Monday, August 25, 2014

#MALAYSIAKU BERDAULAT UTAMAKAN PERPADUAN KAUM ADALAH MODUL BARU PROGRAM KHIDMAT NEGARA


Fenomena perkauman kaum khususnya di kalangan belia hari ini telah mengakibatkan nilai-nilai perpaduan semakin tenggelam di bawah sentimen politik dan polarisasi kaum sehinggakan ada yang tidak mahu bergaul dengan belia lain yang berlainan ideologi mahupun dari kalangan kaum berbeza.

Oleh kerana itu, Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) sedang mengkaji semula kurikulum program dengan memberi penekanan kepada perpaduan kaum yang bertemakan Malaysiaku Berdaulat. 


 

Di dalam setiap modul ini juga menumpukan kepada dua aspek lain iaitu kesukarelawan dan memupuk semangat cintakan negara.

Ia juga bertepatan dengan objektif latihan PLKN untuk memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional di samping meningkatkan semangat patriotisme, membentuk perwatakan positif, menyemarakkan semangat kesukarelaan serta melahirkan generasi muda yang lebih cergas, cerdas dan penuh keyakinan diri.

Demi membina kekuatan jati diri di kalangan remaja, pihak MLKN juga sedang mengkaji keperluan untuk mewujudkan modul pembelajaran bagi melahirkan sukarelawan yang cekap dalam bantuan kecemasan berikutan insiden pesawat MH370. Pelatih-pelatih juga akan diberi kefahaman tentang bagaimana negara akan terdedah kepada kefahaman kemungkinan ancaman luar seperti pengganas.


Datuk Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid adalah Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) semenjak 30 Ogos 2013. Perlantikan Datuk Ehsan adalah berdasarkan penglibatan aktifnya di dalam pembangunan dan pemerkasaan belia melalui pelbagai platform khususnya ketika bertugas sebagai Pengarah Seranta (FELDA) di Jabatan Perdana Menteri.

Jumlah keseluruhan pelatih di seluruh negara pada tahun ini telah mencecah seramai 90,000 setelah mereka tamat SPM. Dalam kumpulan 3 siri ke-11 program PLKN ini, seramai 14,000 pelatih telah memulakan latihan mereka di 81 kem latihan di seluruh negara.

Untuk memberi peluang kepada kesemua pelajar yang tamat SPM dapat mengikuti latihan ini, MLKN juga sedang mengkaji agar tempoh latihan dipendekkan.

Setelah PLKN dilaksanakan lebih 10 tahun, maka sewajarnya kajian ini dibuat sebagai sebahagian dari plan transformasinya.

No comments: