Wednesday, August 31, 2016

PRESIDEN MCA : SEHATI SEJIWA WUJUD PADA SETIAP RAKYAT MALAYSIA



Sebagai salah satu parti komponen Barisan Nasional yang mewakili bangsa cina di negara kita, kepimpinan MCA juga adalah merupakan kejayaan negara mencapai kemerdekaan. Justeru, sejak tertubuhnya MCA, mereka sentiasa dengan parti pemerintah bersama-sama meneraju untuk membawa negara kepada kejayaan demi kejayaan sehingga hari ini.

Dengan semangat setiakawan sebagai rakan parti Barisan Nasional, MCA juga telah bertanggungjawab mewujudkan perpaduan di kalangan pelbagai kaum di negara sehingga berjaya menyemai semangat solidariti dan jatidiri sebagai anak Malaysia telah ditunjukkan dalam apa jua keadaan serta dugaan yang dihadapi.

Sempena menyambut Hari Kemerdekaan ke 59, tema sehati sejiwa adalah sinonim dengan semangat solidariti MCA yang kini bersama-sama membawa kejayaan Malaysia di pelbagai peringkat termasuk sukan. Ketika berlangsungnya acara separuh akhir badminton di Olimpik Rio, telah terbukti semangat sehati sejiwa ini wujud apabila sokongan dari semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur dan bangsa.

Justeru, semangat sehati sejiwa telah dizahirkan Presiden MCA Datuk Liow Tiong Lai di dalam ucapannya seperti berikut;
KENYATAAN AKHBAR
OLEH YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN
PRESIDEN MCA
 
Perpaduan Antara Rakyat Pemacu Kejayaan Negara
 
Selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia.
 
Sempena kita menyambut Hari Kemerdekaan ke 59, luangkan sedikit masa untuk mengimbau kembali perjalanan negara sehingga ke hari ini.
 
Berlandaskan solidariti yang terbit dari kepelbagaian bangsa dan budaya, Malaysia kini adalah sebuah negara yang semakin disegani, dengan kejayaan di pelbagai peringkat. Kesungguhan dan kecekalan pejuang-pejuang negara telah menjadi asas kepada kejayaan yang dikecapi serta merupakan garis panduan dalam kita mengharungi rintangan dan cabaran.
 
Cita-cita dan azam ini jelas ditonjolkan oleh para atlet Olimpik negara pada awal bulan ini. Mereka telah menjulang nama negara di peringkat sukan antarabangsa berbekalkan kegigihan dan semangat kesukanan yang tinggi. Di tanah air pula, seluruh rakyat Malaysia bersatu hati, menyokong dan bersorak untuk atlet-atlet kita yang berjuang. Ini benar-benar mencerminkan tema Hari Merdeka bagi tahun ini, Sehati Sejiwa malah membuktikan semangat patriotisme yang wujud pada setiap rakyat Malaysia.
 
Kontinjen negara juga telah mengukir sejarah dengan membawa pulang lima pingat Olimpik. Sambil kita menyambut kemenangan mereka kita juga harus menyedari bahawa kejayaan setiap individu adalah kejayaan kita bersama dan ini merupakan tonggak kejayaan tanah air yang kita cintai. Setiap individu mampu menyumbang dengan cara tersendiri, demi kejayaan Malaysia secara kolektif.
 
Dalam kita mengejar impian negara, mari kita bersama-sama menghayati semangat Kemerdekaan sambil kita meraikan hari yang amat bermakna ini. Kesederhanaan, toleransi dan bertolak ansur adalah asas Rakyat Malaysia dahulu, kini dan selamanya.
 
Selamat Hari Merdeka dan selamat beristirehat bersama keluarga. Bagi pengguna jalan raya, ingatlah mereka yang tersayang dan sentiasa berhati-hati di jalan raya.

Malaysia adalah sebuah negara yang sangat unik yang tidak wujud di mana-mana negara di dunia ini kerana pelbagai kaum yang mampu hidup secara aman damai tanpa berlakunya diskriminasi kaum. Namun, kesemua ini akan hilang jika parti pemerintah Barisan Nasional tidak wujud dan menyedari akan kepentingan perpaduan, maka MCA bersama-sama parti komponen lain terus menapak.

Dari mula lahirnya MCA sehingga hari ini, kita bersyukur dengan adanya kerjasama MCA di dalam Barisan Nasional sebagai penyambung perpaduan di antara kaum. Maka, hargailah kemerdekaan negara dan sentiasalah ... SEHATI DAN SEJIWA!

No comments: