Showing posts with label Puchong. Show all posts
Showing posts with label Puchong. Show all posts

Wednesday, August 19, 2015

MAKLUMAT BOCOR KE TANGAN TONTO PUNCA SPAD GAGAL CAPAI SASARAN


Pihak penguatkuasa SPAD gagal mencapai sasaran Ops Hippo ketika mengadakan operasi dari pukul 4 pagi dan dihentikan jam 9 pagi di sekitar Puchong dan Bukit Jalil gara-gara maklumat operasi yang dipercayai telah bocor.

Matlamat Ops Hippo adalah untuk mengesan lori tanah yang membawa lebih muatan terutama bahan batu-bata di tapak pembinaan projek yang telah dikesan banyak melakukan kesalahan di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam (APAD) 2010.

Dalam operasi tersebut penguatkuasa SPAD telah mendapati tiada lori kelihatan di atas jalanraya tetapi kelihatan sekurang-kurangnya 5 buah kenderaan Hilux yang dipercayai 'tonto' berkeliaran mengekori kereta operasi SPAD yang terlibat dalam operasi.

Di dalam setiap operasi, penguatkuasa SPAD mengguna kenderaan penyamaran yang tidak terdapat logo agensi penguatkuasa, namun keadaan luar biasa berlaku di mana kenderaan seperti Hilux yang banyak berkeliaran dan dipercayai tonto berkenaan telah mengenal pasti setiap nombor dan jenis kenderaan tidak rasmi yang digunakan oleh anggota penguatkuasa SPAD dalam operasi.

Pada kebiasaannya, apabila mengetahui kehadiran operasi sedang dijalankan, banyaklah lori yang berhenti di tepi jalan dan berkemungkinan tonto-tonto telah menaylurkan maklumat kepada pemandu lori di mana mereka dilengkapi dengan alat komunikasi yang canggih.

Situasi ini pasti menyukarkan SPAD untuk menjalankan operasi dan membuat tangkapan lori-lori yang menyalahi peraturan. Ada kalanya apabila SPAD mengadakan operasi di kawasan tertentu, mereka diawasi hampir 20 buah kereta tonto dalam satu-satu masa.

Ops Hippo dijalankan apabila SPAD mendapat banyak aduan dari penduduk tempatan yang mengadu banyak jalan rosak disebabkan kekerapan lori membawa muatan berlebihan. Lori-lori ini juga mampu mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Kerjasama syarikat pengendali lori-lori ini dengan pihak tonto nampaknya akan menjejaskan segala operasi SPAD dan lori-lori yang melanggar peraturan akan terus melakukan kesalahan.

Wednesday, June 18, 2014

ADUAN RAKYAT JAYAKAN OPS HIPPO SPAD


Jalan melalui kawasan Puchong sentiasa membuat kita rasa tidak selamat dan punca utamanya kerana ia adalah laluan lori-lori hantu yang bermaharajalela. Akibatnya bukan sahaja keadaan jalanraya yang berlopak-lopak malahan kejadian kemalangan ngeri bakal berhadapan dengan penduduk Puchong dan pengguna jalanraya di sana.

Oleh itu, SPAD sentiasa akan meneruskan operasi bagi membenteras lori-lori hantu ini di mana pihak SPAD telah bertindak di atas aduan rakyat.

Baru-baru ini sekali lagi hasil dari operasi yang dijalankan SPAD dipanggil Ops Hippo telah menangkap 25 buah lori. Pihak berkuasa SPAD telah mendapati di antara kesalahan yang sering dilakukan adalah membawa lebih muatan. Malahan terdapat juga kesalahan yang lebih serius yang melibatkan kesalahan keselamatan seperti tayar botak dan keadaan fizikal lori yang rosak.

Walaupun hanya 35 anggota penguatkuasa SPAD yang menjalankan operasi kali ini, namun kejayaan mereka menangkap 25 buah lori dengan pelbagai kesalahan adalah hasil dari kerjasama agensi penguatkuasa lain seperti PDRM dan yang lebih penting ialah kerjasama dan prihatin penduduk tempatan.

Mengikut rekod SPAD, sepanjang lima bulan dalam tahun 2014, sebanyak 1,394 lori telah ditahan dan semenjak bermulanya operasi pada Jun 2011 sebanyak 4,820 buah lori telah diambil tindakan. Yang jelas, kebanyakan tindakan diambil di kawasan Puchong dan ia merupakan 'hot spot' laluan lori-lori hantu selain daripada Cheras dan Rawang.

Setiap kesalahan bakal berhadapan dengan denda tidak kurang daripada RM1,000 atau tidak lebih dari RM500,000 di bawah Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat.




Di dalam melakukan kesalahan ini, ia tidak terletak hanya kepada pemandu-pemandu lori sahaja malahan pengusaha-pengusaha lori juga seharusnya bertanggungjawab bersama dan mereka juga akan didakwa. Terdapat juga kesalahan berulang yang bakal mengakibatkan tindakan pentadbiran di mana lesen perniagaan akan digantung atau dibatalkan.

Pihak penguatkuasa tidak akan mampu membenteras kegiataan lori-lori hantu ini dengan sendirinya dan kerjasama serta prihatin masyarakatlah tunggak kepada kejayaannya. 

Thursday, April 17, 2014

SPAD DEDAHKAN TAKTIK PEMANDU LORI ELAK DITAHAN


Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua dan begitu jugalah pemandu-pemandu lori yang mencuba pelbagai taktik untuk mengelak dari ditahan SPAD ketika mengadakan operasi.

Dalam Ops Hippo yang dijalankan di kawasan Puchong Perdana, sebanyak 23 lori ditahan atas pelbagai kesalahan dan operasi bersepadu kali ini dijayakan lapan pegawai dan 64 anggota termasuk pasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya. Sebanyak 24 kes dicatatkan sepanjang operasi itu dijalankan sejak jam 9 pagi dan berakhir enam jam kemudian

Kesalahan-kesalahan lazim yang sering dilakukan mereka adalah membawa lebih muatan, membawa lebih muatan panel sisi, halangan dan gagal mengemukakan lesen pengendali. Pihak SPAD telah menerima banyak aduan daripada orang awam berhubung kegiatan pengusaha lori yang membawa muatan berlebihan di kawasan Puchong sehingga menyebabkan jalan rosak teruk.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad telah mendedahkan taktik-taktik pemandu lori yang tidak bertimbang rasa lori sehingga ada yang sengaja membuang lebihan muatan dan selalunya tanah di atas jalan sehingga membahayakan nyawa pengguna yang berada di belakangnya. Terdapat juga segelintir pemandu lori yang diarah melakukan pemeriksaan akan memandu kenderaan mereka menggunakan gear tinggi sehingga menyebabkan enjin kenderaan mengalami kerosakan.

Jangan ingat pemandu-pemandu lori ini boleh mengelak setiap masa kerana dengan kecekapan SPAD, nombor pendaftaran kenderaan akan dicatatkan untuk siasatan dijalankan sebelum pemandunya didakwa di mahkamah. Walaupun mereka tidak didakwa di mahkamah, pihak SPAD tetap akan mengambil tindakan pentadbiran dengan membatalkan serta menggantung lesen mereka.

Tetapi jika tertangkap dan sekiranya disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana melanggar peraturan dengan membawa muatan melebihi berat yang ditetapkan yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sememangnya kerjasama dari penduduk Puchong juga dialu-alukan bagi membanteras sikap pemandu-pemandu lori yang tidak bertanggungjawab ini disamping penguatkuasaan SPAD yang melakukan operasi pada waktu-waktu tertentu.