Friday, February 27, 2015

RESTORAN PERTAMA FELDA DI PINTU MASUK ARAB SAUDI


Setelah memiliki hotel di London (baca di sini) dan memiliki Encorp Berhad, sebuah syarikat gergasi hartanah di Malaysia, kini Felda Investment Corporation
Sdn Bhd (FIC) telah membuka restoran pertama Malaysia di Jeddah.

FIC adalah anak syarikat FELDA yang bertanggungjawab dalam aktiviti perniagaan bukan perladangan dan kini terlibat dalam pembangunan hartanah, hospitaliti dan aktiviti pelaburan strategik.

Perancangan membuka restoran di Jeddah ini telah dicadangkan sejak Februari tahun lalu berikutan sambutan menggalakkan terhadap masakan Melayu yang ditawarkan restoran Felda D’Saji di Mekah. Malahan cadangan ini telah mendapat sokongan Konsulat Malaysia di Jeddah dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Pada masa yang sama, Restoran Felda D'saji telah pun bertapak di Mekah dan dari inspirasi itulah maka membuka restoran di Jeddah pula. Restoran dengan 112 tempat duduk yang terletak hab komersil paling eksklusif di Jeddah, Tahlia Street, dikendalikan oleh Felda D'Saji Sdn Bhd, anak syarikat Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd. 

Tahlia Street, Jeddah juga dikenali sebagai Prince Mohammad bin Abdulaziz St., terletak di tengah-tengah Jeddah dan daerah paling kaya di Arab Saudi. Di sini juga terletaknya kawasan membeli-belah dengan butik bagi jenama seperti Prada, Gucci, Versace, Cartier, Chanel, Louis Vuitton, Dolce & Gabbana, Ralph Lauren and Giorgio Armani.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah melancarkan restoran di Jeddah baru-baru ini dan yakin peluang terbaik untuk Malaysia dan Arab Saudi mengukuhkan hubungan dengan pencambahan antara budaya. Turut hadir ialah Konsul Besar Malaysia di Arab Saudi, Khalid Abbasi dan Ketua Pegawai Eksekutif FIC, Mohd Zaid Abdul Jalil.

Restoran ini merupakan tambahan kepada pelbagai pilihan makanan di Jeddah, terutama sekali kerana FIC dan D'Saji bukan sahaja mahu menarik pelanggan Malaysia dan Asia tetapi juga mahu memanfaatkan kedudukan Jeddah sebagai pintu masuk ke Arab Saudi.

Walaupun Felda sedang mengalami cabaran perniagaan di sektor perladaganan, dengan pelaburan hartanah dan hospitaliti menunjukkan Felda akan sentiasa berdaya saing. Ini menunjukkan kepelbagaian sektor perniagaan terutama hartanah dan hospitaliti yang dijalankan Felda mampu meletakkan kedudukannya sentiasa mampan dan bertahan di dalam apa jua keadaan.

No comments: