Tuesday, July 21, 2015

#LOWYAT : NIAT PRESIDEN MCA HANYA UNTUK KEKALKAN PERPADUAN ANTARA KAUM

Di dalam perutusan Hari Raya AidilFitri 2015 Perdana Menteri Najib Razak, beliau ada menyebut tentang pentingnya memelihara silaturrahim di antara kaum;
Pada hari baik di Aidil Fitri yang mulia ini, marilah kita kembali kepada fitrah. Jernihkan hubungan yang telah layu, perkukuhkanlah persaudaraan yang hampir lesu. Bukalah seluas-luasnya pintu hati, pintu rumah dan pintu-pintu kebaikan serta jendela silaturrahim 1Malaysia.

... serta 2 lagi mesej perpaduan Perdana Menteri melalui akaun twitternya;


dan juga arahan tindakan beliau;


Oleh itu, di mana silapnya apabila Presiden MCA, Datuk Sri Liow Tiong Lai turut menyahut seruan Perdana Menteri dengan cadangan untuk mengadakan sambutan aidilfitri bersama di Plaza Low Yat?

Dari sudut politik, apakah sebagai Presiden sebuah parti politik yang mewakili bangsa Cina ingin meredakan ketegangan di antara bangsa Cina dan Melayu dilihat sebagai tidak rasional? Inilah bezanya di antara DAP dan MCA di mana DAP akan ambil kesempatan menjarakkan lagi ketegangan bangsa ini tetapi MCA yang terkenal dengan misi hidup serumpun di dalam suasana harmoni dan bekerjasama, cuba merapatkan semula jurang ketegangan.

Prihatin Presiden MCA tidak terhenti di sini walaupun mendapat pelbagai reaksi. Setelah membuat lawatan ke Plaza Low Yat dan melihat sendiri keadaan perniagaan di sana dan mendengar rintihan peniaga-peniaga di sana, MCA bercadang mengatur satu sesi dialog di antara peniaga Low Yat Plaza dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di dalam masa terdekat.

Mungkin ada di antara kita yang tidak sedar dengan kesan yang lebih besar jika insiden Low Yat dibiarkan berterusan memainkan api perkauman terutama persepsi-persepsi negatif di laman media sosial.

Yang pasti negara kita akan dianggap sebagai sebuah negara yang kuat perkaumannya dan sedang mengalami ketegangan kaum. Apabila ini berlaku, pasti menimbulkan kesangsian dan ketakutan pelancong luar negara. Justeru, pelabur-pelabur asing terutamanya dari negara China akan ragu-ragu berniaga di Malaysia. Akhirnya, hubungan dua hala di antara China dan Malaysia pasti renggang.

Inilah kelebihan MCA yang menjadi kegagalan DAP dalam mengekal dan menggalakkan perpaduan nasional di negara kita. Syabas MCA!

Saturday, July 18, 2015

KAMI PUN NAK RAYA DARI WARGA KOTA TINGGI



Ucapan Aidil Fitri dari warga Kota Tinggi lain dari yang lain... Dendangan lagu raya khas untuk warga Kota Tinggi; 


Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Dan Batin
Posted by Ehsan Harun Rashid on Monday, July 13, 2015
 


Yang pasti warga Kota Tinggi sangat bertuah mendapat seorang pemimpin seperti Datuk Ehsanuddin yang  ingin berkongsi keceriaan dan keriangan Aidil Fitri bersama-sama warga Kota Tinggi...


Disamping itu, kemeriahan Aidil Fitri di Kota Tinggi telah diberi peluang bersiaran langsung pihak RTM1 di dalam program "Kami Pun Nak Raya bersama warga Kg Sentosa, Kg Gembut, Kg Sayang dan sekitarnya di Legaran Air Gemuruh...



PERUTUSAN AIDIL FITRI 2015 PERDANA MENTERI



Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Aidilfitri dan Salam 1Malaysia,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd

1. Alhamdulillah, segala puji-pujian dirafakkan ke hadrat Allah SWT, kerana saban tahun, apabila terbitnya fajar syawal yang mulia, umat Islam di Malaysia dan serata dunia, dengan penuh kesyukuran dan rasa gembira, menyambut hari kemenangan yang ditunggu-tunggu, setelah sebulan kita berpuasa, mujahadatun nafsi, yakni berjihad melawan hawa nafsu. 

2. Sesungguhnya, Ramadan, adalah bulan yang penuh keberkatan dan begitu istimewa. Padanya diturunkan Al-Quran dan terkandung Lailatul Qadar, yakni malam yang lebih baik dari seribu bulan. 

3. Benarlah bahawa, ramadan itu bulan untuk mentarbiyyah jiwa dan mensuci hati, membina akhlak serta membangun peribadi. 

4. Menunaikan ibadah puasa, tidak hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, atau mengekang hawa nafsu semata-mata. 

5. Bahkan, ia mampu mendidik rohani dan menginsafi diri, supaya sentiasa berasa belas serta lebih prihatin, khususnya terhadap nasib golongan yang serba kekurangan dan dihimpit pula kesempitan hidup. 

6. Meskipun umat Islam di beberapa negara-negara lain sedang bergelut menempuh rintangan, negara ini pula berdepan dengan pelbagai cabaran dan musibah yang tidak terduga, masyarakat Islam di Malaysia, tetap merayakan Aidilfitri dengan keriangan dan penuh kemeriahan, tanpa diganggu oleh sesiapa pun. 

7. Ini semua hanya boleh berlaku, sekiranya negara ini ditadbir dan diuruskan melalui kepemimpinan yang cekap serta berkesan. 

8. Sebab itulah, baru-baru ini Fitch Ratings, sebuah agensi penarafan kredit antarabangsa telah meningkatkan unjuran Malaysia daripada ‘negatif’ kepada stabil’.

9. Sekaligus meletakkan Malaysia pada asas ekonomi yang kukuh dan berada di landasan yang betul, dalam usaha menuju sebuah negara High Income Advanced Economy menjelang tahun 2020. 

Saudara dan Saudari,

10. Kira-kira beberapa minggu yang lalu, kita dikejutkan dengan serangan pengganas di Tunisia, Kuwait dan Perancis. Tindakan kejam angkara kumpulan militan Negara Islam atau IS itu, telah mengakibatkan ramai orang awam yang tidak berdosa terbunuh dan mencederakan ratusan yang lain.

11. Semestinya, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut dan tindakan terkutuk itu benar-benar bertentangan serta terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

12. Sedangkan ajaran Islam yang suci menganjurkan kedamaian dan mengajak manusia berpegang kepada prinsip wasatiyyah, yakni kesederhanaan, dengan tidak terlalu ekstrem dalam kefahaman, bukan pula sangat liberal atau longgar akidahnya dalam beragama.

13. Sememangnya, kita sentiasa mengutuk sebarang tindakan yang tidak berperikemanusiaan, waima dilakukan oleh sesiapapun tanpa mengira agama, keturunan dan sempadan geografi. 

14. Lantaran, Kerajaan akan meningkatkan pemantauan dan keselamatan, agar fahaman ekstrem seperti militan IS ini, tidak akan merebak serta menular masuk ke negara ini.

15. Seterusnya, Malaysia akan terus beristiqamah bagi membantu dan memperjuangkan nasib golongan yang tertindas, di seluruh dunia. 

16. Apatah lagi, jika ia menimpa saudara seakidah kita seperti yang berlaku di Palestin, atau mana-mana sudut di arena global ini. 

17. Sebagai Pengerusi ASEAN 2015, Malaysia juga turut bersimpati akan nasib malang kaum pelarian Rohingya dan berperanan dengan menawarkan bantuan-bantuan yang sewajarnya kepada mereka.


Saudara dan Saudari,

18. Mutakhir ini, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara Islam progresif dan menjadi contoh di kalangan negara membangun serta negara Islam yang lain. Tambah mengukuhkan kedudukan tersebut, kita telah melancarkan Indeks Syariah Malaysia pada 10 Februari 2015. 

19. Indeks ini, merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di Malaysia, yang belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana negara. Ia menjadi satu kaedah pengukuran saintifik, bagi menentukan ukur kedudukan dalam menjalankan pentadbiran negara, berdasarkan kepada prinsip Maqasid Syariah. 

20. Pada sisi lain, saya mendengar dan amat memahami keluh kesah rakyat masa kini, terutama berhubung dengan kos sara hidup yang kian meningkat. 

21. Sebab itulah, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban kehidupan mereka, antaranya menambah kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia, untuk tahun ini. 

22. Berkaitan hal ini, rakyat patut membuat aduan terhadap peniaga-peniaga yang mengenakan harga yang tidak berpatutan dan keuntungan berlebihan.

23. Malah, dalam Rancangan Malaysia Kesebelas yang dibentangkan baru-baru ini, selain berusaha mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable, growth with equity, ditekankan juga tentang keperluan membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah, yakni B40. 

24. Namun, saya mengambil maklum, ini semua masih belum mencukupi. Yakinlah, apabila hasil pendapatan negara bertambah, Kerajaan akan terus mencari jalan untuk melakukan lebih banyak lagi inisiatif, bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

 
Saudara dan Saudari,

25. Berbekalkan kepada mafhum pengertian surah Al-Anfal ayat 60, yang menyeru umat Islam supaya sentiasa bersiap siaga dengan sepenuh kekuatan dan terus berwaspada, untuk berdepan dengan segala kemungkinan serta realiti semasa. 

26. Ini termasuk ancaman dari dalam dan luar, ataupun campurtangan kuasa asing, yang sering cuba untuk mengganggu-gugat kestabilan, kerukunan serta kedaulatan negara, yang kita telah kecapi selama ini. 


Saudara dan Saudari,

27. Kini, Ramadan telah pun berlalu, syawal pula kunjung tiba. Tatkala menyambut kemeriahan perayaan ini, marilah kita merakamkan takziah dan simpati kepada semua mereka yang pernah ditimpa bencana. 

28. Ingatan ini, turut dipanjangkan kepada para anggota keselamatan yang sedang bertugas di perbatasan mahupun di mana-mana inci bumi bertuah ini. 

29. Termasuklah juga kepada wira-wira yang tidak didendang dan turut sama mempertaruhkan jiwa serta raga, demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanahair tercinta.

30. Pada hari baik di Aidil Fitri yang mulia ini, marilah kita kembali kepada fitrah. Jernihkan hubungan yang telah layu, perkukuhkanlah persaudaraan yang hampir lesu. Bukalah seluas-luasnya pintu hati, pintu rumah dan pintu-pintu kebaikan serta jendela silaturrahim 1Malaysia. 


Saudara dan Saudari,

31. Di hari raya, ziarahilah ayah dan ibu, yang mungkin lama tidak bertemu. Ingatlah, apabila semua itu sudah berlalu, yang tinggal adalah kenangan dan sebuah kerinduan.

32. Di hari raya ini, kunjungilah sanak dan saudara, tak kira dekat atau nun jauh di sana, dengan mengajak rakan taulan berbilang bangsa dan agama, berkunjung ke kediaman anda, bermaaf-maafan serta menjamu selera. 

33. Pada kesempatan ini juga, saya dengan kerendahan hati, ingin menyusun jari nan sepuluh, mohon ampun dan kemaafan dipinta, bagi pihak diri, isteri serta seisi keluarga, atas segala kesalahan dan khilaf yang mungkin tidak disengajakan. 

34. Bersempena kedatangan bulan syawal ini, saya berazam untuk berusaha segigih mungkin, dalam mentransformasikan Malaysia ke mercu kejayaan. 

35. Saya juga berdoa, semoga Allah SWT mengurniakan kerahmatan ke atas seluruh umat Islam, agar mereka menyambut hari lebaran ini, dengan gembira dan bahagia, bersama yang tersayang di sisi. 

36. Akhir kalam, kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia, bersatu padulah kita semua hendaknya, hentikan fitnah menfitnah sesama agama dan rakan sebangsa. Bersabarlah dengan ujian, teguhkanlah pendirian, kerana yang batil itu akan musnah, jalan kebenaran pasti muncul dan terbentang jua akhirnya.

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Friday, July 17, 2015

KESEMPATAN AIDIL FITRI UNTUK KUKUHKAN HUBUNGAN DAN ERATKAN PERPADUAN DARI PRESIDEN MCA

Walaupun umat Islam meraikan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa dan meningkatkan amal ibadah, di dalam masyarakat yang berbilang kaum, Presiden MCA, Dato' Sri Liow mengambil kesempatan di hari mulia ini menyampaikan mesej untuk mengukuhkan hubungan sesama rakyat dan sentiasa mengeratkan perpaduan.

Sebagai seorang pemimpin politik di kalangan bangsa Cina, seruan ini sangat penting kepada semua rakyat yang mencintai kedamaian dan keharmonian hidup bersama agar setiap perayaan dapat dikongsi dan dinikmati bersama.



KENYATAAN AKHBAR
OLEH YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN
 
Liow: Aidilfitri kukuhkan hubungan, eratkan perpaduan
 
Saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia. Semoga sambutan Aidilfitri bagi umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia dilengkapi dengan penuh keberkatan, kesyukuran serta kegembiraan.
 
Seperti juga musim-musim perayaan yang lain, musim lebaran ini merupakan kesempatan terbaik untuk mengukuhkan hubungan silaturrahim dan persefahaman antara kalangan rakyat Malaysia. Sebagai sebuah masyarakat majmuk, rakyat Malaysia amat memahami dan sama-sama menanti-nantikan kehadiran Hari Raya sambil merayakannya bersama lebih-lebih lagi dengan amalan kunjung-mengunjung antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
 
Rakyat Malaysia sesungguhnya amat bertuah kerana dapat hidup bersama dalam sebuah negara secara harmoni yang penuh dengan kepelbagaian kaum serta berpeluang menyambut dan meraikan pelbagai jenis perayaan dengan penuh riang-ria dan menghayati budaya yang berwarna-warni. Ini haruslah dihargai dan dipegang teguh oleh kita semua bukan sahaja untuk perayaan kali ini, tetapi lebih penting lagi, untuk generasi akan datang yang bakal menjadi pemacu kemajuan negara.
 
Akhir kata, diharapkan bahawa sambutan Syawal pada tahun ini akan terus menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Disamping itu, nikmatilah Hari Raya ini dengan berhati-hati semasa di jalan raya demi insan-insan yang tersayang.

Seharusnya kita bersyukur dapat menyambut setiap perayaan di dalam suasana tenang dan meriah. 

Semoga kita semua dapat mengekalkan keharmonian dan riang ria di Aidil Fitri dan eratkan perpaduan dengan semangat kunjung mengunjung di antara saudara, rakan dan kenalan tanpa berprasangka di antara kaum.

Tuesday, July 14, 2015

TIADA ISTILAH KOMPROMI DARI SPAD UNTUK KESELAMATAN PENUMPANG ETS



Keselamatan penumpang yang mengguna kenderaan awam darat adalah keutamaan SPAD (Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat) dan tidak sekali-kali akan dikompromi, itu adalah mesej khusus dan jelas kepada pihak yang berkepentingan.

Oleh itu, pihak SPAD juga bukan sengaja untuk memberi alasan bagi menangguhkan operasi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) walaupun telah diumumkan pihak-pihak yang berkepentingan baru-baru ini yang melibatkan 10 buah gerabak keretapi elektrik yang telah dibeli dari negara China.

Adalah menjadi satu kewajipan untuk mematuhinya memandangkan keretapi ETS dari CST Zhuzhou Electric Locomotive Ltd yang digunakan untuk membawa penumpang, memecut dengan kelajuan 160 km/jam dan menjadikannya keretapi paling pantas di negara ini.

Unit pertama dari negara China ini dengan kod ETS 201 telah gagal menjalani ujian wajib 'fault-free running' selama lapan hari berturut-turut di mana kali pertama ujian tersebut telah dilakukan pada bulan Jun oleh pihak SPAD.

Mengikut protokol antarabangsa, setiap keretapi perlu melalui sejauh 10,000 km tanpa gagal di dalam mana-mana kriteria yang berkaitan dengan keselamatan dan juga keselesaan.

Komponen utama yang diuji termasuklah sistem pendorongan, brek, penghawa dingin, pengendalain operasi pintu, bekalan kuasa tambahan, sistem perlindungan automatik keretapi, 'suspension', kawalan keretapi dan pengurusan sistem, 'couplers', dan juga 'wipers'.

Setiap kali kegagalan direkodkan, maka odometer akan diset semula dan ujian bermula sekali lagi sehingga meliputi keseluruhan 10,000km.

Mengikut Ketua Bahagian Rel di SPAD, En Yusliza Daud menyatakan ETS201 telah gagal menjalani ujian beberapa kali sejak dijalankan pada 11 hingga 18 Jun.

Pada 1 Julai, ETS201 telah meliputi sejauh 6,600km tanpa masalah dan keretapi ini seterusnya telah disiarkan pihak media ketika lawatan Menteri Pengangkutan ke CRC Rolling Stock Centre Malaysia.

Keretapi kedua yang dikenali dengan ETS2002 telah menjalani ujian berdekatan Ipoh manakala lapan lagi keretapi masih di dalam proses pemasangan.

Untuk pengetahuan, keretapi ETS memerlukan sistem bekalan elektrik yang tinggi kerana ia akan melalui landasan terowong terpanjang di Malaysia kira-kira 3.2km di Berapit, Kuala Kangsar. Seandainya berlaku kerosakan di tengah-tengah terowong, ini bermakna penumpang ETS akan berjalan sejauh hampir 1.5km untuk sampai di antara dua penghujung terowong. Dan ia akan menjadi lebih sukar sekiranya kerosakan berlaku pada waktu malam.

'Wiper' keretapi juga penting bagi memastikan pemandu dapat melihat signal landasan dengan jelas dan keselamatan terjamin.

Oleh itu, dengan ketegasan SPAD tanpa berkompromi ke atas soal keselamatan dan keselesaan mana-mana pengangkutan awam darat, maka adalah tidak adil jika tuduhan yang menyatakan SPAD cuba menghalang kegembiraan dan keghairahan rakyat untuk menaiki keretapi yang sangat ditunggu2kan ini.

Apakah kita masih ingat tragedi bas di Genting Highlands di mana akhirnya, SPAD juga yang dipersalahkan kerana konon terlalu kompromi soal keselamatan penumpang. Maka sebagai sebuah suruhanjaya yang mengawalselia setiap pergerakan operasi pengangkutan awam, tindakan terperincidan tegas SPAD adalah sangat-sangat dialukan.