Wednesday, September 09, 2015

KONTRAK PROJEK KERETAPI LAJU KL-SINGAPURA HANYA DIUMUMKAN PADA 2017


Di antara projek-projek yang dilancarkan di bawah ETP atau Program Transformasi Ekonomi, projek keretapi laju KL-Singapore adalah projek yang sangat dinanti-nantikan rakyat Malaysia. Ini adalah kerana ia bakal menjadi satu kebanggaan Malaysia apabila teknologi rel yang pasti canggih akan dapat dipamerkan di negara kita nanti.

Perjalanan melalui rel di antara Kuala Lumpur dan Singapura hanya memakan masa 90 minit dengan kepantasan 330km sejam, melalui 8 stesen yang dikenalpasti, dijangka dapat disaksikan rakyat Malaysia pada 2022.

Bagi pihak kerajaan pula, ia mengambil aspek manfaat ekonomi kepada pertumbuhan pendapatan negara dan manfaat untuk rakyat pula dilihat mampu menjana pendapatan di sepanjang perhubungan antara Kuala Lumpur dan Singapura. Di antaranya termasuklah pelaburan hartanah dan perniagaan serta galakkan industri pelancungan.

Di Fasa Pertama, peringkat membuat kajian dan perancangan rapi telah pun siap di mana melibatkan perjanjian dan persefahaman di antara kerajaan Malaysia dan Singapura. Kajian HSR meliputi aspek daya majunya projek ini, aspek perniagaan, faedah dan pelan pelaksanaan projek.

Satu kajian untuk menentukan lokasi yang optimum untuk perhentian pusat di Singapura masih berterusan manakala di Kuala Lumpur zon pertumbuhan semula di Sungai Besi telah dipilih sebagai tapak yang lebih popular sebagai hab integrasi pengangkutan. 

Kini memasuki Fasa Kedua. Langkah seterusnya adalah apabila Kerajaan Malaysia telah meluluskan penubuhan MyHSR Corp untuk mengurus sepenuhnya projek mega ini, yang mungkin mencapai sehingga RM40 bilion. Namun kos sebenar akan hanya dapat diketahui setelah proses tender dimuktamadkan sepenuhnya.

Memandangkan projek ini akan siap dalam tempuh 5 tahun dan dijangkakan pada tahun 2022, maka pihak SPAD hanya akan umumkan perincian kontrak pembinaan HSR pada tahun 2017. Penyiapan tender masih di dalam proses penilitian di mana pihak Singapura juga perlu mengambil bahagian dan bersetuju. Ia bukan sesuatu yang mudah kerana ia juga melibatkan persetujuan kerajaan Singapura.

Terdahulu, beberapa perkara berkenaan keretapi laju ini telah dikongsikan seperti jangkakaan tambang yang banyak bergantung kepada tambang penerbangan bajet. Tambang HSR juga akan berubah setiap hari. Walaubagaimanapun, SPAD melihat sekiranya tambang perjalanan sehala tidak melebihi RM200, ia mampu menarik dan mempromosi kegunaan HSR dengan lebih meluas dari sektor perniagaan dan pelancongan.

Seperkara lagi, memandangkan situasi Ringgit yang lemah ketika ini, pihak CIDB melihat ia akan mempunyai kesan minimum kerana kontraktor telah pun membuat tambatan nilai kos bahan tetapi akan memberi kesan kepada peralatan keretapi kerana biasanya ia diimport dan bagi mengurangkan kos, sebanyak mungkin bahagian peralatan keretapi ini hendaklah dipasang dalam negara.

Di samping betapa terujanya rakyat Malaysia menantikan ketibaan keretapi laju di negara kita, walau bagaimana lambat dan tingginya kosnya nanti, yang lebih penting adalah projek ini perlu dipastikan bukan sahaja baik tetapi ia perlukan satu kecemerlangan.

Saturday, September 05, 2015

MCA AMBIL INISIATIF REDA KETEGANGAN KAUM, DAP KEKAL JADI BATU API


Jika diimbas kembali sebelum Perhimpunan haram Bersih 4.0 diadakan selama 2 hari, DAP mewakili parti pembangkang sungguh ghairah mengadakan kempen menyeru ahli-ahlinya untuk turun ke jalan menentang kerajaan. Sebaliknya PAS mengambil langkah untuk mengumumkan tidak menyertai perhimpunan Bersih kali ini. Bagi PKR pula, walaupun menyokong namun tidak mampu menarik penyertaan ahli-ahli mereka seramai mungkin.

Walau apa pun niat mereka, satu hakikat yang kita dapat lihat ialah peserta Bersih 4.0 kali ini, hampir 90 peratus pesertanya adalah dari bangsa Cina. Penyertaan majoriti bangsa Cina bukan sahaja di Kuala Lumpur malah jika dilihat dari maklumat penganjur, ini juga berlaku di perhimpunan-perhimpunan luar negara.

Penyertaan majoriti bangsa Cina kali ini telah menimbulkan beberapa spekulasi politik negatif terhadap MCA terutamanya datang dari serangan DAP. Sekaligus telah menimbulkan ketegangan kaum di antara bangsa Cina dan Melayu.

MCA telah mengadakan satu sidang akhbar untuk menyatakan pendirian mereka. Datuk Liow selaku Presiden MCA menggesa BN mengadakan mesyuarat secepat mungkin bagi membincangkan langkah-langkah bagi meredakan keadaan. Oleh itu, sebagai parti terbesar bangsa Cina yang mewakili kerajaan pemerintah, MCA mengambil pendekatan untuk lebih mengambil inisiatif meredakan ketegangan di antara kaum.


Dalam kenyataan Datuk Liow, berkali-kali diingatkan MCA mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kurang ajar sesetengah peserta Bersih. Malangnya kali ini, ia dilakukan peserta-peserta bangsa Cina. Kejadian memijak gambar pemimpin, membuat replika wang neraka dengan meletak gambar pemimpin, membawa penyapu, mengeluarkan kata-kata kesat dan berkelakuan biadap bukanlah budaya orang Cina.

Jika kita masih ingat kejadian Guan Eng dan beberapa pemimpin DAP yang lain telah memijak gambar ahli-ahli DUN Perak, kita tertanya-tanya budaya biadap yang dibawa ke Bersih 4.0 ini, siapa yang menggalakkan jika bukan dari budaya DAP?

Bukan sekadar menggalakkan budaya biadap, DAP juga bertanggungjawab ke atas ketegangan kaum di antara Melayu dan Cina. Ini adalah salah satu bukti dari Teresa Kok yang jelas menghasut kebencian terhadap bangsa Melayu melalui kenyataan politiknya;

Kenapa perlu sebut Melayu?

Walaupun kelihatan perhimpunan Bersih 4.0 tidak dihijack pihak pembangkang, tetapi apabila DAP terus menanam semangat kebencian antara satu sama lain, pada masa yang sama, DAP bertanggungjawab mencerminkan bangsa Cina adalah bangsa yang besungguh-sungguh ingin menjatuhkan kerajaan kepimpinan DS Najib Razak melalui demonstrasi jalanan.

Ini bertentangan dengan pendekatan DAP yang memilih provokasi dan kebencian. Kedua-dua kepimpinan tertinggi MCA, Datuk Liow dan Datuk Wee lebih menitikberatkan kerjasama, perpaduan dan keharmonian kaum di negara. MCA akan lebih lantang menyuarakan isu keharmonian dan mempertahan kedaulatan undang-undang dan ini adalah janji MCA.

Maka MCA berpendirian mengutuk sekeras-kerasnya tindakan biadap peserta-peserta bersih.

Sebagai parti yang mewakili kerajaan, MCA akan terus mendengar rintihan rakyat dan memberi penerangan serta seterusnya membantu. Berbeza pula dengan pendekatan DAP yang hanya pandai menyoal serta timbulkan keraguan dan seterusnya semai kebencian.

Masih ingat bencana banjir di Pantai Timur dan bencana gempa bumi di Sabah? Siapa yang tidak putus-putus menghulur bantuan? Apa DAP buat untuk bantu rakyat ketika itu walaupun bangsanya sendiri selain menjadikan bangsa Cina bangsa pemberontak yang biadap di negara ini.

Friday, September 04, 2015

PENEROKA FELDA ADALAH RAKYAT YANG TAHU 'MENSYUKURI NIKMAT'

 
Peneroka Felda baru saja diraikan di majlis tahunan mereka dan kali ini sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2015 diadakan di Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu. Tema yang dipilih 'Mensyukuri Nikmat' dan tidak dapat dinafikan setelah lebih dari setengah abad Felda diwujudkan, pelbagai nikmat telah diperolehi peneroka.

Turut hadir di majlis itu Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Pengarah Besar Felda Datuk Hanapi Suhada, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Felda Global Ventures Holdings Berhad, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Samsudin Othman.

Dari keupayaan membangunkan tanah peneroka dengan baik sehingga berjaya di dunia, membela nasib peneroka keluar dari garis kemiskinan, mewujudkan pusat pertumbuhan baru di luar bandar, nasib generasi kedua Felda yang terbela dan yang terkini apabila FGV melebarkan perniagaan Felda di pasaran antarabangsa di dalam usaha kerajaan melakukan transformasi.

Kesemua kejayaan ini adalah hasil daripada iltizam politik yang kini telah diteruskan oleh DS Najib Razak.

Oleh itu, amat tepat sekali seruan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad agar warga peneroka di 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara perlu memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar Felda terusan dikagumi di seluruh dunia.

Sebagai kerajaan pemerintah yang prihatin, satu peruntukan untuk tahun 2015 sebanyak RM999.4 juta kepada semua warga FELDA yang bertujuan untuk proses pembangunan semua tanah rancangan. 8 aspek yang dikenalpasti iaitu;

a) Pengajian Tinggi dan Pembangunan Generasi Baharu 
    sebanyak RM51.5 juta
b) Pendidikan Menengah Rendah RM20.9 juta, Bonus Insentif
c) Produktiviti Peneroka sebanyak RM55 juta
d) Pelan Perlindungan Peneroka dan Feldajaya RM22 juta
e) Pembiayaan Sara Hidup sebanyak RM379 juta
f)  Pendahuluan Hasil sebanyak RM411 juta
g) Skim Pembesaran Rumah Peneroka RM15 Juta dan;
h) Skim Latihan Generasi Baharu sebanyak RM15 juta

Kejayaan ini menjadi jasa perjuangan kerajaan selama ini kepada keluarga peneroka Felda di seluruh negara dan dengan adanya warga yang sentiasa mensyukuri nikmat ini, bukan sahaja Felda perlu dipertahankan dari anasir-anasir perosak negara malahan mereka perlu keluar dari kepompong lama untuk menjana pendapatan.

Sebagai rakyat yang mensyukuri nikmat, Tan Sri Isa sempat berpesan kepada warga Felda supaya ingatkan peribahasa peninggalan nenek moyang seperti ‘mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurahkan’, ‘sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna’ dan ‘sudah terhantuk baru tengadah’, agar warga Felda mengetahui bahawa mereka adalah golongan pertama yang dapat menikmati hasil kemerdekaan negara dan segala usaha berterusan bagi membela nasib mereka ditingkatkan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri.

Thursday, September 03, 2015

PRESIDEN MCA : #SEHATISEJIWA DEMI MALAYSIA


Sehati Sejiwa adalah satu tema yang sinonim dengan perpaduan dan bersatu. Setiap kali dalam meraikan Hari Merdeka, tema perpaduan adalah merupakan mesej penting perlu disampaikan memandangkan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai etnik bangsa.

Inilah juga mesej yang ingin diutarakan Presiden MCA Dato' Sri Liow Tiong Lai kepada semua rakyat terutama bangsa Cina yang diwakili parti politik ini.

Jika diimbas kembali sejarah kemerdekaan negara, syarat utama pihak British melepaskan Tanah Melayu adalah apabila bangsa Melayu, Cina dan India dapat bersatu dan ini telah dibuktikan dengan semangat perpaduan di bawah parti Perikatan yang terdiri dari UMNO, MCA dan MIC ketika itu.

Kejayaan Malaysia hari ini telah diperkukuhkan dengan semangat dari Sabah dan Sarawak yang membentuk negara bernama Malaysia.

Lautan mana yang tak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan. Begitulah negara kita dalam menuju kejayaan, dugaan demi dugaan telah kita lalui dan di dalam era ini, negara kita sedang menghadapi cabaran ekonomi global serta insiden-insiden malapetaka dan tidak kurang dengan serangan persepsi.

Selama lebih setengah dekad, kita bersungguh-sungguh membina jambatan kejayaan dan tiba masanya kita melalui jambatan mempertahankan kejayaan yang telah dibina oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. 

 

Oleh itu mesej yang sama juga ingin disampaikan Presiden MCA dan di antara intipatinya adalah;

1. Perjuangkan nilai-nilai asas perpaduan dan keharmonian.

2. Jenguklah semula azam dan kesetiaan pengasas negara terdahulu.

3. Tanpa mengira siapa kita tetapi sebagai rakyat Malaysia, bersatu hati menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan makmur.

4. Janganlah terpedaya dengan anasir-anasir yang cuba menghancurkan khazanah bangsa.

5. Tiba masanya rakyat Malaysia bangkit melindungi apa yang telah dipertahankan pengasas kemerdekaan kita selama ini.
 

Bagi menghadapi cabaran yang mendatang, perpaduan dan bersatunya rakyat Malaysia ditagih, ikuti teks penuh Presiden MCA;

KENYATAAN MEDIA
OLEH YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN

Bersatu Demi Malaysia yang Lebih Kukuh
 

Hari ini merupakan hari penghormatan di atas segala pengorbanan dan jerih payah para pejuang dan bapa kemerdekaan kita dalam membina asas negara yang kita cintai ini. Pada hari ini juga kita mengiktiraf mereka yang terus memperjuangkan nilai-nilai asas perpaduan, keharmonian dan penerimaan seiring dengan tema sambutan Merdeka tahun ini iaitu Sehati Sejiwa.

Sejak merdeka, kita telah membuktikan kekuatan kita sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian bangsa, tradisi, budaya dan kepercayaan. Kebelakangan ini, kita sering diuji dengan pelbagai ujian mendatang dan cabaran ekonomi. Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk sama-sama kita imbau kembali azam dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi yang telah dipamerkan oleh para pengasas negara yang terdahulu. Kita harus percaya bahawa selagi kita bersatu hati dan teguh bersama, semestinya kita akan dapat mencapai lebih banyak kejayaan sebagai sebuah negara berdaulat.

Oleh itu, marilah kita berdiri bersama, seluruh warganegara rakyat Malaysia, tua dan muda, tanpa mengira bangsa dan kedudukan sosial, dengan azam yang jitu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan makmur.

Kita adalah rakyat Malaysia yang cintakan tanah air ini. Daripada terpedaya dengan anasir-anasir yang cuba memecahbelahkan Malaysia, marilah kita sebaliknya mengekang perasaan curiga dan segala unsur perpecahan sambil berusaha bersama-sama untuk membina sebuah negara yang lebih mapan, baik dari segi ekonomi mahupun sosial. Sudah tiba masanya untuk kita bangkit dan melindungi kepelbagaian budaya kita yang merupakan khazanah bangsa dalam usaha kita menjadi sebuah masyarakat yang lebih maju dan matang.

Sekali lagi, Selamat Hari Merdeka saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kepada mereka yang bercuti pada hujung minggu ini, semoga selamat dalam perjalanan dan berhati-hati di jalan raya.

Wednesday, September 02, 2015

TERIMA KASIH EN NUR ISMAL DAN SELAMAT DATANG EN AZHARUDDIN KE SPAD

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diwujudkan pada tahun 2012 dengan bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam darat bagi memenuhi peningkatan perjalanan yang telah mencecah ke 40 juta pada waktu itu.

Setelah kerajaan menggariskan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara, sebagai agensi kerajaan yang telah diamanahkan untuk perlaksanaannya, SPAD telah bergerak secara dinamik dan pastinya memerlukan seseorang yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menerajui agensi ini.

Di antara pengangkutan awam yang mendapat perhatian khusus kerajaan ialah projek keretapi laju di antara KL-Singapura. Memandangkan fokus khusus diperlukan, maka En Mohd Nur Ismal telah diamanahkan untuk menerajui myHSR Corp sebagai Pegawai Eksekutif yang baru.

En Azharuddin mula bertugas sebagai CEO pada 1 September 2015

Bagi meneruskan amanah kerajaan agar operasi SPAD berjalan dengan dinamik untuk mencapai sasarannya, En Mohd Azharuddin Bin Mat Sah telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya, berkuatkuasa 1 September 2015 bagi mengganti En Mohd Nur Ismal.

En Azahruddin pernah memegang jawatan sebagai Pengarah, Greater KL / Lembah Klang dan Bandar Pengangkutan Awam PEMANDU (Persembahan Pengurusan dan Pelaksanaan Unit, Jabatan Perdana Menteri) sebelum dilantik ke jawatan CEO SPAD.

Pelbagai pengalaman dan pengalaman dari pelbagai jawatan penting dalam organsasi seperti Microsoft sebagai Pengarah Kumpulan Sektor Awam, Malaysia, Khazanah Nasional sebagai Naib Presiden Kanan Projek Khas dan Royal Dutch / Shell dengan tugas di Malaysia dan korporat ibu pejabat di London, adalah merupakan satu kelebihan bagi penambahbaikan pengurusan SPAD. Kesinambungan usaha-usaha SPAD dalam memastikan pertumbuhan eksosistem pengangkutan awam darat agar berdaya maju adalah peranan utama yang dipertanggungjawabkan kepada En Azharuddin.

Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar selaku Pengerusi SPAD positif dengan perlantikan En Azharuddin dan yakin dengan kemampuan pengetahuan serta pengalaman beliau untuk bekerjasama dalam menggerakkan setiap rancangan dengan lebih fokus dan lancar.

Pada masa yang sama, Tan Sri Hamid juga mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada En Nur Ismal yang telah bersama-sama SPAD sejak penubuhannya. Bukan sahaja SPAD telah mampu mencapai sasaran perancangannya dalam masa 5 tahun, tetapi En Nur Ismal adalah merupakan rakan kerja yang sentiasa bersama-samanya menghadapi dan mengatasi setiap isu pengangkutan awam darat.

Sepanjang 5 tahun ini juga, En Nur Ismal bersama-sama Tan Sri Hamid telah mampu menyelesaikan beberapa isu kritikal dan di antaranya seperti tragedi kemalangan bas di Genting Highlands, isu kenaikan tambang teksi yang dipolitikkan sesetengah pihak, penyelesaian tuntutan kenaikan kadar tambang bas sekolah serta penyelesaian tuntutan Kesatuan Pekerja KTMB.

Adalah bertepatan apabila kerjasama Tan Sri Hamid dengan En Nur Ismal diibaratkan seperti aur dengan tebing mahupuan seperti isi dengan kuku apabila setiap konflik rakyat yang bersabit pengangkutan awam, mendapat respon pantas dari mereka berdua. Imej SPAD juga telah dibawa ke tahap yang dihormati dan diterima baik rakyat apabila isu-isu seperti ulat tiket, samseng kereta sapu dan lori hantu telah diambil tindakan agresif mengatasinya.

Selama SPAD diterajui Tan Sri Hamid bersama-sama En Nur Ismal, nasib pengusaha-pengusaha bas henti-henti dan teksi telah dapat diselamatkan malahan diperbaiki dengan usaha-usaha rancangan 'win-win' kepada mereka dan juga rakyat.

Terima kasih En Nur Ismal dan Selamat Datang En Azharuddin ke SPAD semoga setiap perancangan akan lebih dinamik dan berterusan.