Thursday, February 26, 2015

"KAI GONG" MCA BUKAN SEKADAR UPACARA DAN KEPERCAYAAN


Bangsa cina kaya dengan adat resam dan di dalam meraikan Tahun Baru Cina, mereka juga akan memulakan pekerjaan atau perniagaan mereka. Ketika ini mereka akan memilih satu tarikh yang sangat sesuai yang dinamakan "kai gong da ji" di mana mereka percaya permulaan di Tahun Baru yang akan membawa kejayaan dan tuah yang mendatang.

MCA sebagai parti politik bangsa cina tidak ketinggalan berharap agar kejayaan dan kemakmuran menyebelahi mereka dan satu acara "kai gong" diadakan pada hari pertama mereka memulakan pekerjaan dengan dentuman paluan irama gong dan simbal. MCA memilih hari kelima di tahun kambing ini dan upacara ini diadakan di Wisma MCA, Jalan Ampang.


Upacara "kai gong" tidak akan bermakna tanpa disertai dengan tarian singa dan naga. Datuk Sri Liow sebagai Presiden MCA dan Timbalannya Datuk Wee Ka Siong telah mengetuai upacara ini dan sebagai tradisinya, mereka akan memberi 'ang pau' sebagai penghargaan kepada kakitangan MCA.

Untuk menyebarkan kemakmuran, tenaga positif, kerjasama padu dan kesihatan yang baik untuk semua pemimpin dan kakitangan MCA, mereka mengiringi Datuk Liow ke setiap tingkat pejabat. Bagi menjalin hubungan mesra di antara kakitangan MCA pula, pemimpin-pemimpin MCA turut mengadakan sambutan 'yee sang'. Seramai 50 kakitangan ibu pejabat MCA dan Koperasi Jayadiri (Kojadi) telah menyertainya.

Di antara pemimpin-pemimpin MCA yang telah hadir termasuk Setiausaha Agong Dato' Seri Ong Ka Chuan, Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon, Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie dan Ahli Jawatankuasa Pusat MCA.

Inilah kekayaan sebenar Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum. Perayaan "kai gong" ini telah menarik perhatian pelancung dari luar negara dan juga rakyat tempatan di mana mereka turut serta bergambar dan menonton persembahan tarian singa dan naga.

Kita juga seronok dapat mempelajari serba sedikit adat kaum Cina untuk lebih mengenali mereka. Dikatakan upacara "kai gong" ini, dimulakan dengan menyalakan lampu warna warni dan hidangan makanan manisan seperti gula-gula, kek atau biskut dan elakkan dari makanan yang pedas atau masam. Mereka juga percaya sekiranya di hari permulaan mereka bekerja terdapat jual beli, maka ini adalah petanda tuah.

Sebagai rakyat Malaysia, bukan saja MCA yang memohon untuk mendapat tuah dan kemakmuran tetapi doa mereka juga adalah untuk kita semua.

No comments: