Showing posts with label bas ekspres. Show all posts
Showing posts with label bas ekspres. Show all posts

Wednesday, December 28, 2016

SPAD : PEMANDU BAS EKSPRES MEROKOK DISIASAT, HASIL DARI ADUAN NETIZEN

Video yg dihantar di Facebook
Sebuah rakaman video yang telah dikongsikan di laman Facebook yang jelas menunjukkan seorang pemandu bas ekspres sedang merokok dan mengguna telefon bimbit ketika membawa kenderaan, telah dikongsikan dan pihak SPAD memandang serius dengan perlakuan ini kerana ia bukan saja melanggar peraturan keselamatan penumpang malahan ia mampu membawa kepada kemalangan.

Bas ekspres tersebut adalah Mayang Sari yang dikendali syarikat Aerosystem Tour & Travel (M) Sdn Bhd. Kejadian berlaku pada jam 9.30 pagi.

Sepertimana yang telah disiarkan kenyataan rasmi SPAD, tindakan berikut telah diambil untuk mengesahkan kesahihan maklumat dan bertindak adil kepada mereka yang terlibat;
  • Pihak SPAD telah menemui pengarah syarikat bas ekspres serta pemandu terlibat untuk diambil keterangan serta mengesahkan maklumat yang diterima mengikut peruntukan undang-undang.
  • Pihak yang mengadu juga telah ditemui untuk merakam keterangan beliau dan rakaman video tersebut dijadikan bahan bukti.
  • Seandainya perbuatan pemandu didapati mempunyai unsur-unsur bahaya kepada penumpang dan juga pengguna jalanraya yang lain, pemandu terbabit akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 202, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD), pemandu tersebut boleh dihukum denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan, atau kedua-duanya sekali.
  • Dan sekiranya pemandu bas tersebut didapati bersalah kerena merokok di dalam kenderaan pengangkutan awam darat, beliau akan disabitkan di bawah Seksyen 203 APAD, di mana akan dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya sekali.
  • Syarikat bas pula boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 22 dan 23 APAD kerana mengingkari syarat-syarat lesen yang merangkumi aspek keselamatan, yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000, atau penjara tidak melebihi 2 tahun, atau kedua-duanya sekali.
  • Pada masa yang sama, pihak SPAD bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti PDRM dan JPJ yang menyiasat peraturan di bawah bidangkuasa dan peruntukan undang-undang masing-masing.
  • Setiap hukuman yang bakal dihadapi pesalah, pihak SPAD akan mengambil tindakan yang paling maksima kerana melanggar Kod Amalan Keselamatan Industri adalah syarat wajib bagi syarikat-syarikat bas untuk mendapatkan lesen operasi dari SPAD.
  • Kepada orang ramai pula, seandainya berhadapan dengan insiden yang dialami seperti pengadu ini, janganlah teragak-agak dan buatlah pilihan bijak untuk membuat laporan melalui saluran aduan SPAD seperti hotline kami di 1-800-88-7723, emel kepada aduan@spad.gov.my atau melalui Twitter kepada @aduanSPAD.
  • Pihak SPAD hanya memerlukan nama dan nombor telefon pengadu, tarikh, masa, tempat kejadian dan maklumat perjalanan (seperti gambar tiket daripada syarikat bas).

Monday, February 08, 2016

#VIDEO NETIZEN BANTU #SPAD BERTINDAK TEGAS DAN PANTAS

Cuba lihat gelagat pemandu bas ini dan sekiranya pihak SPAD mengambil tindakan tegas, apakah netizen akan terus salahkan SPAD?


Terima kasih juga kepada mereka yang telah upload video ini, dan inilah cara kita membantu SPAD di dalam membuat aduan.

Justeru, dari video yang telah pun diviralkan ini, pihak SPAD segera mengambil tindakan untuk menyiasat kejadian yang sangat tidak boleh kita kompromi. Berikut adalah tindakan SPAD yang telah diambil;

1. Siasatan lengkap oleh pihak SPAD di dalam tempuh 1 minggu sahaja

2. Keputusan diambil seminggu selepas siasatan lengkap

3. Suruhanjaya mengesyorkan pembatalan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV)  yang dimiliki pemandu 

4. Siasatan melibatkan saksi, pemandu dan juga syarikat bas ekspres

5. SPAD juga mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat pengendali bas

6. Tiada kompromi ke atas pemandu kenderaan awam yang melanggar etika

7. Tiada kompromi ke atas syarikat bas yang melanggar syarat-syarat lesen
Kenyataan Media 
SPAD MEMULAKAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG TERHADAP PENGENDALI DAN PEMANDU BAS YANG TERBABIT DALAM KEJADIAN SALAH LAKU YANG DIPAPARKAN
DI DALAM VIDEO VIRAL 


6 Februari, 2016 –Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah melengkapkan siasatan berkaitan kejadian salah laku seorang pemandu bas ekspres terhadap penumpang ketika di dalam perjalanan dari Melaka ke Pulau Pinang pada 25 Januari 2016 yang telah dipaparkan di dalam sebuah video viral.
 
Berikutan siasatan yang telah dijalankan oleh SPAD pada 1 Februari, 2016 bersama syarikat bas ekspres, pemandu dan seorang saksi, SPAD telah memulakan tindakan undang-undang terhadap pengendali bas kerana melanggar syarat-syarat lesen, yang termasuk kegagalan untuk memastikan pemandu bas sentiasa berkelakuan baik dan beretika ketika bertugas. 

SPAD juga telah mengeluarkan surat kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memohon pembatalan lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) pemandu yang terbabit. Ini bermakna pemandu tersebut tidak akan dibenarkan memandu kenderaan pengangkutan awam darat di masa akan datang.

Ekoran itu, pemandu berkenaan disahkan sebagai telah diberhentikan kerja oleh syarikat bas terlibat. Sementara itu, SPAD akan meneruskan kerjasama bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan yang masih sedang berjalan terhadap pemandu yang tidak bertanggungjawab itu. 

Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa SPAD melihat kejadian salah laku seumpama ini, sebagai satu perkara yang amat serius. Suruhanjaya percaya bahawa tindakan yang diambil terhadap pemandu dan pengusaha bas akan menjadi peringatan keras kepada industri bagi memastikan pengusaha bertanggungjawab atas kelakuan pemandu dan untuk terus memberikan perkhidmatan yang baik kepada penumpang. 

Kami menggesa orang ramai yang telah mengalami kejadian seumpama ini agar segera menghubungi kami melalui emel: aduan@spad.gov.my atau hotline ADUAN SPAD: 1-80088-7723 (SPAD) bagi membolehkan kami mengambil tindakan yang sewajarnya.

Dengan maklumat yang tepat, kami boleh memastikan pemandu yang tidak bertanggungjawab dapat dikenal pasti dan dikenakan tindakan. 
- Tamat -

Wednesday, December 23, 2015

TIKET BAS EKSPRES DI VENDING MACHINE DAN ATAS TALIAN


Untuk mengatasi kebimbangan jika kita tidak akan dapat tiket bas ekspres untuk balik kampung nanti pada cuti panjang menjelang cuti Maulidur Rasul dan Krismas, pihak SPAD ingin memaklumkan yang kemudahan Vending Machine telah disediakan dan belian tiket melalui sistem atas talian juga ada.

Senarai syarikat-syarikat bas ekspres? Sila layari ... http://www.spad.gov.my/ms/tiketBE

Kemudahan Vending Machine hanya boleh didapati di Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) dan telah disediakan 7 buah daripada 68 syarikat bas ekspres. Manakala pengguna yang ingin ke Pantai Timur melalui Hentian Jalan Pekeliling, mereka tetap boleh beli tiket secara online.

Walaubagaimanapun, kaunter-kaunter tiket tetap dibuka untuk TBS-BTS dan juga di Hentian Jalan Pekeliling. Sebanyak 41 kaunter sistem tiket berpusat juga telah dibuka bagi penjualan tiket cetakan komputer kepada pengguna. 

Yang penting perlu beli terlebih awal agar dapat elak daripada terpaksa beratur panjang nanti.

Dengan adanya kemudahan sistem hubungan pengangkutan awam lain seperti LRT, KTM Komuter, KLIA Transit dan perkhidmatan teksi di dalam satu lokasi di TBS-BTS, pasti dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas dan memudahkan perjalanan pengguna bas.

Pihak SPAD juga akan memastikan bas yang cukup di waktu-waktu cuti panjang ini. Permohonan Lesen Perubahan Sementera (LPS) juga telah dibuka kepada pengendali bas ekspres yang menyediakan bas tambahan. Tempoh sah LPS ini adalah dari 23 Disember 2015 hingga 3 Januari 2016. 
 

Saturday, January 31, 2015

SPAD DIRAYU TANGANI PENYANGAK BAS


@aduanSPAD adalah saluran terbaik jika ingin membuat aduan ke atas sebarang bentuk masalah dan kesalahan pengangkutan awam. Namun, adakalanya sesuatu isu pengangkutan awam itu ingin pula diselesaikan melalui kenyataan-kenyataan di media.

Baru-baru ini, satu keluhan telah dilakukan di MalayMail online bertajuk "Fed-up with rogue bus, association turns to SPAD for action".

Kisahnya apabila Persatuan pengusaha-pengusaha bas Negeri Sembilan membuat aduan ke atas bas henti-henti North South Speed Sdn Bhd’s (NSSS) yang dikatakan beroperasi di laluan yang tidak mendapat permit. Bas-bas henti kelas 'A' NSSS ini selalu melalui laluan perkhidmatan bas-bas ekspres dari Seremban ke Kuala Lumpur.

Persatuan ini berpandangan seandai bas henti-henti ini ingin beroperasi di laluan bas ekspres, mengapa tidak tukar permit dan patuh kepada peraturan yang ditetapkan.

Mengguna portal berita yang sama, pengusaha bas NSSS beri penjelasan mereka dan terus menafikan tuduhan Persatuan... seperti biasa. Penjelasan mereka pula;

Apabila LPKP beri permit laluan antara Seremban dan Kuala Lumpur, 2 perhentian diluluskan iaitu Serdang dan Nilai. Laluan bas henti-henti adalah lebih jauh dan ini melibatkan pertambahan kos operasi. Pengusaha bas NSSS yang dikenali sebagai Encik Chong menganggap permit bas henti-henti perlu membuat perhentian sebagai salah tafsir dan salah faham.

Bagi Encik Chong, seandainya ada di antara pemandu bas mereka menyalahi laluan, mereka boleh dikesan melalui GPS di dalam kesemua 12 Kelas-A bas dan mereka dipantau SPAD. Encik Chong juga menegaskan disebabkan perkhidmatanmereka yang memuaskan, maka SPAD tidak mengambil tindakan.

Setelah aduan dibuat dan pengusaha telah respon, kini pihak SPAD pula beri penjelasan. Ketua penguatkuasa SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad menerangkan bahawa;
1. Mengikut rekod SPAD, bas henti-henti kelas-A NSS telah telah melakukan 43 kesalahan dengan tiga bas dirampas tahun lalu.

2. NSS telah melanggar beberapa syarat dalam permit mereka dan pernah ditangkap kerana memandu laju.

3. Bas henti-henti  akan membuat perhentian di tempat-tempat yang telah ditetapkan sepanjang laluan mereka sementara bas ekspres akan terus kedestinasi mereka. Bas ekspres juga kadangkala berhenti di kawasan rehat sekiranya ada di sepanjang laluan. Oleh itu tidak ada beza di antara laluan bas henti-henti dan bas ekspres.

4. Seandainya pengusaha gagal mematuhi laluan perjalanan yang terkandung di dalam permit, mereka boleh didenda di bawah Seksyen 22 dari Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 di mana denda tidak kurang dari RM1,000 dan tidak lebih dari RM500,000 ATAU penjara tidak lebih dari 2 tahun ataupun kedua-duanya. Denda ke atas kesalahan akan dikenakan bukan saja ke atas bas kelas-A saja tetapi kesemua bas yang terlibat.

5. GPS yang dipasang di dalam bas TIDAK dipantau secara terus oleh pemandu bas atau SPAD.

6. Sekiranya pihak SPAD menerima aduan, pengusaha bas akan diminta untuk kemukakan rekod GPS yang dijejaki supaya imej grafik kesalahan boleh diperolehi. Walaubagaimanapun, sekiranya alat GPS tidak dipasang, lesen pengusaha akan dibatalkan.

Dengan senario di atas, apa yang mantra ingin maklumkan betapa pentingnya aduan SPAD dan respon SPAD yang pantas dalam memberi keterangan. Kita juga melihat pihak mengadu dan yang pihak yang diadu diberi peluang membuat penjelasan.

Namun perlu diingat, aduan melalui media samada media cetak atau portal berita TIDAK akan dapat menyelesaikan masalah tetapi sekurang-kurangnya mampu memberi maklumat kepada kita sebagai pengguna.

Isu di antara Persatuan Pengusaha Bas Negeri Sembilan dan pengusaha bas NSS, perlu diambil pengajaran di mana jangan ambil undang-undang di tangan sendiri serhingga melibatkan keselamatan dan keselesaan pengguna jalanraya. Samada peningkatan kos operasi sesebuah syarikat pengusaha bas akan bertambah, ia pasti mampu diatasi seandainya perkhidmatan yang diberi memuaskan hati pengguna tanpa perlu melanggar undang-undang.

Satu lagi perkara yang menarik di sini ialah, meletakkan GPS merupakan syarat utama pengusaha bas memperoleh permit dan SPAD tidak memantau secara terus seperti yang dimaklumkan Encik Chong. SPAD hanya bertindak untuk menyiasat jika ada aduan dan seterusnya membawa kesalahan ke muka mahkamah untuk diadili.

Oleh itu, sekali lagi media bukanlah tempat mendapatkan keadilan tetapi sekadar memberi penjelasan untuk kita sama-sama ambil pengajaran.

JANGAN ADA YANG CUBA MENEGAK BENANG YANG BASAH KERANA SPAD SENTIASA ADA PENJELASANNYA!!!

Thursday, May 29, 2014

GPS : APAKAH TINDAKAN TEGAS SPAD TERHADAP PENGENDALI BAS YANG DEGIL KETERLALUAN?


Kenyataan di atas adalah sangat jelas dan perlu dipatuhi oleh setiap pengendali bas. Penguatkuasaan ini bukan sekadar untuk mendapatkan lesen dan permit kenderaan malahan setiap pengendali perlu serius memikirkan kehendak keselamatan orang awam.

Apabila sesuatu kemalangan jalanraya yang melibatkan pengangkutan awam, SPAD adalah target mudah dipertanggungjawabkan dan dipersalahkan semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan juga. SPAD juga menjadi cemuhan rakyat dengan pelbagai tuduhan termasuk lemah mengambil tindakan tegas.

Harus kita ingat, penguatkuasaan SPAD adalah berasas apabila setiap tindakan dan penguatkuasaan berpandukan dasar kerajaan, suara rakyat dan juga mengambil kepentingan pengusaha-pengusaha kenderaan awam. Kesemua pihak telah diambilkira dan SPAD melaksanakan tanggungjawab mereka.

Pendedahan terbaru SPAD di dalam auditnya mendapati 52 syarikat bas ekspres masih beroperasi tanpa GPS ATAU sebarang alat pemantauan had kelajuan. Sesetengah syarikat pula hanya membuat pemantauan pada waktu pejabat sahaja, walaupun kebanyakan bas syarikat tersebut beroperasi pada waktu malam. Ada pula hanya mempunyai sistem asas sahaja, dan sistem berkenaan tidak mampu menyimpan data atau menghasilkan laporan kelajuan kenderaan bagi tujuan pengauditan serta pemantauan.

Lebih mengejutkan hanya 27 daripada 112 syarikat sedang memantau had kelajuan bas melalui GPS dari bilik kawalan secara menyeluruh dan berterusan (24 jam), 22 syarikat melakukan pemantauan melalui bilik kawalan tetapi tidak secara berterusan dan 63 syarikat tiada bilik kawalan pemantauan GPS.

Oleh itu, SPAD bakal menggantung 600 permit bas daripada 107 syarikat yang masih belum memasang GPS sepenuhnya berkuatkuasa 7 Jun ini.

Ini dengan jelas kesediaan dan kesungguhan pihak pengendali syarikat bas ekspres tidak mengendahkan keselamatan penumpang-penumpangnya. Oleh itu, adalah disarankan kepada SPAD untuk mengadakan satu kempen kesedaran diadakan sticker untuk setiap bas ekspres ini menunjukkan kenderaan tersebut menghargai keselamatan penumpangnya dengan adanya alat GPS tersebut.

Seandainya SPAD mengambil tindakan, pengendali-pengendali syarikat bas ekspres ini tidak perlu merasakan ia satu beban malahan perlu berfikiran positif apabila GPS ini akan memberi keyakinan penumpang untuk menaiki kenderaan mereka. Anggaplah ia satu tanggungjawab kepada rakyat dan satu pelaburan positif untuk jangkamasa panjang nanti.

Sesuatu yang baik pasti ada pelaburannya.

Monday, May 19, 2014

KURANGKAN SYARIKAT BAS EKSPRES ...



Tahun lepas Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) telah memohon SPAD mengkaji kenaikan tambang bas hingga 30% dengan pelbagai alasan bagi mengelakkan syarikat terbabit mengalami kerugian sehingga terpaksa menamatkan operasi. Itu tuntutan di musim perayaan. Namun, pihak kerajaan telah membenarkan pengusaha syarikat bas mengenakan caj tambahan sebanyak 10 peratus apabila tiba musim perayaan bagi membantu syarikat berkenaan.

Walaupun harga petrol dan diesel telah dinaikkan sebanyak 20 sen seliter pada 2 September tahun lalu, namun tiada kenaikan tambang tetapi pengusaha bas dibenarkan terus mengenakan caj tambahan 10 peratus setelah meneliti kesan langsung dan tidak langsung kenaikan harga bahan api ini kepada pengendali.

Akhirnya, semua pihak menang-menang dalam isu ini, di mana pengendali bas berpuas hati dan rakyat tidak rugi.

Baru-baru ini, kemalangan demi kemalangan jalanraya yang melibatkan bas ekspres sehingga mengadai nyawa manusia. Seperti biasa alasan demi alasan diberikan syarikat pengendali ekspres. Yang pasti kesalahan diletakkan di bahu pemandu. Paling memeranjatkan apabila ada pemandu bas yang mendakwa dipaksa memandu jarak jauh walaupun keadaan tidak sihat dan mengantuk.

Pihak SPAD didesak mengambil tindakan untuk menggantung lesen pengendali bas syarikat tersebut. Namun, menurut Pengerusi SPAD ia bukanlah bukan langkah penyelesaian yang berkesan untuk mengelak kecuaian dan kesalahan yang dibuat oleh pemandu bas pada masa akan datang.

Beberapa faktor lain telah dikenalpasti pihak SPAD bagi menghadapi masalah-masalah di atas.

Menurut CEO SPAD, En Mohd Nur Ismal Kamal, terlalu banyak syarikat pengendali bas ekspres dan kini terdapat 71 syarikat yang aktif di seluruh negara. Akibatnya, syarikat mengalami kekurangan pemandu dan kapasiti penumpang yang rendah terutama pada hari biasa. Bayangkan lapan bas ke destinasi yang sama manakala hanya memerlukan tiga buah bas sahaja. Seandainya kapasiti penumpang tidak memenuhi kouta, ini bakal mengakibatkan syarikat pengendali bas tersebut mengalami kerugian.

Apabila terlalu banyak bas ke satu destinasi, pihak SPAD juga mengalami kesukaran mengesan dan mengumpul data perjalanan bas dan ini termasuk perjalanan penumpang.

Oleh itu, adalah wajar jika pihak SPAD mencadangakan untuk mengurangkan syarikat-syarikat pengendali bas ekspres. Namun, cadangan ini masih diperingkat kajian.

Cadangan ini juga telah mendapat respon positif dari Setiausaha Eksekutif Persatuan Operator Bus Pan Malaysian, En Teoh Ewe Hun apabila menyatakan industri bas telah menghadapi masalah dengan terlalu banyak syarikat beroperasi lebih dari 20 tahun.

Apa-apa pun ini baru di peringkat cadangan dan diharap dengan kerjasama dari syarikat pengendali bas dapat mengatasi masalah yang mereka hadapi dan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada orang ramai yang seiring dengan objektif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).