Showing posts with label Lori. Show all posts
Showing posts with label Lori. Show all posts

Thursday, April 17, 2014

SPAD DEDAHKAN TAKTIK PEMANDU LORI ELAK DITAHAN


Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua dan begitu jugalah pemandu-pemandu lori yang mencuba pelbagai taktik untuk mengelak dari ditahan SPAD ketika mengadakan operasi.

Dalam Ops Hippo yang dijalankan di kawasan Puchong Perdana, sebanyak 23 lori ditahan atas pelbagai kesalahan dan operasi bersepadu kali ini dijayakan lapan pegawai dan 64 anggota termasuk pasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya. Sebanyak 24 kes dicatatkan sepanjang operasi itu dijalankan sejak jam 9 pagi dan berakhir enam jam kemudian

Kesalahan-kesalahan lazim yang sering dilakukan mereka adalah membawa lebih muatan, membawa lebih muatan panel sisi, halangan dan gagal mengemukakan lesen pengendali. Pihak SPAD telah menerima banyak aduan daripada orang awam berhubung kegiatan pengusaha lori yang membawa muatan berlebihan di kawasan Puchong sehingga menyebabkan jalan rosak teruk.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad telah mendedahkan taktik-taktik pemandu lori yang tidak bertimbang rasa lori sehingga ada yang sengaja membuang lebihan muatan dan selalunya tanah di atas jalan sehingga membahayakan nyawa pengguna yang berada di belakangnya. Terdapat juga segelintir pemandu lori yang diarah melakukan pemeriksaan akan memandu kenderaan mereka menggunakan gear tinggi sehingga menyebabkan enjin kenderaan mengalami kerosakan.

Jangan ingat pemandu-pemandu lori ini boleh mengelak setiap masa kerana dengan kecekapan SPAD, nombor pendaftaran kenderaan akan dicatatkan untuk siasatan dijalankan sebelum pemandunya didakwa di mahkamah. Walaupun mereka tidak didakwa di mahkamah, pihak SPAD tetap akan mengambil tindakan pentadbiran dengan membatalkan serta menggantung lesen mereka.

Tetapi jika tertangkap dan sekiranya disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 kerana melanggar peraturan dengan membawa muatan melebihi berat yang ditetapkan yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sememangnya kerjasama dari penduduk Puchong juga dialu-alukan bagi membanteras sikap pemandu-pemandu lori yang tidak bertanggungjawab ini disamping penguatkuasaan SPAD yang melakukan operasi pada waktu-waktu tertentu.

Tuesday, February 25, 2014

KENDERAAN BERAT YANG UZUR MASIH BERADA DI JALANRAYA

Kemalangan di Rawang

Bayangkan kenderaan berat seperti lori dan traler melalui jalan-jalanraya samada di jalan persekutuan, lebuhraya dan juga jalan-jalan kampung berada di dalam keadaan yang uzur. Yang pasti, kenderaan sedemikian tidak akan diselenggara dengan baik di mana keadaan enjin yang tidak diservis, mungkin 'brake' tidak berfungsi dan badan kenderaan tersebut dibiarkan rosak.

Kenderaan-kenderaan berat ini selalunya membawa bahan-bahan atau barang-barang berat seperti kayu balak, tanah dan pasir, batu dan mungkin juga besi-besi panjang.

Kita sering melihat kebanyakan kemalangan yang melibatkan lori atau traler adalah berpunca dari keuzuran kenderaan tersebut.

Baru-baru ini, Pengerusi SPAD telah membuat kenyataan bahawa 40 peratus kenderaan berat yang beroperasi di atas jalan raya di negara ini dikategorikan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai kenderaan lama dan uzur.

Lebih memburukkan keadaan, 83 peratus kemalangan di Lebuh Raya Utara Selatan pada tahun 2012 adalah disebabkan oleh kenderaan-kenderaan berat ini, di mana sebilangannya turut melibatkan kenderaan lama yang disebutkan tadi manakala 18.7 peratus pula adalah lori.

Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar menjelaskan bahawa agak sukar untuk ‘mengarahkan’ syarikat-syarikat yang memiliki kenderaan berat termasuk lori lama dan uzur itu menukar kenderaan mereka, namun usaha-usaha ke arah itu sedang giat dijalankan.

Rakyat perlu berterimakasih kepada pihak SPAD dengan pendedahan sedemikian kerana memang benar kebanyakan kemalangan jalanraya terutama di lebuh-lebuhraya melibatkan kenderaan-kenderaan berat. Jika kemalangan tersebut berlaku, yang pasti mengakibatkan kehilangan nyawa dan kesesakan lalulintas yang melampau kerana selain kenderaan itu berat, ia juga membawa bahan-bahan dalam kuantiti yang banyak.

Seandainya pihak SPAD mengambil tindakan yang lebih ketat terhadap kenderaan berat yang uzur ini, ia hanya untuk memastikan keselamatan rakyat di jalan raya diutamakan.

Thursday, September 12, 2013

SPAD : KEJADIAN GEBENG SEPERTI SATU RANCANGAN JAHAT

SPAD telah diberi amanah untuk menjalankan pengawalseliaan dan penguatkuasaan undang-undang dan sentiasa menjalankan tanggungjawab tersebut mengikut prosidur dan tatacara yang telah ditetapkan, begitulah yang ditegaskan Tan Sri Syed Hamid, Pengerusi SPAD.

Kejadian yang berlaku di Gebeng baru-baru ini di mana 3 buah kenderaan SPAD dikepong 30 lori oleh pemilik dan pemandu lori dengan alasan tidak puas hati SPAD tidak mengguna kenderaan tanpa logo ketika melakukan operasi adalah tidak berasas sama sekali. Ditambah lagi kenderaan SPAD yang rasmi dijadikan tebusan kepongan mereka.


Gambar di atas dengan jelas menunjukkan ketiga-tiga kenderaan yang dikepong telah terpampang logo SPAD. - SinarHarian

Jika dipertikai kenderaan yang diguna SPAD tidak mempunyai logo ketika operasi, maka ini dengan jelas menunjukkan pemilik dan pemandu lori ini telah merancang operasi mereka pula kerana dengan pantas 30 lori dan 100 pemandu lori dapat dikumpulkan.

Yang lebih mencurigakan, dengan pantas juga wakil rakyat PKR Teruntum, Sim Chon Siang ditemui di lokasi kejadian dan mempertahan kesalahan pemilik dan pemandu lori tersebut dan bertindak sebagai jurucakap mereka.

Bukankah ia seperti satu perancangan yang rapi?

Kepada pemilik dan pemandu lori, perlu diingat bahawa tindakan mengepung pegawai dan kenderaan SPAD boleh diklasifikasikan sebagai kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas. Mereka yang terlibat boleh didakwa mengikut Seksyen 234 (b) di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2012 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM200,000.00 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Rekod SPAD menunjukan sebanyak 83 kes kesalahan lebih muatan lori telah dicatatkan daripada tahun 2012 sehingga Julai 2013 di negeri Pahang. 

SPAD memandang berat isu lebihan muatan membabitkan lori kerana ianya amat berisiko tinggi dan membahayakan
pengguna jalan raya yang lain. 

Merujuk kepada ketidakpuasan hati pemandu-pemandu tersebut tentang isu berat dan muatan (BDM) dan isu paras lori, Tan Sri Syed Hamid berkata, “Setiap undang-undang yang dikuatkuasakan di Malaysia telah terlebih dahulu dikaji dengan mengambil kira faktor-faktor keselamatan dan alam sekitar. Pemandu-pemandu lori disarankan untuk menghormati undang-undang yang telah ditetapkan.

Isu ini tidak perlu ada campurtangan politik yang hanya bertujuan untuk mengguntungkan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka yang mempunyai masalah atau kemusykilan disarankan untuk datang berbincang dengan pegawai SPAD di pejabat-pejabat Suruhanjaya yang sedia ada.