Showing posts with label MeterOn. Show all posts
Showing posts with label MeterOn. Show all posts

Thursday, May 17, 2018

SPAD : APLIKASI BERBEZA UNTUK KEPERLUAN DAN FUNGSI BERLAINAN


Pihak SPAD masih terus memperluaskan lagi penggunaan teknologi bagi mencapai sasaran 40% perjalanan kenderaan awam menjelang 2030 berbanding hanya 20% telah tercapai pada ketika ini. Oleh itu, pendekatan yang diambil SPAD adalah mewujudkan pelbagai aplikasi untuk keperluan dan fungsi yang berlainan.

Di antara yang telah dikenalpasti adalah aplikasi 'Journey Planner' yang bakal dilancarkan pada hujung tahun ini. Aplikasi ini akan membantu pengguna kenderaan awam menentukan pilihan mereka dari satu destinasi ke tempat tujuan mereka.

Pengguna juga akan diberi panduan untuk memilih pengangkutanawam yang tepat dengan tambang yang sangat murah untuk sampai ke destinasi mereka nanti. Di dalam aplikasi 'Journey Planner' ini, untuk perkhidmatan bas pula akan menunjukkan jarak sebenar perjalanan dan waktu ketibaan ke destinasi.

Pada tahun lepas, SPAD telah melancarkan aplikasi MeterOn, iaitu satu aplikasi di telefon bimbit untuk memudahkan pengguna membuat aduan terus ke pihak SPAD ke atas kesalahan pemandu teksi dan bas ekspres terutamanya aduan berkenaan hadlaju dan tingkah laku buruk pemandu.

Hanya dengan memberikan maklumat nombor pendaftaran kenderaan, penumpang boleh semak pengesahan pemandu dan juga kesalahan mereka terkini. Penumpang juga boleh melihat maklumbalas dan pengalaman dari pengadu lain.

Pada masa yang sama, pihak SPAD telah pun melaksanakan satu sistem hab pemantauan prestasi (PMHS) di mana semua bas SPAD dipantau melalui satu sistem berpusat untuk menentukan perkhidmatan bas yang sediada, pematuhan perjalanan dan jadual.

Pihak SPAD telah pun memperkenalkan Integrated Common Payment System (ICPS) iaitu satu sistem bayaran mengguna satu kad untuk semua jenis pengangkutan awam. Dengan mengguna ICPS, kita boleh membuat pengiraan tambang untuk satu haluan walaupun bertukar kepada kenderaan awam lain seperti dari KTM ke LRT.


 
Kesemua ini adalah untuk mempermudahkan perjalanan yang mengguna kenderaan awam di man pada tahun 2030 nanti, di kawasan bandar-bandar utama, peratus kepadatan penduduk akan meningkat hingga 75% dan ini akan menyebabkan peningkatan kenderaan persendirian sehingga 93% di mana Malaysia adalah ketiga tertinggi di dunia.

Oleh yang demikian, untuk mengelak daripada terlalu bergantung kepada kenderaan persendirian, usaha SPAD memperkenalkan aplikasi melalui telefon pintar bukan saja dapat meningkatkan peratus penggunaan kenderaan awam malahan ini adalah arah tujuan yang tepat untuk hala tuju kehidupan yang mampan pada masa depan.

Friday, November 03, 2017

SPAD TAMBAH LAGI 2 APLIKASI UNTUK PENGGUNA PENGANGKUTAN AWAM DARAT


Di dalam merealisasikan pencapaian 40% pengguna penangkutan awam darat pada tahun 2030, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat akan mempermudahkan lagi perjalanan anda dan dengan itu 2 lagi aplikasi untuk pemegang telefon pintar bakal dilancarkan.

Pada akhir tahun ini, dijangkakan aplikasi 'Journey Planner' bakal dilancarkan dan menjelang 2019, SPAD bercadang memperkenalkan sistem satu kad bayaran tambang untuk semua pengangkutan awam darat. Aplikasi 'Journey Planner' ini mampu memberi maklumat setiap pilihan perjalanan pengangkutan awam dari satu tempat ke tempat lain.

Aplikasi "Journey Planner" menyediakan pilihan perjalanan berdasarkan data PMHS. Pengguna boleh mencari cara yang paling berkesan dan paling murah untuk menuju ke sesuatu lokasi dari pelbagai pengangkutan awam. Untuk perjalanan bas, pencarian akan menunjukkan maklumat yang merangkumi jarak sebenar dan anggaran masa ketibaan bas yang sedang bergerak.

Sebelum ini, SPAD telah melancarkan aplikasi MeterOn pada tahun lalu, ia amat berkesan membantu penumpang-penumpang teksi dan bas ekspress membuat aduan terus kepada SPAD mengenai kesalahan pecut dan sikap pemandu. Dengan memasukkan nombor pendaftaran kenderaan, pengguna akan mampu mendapat maklumat mengenai pemandu, memerika jika terdapat kesalahan undang-undang dan menariknya, mereka juga akan diberi maklumat dari penilaian penumpang-penumpang mereka yang terdahulu.

Justeru, dengan adanya aplikasi seperti MeterOn ini, bukan saja penumpang mudah membuat laporan malahan di pihak SPAD juga dengan segera dapat mengambil tindakan dan sekali gus keselamatan rakyat akan dapat terjamin apabila mengetahui pihak SPAD sentiasa memantau.

Walaupun kini pencapaian pengguna kenderaan awam di tahap 20%, namun jika dibandingkan pada tahun sebelumnya, peratus pengguna hanyalah 11% sahaja berbanding dengan pemilikan kenderaan peribadi sebanyak 93% di mana ia adalah ketiga tertinggi di dunia.

Di dalam kajian pihak SPAD, menjelang tahun 2030, 75% dari Malaysia akan bertukar menjadi bandar dan akan memberi kesan kepada pertambahan penduduk dan juga pengangkutan awam turut diperhebatkan. Sekali gus, rakyat akan lebih bergantung kepada pengangkutan awam untuk mengelak dari kesesakan trafik dan segala maklumat akan mudah diperolehi melalui telefon pintar.

Oleh itu, pihak SPAD sentiasa meningkatkan pelbagai pendekatan dan inisiatif untuk memastikan mod pengangkutan awam dijadikan keutamaan.

Thursday, July 09, 2015

SPAD BAKAL PERKENAL CARA BARU MEMANTAU PEMANDU TEKSI

Sebagai sebuah negara yang terkenal dengan penduduknya yang ramah mesra, kita pasti akan terkilan apabila satu kaji selidik ke atas perkhidmatan teksi 10 bandaraya dan Kuala Lumpur berada di kedudukan terakhir. Kaji selidik yang dilakukan oleh LondonCabs.co.uk mendapati keadaan kenderaan yang buruk dan pemandu yang tidak jujur.

Di antara rungutan yang masih kedengaran adalah keengganan pemandu mengguna meter, pemandu memilih jarak jalan yang lebih jauh dan mengenakan kadar tambang yang lebih tinggi.

Kini, bagi meningkat dan memperbaiki perkhidmatan teksi , pihak SPAD akan memperkenalkan satu program sistem perintis pada akhir tahun iaitu Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat (CTSS) di mana ia satu inisiatif untuk kemudahan penumpang memperoleh maklumat perkhidmatan teksi.

Menurut Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar, ini adalah merupakan salah satu inisiatif utama SPAD untuk meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di negara. CTSS akan menyalurkan maklumat data kepada SPAD bagi menyelaraskan di antara permintaan dan bekalan teksi.

Teksi-teksi ini juga akan dilengkapkan dengan teknologi GPS (Global Positioning System). SPAD beserta pihak penguatkuasa yang berkenaan akan mampu memantau pergerakan pemandu-pemandu teksi kerana kenderaan yang dipandu akan dihubungkan dengan CTSS. Pihak SPAD juga boleh mengesan lokasi teksi dan bertindak sebagai pusat perhubungan bagi mengarah mereka ke destinasi penumpang.

Di samping itu, CTSS juga mampu memantau kesalahan yang sering dilakukan pemandu teksi seperti enggan mengguna meter, pemandu yang cuai dan membawa teksi tanpa lesen yang sah.

Aplikasi MeterOn yang telah diperkenalkan SPAD telah banyak membantu penumpang teksi dalam melaporkan pemandu yang enggan mengguna meter dan mereka yang mengenakan tambang berlebihan. Sejak kadar tambang teksi baru diluluskan kerajaan pada 19 Mac lalu, jumlah pemandu yang enggan mengguna meter telah menurun dari 614 ke 414.

Maka diharap agar inisiatif baru bagi memperkenal CCTS ini mampu memperbaiki perkhidmatan teksi terutama di bandaraya Kuala Lumpur dan sekali gus mampu memperbaiki kedudukan prestasi perkhidmatan teksi di dalam kaji selidik LondonCabs dan juga di mata dunia.

Thursday, April 09, 2015

@aduanSPAD : ADUAN LEBIH CEPAT DENGAN APLIKASI MeterON

Tuntutan pemandu teksi untuk menaikkan kadar tambang telah dipenuhi kerajaan dan tiba masanya tuntutan penumpang pula perlu dikotakan sebagaimana janji pemandu teksi untuk memperbaiki perkhidmatan dan keselamatan penumpang terjamin.

Oleh itu, pihak SPAD telah perkenalkan aplikasi MeterOn dan telah dilancarkan baru-baru ini. Aplikasi ini amat mudah terutama kepada mereka yang memiliki telefon bimbit pintar yang mengguna sistem Android dan iOS.



Seperti kata Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid, ini bukanlah untuk menghukum pemandu teksi tetapi lebih kepada memberi perkhidmatan lebih baik, supaya pelanggan rasa lebih selamat dalam perjalanan mereka sehingga apabila dalam perjalanan dan kita mengalami kecemasan, aplikasi ini juga mampu menghantar mesej SOS kepada SPAD dan seterusnya ke polis.

Ada beberapa perkara yang perlu kita tahu mengenai aplikasi MeterOn dan secara ringkasnya aplikasi MeterOn adalah satu kaedah bagi penumpang mendapatkan maklumat pemandu teksi dan membuat aduan terus kepada SPAD melalui telefon bimbit pintar anda. 

Maklumat lanjut boleh didapati di laman web SPAD ... dan FAQ ... DI SINI
 

PENGESAHAN PEMANDU

Status pemandu teksi yang berdaftar dengan SPAD adalah untuk mengesahkan mereka mempunyai lesen. Hanya masukkan nombor pendaftaran teksi.

Tetapi seandainya kita dapati pemandu teksi tersebut tiada dalam senarai SPAD, apa yang perlu kita lakukan? Tekan butang 'report' dan laporan anda akan diterima secara online untuk tindakan seterusnya.




MENGESAN PERJALANAN

Ia adalah untuk mengesan perjalanan anda ketika di dalam teksi dengan teknologi GPS.

MeterOn juga memberi peluang kepada kita untuk sama-sama menilai perkhidmatan teksi yang kita langgan di bawah fungsi 'Penilaian Pemandu' di mana di antara 1 hingga 5 dan bagi penilaian tertinggi adalah 5. Kita juga boleh menghantar laporan samada meter teksi dinyalakan ‘ON’ atau ‘OFF’.

Tidak perlu khuatir tentang maklumat peribadi samda lokasi anda akan diketahui oleh pihak- pihak yang lain kerana data lokasi anda tidak disimpan. Anda hanya akan dijejak selepas mengaktifkan pengesanan perjalanan dan anda boleh menyahaktifkan fungsi tersebut pada bila-bila masa. Lokasi anda hanya akan dikongsi dengan kenalan anda sebaik sahaja anda menekan butang "Bantuan Kecemasan" di bawah fungsi penjejakan perjalanan.


MENGIRA KADAR TAMBANG

Tambang teksi dianggarkan berdasarkan kadar jarak seperti yang ditetapkan oleh SPAD pada 19 Mac 2015.

Anggaran tambang boleh dikira selepas mengisi destinasi asal anda dan destinasi yang ingin dituju. Kiraan kadar tambang hanya untuk Teksi Bajet, TEKSIM, Premier dan Eksekutif dan Kereta Sewa sahaja.




ADUAN

Sesiapa sahaja boleh membuat aduan termasuklah mereka yang bukan warganegara Malaysia tetapi kita perlu ingat, setiap laporan mestilah bermaklumat
yang betul dan sekiranya didapati maklumat aduan adalah palsu, maka pengadu akan dikenakan denda.

Sebelum kita ingin pihak SPAD mengambil tindakan, segala maklumat perlu disertakan dengan bukti kejadian seperti gambar, rakaman suara atau video. Bukti-bukti kejadian ini adalah sebagai sokongan agar SPAD dapat berlaku adil kepada setiap aduan.

Kesemua aduan melalui MeterOn akan disalurkan terus ke Unit Aduan untuk siasatan dan tindakan.

Pihak SPAD akan menjaga kerahsiaan maklumat pengadu daripada mana-mana pihak lain terutama pemandu teksi.

 
SOS

Sekiranya terdapat kecemasan, anda boleh menekan butang Bantuan Kecemasan. Fungsi ini boleh membuat panggilan kecemasan kepada kenalan rapat, Polis Diraja Malaysia atau Hotline S.P.A.D.

Maklumat yang akan dihantar adalah: Nama Pemandu, tarikh dan masa kejadian, lokasi semasa penggunaan, nombor pendaftaran kenderaan, dan mesej (pilihan).


MAKLUMBALAS

Setiap aduan dibuat akan dibawa ke Unit Aduan SPAD untuk siasatan dan tindakan yang sewajarnya. Oleh itu, adalah penting untuk mengemaskini
maklumat peribadi bagi tujuan siasatan susulan.

Bagi membantu meningkatkan lagi aplikasi MeterOn ini, pihak SPAD mengalu-alukan kita berkongsi pengalaman dan komen. Bolehlah menilai aplikasi ini dan borang-borang disediakan di kedai-kedai telefon pintar anda.

Tidak semua pemandu teksi yang berkelakuan buruk dan bagi pemandu teksi yang ikhlas memberi perkhidmatan yang terbaik, pasti akan gembira dan berterima kasih apabila menerima pujian dari penumpang. Sekaligus pemandu-pemandu teksi yang baik ini dapat memberi motivasi kepada yang lain dan seterusnya dijadikan contoh di kalangan mereka bagi meningkatkan imej industri teksi.

Selamat mencuba dan untuk pertanyaan lebih lanjut... layari laman rasi SPAD (khusus mengenai FAQ Meteron)