Monday, April 16, 2018

MyBas BAKAL BEROPERASI DI JOHOR BAHRU PULA


Bermula dengan bandaraya Seremban, kemudian Arau, Ipoh, Kuala Terengganu dan kini giliran warga Johor Bahru pula bakal menikmati perkhidmatan MyBas dalam masa terdekat. Satu kontrak telah pun termeterai di antara pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama Handal Indah Sdn Bhd dalam pra-pelancaran myBas Johor Bahru di bawah program Transformasi Bas Berhenti-henti (SBST).

Kontrak tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Operasi SPAD, Puan Qamar Wan Noor, dan Pengarah Urusan Handal Indah, En. Lim Han Weng dan disaksikan oleh Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Sri Mohamed Khaled Nordin bersama-sama Pemangku Pengerusi SPAD Tan Sri Datuk Seri Utama Mohd Isa Abdul Samad.

MyBAS Johor Bahru akan melalui 27 laluan utama dan jarak perjalan sejauh 16.8 juta kilometer setahun dengan kekerapan setiap 20 minit berbanding kekerapan setiap 30 minit sebelum ini. Justeru, penumpang myBas di sekitar Johor Bahru pasti akan menikmati perkhidmatan bas yang lebih kerap dan menepati waktu di samping keselesaan dan keselamatan yang lebih terjamin.

Di samping itu, 222 bas diesel dan 27 bas eletrik akan memulakan perkhidmatan pada suku ketiga 2018 dan perkhidmatan sepenuhnya terutama bas eletrik yang bakal beroperasi secara berperingkat, lengkap pada suku kedua 2019. Namun, laluan-laluan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi akan diberi keutamaan dan seterusnya, fasa terakhir myBas ini akan memperkenalkan penggunaan bas elektrik.

Handal Indah sebagai syarikat pengendali utama akan disokong oleh syarikat-syarikat tempatan lain. Kenderaan yang digunakan pula terdiri daripada 4 jenis yang merangkumi bas panjang dengan kapasiti 65 penumpang, bas midi yang mampu dinaiki 50 penumpang, bas mini dengan 30 penumpang danbas elektrik bersaiz panjang dengan 65 penumpang.

Program myBas adalah inisiatif kerajaan dalam membantu syarikat-syarikat pengendali terus mampu bertahan dan berdaya-saing. Ia juga bertujuan agar penduduk di kawasan laluan bas henti-henti dapat meningkatkan mutu perkhidmatan mereka terutamanya ketepatan waktu.

Di bawah model SBST ini, laluan bas, kos operasi, kutipan tambang akan dipantau dan ditentukan pihak SPAD manakala syarikat pengendali akan dibayar mengikut Kos Pengendalian Kenderaan (Vehicle Operating Cost, VOC) bagi setiap kilometer dengan mematuhi syarat-syarat perkhidmatan yang telah dipersetujui didalam kontrak.

Sehingga Februari 2018, sejak dilancarkan Kangar, Seremban dan Ipoh, program myBas telah berjaya mencapai sejumlah 10.6 juta penumpang dan jarak laluan sejauh 1,723km.

Bukan saja penumpang yang selesa menikmati kenderaan yang lebih bagus malahan syarikat-syarikat pengendali bas henti-henti juga turut terbela dan perniagaan mereka dapat terus bernyawa.
 

No comments: