Showing posts with label makmal. Show all posts
Showing posts with label makmal. Show all posts

Saturday, June 27, 2015

PERKEMBANGAN TERKINI PLKN DARI DATUK EHSANUDDIN


Selepas menganjurkan Hari Terbuka Transformasi PLKN pada April lalu dengan anjuran Kementerian Pertahanan dengan kerjasama PEMANDU dari Jabatan Perdana Menteri, nampaknya beberapa penambahbaikan telah dilakukan. Tujuan Hari Terbuka tersebut adalah bertujuan agar rakyat dapat dimaklumkan mengenai hasil Makmal Transformasi PLKN dan seterusnya memberi maklum balas, input serta idea terhadap perancangan transformasi PLKN sebelum ia dilaksanakan.

Dalam laporan Bernama bertajuk "Pelatih PLKN Bakal Ikuti Latihan Kemahiran Teknikal, Vokasional Lanjutan", Datuk Ehsanuddin selaku Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara telah memberi perkembangan terkini PLKN. Ini termasuk beberapa kandungan modul program baru yang lebih mantap dan memenuhi kehendak semasa serta pasaran pekerjaan.

Diringkaskan di antara kandungan temubual Bernama pada Jumaat lepas;

1. Mengekalkan pendekatan kesedaran kenegaraan dengan penambahan kursus lanjutan dalam kemahiran teknikal dan vokasional.

2. Jangkamasa latihan program selama lapan bulan dan tambahan 2 atau 3 bulan untuk kursus lanjutan.

3. Kemahiran yang ditawakan adalah mekanikal, minyak dan gas, automotif.

4. Inisiatif yang tercetus melalui Makmal Transformasi PLKN mampu menepati keperluan semasa dan menarik minat belia.

5. Perubahan modul program PLKN dibuat untuk penambahbaikan setiap 5 tahun.

6. Elemen ketenteraan bukan saja mempersiapkan pelatih dengan kekuatan fizikal tetapi mampu menerapkan tahap disiplin dan jati diri.

7. Pengambilan pelatih adalah terhad, maka hanya yang pernah mengikuti latihan khidmat negara ini saja yang tahu kebaikan dan impak program ini terutama dalam soal perpaduan kaum.

8. Akan datang, cara pengambilan pelatih adalah secara rawak dan sukarela.

9. Penangguhan PLKN yang telah diumumkan Januari lepas dijangka akan bermula pada tahun hadapan.
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama)
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang kini dalam peringkat kajian semula akan mewujudkan elemen-elemen yang mampu meningkatkan kemahiran insaniah dan kemahiran lahiriah para pelatihnya.

Menerusi transformasi PLKN itu, para pelatih turut akan diperkenalkan dengan modul kemahiran teknikal dan vokasional, di samping penekanan terhadap aspek-aspek kenegaraan, pembinaan karakter, semangat kesukarelaan dan patriotisme.

Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrasshid berkata latihan kemahiran dan vokasional ini akan dilaksanakan sepanjang program selama lapan bulan diikuti kursus lanjutan lebih kurang dua atau tiga bulan.

"Antara kemahiran yang akan ditawarkan adalah mekanikal, minyak dan gas, automotif. Selepas tamat program latihan, pelatih akan mengikuti kursus lanjutan di pusat-pusat latihan kemahiran seperti Institut Kemahiran Belia Negara," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Jumaat.

Katanya inisiatif itu masih di peringkat perancangan dan akan dimuktamadkan sebelum sesi baharu program itu bermula, yang dijangka tahun hadapan.

Noor Ehsanuddin berkata terdapat 21 inisiatif yang tercetus melalui Makmal Transformasi PLKN dan masih di peringkat perancangan dalam usaha mentransformasikan PLKN untuk memastikan modul-modul program kekal bersifat dinamik, terkini dan menepati keperluan semasa di samping menarik minat belia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2015 pada Oktober tahun lepas mengumumkan bahawa PLKN yang telah mengeluarkan lebih 800,000 pelatih sejak diperkenalkan pada 16 Feb 2004, akan dikaji semula, selain memperkenalkan konsep baharu menjalinkan keperluan kemahiran dan kenegaraan.

Najib, dalam Perutusan Khas Perkembangan Semasa dan Kedudukan Kewangan Negara pada Januari lepas mengumumkan penangguhan PLKN tahun ini untuk membolehkan penjimatan RM400 juta selain membolehkan program itu dikaji semula dengan penambahbaikan.

Noor Ehsanuddin berkata perubahan modul program latihan dengan menyerapkan elemen-elemen baharu bukanlah kali pertama dibuat dan ia sebenarnya dilakukan setiap lima tahun cuma pada kali ini transformasi dan perubahan yang akan dilakukan itu lebih ketara dari segi struktur.

Mengulas cadangan pembatalan modul penggunaan senjata api M16 dalam PLKN, Noor Ehsanuddin berkata ia akan dilihat semula dan belum dimuktamadkan lagi.

"Apabila kita cakap tentang modul-modul kursus untuk memupuk semangat patriotisme, tidaklah tertumpu khusus kepada penggunaan senjata sebaliknya lebih kepada kefahaman mengenai sejarah dan sebagainya.

"Dari sudut penglibatan tentera kita mahukan kepakaran tentera dalam melatih para pelatih ini untuk diterapkan dengan disiplin melalui kawad, pembinaan jati diri, kekuatan mental dan fizikal serta elemen-elemen lasak yang lain," katanya.

Noor Ehsanuddin turut menafikan dakwaan kononnya modul PLKN sebelum ini gagal mencapai objektif khususnya dalam soal perpaduan kaum sebaliknya menegaskan pelatih-pelatih PLKN yang pernah menjalani latihan rata-ratanya mempunyai hubungan perpaduan yang baik.

"Cuma mungkin peluang yang dapat pergi itu tidak ramai, contohnya kalau setahun seramai 500,000 pelajar menamatkan persekolahan tetapi yang dapat mengikuti program hanya 90,000, tentulah yang dapat ikuti program sahaja yang tahu kebaikan dan impaknya," katanya.

Mengenai cara pengambilan pelatih bagi sesi latihan akan datang, katanya cara pengambilan adalah secara rawak dan sukarela.

"Kami ambil secara rawak dan sukarela, tidak timbul isu kami ambil pelajar yang lemah akademik... dan kami rancang dalam tahun 2020 pengambilan akan dibuat secara sukarela tetapi belum dimuktamadkan lagi," katanya.


Monday, February 16, 2015

MAKMAL TRANSFORMASI PLKN AKAN LAHIRKAN 'BLUE PRINT'


Perancangan kerajaan bagi mewujudkan satu makmal khas PLKN sebenarnya telah pun diumumkan dalam Bajet 2015 yang selaras dengan Pelan Transformasi Belia Negara. Inisiatif ini akan diketuai Pemandu dan juga telah mendapat persetujuan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

Kewujudan Makmal Transformasi PLKN ini pada awalnya bertujuan sebagai berfungsi mengumpul maklumat dan menjalankan kajian pendapat bagi menambah baik modul PLKN yang sedia ada selaras dengan peredaran masa.

Setelah pengumuman Perdana Menteri bagi langkah-langkah kerajaan mengkaji semula Bajet 2015 untuk menstabilkan kewangan negara, salah satu langkahnya adalah menangguh PLKN 2015. Maka inilah masa terbaik program latihan khidmat negara teruskan perancangan makmal transformasi ini.



Pada 13 Februari lalu, pelancaran Makmal Transformasi Program Khidmat Negara (PLKN) telah diadakan dan akan berlangsung selama 5 minggu bermula 23 Februari sehingga 26 Mac.

Makmal ini akan melibatkan 85 orang akan yang mengambil kira pendapat pelbagai pihak terutama individu atau kumpulan yang dikenal pasti dapat memberikan idea yang bernas bagi menambah nilai dan tambah baik modul sedia ada. Mereka terdiri daripada wakil kementerian, agensi kerajaan, pihak swasta, NGO, pemain-pemain industri, golongan muda, operator kem PLKN, Alumni PLKN, jurulatih PLKN, ibubapa dan sebagainya.

Kumpulan sasaran bagi kajian ini juga akan melibatkan pelbagai kaum dan lapisan masyarakat di seluruh negara.

Selain untuk mendapatkan maklumbalas, makmal ini juga akan menghasilkan satu resolusi yang akhirnya akan menjadi "blue print" transformasi PLKN.

3 fokus utama makmal ini menjurus kepada Modul Latihan, Pengurusan Sumber dan Penjenamaan & Komunikasi bagi mengukuhkan modul latihan yang baharu iaitu Patriotisme, Pembangunan Karakter dan Kesukarelaan.

Bagi menghadapi cabaran masa kini, di antara pengisian program akan menitikberatkan ancaman media sosial dan sebaran pengaruh-pengaruh negatif.

Penangguhan PLKN 2015 ini juga akan digunakan untuk melatih semula kesemua staf dan jurulatihnya sebagai persiapan untuk perlaksanaan PLKN pada tahun hadapan.

Diharap platform perbincangan di dalam makmal ini dapat menjana ide-ide penambahbaikan PLKN demi meningkatkan semangat patrotisme dalam kalangan pelatih, memupuk perpaduan dan integrasi nasional serta membentuk perwatakan positif pelatih melalui nilai murni.