Friday, March 30, 2018

SPAD PASTIKAN GABUNGAN GRABCAR DAN UBER TIDAK MENINDAS PENGGUNA


Sesuatu yang sangat membimbangkan pelanggan perkhidmatan GrabCar setelah syarikat ini mengumumkan mengambil alih Uber Technologies Inc’s dan penggabungan Grab dan Uber di Asia Tenggara adalah berkemungkinan menyebabkan kenaikan kadar tambang dan prestasi perkhidmatan yang bakal menurun. Apabila tiada persaingan dan monopoli berlaku, tidak mustahil kebimbangan ini akan berlaku.

Suruhanjaya Persaingan Singapura pada awalnya telah mendapati kesan dari penggabungan GrabCar dan Uber mampu mengakibatkan persaingan terjejas di mana GrabCar yang kini adalah syarikat terbesar memberi perkhidmatan alternatif teksi akan sewenang-wenangnya menentukan perubahan dan kenaikan tambang.

Namun, setelah diadakan mesyuarat segera di antara Datuk Seri Nancy Shukri dan GrabCar, syarikat tersebut telah memberi jaminan kepada SPAD dan juga Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), paling utama struktur tambang terkini tidak akan berubah dan terkesan walaupun GrabCar kini merupakan operator utama di dalam industri 'ride-hailing' ini.

Pada 26 Mac lalu, GrabCar telah mengesahkan mengambilalih semua operasi Uber di Asia Tenggara termasuk perkhidmatan penghantaran makanan, Uber Eats.

SPAD pula adalah pihak yang bertanggungjawab mengawalselia sektor e-hailing dan mereka telah memberi jaminan untuk memantau perkhidmatan GrabCar dalam rangka perundangan dan polisi sedia ada, tahap keselamatan operasi yang baik serta memastikan kebajikan penumpang dan pemandu sentiasa terpelihara.

Pihak SPAD juga tidak akan teragak-agak campurtangan sekiranya ada unsur-unsur nyata dalam perlaksanaan anti-persaingan dan pihak pengguna sistem e-hailing juga digalakkan membuat aduan kepada SPAD untuk disiasat dan diambil tindakan undang-undang terutamanya jika GrabCar sengaja mengenakan kenaikan tambang.

Inilah kelebihan yang ada di negara kita, walaupun pelbagai insentif dan peluang diberikan kerajaan untuk mewujudkan perkhidmatan baru seperti GrabCar, namun mereka terikat dengan undang-undang dan sentiasa dipantau SPAD serta agensi-agensi kerajaan lain. Rakyat juga perlu memainkan peranandan ruang untuk membuat aduan juga telah disediakan.
 

No comments: