Showing posts with label Lautan Hindi. Show all posts
Showing posts with label Lautan Hindi. Show all posts

Sunday, March 27, 2016

MISTERI KEHILANGAN #MH370 BERAKHIR DI LAUTAN HINDI ADALAH TEPAT



Pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak pada 17 Mac 2014 bahawa penerbangan MH370 berakhir di Lautan Hindi kini hampir diselesaikan 99% dan menepati seperti yang dijangkakan.

Sejak kehilangan pesawat MH370 dua tahun yang lalu, seperkara yang pasti ialah komitmen kerajaan Malaysia untuk mencari bukti berterusan dan pelbagai teori juga telah dikemukakan. Namun teori-teori yang telah dikemukakan sehingga membabitkan operasi besar-besaran SAR 26 negara dan meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika akhirnya mendapat kepastian yang MH370 telah terhempas di kawasan yang lebih fokus di sekitar Lautan Hindi.

Teori operasi SAR yang tertumpu di kawasan Lautan Hindi telah mendatangkan hasil apabila pertemuan serpihan pertama disahkan bangkai MH370 ditemui di Pulau Reunion di Lautan Hindi pada bulan Julai tahun lalu.

Kini pertemuan kedua pula di perairan Mozambique telah disahkan pihak berkuasa Australia pada 23 Mac lalu. Proses pengesahan bukti kedua ini telah dilakukan oleh kumpulan pihak Malaysia bersama-sama 7 pakar-pakar yang diiktiraf dari negara-negara yang berbeza. Mereka mengesahkan yang serpihan mereka terima adalah dari bahagian Boeing 777 sepadan dengan warna pesawat MH370.

Manakala penemuan ketiga pula yang terdampar di selatan pantai Afrika Selatan. Pihak penyiasat masih menunggu kebenaran dari pihak berkuasa Afrika Selatan untuk membenarkan serpihan tersebut dibawa ke Australia untuk kajian lanjut bagi pengesahan seterusnya.

Menteri Pengangkutan Datuk Liow Tiong Lai di dalam pengumumannya yang terkini sangat berkeyakinan yang pengumuman pencarian pesawat MH370 difokus di sekitar Lautan Hindi oleh PM Najib Razak adalah tepat dan ia berdasarkan kepada jarak laluan pesawat di sekitar 120 kilometer persegi.

Oleh itu Datuk Liow merasakan yang ada keperluan untuk menghantar satu pasukan untuk meneruskan pencarian serpihan pesawat di sekitar pulau Mozambique dan juga di pantai Afrika Selatan. Kini tumpuan adalah lebih fokus untuk melengkapkan misi pencarian dan kesemua pihak yang diberi tanggungjawab tetap berharap yang pesawat MH370 akan ditemui kerana masih ada baki 10,000 batu kaki persegi Lautan Hindi yang belum diterokai.

Pesawat MH370 telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12:41 waktu tempatan pada 8 Mac 2014, yang membawa 227 penumpang, sepuluh anak kapal, dua juruterbang dengan muatan kargo seberat lebih kurang 14 tan. Perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Beijing sepatutnya mengambil sekitar 5 jam 34 minit.

Kali terakhir Pesawat Boeing 777 dihubungi melalui sistem penghantaran automatik pada 1.07 pagi, dipandu kapten Zaharie Ahmad Shah, telah bercakap kepada kawalan trafik udara Malaysia 12 minit kemudian diserahkan kepada kawalan Vietnam. Zaharie telah berkata: "Selamat malam Malaysia tiga tujuh kosong.."

Apa yang berlaku seterusnya adalah pada 1.21 pagi, separuh perjalanan ke Teluk Thailand, pesawat itu telah hilang daripada radar awam dan transponder telah berhenti berfungsi atau mungkin telah dimatikan. Walaubagaimanpun ia masih kelihatan di radar tentera, namun secara tiba-tiba ia telah bertukar laluan penerbangan dan menuju kembali dari arah yang ia datang sebelum menuju ke sebelah barat dan telah dikesan oleh radar tentera Malaysia pada 1.40 pagi di Pulau Pinang.

Walau apa pun teori yang pernah dikemukakan samada di media sosial mahupun dari pakar-pakar penerbangan, namun yang pasti pasukan penyiasatan serta kerajaan Malaysia khususnya komited untuk melakukan yang terbaik dan mengenal pasti apa sebenar berlaku di sebalik kehilangan pesawat MH370.

Friday, August 07, 2015

#MH370 : DATUK LIOW - HALA TUJU PENCARIAN TETAP DI LAUTAN HINDI


Selepas pengumuman mengesahkan flaperon yang terdampar di Reunion Island Perancis adalah MH370 telah dibuat YAB Perdana Menteri DS Najib Razak pagi tadi, Menteri Pengangkutan DS Liow Tiong Lai yakin hala tuju pencarian adalah di kawasan Lautan Hindi.

Ini adalah berdasarkan kepada penemuan sebahagian daripada bangkai pesawat MH370 yang telah disahkan. Dari sejak awal setelah pengumuman DS Najib Razak tahun lalu untuk memutuskan pencarian dihentikan di Lautan Hindi hingga hari ini, misi pencarian yang memasuki fasa kedua melebarkan kawasan ke 60ribu kilometer lagi.

Pencarian sebelum ini sudah menjangkau 85 peratusdan dengan tambahan 60ribu km persegi dan ini bermakna pencarian akan meliputi 95 peratus kawasan Lautan Hindi dan ini akan terus berlangsung sehingga hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Pada masa sekarang, aset negara iaitu dua vessel berada di Lautan Hindi dan negara China telah berjanji untuk menambah vessel yang baru.

Mesyuarat di antara tiga negara iaitu Australia, China dan Malaysia di peringkat menteri di dalam masa terdekat sedang diusahakan untuk membincangkan langkah seterusnya. Walaubagaimanapun, ini juga bergantung kepada cadangan dan pandangan dari pasukan pakar yang menyiasat dari awal lagi.

Pihak Australia juga telah melaporkan bahawa drift pattern yang ada dalam Lautan Hindi Selatan ini memungkinkan flaperon ini dibawa ke kawasan Reunion Island.

Kerajaan Malaysia sangat bersyukur apabila di dalam keadaan yang sangat memerlukan sokongan, negara-negara seperti China, Australia, USA, Peranchis, United Kingdom dan lain-lain telah sentiasa berada di samping kita. Datuk Liow juga menyatakan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada kumpulan penyiasat serta pihak berkuasa Perachis yang membuat keputusan untuk meneruskan proses penyiasatan dan pengesahan.

Di dalam membuat pengesahan ini, ia adalah berdasarkan kepada laporan pakar kita dari DCA, MAS dan pasukan penyiasat. Mereka telah sahkan serpihan itu dari MH370.

Pengesahan dari kumpulan penyiasat Malaysia berpandukan rekod penyelenggaraan MAS, 'seal' yang terdapat di flaperon telah disahkan pihak pakar penyelenggaraan MAS. Warna dan maklumat teknikal adalah penunjuk utama.

Kerajaan menghormati peraturan dan undang-undang Peranchis apabila mereka menghendaki setiap bentuk penemuan yang dijumpai di pantai Reunion Island perlu mematuhi protokol negara tersebut. Dikatakan beberapa lagi penemuan serpihan telah dijumpai di sekitar kawasan pantai Reunion dan kita perlu tunggu keputusan dari pihak berkuasa Peranchis yang kini telah dibawa ke makmal untuk pengesahan seterusnya.

Tiada kata-kata yang mampu dihuraikan ketika keluarga mangsa MH370 berhadapan dengan kesedihan yang dialami selama hampir satu setengah tahun. Penemuan bukti fizikal ini diharap akan membawa kepada kebenaran dan pengakhiran pencarian.

Datuk Liow juga mengulangi bahawa sejak diumumkan kehilangan MH370, keluarga dan waris mangsa telah mula membuat tuntutan pampasan dan segalanya diuruskan oleh pihak MAS dan di pihak kementerian hanya boleh membantu sekiranya diperlukan.