Showing posts with label Gemas-Gua Musang. Show all posts
Showing posts with label Gemas-Gua Musang. Show all posts

Monday, June 01, 2015

SPAD ARAHKAN KTMB KEMUKA SEMULA PERMOHONAN SEPARA LANDASAN GEMAS-GUA MUSANG


Pihak SPAD tunaikan janji setelah landasan keretapi api Gemas-Gua Musang diperbaiki dan dijangka disiapkan dalam tempoh 3 hingga 6 bulan setelah mengalami kerosakan paling teruk akibat banjir Disember tahun lalu.

Banjir besar yang telah melanda negeri Kelantan telah mengakibatkan 79 lokasi landasan keretapi dan infrastrukturnya dari Gemas hingga Tumpat di mana anggaran kerugian ialah sebanyak RM350 juta dan pihak kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM200 juta sebagai komitmen awal.

Walaubagaimanapun, demi keselamatan penumpang, SPAD telah membuat beberapa ketetapan tanpa kompromi di dalam aspek keselamatan, penyelenggaraan dan operasi tren.

Di antara intipati kenyataan media SPAD adalah;

1. KTMB telah kemuka cadangan operasi keretapi antara Gemas-Gua Musang serta Kemubu-Bukti Abu dimulakan pada Julai 2015.

2. Pemeriksaan terperinci telah dilakukan SPAD pada 21 Mei 2015 dan KTMB telah beri fokus kepada pemulihan sementara landasan.

3. Operasi masih secara separa sebelum kerja-kerja keseluruhan pembaharuan landasa siap.

4. Kerja-kerja pemulihan termasuk pelebaran semula longkang, pengukuhan struktur landasan dan cerun, selipar kayu dna klip landasan yang baru.

5. Kerja-kerja pembaikan keseluruhan dijangka siap pada tahun 2017.

6. KTMB perlu mematuhi ketetapan Suruhanja Pengankutan Awam Darat sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

7. SPAD arahkan KTMB kemuka semula permohonan pembukaan separa landasan bagi memastikan landasan telah diperiksa dan selamat.

8. Sebagai operator yang dilesenkan oleh SPAD, KTMB akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap aspek-aspek keselamatan, penyelenggaraan dan operasi tren.

Berikut adalah kenyataan penuh SPAD;

Kenyataan Media


Pengoperasian Semula Perkhidmatan KTMB Gemas-Gua Musang


28 Mei, 2015 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengambil maklum bahawa KTMB telah mengemukakan perancangan pengoperasian semula perkhidmatan tren antara Gemas-Gua Musang serta Kemubu-Bukit Abu; yang dicadangkan akan bermula pada pertengahan bulan Julai 2015, setelah kerja-kerja pemulihan sementara landasan siap dijalankan.

SPAD telah menjalankan pemeriksaan landasan yang terperinci pada 21 Mei 2015. Lanjutan itu, KTMB telah membentangkan kepada SPAD pada 25 Mei 2015 mengenai kerja baikpulih dengan memberi fokus kepada pemulihan sementara landasan di antara Gemas-Gua Musang dan Kemubu-Bukit Abu, untuk mengembalikan keadaan landasan kepada tahap selamat bagi penggunaan dan operasi tren.

KTMB dengan itu merancang untuk memulakan operasi secara separa sebelum kerja-kerja keseluruhan pembaharuan landasan siap, dengan jaminan bahawa langkah-langkah kawalan yang ketat akan diutamakan. Kerja-kerja pemulihan sementara landasan tersebut merangkumi kerja-kerja seperti pelebaran semula longkang, pengukuhan struktur landasan dan cerun, selipar kayu dan klip landasan yang baru.

Kerja-kerja pembaikan secara keseluruhannya di sepanjang koridor yang terjejas teruk akibat banjir akan dijalankan oleh kontraktor yang dilantik Kementerian Pengangkutan Malaysia dan dijangka akan siap sepenuhnya pada tahun 2017.


Bagi memastikan langkah-langkah kawalan serta persediaan untuk operasi secara separa dibuat dengan rapi, KTMB perlu mematuhi keperluan yang telah ditetapkan Suruhanja Pengankutan Awam Darat sebagaimana yang telah diperuntukkan di dalam Akta Pengangkutan Awam Darat 2010. Sejurus itu KTMB telah diarah oleh SPAD untuk mengemukakan semula permohonan bagi pembukaan separa landasan serta operasi tren tersebut setelah kerja-kerja pemulihan dilaksanakan berserta dokumen sokongan dan pengesahan perunding bebas bahawa keadaan landasan telah diperiksa dan selamat untuk kembali beroperasi.


Oleh itu, tarikh bagi pembukaan landasan dan perkhidmatan tren di sektor Gemas-Gua Musang dan Kemubu-Bukit Abu akan ditentukan oleh SPAD setelah KTMB memenuhi semua kerja pemulihan sementara landasan tersebut serta syarat-syarat keselamatan yang telah ditetapkan oleh SPAD. Sebagai operator yang dilesenkan oleh SPAD, KTMB akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya terhadap aspek-aspek keselamatan, penyelenggaraan dan operasi tren.


Friday, July 18, 2014

KEJADIAN PERTAMA KERETAPI TERGELINCIR SELEPAS ARAHAN SPAD

Gambar hiasan

Selepas persetujuan diambil di antara SPAD dan KTMB (baca DI SINI) di atas permohonan KTMB menangguhkan perlaksanaan menjalankan kerja-kerja membaik pulih landasan keretapi Gemas  - Gua Musang, pada 8 Julai lalu perkhidmatan KTM Intercity di Pantai Timur yang melibatkan Tren No. 28 Ekspres Wau dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan telah tergelincir lebih kurang 1.50 pagi yang mengakibatkan gangguan.

KTMB maklumkan kejadian berlaku di Km 80.0 di antara Kemayan-Triang, membabitkan satu daripada lapan gerabak tren yang membawa 200 penumpang dan tiada kecederaan berlaku. Kesemua 79 penumpang terbabit dipindahkan ke koc hadapan. Tren meneruskan perjalanan selepas koc yang tergelincir dipotong. Kerja-kerja baik pulih landasan sedang dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh 24 jam.

Perlu diingatkan semula 7 syarat awal yang telah dipersetujui dan mengaku bertanggungjawab oleh KTMB;
 
  • Memberi jaminan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk meningkatkan peraturan dan pemantauan operasi tren.
  • Meningkatkan penilaian ke atas landasan dengan mengenakan had kelajuan yang lebih rendah jika perlu.
  • Meningkatkan pemantauan dan penyenggaraan infrastruktur landasan.
  • Menyediakan storkereta yang lebih berkualiti.
  • Kerahan tenaga kerja daripada KTMB untuk menangani situasi kritikal.
  • Menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau semua pelan tindakan.
  • Melaksanakan program komunikasi dengan pihak berkepentingan terutamanya orang ramai dan kakitangan KTMB bagi memastikan penutupan separa ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

Kini berlaku kejadian tergelincir pertama. Maka pihak SPAD telah mengeluarkan arahan seperti berikut;


KENYATAAN MEDIA

SPAD ARAHKAN PENUTUPAN SEPARA LANDASAN REL SEKTOR GEMAS-GUA MUSANG DILAKSANAKAN SERTA MERTA
 
KUALA LUMPUR, 11 Julai 2014 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D) hari ini telah mengarahkan KTMB agar penutupan landasan secara separa di sektor Gemas – Gua Musang dilaksanakan dengan serta merta selepas insiden kegelinciran tren berhampiran Stesen Kemayan, Pahang pada 8 Julai 2014. 
Tindakan ini akan membolehkan KTMB menjalankan kerja-kerja memeriksa serta menyelenggara landasan secara komprehensif di sektor berkenaan pada waktu siang sebelum membenarkan tren beroperasi semula pada waktu malam.


Sebelum ini, S.P.A.D. telah bersetuju pada 26hb Jun 2014 untuk KTMB menutup secara spara landasan KTM sektor Gemas-Gua Musang mulai 15hb Ogos 2014. Keputusan ini dibuat selepas mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan oleh KTMB serta komitmen pengendali rel ini untuk mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko kemalangan dan menjamin keselamatan penumpang di sepanjang sektor berkenaan.


Arahan S.P.A.D. ini akan mengurangkan risiko terhadap aspek keselamatan penumpang dan operasi tren.   Susulan daripada arahan ini, KTMB juga dikehendaki untuk melaksanakan dengan segera plan komunikasi menyeluruh serta penjadualan semula perkhidmatan mereka.


Walaupun keputusan ini akan memberi kesan terhadap perjalanan perkhidmatan tren yang disediakan, S.P.A.D. selaku pengawal selia pengangkutan awam darat   sentiasa meletakkan aspek keselamatan penumpang sebagai asas utama dalam membuat apa-apa keputusan.

Inilah yang dikhuatiri SPAD, kejadian kemalangan bakal berlaku yang melibatkan keselamatan penumpang. Seperti yang dijanji pihak KTMB untuk bertanggungjawab ke atas sebarang kemalangan, mereka bertindak pantas namun adalah ... LEBIH BAIK CEGAH SEBELUM PARAH!

Monday, June 30, 2014

SPAD SETUJU SETELAH KTMB AKUI BERTANGGUNGJAWAB

Sidang Media pada 28 Jun 2014

Lanjutan dari rayuan KTMB untuk menangguhkan penutupan landasan Gua Musang - Gemas kepada SPAD pada 27 Jun 2014 lalu, satu sidang media mengumumkan persetujuan telah dicapai setelah diadakan beberapa siri perbincangan. Kini perlaksanaan menjalankan kerja-kerja membaik pulih landasan keretapi dari Gemas ke Gua Musang akan hanya bermula pada 15 Ogos 2014. Itu adalah persetujuan yang telah diambil di antara SPAD dan KTMB.

SPAD telah membuat arahan mengikut kuasa di bawah peruntukan Seksyen 105 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta pemeriksaan berkala oleh jurutera SPAD. Pihak KTMB telah dimaklum dan telah bersetuju akan keadaan landasan yang kritikal dan memerlukan penambahbaikan segera semenjak bulan Januari 2012. Semenjak 2012, 13 kali terdapat kejadian tergelincir dan bernasib baik tiada kemalangan jiwa yang berlaku.

Pihak SPAD juga telah pertimbangkan alasan KTMB di mana di antara tarikh yang diarahkan pada 27 Jun 2014 lalu, akan mengakibat ramai penumpang yang mengguna keretapi di hari perayaan nanti bakal terjejas dan Hari Raya Aidil Fitri akan disambut umat Islam. KTMB juga telah memberi alasan, ketika hari perayaan besar inilah pendapatan KTMB akan memuncak. 

KTMB sebagai syarikat yang bertanggungjawab tidak mampu menjalankan penambahbaikan landasan secara berkala yang didapati dalam keadaan kritikal disebabkan kos penyelenggaraan dan operasi lebih tinggi dari pendapatan, maka SPAD sebagai agensi kawal selia kerajaan terhadap perkhidmatan keretapi Malaysia, telah berusaha dan kini berjaya mendapatkan peruntukan sebanyak RM400 juta bagi kerja-kerja ini. Bagi pihak SPAD, peruntukan kerajaan ini hanya bermatlamat memastikan kemudahan pengangkutan awam sentiasa berada di tahap yang baik dan selamat.



7 syarat awal yang telah dipersetujui KTMB adalah;
 
  1. Memberi jaminan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk meningkatkan peraturan dan pemantauan operasi tren.
  2. Meningkatkan penilaian ke atas landasan dengan mengenakan had kelajuan yang lebih rendah jika perlu.
  3. Meningkatkan pemantauan dan penyenggaraan infrastruktur landasan.
  4. Menyediakan storkereta yang lebih berkualiti.
  5. Kerahan tenaga kerja daripada KTMB untuk menangani situasi kritikal.
  6. Menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau semua pelan tindakan.
  7. Melaksanakan program komunikasi dengan pihak berkepentingan terutamanya orang ramai dan kakitangan KTMB bagi memastikan penutupan separa inidapat dilaksanakan dengan lancar.

Lanjutan daripada permohonan penangguhan itu, setelah diadakan sidang akhbar maka pihak SPAD ingin menegaskan pihak KTMB perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap kejadian yang akan berlaku sehingga 15 Ogos 2014

Di samping itu, pihak SPAD akan memantau sepanjang masa dan KTMB perlu menghantar laporan mingguan perkembangan perlaksanaan apabila kerja-kerja membaikpulih landasan dimulakan.

Oleh yang demikian, seandainya ada di antara 7 syarat yang telah dipersetujui KTMB tidak dipatuhi, maka seandainya berlaku sebarang kemalangan ataupun kejadian, KTMB dipertanggungjawab sepenuhnya.

Walaupun pihak SPAD khuatir dengan keselamatan penumpang keretapi, namun dengan persetujuan bertanggungjawab sepenuhnya dari pihak KTMB maka diharapkan semua pihak juga harus bekerjasama dan tidak kompromi ke atas keselamatan rakyat. 

KTMB perlu memaklumkan dan membuat hebahan kepada rakyat kedudukan keretapi dan langkah-langkah yang telah dan perlu diambil agar penumpang boleh membuat keputusan yang selaras dengan kehendak dan keyakinan mereka.
Dengan syarat-syarat yang dipertanggungjawabkan oleh SPAD, diharapkan penumpang akan berkeyakinan dengan perkhidmatan KTMB terutama di musim perayaan yang akan datang nanti. KTMB diharap tidak selesa dengan kejadian-kejadian lalu yang tidak melibatkan nyawa kerana perlu diingat, saranan SPAD untuk membaikpulih landasan telah dimaklumkan kepada KTMB sejak tahun 2012.

Dengan perancangan kerajaan yang akan melaksanakan keretapi laju pada tahun 2020, seharusnya membaikpulih dan meningkatkan struktur landasan dan stesen sepatutnya diselaraskan dan dipercepatkan.

KTMB seharusnya juga tidak kompromi dengan segala isu keselamatan dan apa yang boleh kita lakukan sekarang hanyalah berharap agar tiada kemalangan yang melibatkan nyawa di dalam tempuh penangguhan.

LEBIH BAIK CEGAH SEBELUM PARAH...