pula telah menetapkan sasaran KPI terhadap pengendali myBas seperti ketetapan masa, kebolehpercayaan, spesifikasi kenderaan dan kepuasan pengguna. 

Pihak SPAD juga akan terus memastikan perkhidmatan myBas menepati kehendak masyarakat tempatan dengan memperbaiki mutu perkhidmatan dalam mengambil kira masa perjalanan, kesalinghubungan, bilangan penumpang serta rangkaian laluan bas.

Friday, June 03, 2016

#myBAS UNTUK RAKYAT IPOH BERMULA 1 JUN 2016


Berita baik untuk warga sekitar Ipoh apabila projek perkhidmatan pengangkutan awam myBAS yang diperkenalkan SPAD dan dibiayai sepenuhnya kerajaan persekutuan akan bermula pada 1 Jun 2016.

Perkhidmatan bas henti-henti di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti ini telah berjaya dilaksanakan dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di Seremban dan Kangar.

Yang pasti, warga Ipoh akan menikmati sambungan laluan bas yang lebih luas di seluruh bandar Ipoh. Liputan penuh laluan myBAS Ipoh dijangka akan dilaksanakan pada bulan Ogos tahun ini. Dijangkakan akan meliputi sejauh 312km berbanding laluan yang sebelum ini hanya sejauh 132km.

Fasa 1 akan melalui Terminal Amanjaya (T30a), Stesen Bas Ipoh – Chemor (T30b, melalui Terminal Amanjaya), Stesen Bas Ipoh – RTC Gopeng (T34) dan Terminal Amanjaya – Stesen Bas Ipoh (T37, melalui – Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah) dan 2 laluan bas feeder: Oldtown Ipoh (F303) dan Bandaraya Ipoh – Jusco Ipoh (F304).

Perkhidmatan terus dari Stesen Bas Ipoh ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah juga telah disediakan. Di samping itu, stesen KTMB Ipoh juga akan dihubungkan dengan Stesen Bas Ipoh melalui laluan feeder baru dan terdapat juga perkhidmatan dari pelbagai lokasi ke Terminal Amanjaya.

Pengerusi SPAD Tan Sri Hamid telah menyatakan yang pihak SPAD telah menetapkan standard perkhidmatan baru untuk bas henti-henti dengan pengenalan myBAS dan akan terus memantau prestasi operator. Di bawah model ini, SPAD sebagai pihak berkuasa perancang akan bertanggungjawab ke atas rangkaian, kos operasi dan akan menerima hasil kutipan tambang.

Bagi syarikat pengendali pula, mereka akan dibayar bagi setiap kenderaan mengikut peratus kadar kilometer. Mereka juga dikehendaki untuk menunaikan tahap prestasi perkhidmatan yang dipersetujui untuk memastikan penumpang menikmati perkhidmatan dan sambungan laluan bas yang lebih baik.

Kerajaan Persekutuan telah komit untuk melabur RM100 juta bagi menjayakan projek SBST di mana pihak SPAD telah diamanah untuk mengetuai perlaksanaannya di lima bandar, iaitu Kangar, Seremban, Ipoh, Iskandar Johor dan juga Kuala Terengganu demi meningkatkan mobiliti dan akses di kawasan di luar Lembah Klang di mana bas masih merupakan tulang belakang pengangkutan awam darat.

MyBas ialah sebuah model yang menyamai dengan perkhidmatan bas merah di London di mana ia dikawal selia oleh kerajaan dan dikendalikan pihak swasta, yang menjadi sebahagian daripada usaha untuk mentransformasikan perkhidmatan bas henti-henti.

Saturday, February 20, 2016

KEJAYAAN MyBas KANGAR DAN SEREMBAN DIPERLUAS KE IPOH


Perkhidmatan bas henti-henti di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti atau Stage Bus Services Transformation (SBST) yang dibiayai oleh kerajaan telah diperkenalkan pada setahun lalu dan percubaan ini dapat kejayaan yang menggalakkan di Kangar dan kemudian di Seremban dan kini di Ipoh pula.

Kejayaan inisiatif kerajaan di Kangar dan Seremban ini diukur berdasarkan kepada kenaikan jumlah penumpang. Sehingga kini, jumlah penumpang bas di Kangar telah meningkat sehingga 50% sejak mula beroperasi pada 1 Ogos 2015, manakala di Seremban telah bertambah dari 53,500 kepada 99,000 dari 15 November sehingga Disember 2015.

MyBas ialah sebuah model yang menyamai dengan perkhidmatan bas merah di London di mana ia dikawal selia oleh kerajaan dan dikendalikan pihak swasta, yang menjadi sebahagian daripada usaha untuk mentransformasikan perkhidmatan bas henti-henti.

Apabila pihak kerajaan mengambil inisiatif ini, pihak kerajaan bukan mengambil alih operasi bas henti-henti ini malahan di pihak kerajaan akan menanggung operasi dan pengusaha MyBas akan dibayar. Setiap pengusaha MyBas diberikan kontrak selama lapan tahun untuk mengendalikan operasi dengan mengikut standard perkhidmatan yang ditetapkan pihak SPAD.

Selepas kejayaan di Kangar dan Seremban, perkhidmatan MyBas diluaskan ke Ipoh pula dengan perjanjian bersama The Combined Bus Services Sdn. Bhd. (TCBS). Majlis menandatangani ini telah berlangsung di ibu pejabat SPAD yang telah dihadiri Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Jaafar Albar, Pengerusi SPAD dan Mohd Azharuddin Mat Sah, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD.

Laluan myBas Ipoh akan melalui kawasan-kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan bas seperti Chemor, RTC Gopeng,Station 18, Menglembu, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Jusco Ipoh dan SMK Gunung Rapat dan juga diintegrasikan dengan stesen KTM. Daripada 12 laluan MyBas melebarkan perkhidmatan kepada 16 laluan yang meliputi 254 km.

Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid yakin yang inisiatif ini mampu beri manfaat kepada pengguna perkhimdatan bas dan akan diterima baik penduduk tempatan. Pihak SPAD telah menetapkan peningkatan jumlah penumpang dari 5.9 juta setahun ke 8.88 juta di dalam tahun pertama operasi.

Pada fasa pertama yang bermula pada tahun lepas, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM100 juta untuk perkhidmatan di Seremban dan Kangar dan seterusnya untuk Ipoh dan akan datang di Kuala Terengganu. Perkhidmatan myBas akan diperluaskan ke kawasan ibu kota negeri yang lain untuk tahun-tahun berikutnya dan kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM2.7 bilion sehingga tahun 2020 nanti.
 

Monday, August 24, 2015

172 PENGENDALI BAS HENTI-HENTI DISELAMATKAN DENGAN DANA SOKONGAN SEMENTARA SEJAK 2012

Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti atau ISBSF, (Interim Stage Bus Support Fund) adalah inisiatif kerajaan di atas prihatin Perdana Menteri DS Najib Razak bagi mengatasi pengendali-pengendali bas henti-henti dapat meneruskan perniagaan di samping memastikan kualiti perkhidmatan ditingkatkan dan sekali gus menggalakkan rakyat menjadikan bas sebagai mod pengangkutan.

Dana ini adalah langkah sementara agar dapat menyelamatkan perkhidmatan bas henti-henti, demi kepentingan rakyat yang terlibat selaras dengan 'Rakyat Didahulukan' yang sentiasa menjadi pendekatan kerajaan.

Bermula 3 Januari 2012 lalu, kerajaan telah memperuntukkan RM400 juta dana kepada pengendali-pengendali bas henti-henti yang masih bersedia untuk meneruskan perniagaan mereka terutama di kawasan luar bandar dan mereka yang layak perlu memohon kepada SPAD.

Dana bantuan ini diuruskan oleh SPAD dan ini merupakan rancangan jangka pendek terhadap masalah yang dihadapi oleh pengendali dan tujuannya adalah untuk menggalakkan lebih ramai pengendali bas untuk tampil memohon dana tersebut.

Sejak pengumuman itu, sebanyak 172 pengendali bas henti-henti dari seluruh Malaysia telah layak dengan keseluruhan jumlah bayaran sebanyak RM386.16 juta dari mula diluluskan kerajaan.

Dana ISBSF telah memberi manfaat kepada 332,232 penumpang sehari dengan 656 laluan di seluruh Tanah Air. Ini melibatkan perjalanan terkumpul sejauh 38.65 juga kilometer yang dikendalikan oleh 1,704 buah bas sebulan.



Pada Jumaat lalu, di dalam Majlis Penyampaian cek replika telah disampaikan oleh Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif, En Nur Ismal Mohamed Kamal kepada wakil-wakil daripada syarikat bas henti-henti dengan jumlah RM10.3 juta.

Di antara 11 wakil yang hadir adalah dari negeri Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan juga Sarawak.

Namun, dana yang berbentuk sementara ini sekadar membantu pengendali-pengendali bas meneruskan perniagaan setelah terkesan daripada peningkatan kos operasi. Kini satu lagi langkah dan inisiatif kerajaan yang disarankan pihak SPAD memperkenalkan satu skim yang lebih berbentuk kekal, iaitu Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) dengan pelancaran myBAS di setiap negeri.

Operasi myBAS telah pun bermula sejak 1 Ogos di Perlis dan bakal dilancarkan secara rasmi pada 25 Ogos. Pelancaran myBAS yang seterusnya akan dilakukan di Seremban, Ipoh, Kuala Terengganu dan Kuching.

Wednesday, June 10, 2015

'myBAS' - SELEPAS SEREMBAN, KINI DI PERLIS DAN KEMUDIAN DI SELURUH MALAYSIA

Masih ingatkah lagi apabila SPAD telah umumkan Seremban dipilih sebagai ibu negeri pertama menikmati sistem pengangkutan bas henti-henti? Blog ini telah menulis... DI SINI

Projek myBAS adalah sebahagian daripada program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti, yang bertujuan untuk meletakkan bas di kebanyakan laluan yang tidak mempunyai kemudahan pengangkutan awam di Malaysia.

Sehubungan itu, bertepatan dengan perancangan SPAD untuk memastikan sistem bas henti-henti ini beroperasi di ibu negeri lain, seterusnya bas henti-henti yang dikenali sebagai 'myBAS' telah menyusuri negeri Perlis melalui Kangar, Arau, Padang Besar sehingga sampai ke Wang Kelian. Operasi myBas bermula dari 6 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Pihak SPAD umumkan 24 buah myBAS untuk 15 laluan di Perlis dan 107 bas untuk 24 laluan di Seremban termasuk di sekitar Nilai. Bas henti-henti ini dijangka melebarkan laluannya sehingga ke Senawang, Tampin, KLIA, Broga dan Port Dickson. MyBas dijangka mampu membawa seramai 7.47 juta penumpang di Seremban dan 870,000 penumpang di Perlis setiap tahun.

Pada awalnya, SPAD merancang untuk memulakan operasi myBAS seawal bulan April, namun di atas faktor hampir 90% bas yang digunakan adalah bas-bas baru, maka proses pemasangan mengambil masa sedikit masa dan ini menyebabkan kelewatan. Di samping itu, kesemua myBAS akan dilengkapi dengan mesin tiket elektronik dan ujian demi ujian ketepatan kadar tiket juga telah mengambil masa yang agak lama.

Walaubagaimanapun, pihak SPAD yakin operasi perkhidmatan myBAS akan dapat dimulakan pada hujung bulan Jun ini.

Seperkara lagi, Kuala Terengganu akan mengeluarkan model myBASnya sendiri dan dijangka memulakan operasi pada Oktober tahun ini juga. Segalanya masih menunggu untuk memuktamadkan kontrak serta kos operasi kenderaan. SPAD menjangkakan kontrak akan dimeterai pada bulan ini.

Selepas Kuala Terengganu, kontrak myBAS akan dimeterai di Kuching pada bulan hadapan dan bagi Ipoh pula, tender dan proses penilaian telah pun dimuktamadkan dan kontrak akan ditandatangani pada akhir tahun ini.

Kesemua kontrak yang dimeterai adalah untuk pengendali tempatan di Semenanjugn Malaysia dan termasuk Kota Kinabalu dan Kuching dan sehingga tahun 2020, kerajaan dijangkakan membelanja sebanyak RM2.7 bilion.

Dengan program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti ini, bukan sahaja rakyat dan penumpang bas mampu menikmatinya, malahan ini adalah satu kaedah terbaik untuk selamatkan pengusaha bas henti-henti yang sedang berhadapan persaingan sengit dengan pengangkutan awam lain dan juga satu cara mengatasi kesesakan lalu lintas di mana, kebanyakan penduduk di Malaysia telah mempunyai kenderaan sendiri.