Wednesday, March 14, 2018

PENGUMUMAN SPAD : LALUAN MYBAS IPOH DISUSUN SEMULA


Sejak dilancarkan khidmat MyBas Ipoh pada 1 Jun 2016 lalu, pengguna bas di Ipoh telah pun menikmati perjalanan yang lebih selesa dan mudah malahan mereka juga hanya membayar dengan kadar tambang serendah RM1.00. Perkhidmatan bas henti-henti di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) di Ipoh ini telah dikendalikan oleh Perak Transit Berhad.

Program SBST oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), yang dilaksanakan sepenuhnya seawal 1 September 2016 telah menyusun jaringan laluan bas yang merentasi 19 laluan dan meliputi 314km. MyBas Ipoh adalah bandaraya ketiga di Semananjung Malaysia yang menerima manfaat dari peruntukan Kerajaan Pusat selepas dilakasanakan dengan jayanya di Seremban dan Kangar.

Peruntukan sebanyak RM100 juta ini juga akan dilebarkan ke bandaraya Johor Bahru dan terkini telah dilaksanakan di Kuala Terengganu.

Walaubagaimanapun, penyusunan semula laluan MyBas Ipoh tidak dapat dielakkan agar liputan laluan dapat ditingkatkan di mana 16 laluan yang merangkumi 367km berbanding 19 laluan yang hanya melalui jarak 314km sebelum ini. Kesemua laluan telah dikenalpasti dan akan dihubungkan kepada dua terminal utama iaitu Terminal Medan Kidd dan Terminal Amanjaya.

SBST yang diperkenalkan SPAD pada Ogos 2015 adalah juga bertujuan untuk menambah baik serta  meningkatkan standard syarikat perkhidmatan dengan membenarkan mereka untuk menumpukan perhatian kepada penyediaan perkhidmatan perjalanan yang terbaik; tanpa perlu bergantung kepada kutipan tambang. Selain daripada itu terdapat faktor insentif bagi menggalakkan syarikat pengendali bas terlibat untuk menjana pendapatan yang lebih.

Namun, sebagai satu langkah penambahbaikan, SPAD memantau KPI terhadap syarikat pengendali termasuk ke atas ketepatan masa, kebolehpercayaan, spesifikasi kenderaan dan kepuasan pengguna. Syarikat pengendali perlu mematuhi KPI tersebut dan akan dikenakan penalti sekiranya gagal memenuhi sasaran. 

Penyusunan semula ini juga akan memberi manfaat dan kemudahan kepada seluruh warga Ipoh di mana beberapa laluan telah digabung dan dipanjangkan berasaskan kepada jumlah penumpang di setiap kawasan. Maklumat butiran perubahan laluan myBAS Ipoh yang telah disusun boleh didapati ... DI SINI, atau menghubungi pengendali Perak Transit (peraktransit.com.my) di talian 05-545 5318 atau emel kepada enquiry@peraktransit.com.my atau layari laman Facebook www.facebook.com/PerakTransit/.

Selaras dengan komitmen kerajaan pusat di bawah parti pemerintah Barisan Nasional, ini telah membuktikan segala penambaikan pengangkutan awam darat adalah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat. Ia juga satu persiapan rapi apabila segala projek mega infra-rakyat untuk pengangkutan awam di Greater KL dan Lembah Klang beroperasi sepenuhnya menjelang 2022 nanti.

Yang pasti mobiliti dan akses rakyat akan bertambah selesa, selamat dan mampu menjimatkan waktu dan perbelanjaan mereka.

No comments: