Thursday, March 06, 2014

APA HADIAH PENYOKONG PKR UNTUK KHALID?


Tindakan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim yang menandatangani Memorandum Persefahaman dengan kerajaan persekutuan terus mendapat kecaman pelbagai pihak khususnya di kalangan pimpinan pakatan rakyat. Tidak cukup dengan itu, para pencacai PR turut mengambil kesempatan ini untuk menghentam Khalid dengan pelbagai kata-kata kesat, cacian dan makian... PENIPU, GILA DAN BASTARD!

Terbaru keputusan Khalid menerima pelawaan stesen televisyen TV3, untuk ditemubual semalam, dalam program Soal Jawab berhubung memorandum persefahaman (MoU) air ini semakin menghangatkan keadaan.

Ini kerana pimpinan pembangkang sebelum ini sering menyelar dan meminta para penyokong mereka agar memboikot media arus perdana yang dikatakan sebagai tali barut BN/Umno.

Maka keputusan Khalid itu, sudah pasti memberikan satu gambaran hebat kepada mereka. Disebabkan itu juga, media-media sosial sejak malam tadi penuh dengan sumpah seranah pencacai PR yang marah dengan tindakan Khalid itu.

Khalid disifatkan sebagai penipu, dan gila kerana menggunakan media arus perdana untuk menerangkan kepada rakyat berhubung keputusan yang dibuat itu. Selain itu para pegawai Khalid turut dilemparkan dengan kata-cemuhan seperti ‘Bastard’ (anak haram) dan sebagainya.

Hanya kerana menerima pelawaan TV3 itu bagi menerangkan rational di sebalik persetujuan MoU, Khalid dikatakan telah bersekongkol dengan Umno untuk memburukkan pimpinan dan meranapkan parti Keadilan. Dia turut dikatakan bangang dan dilabelkan sebagai ‘trojan horse’ yang bakal menghancurkan PKR.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli sebelum ini antara yang lantang mengkritik Khalid serta mendesaknya agar segera memberitahu isi kandungan perjanjian tersebut. Malah Azmin turut mengatakan, Khalid tidak boleh berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi (OSA) untuk membuat perjanjian rahsia.

Selain itu, pimpinan Pakatan Rakyat juga turut menggesa agar Menteri Besar Selangor itu agar tidak tergesa-gesa untuk menandatangani perjanjian awal dengan kerajaan pusat selepas termeterainya memorandum persefahaman (MOU) sebelum ini.

Terdahulu media melaporkan Khalid hadir dalam satu program menandatangani MoU dengan kerajaan Barisan Nasional yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

MoU tersebut bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri berkenaan dengan suntikan dana berjumlah RM2 bilion oleh kerajaan pusat bagi pengambil alihan saham-saham syarikat konsesi.

Antara isi kandungan perjanjian tersebut termasuklah kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat (PR) akan membenarkan Putrajaya meneruskan Loji Rawatan Air Langat 2. Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberikan pampasan bernilai RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air di Selangor.

Ekoran pengambilalihan tersebut, satu konsortium air untuk menguruskan industri air di Selangor akan dibentuk di bawah seliaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB). Kerajaan negeri Selangor menjangkakan pengambil alihan syarikat konsesi tersebut akan selesai dalam tempoh tiga bulan.

No comments: