Showing posts with label Hari Raya Aidil Fitri. Show all posts
Showing posts with label Hari Raya Aidil Fitri. Show all posts

Saturday, July 18, 2015

PERUTUSAN AIDIL FITRI 2015 PERDANA MENTERI



Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Aidilfitri dan Salam 1Malaysia,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd

1. Alhamdulillah, segala puji-pujian dirafakkan ke hadrat Allah SWT, kerana saban tahun, apabila terbitnya fajar syawal yang mulia, umat Islam di Malaysia dan serata dunia, dengan penuh kesyukuran dan rasa gembira, menyambut hari kemenangan yang ditunggu-tunggu, setelah sebulan kita berpuasa, mujahadatun nafsi, yakni berjihad melawan hawa nafsu. 

2. Sesungguhnya, Ramadan, adalah bulan yang penuh keberkatan dan begitu istimewa. Padanya diturunkan Al-Quran dan terkandung Lailatul Qadar, yakni malam yang lebih baik dari seribu bulan. 

3. Benarlah bahawa, ramadan itu bulan untuk mentarbiyyah jiwa dan mensuci hati, membina akhlak serta membangun peribadi. 

4. Menunaikan ibadah puasa, tidak hanya sekadar menahan lapar dan dahaga, atau mengekang hawa nafsu semata-mata. 

5. Bahkan, ia mampu mendidik rohani dan menginsafi diri, supaya sentiasa berasa belas serta lebih prihatin, khususnya terhadap nasib golongan yang serba kekurangan dan dihimpit pula kesempitan hidup. 

6. Meskipun umat Islam di beberapa negara-negara lain sedang bergelut menempuh rintangan, negara ini pula berdepan dengan pelbagai cabaran dan musibah yang tidak terduga, masyarakat Islam di Malaysia, tetap merayakan Aidilfitri dengan keriangan dan penuh kemeriahan, tanpa diganggu oleh sesiapa pun. 

7. Ini semua hanya boleh berlaku, sekiranya negara ini ditadbir dan diuruskan melalui kepemimpinan yang cekap serta berkesan. 

8. Sebab itulah, baru-baru ini Fitch Ratings, sebuah agensi penarafan kredit antarabangsa telah meningkatkan unjuran Malaysia daripada ‘negatif’ kepada stabil’.

9. Sekaligus meletakkan Malaysia pada asas ekonomi yang kukuh dan berada di landasan yang betul, dalam usaha menuju sebuah negara High Income Advanced Economy menjelang tahun 2020. 

Saudara dan Saudari,

10. Kira-kira beberapa minggu yang lalu, kita dikejutkan dengan serangan pengganas di Tunisia, Kuwait dan Perancis. Tindakan kejam angkara kumpulan militan Negara Islam atau IS itu, telah mengakibatkan ramai orang awam yang tidak berdosa terbunuh dan mencederakan ratusan yang lain.

11. Semestinya, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan tersebut dan tindakan terkutuk itu benar-benar bertentangan serta terpesong daripada ajaran Islam yang sebenar.

12. Sedangkan ajaran Islam yang suci menganjurkan kedamaian dan mengajak manusia berpegang kepada prinsip wasatiyyah, yakni kesederhanaan, dengan tidak terlalu ekstrem dalam kefahaman, bukan pula sangat liberal atau longgar akidahnya dalam beragama.

13. Sememangnya, kita sentiasa mengutuk sebarang tindakan yang tidak berperikemanusiaan, waima dilakukan oleh sesiapapun tanpa mengira agama, keturunan dan sempadan geografi. 

14. Lantaran, Kerajaan akan meningkatkan pemantauan dan keselamatan, agar fahaman ekstrem seperti militan IS ini, tidak akan merebak serta menular masuk ke negara ini.

15. Seterusnya, Malaysia akan terus beristiqamah bagi membantu dan memperjuangkan nasib golongan yang tertindas, di seluruh dunia. 

16. Apatah lagi, jika ia menimpa saudara seakidah kita seperti yang berlaku di Palestin, atau mana-mana sudut di arena global ini. 

17. Sebagai Pengerusi ASEAN 2015, Malaysia juga turut bersimpati akan nasib malang kaum pelarian Rohingya dan berperanan dengan menawarkan bantuan-bantuan yang sewajarnya kepada mereka.


Saudara dan Saudari,

18. Mutakhir ini, Malaysia dikenali sebagai sebuah negara Islam progresif dan menjadi contoh di kalangan negara membangun serta negara Islam yang lain. Tambah mengukuhkan kedudukan tersebut, kita telah melancarkan Indeks Syariah Malaysia pada 10 Februari 2015. 

19. Indeks ini, merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di Malaysia, yang belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana negara. Ia menjadi satu kaedah pengukuran saintifik, bagi menentukan ukur kedudukan dalam menjalankan pentadbiran negara, berdasarkan kepada prinsip Maqasid Syariah. 

20. Pada sisi lain, saya mendengar dan amat memahami keluh kesah rakyat masa kini, terutama berhubung dengan kos sara hidup yang kian meningkat. 

21. Sebab itulah, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meringankan beban kehidupan mereka, antaranya menambah kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia, untuk tahun ini. 

22. Berkaitan hal ini, rakyat patut membuat aduan terhadap peniaga-peniaga yang mengenakan harga yang tidak berpatutan dan keuntungan berlebihan.

23. Malah, dalam Rancangan Malaysia Kesebelas yang dibentangkan baru-baru ini, selain berusaha mencapai pertumbuhan yang bersifat inklusif, sustainable, growth with equity, ditekankan juga tentang keperluan membantu golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah, yakni B40. 

24. Namun, saya mengambil maklum, ini semua masih belum mencukupi. Yakinlah, apabila hasil pendapatan negara bertambah, Kerajaan akan terus mencari jalan untuk melakukan lebih banyak lagi inisiatif, bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

 
Saudara dan Saudari,

25. Berbekalkan kepada mafhum pengertian surah Al-Anfal ayat 60, yang menyeru umat Islam supaya sentiasa bersiap siaga dengan sepenuh kekuatan dan terus berwaspada, untuk berdepan dengan segala kemungkinan serta realiti semasa. 

26. Ini termasuk ancaman dari dalam dan luar, ataupun campurtangan kuasa asing, yang sering cuba untuk mengganggu-gugat kestabilan, kerukunan serta kedaulatan negara, yang kita telah kecapi selama ini. 


Saudara dan Saudari,

27. Kini, Ramadan telah pun berlalu, syawal pula kunjung tiba. Tatkala menyambut kemeriahan perayaan ini, marilah kita merakamkan takziah dan simpati kepada semua mereka yang pernah ditimpa bencana. 

28. Ingatan ini, turut dipanjangkan kepada para anggota keselamatan yang sedang bertugas di perbatasan mahupun di mana-mana inci bumi bertuah ini. 

29. Termasuklah juga kepada wira-wira yang tidak didendang dan turut sama mempertaruhkan jiwa serta raga, demi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan tanahair tercinta.

30. Pada hari baik di Aidil Fitri yang mulia ini, marilah kita kembali kepada fitrah. Jernihkan hubungan yang telah layu, perkukuhkanlah persaudaraan yang hampir lesu. Bukalah seluas-luasnya pintu hati, pintu rumah dan pintu-pintu kebaikan serta jendela silaturrahim 1Malaysia. 


Saudara dan Saudari,

31. Di hari raya, ziarahilah ayah dan ibu, yang mungkin lama tidak bertemu. Ingatlah, apabila semua itu sudah berlalu, yang tinggal adalah kenangan dan sebuah kerinduan.

32. Di hari raya ini, kunjungilah sanak dan saudara, tak kira dekat atau nun jauh di sana, dengan mengajak rakan taulan berbilang bangsa dan agama, berkunjung ke kediaman anda, bermaaf-maafan serta menjamu selera. 

33. Pada kesempatan ini juga, saya dengan kerendahan hati, ingin menyusun jari nan sepuluh, mohon ampun dan kemaafan dipinta, bagi pihak diri, isteri serta seisi keluarga, atas segala kesalahan dan khilaf yang mungkin tidak disengajakan. 

34. Bersempena kedatangan bulan syawal ini, saya berazam untuk berusaha segigih mungkin, dalam mentransformasikan Malaysia ke mercu kejayaan. 

35. Saya juga berdoa, semoga Allah SWT mengurniakan kerahmatan ke atas seluruh umat Islam, agar mereka menyambut hari lebaran ini, dengan gembira dan bahagia, bersama yang tersayang di sisi. 

36. Akhir kalam, kepada seluruh umat Islam dan rakyat Malaysia, bersatu padulah kita semua hendaknya, hentikan fitnah menfitnah sesama agama dan rakan sebangsa. Bersabarlah dengan ujian, teguhkanlah pendirian, kerana yang batil itu akan musnah, jalan kebenaran pasti muncul dan terbentang jua akhirnya.

Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillah hil Hamd.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Friday, July 17, 2015

KESEMPATAN AIDIL FITRI UNTUK KUKUHKAN HUBUNGAN DAN ERATKAN PERPADUAN DARI PRESIDEN MCA

Walaupun umat Islam meraikan hari kemenangan setelah sebulan berpuasa dan meningkatkan amal ibadah, di dalam masyarakat yang berbilang kaum, Presiden MCA, Dato' Sri Liow mengambil kesempatan di hari mulia ini menyampaikan mesej untuk mengukuhkan hubungan sesama rakyat dan sentiasa mengeratkan perpaduan.

Sebagai seorang pemimpin politik di kalangan bangsa Cina, seruan ini sangat penting kepada semua rakyat yang mencintai kedamaian dan keharmonian hidup bersama agar setiap perayaan dapat dikongsi dan dinikmati bersama.



KENYATAAN AKHBAR
OLEH YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN
 
Liow: Aidilfitri kukuhkan hubungan, eratkan perpaduan
 
Saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua umat Islam di Malaysia. Semoga sambutan Aidilfitri bagi umat Islam di Malaysia dan juga di seluruh dunia dilengkapi dengan penuh keberkatan, kesyukuran serta kegembiraan.
 
Seperti juga musim-musim perayaan yang lain, musim lebaran ini merupakan kesempatan terbaik untuk mengukuhkan hubungan silaturrahim dan persefahaman antara kalangan rakyat Malaysia. Sebagai sebuah masyarakat majmuk, rakyat Malaysia amat memahami dan sama-sama menanti-nantikan kehadiran Hari Raya sambil merayakannya bersama lebih-lebih lagi dengan amalan kunjung-mengunjung antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.
 
Rakyat Malaysia sesungguhnya amat bertuah kerana dapat hidup bersama dalam sebuah negara secara harmoni yang penuh dengan kepelbagaian kaum serta berpeluang menyambut dan meraikan pelbagai jenis perayaan dengan penuh riang-ria dan menghayati budaya yang berwarna-warni. Ini haruslah dihargai dan dipegang teguh oleh kita semua bukan sahaja untuk perayaan kali ini, tetapi lebih penting lagi, untuk generasi akan datang yang bakal menjadi pemacu kemajuan negara.
 
Akhir kata, diharapkan bahawa sambutan Syawal pada tahun ini akan terus menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Disamping itu, nikmatilah Hari Raya ini dengan berhati-hati semasa di jalan raya demi insan-insan yang tersayang.

Seharusnya kita bersyukur dapat menyambut setiap perayaan di dalam suasana tenang dan meriah. 

Semoga kita semua dapat mengekalkan keharmonian dan riang ria di Aidil Fitri dan eratkan perpaduan dengan semangat kunjung mengunjung di antara saudara, rakan dan kenalan tanpa berprasangka di antara kaum.

Friday, August 09, 2013

RAKYAT BERHARI RAYA … SPAD BERTUGAS DI JALAN RAYA

Bukan sekadar menjalankan tugas. Demi memastikan rakyat sampai ke destinasi sempena Hari Raya Aidil Fitri ini, SPAD bertugas 24 jam dalam operasi Aidil Fitri bermula 1 Ogos hingga 18 Ogos bersama-sama agensi penguatkuasa yang lain.

Demi Rakyat, fokus utama Operasi Aidil Fitri ialah;

1. Ulat Tiket Bas
2. Ops Selamat di jalan raya
3. Keselamatan kenderaan dan pemandu

Sebulan sebelum Aidil Fitri, SPAD telah memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa tiket bas dan keretapi mencukupi dan sekiranya permintaan tiket bas ekspres tidak mencukupi, bas tambahan pula disediakan.

Keresahan rakyat pada setiap hari perayaan yang sering didengar ialah mengenai aktiviti ulat tiket yang masih bergerak di terminal bas utama di Kuala Lumpur. Demi tanggungjawab, beberapa siri lawatan ke terminal bas di kuala lumpur oleh Pengerusi serta pegawai-pegawai
SPAD dan seterusnya  melakukan operasi bersepadu.

Di Hentian Duta...



Di Pudu Sental...



Di KL Sentral...

Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya pada 2 Ogos 2013... Bahagian Penguatkuasaan SPAD juga turut menyertai acara ‘flag-off’ kenderaan agensi penguatkuasaan sebagai simbolik kepada pelancaran Ops Selamat Hari Raya.


TIKET BAS DAN KERETAPI MENCUKUPI

Warga kota tidak perlu bimbang mengenai masalah pengangkutan untuk pulang ke kampung halaman pada Aidilfitri ini kerana tiket bas mencukupi. Pihak SPAD pula telah meluluskan sebanyak 437 permohonan LPS (Lesen Perubahan Sementara) untuk bas tambahan dan pihak
KTMB akan menambah tren untuk memberi peluang kepada penumpang yang membeli tiket pada saat-saat akhir, pulang ke kampung menaiki kereta api.

SPAD juga menyediakan perkhidmatan secara online dan maklumat juga boleh melalui telefon pintar untuk memeriksa senarai bas tambahan yang mempunyai Lesen Perubahan Sementara (LPS).

Semak DI SINI (online) dan DI SINI (telefon pintar)

OPS SELAMAT DI JALAN RAYA

Pihak JPJ pula telah umumkan sebanyak 146 kawasan kerap kemalangan, 72 adalah di bawah JPJ manakala 74 di bawah polis. Di antara lokasi itu ialah antara KM 12 hingga KM 70 di Kuala Lipis menuju Merapoh, KM 14 hingga KM 15 di Kuala Lumpur menuju Ipoh dan KM 4 hinggaKM 13 di Johor Baharu menuju Air Hitam.

Kempen ini tidak terhenti di sini saja, keselamatan rakyat di jalanraya diteruskan dengan Ops Selamat bersepadu secara serentak di seluruh negara pula. Kepada pemandu-pemandu pengangkutan awam yang lalai dan cuai, jangalah berangan-angan untuk lepas dari pengawasan SPAD dan agensi-agensi penguatkuasa yang lain seperti JPJ, Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Puspakom Sdn Bhd.

Di antara kesalahan tumpuan termasuk cukai jalan tamat tempoh, tidak memiliki lesen memandu, memasang cermin gelap melebihi tahap ditetapkan dan plat nombor tidak mengikut spesifikasi.

OPERASI YANG BERJAYA

Ulat Tiket - SPAD telah memberkas 24 ulat tiket bas ekspres di Pudu Sentral dalam operasi yang dilakukan secara bersepadu dengan AADK, PDRM, JPJ dan Jabatan Pendaftaran negara (JPN). Sepuluh daripada 24 ulat tiket yang ditangkap itu didapati positif dadah. Seorang daripada mereka juga didapati memiliki dadah manakala seorang lagi adalah pendatang tanpa izin.

Wilayah Timur - Di Kuala Terengganu, 30 bas ditahan di Pantai Timur dan di antara kesalahan termasuk gagal mematuhi jadual waktu perjalanan, mempamerkan dokumen seperti Lesen Pengendali, Jadual Tambang dan Jadual Perjalanan sebelum memulakan perjalanan.

Wilayah Selatan - Pemeriksaan bas di Terminal Larkin Sentral dan Terminal Bas Bentayan, Muar turut diadakan bagi memeriksa buku log pemandu yang melakukan pemanduan melebihi lapan jam dalam tempoh 24 jam, peraturan kedua dan permit bas. Sepanjang operasi ini, anggota penguatkuasaan yang tidak beruniform ditempatkan di beberapa lokasi berisiko bertujuan mengesan mereka yang melakukan kesalahan dan anggota kami ditugaskan untuk merakam gambar mereka.

Wilayah Utara - Operasi berlangsung serentak di Sungai Petani, Kulim dan Langkawi. Sebanyak 146 saman dan Lapan kenderaan turut disita atas pelbagai
kesalahan. Sejumlah 1,100 kenderaan diperiksa, dengan tumpuan khusus kepada bas dan motosikal.

Ini baru permulaan operasi di awal Syawal. Pihak SPAD dan agensi penguatkuasa yang lain tidak putus-putus membuat operasi demi memastikan keselamatan penumpang terjamin di samping mengawal dan menentukan harga tambang adalah terkawal. Rakyat juga harus beri kerjasama dan berterima kasih serta bersyukur kepada SPAD dan pihak berkuasa yang lain apabila kita yang sedang riang ria menyambut Aidil Fitri tetapi mereka bertugas di jalanraya ... DEMI KESELESAAN DAN KESELAMATAN KITA SEMUA.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN