Saturday, February 14, 2015

PRESIDEN MCA TERIMA BAIK BERTEMU ISMAIL SABRI DEMI SARANAN PERDANA MENTERI

Air sungai tidak sentiasa mengalir tenang dan adakalanya berkelocak bila melawan arus apatah lagi bila arus yang berlawanan datang dari pelbagai arah.

Begitulah terjadi baru-baru ini apabila kenyataan Menteri Asas Tani di laman sosial mengeluarkan kenyataan menyelar peniaga-peniaga Cina yang enggan menurunkan harga barang walaupun kerajaan telah umumkan penurunan sumber utama peniaga-peniaga iaitu minyak dan tarif eletrik. Di tambahkan lagi apabila arus yang lebih berlawanan apabila Ketua Pemuda MCA semeja dengan DAP mengutuk kenyataan Ismail Sabri yang dianggap 'kenyataan rasis'.


Demi perpaduan dan persahabatan yang telah lama terjalin di antara parti-parti komponen Barisan Nasional, Dato Ismail Sabri telah secara terbuka menyesali kenyataannya yang telah menimbulkan polimik di antara UMNO dan MCA.

Untuk menunjukkan sikap pemaaf dan setiakawan parti-parti komponen BN, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai mewakili parti Cina terbesar telah memberi sokongan kepada kenyataan kesal Datuk Ismail Sabri dan berharap agar isu ini ditamatkan segera dan meneruskan berkhidmat kepada rakyat tanpa mengira bangsa.

Terdahulu Perdana Menteri pula telah menyeru agar semua parti komponen BN menumpukan perhatian kepada usaha-usaha untuk memupuk semangat perpaduan negara kerana sebarang pertelingkahan yang boleh menuju kepada polarisasi kaum di negara ini tidak sepatutnya dipanjangkan kerana ia hanya akan membawa kemudaratan kepada semua.

Selaku Presiden MCA dan rakan di dalam satu kabinet jemaah menteri, Datuk Seri Liow Tiong Lai bukan sekadar menerima kenyataan mohon maaf tetapi bersedia untuk membuat perjumpaan dengan Datuk Ismail Sabri setelah diminta untuk memberi penjelasan oleh Kabinet Menteri. Datuk Liow sangat berharap agar isu ini dapat diselesaikan secara muafakat dan yang terbaik.

Sementara itu, DAP yang merupakan parti pembangkang telah mengambil kesempatan memburukkan keadaan apabila Kit Siang telah menyebarkan gambar Datuk Liow dan Datuk Ismail Sabri yang sedang berbaris ketika menerima kunjungan rasmi Presiden Indonesia.

Betullah kata Pengerusi Biru Publisiti MCA, Chai Kim Sen, jika MCA ingin ikut rentak permainan murahan DAP, mereka juga boleh sebarkan gambar Setiausaha Agung Guan Eng yang mesra bersama-sama Nazri Azir, Menteri Pelancongan. DAP hanya tahu mengapi-apikan saja tetapi tidak bersama-sama untuk menyelesaikan masalah yang sedang rakyat Malaysia hadapi.

Bagi Naib Presiden MCA Datuk Chua Tee Yong pula, DAP cuba lari dari isu perang dengan PAS yang melibatkan hukum hudud dan pilihanraya PBT. DAP telah menghadapi tekanan yang sangat kuat setelah pembohongan Guan Eng didedahkan rakan pakatan mereka sendiri, Datuk Mustapa Ali (PAS) apabila Guan Eng secara sembunyi telah bersetuju agar PAS menyertai jawatankuasa teknikal hudud persekutuan.

DAP sengaja mengaitkan hal ini dengan agenda perkauman ekoran majoriti aktiviti ekonomi di Malaysia dikuasai oleh kaum Cina. Jika dilihat sejarah politik negara, DAP sendiri bersifat rasis apabila mengeluarkan pelbagai kenyataan membabitkan orang Melayu dan agama Islam walaupun melibatkan parti rakan mereka PAS. Sering kali juga DAP dengan angkuh tidak akan memohon maaf atau sebarang usaha untuk menarik balik kenyataan mereka.

Berbeza sekali dengan MCA yang sentiasa inginkan setiap perbezaan pendapat dan ketelanjuran dari pemimpin parti komponen lain, diselesaikan secara baik dan menghormati saranan Perdana Menteri demi mengukuhkan perpaduan nasional samada di dalam Barisan Nasional dan juga di kalangan rakyat Malaysia.

1 comment:

Mat Cendana said...

Yang dok cuba nak jadikan isu besar yang berterusan ialah penyokong DAP kebanyakannya. Bagi satu orang yang buat kenyataan macam Ismail Sabri, ada 50 DAP yang hati nyata busuk, niat jahat.