Thursday, August 14, 2014

AWAS! SPAD TELAH KESAN 'POT' PREBET SAPU DI KL

Kenderaan persendirian yang ditahan ketika Ops Tegas di sekitar Rawang

Mengguna kenderaan persendirian untuk menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada orang ramai dan meminta upah adalah salah dan inilah dikatakan teksi sapu atau prebet sapu. Kegiatan ini dianggap haram serta menyalahi undang-undang memandangkan mereka tidak berdaftar dengan pihak SPAD.

Risiko yang akan dihadapi penumpang adalah apabila berlaku kemalangan di mana mereka tidak dilindungi inusran dan setiap kesalahan pemandu tidak akan dapat diambil tindakan pihak berkuasa. Tambang yang dikenakan teksi sapu ini adalah mengikut suka hati mereka dan penumpang tidak akan mampu membantah.

Itu adalah kesedaran yang perlu ada sebelum seseorang ingin mengguna khidmat teksi haram.

Sebagai penguatkuasa yang bertanggungjawab ke atas pengangkutan awam, SPAD telah menjalankan satu operasi iaitu Ops Tegas bertujuan membenteras kegiatan teksi-teksi haram ini pada Isnin lalu di Rawang.

Beberapa tangkapan telah dilakukan di mana dua anggota penguatkuasa SPAD telah menaiki kenderaan berkenaan dari Stesen KTM Rawang ke kawasan perumahan dekat Taman Bersatu, Rawang. Hasil siasatan awal, lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu adalah penduduk tempatan yang baharu menawarkan khidmat pengangkutan itu.

Selain itu, terdapat tiga prebet sapu ditahan oleh satu pasukan penyamaran dan dua pasukan tangkapan, di tiga lokasi berasingan. Ops Tegas di sini turut menahan lapan pemandu teksi yang melakukan kesalahan kerana tidak menggunakan meter.

Operasi Tegas tersebut turut melibatkan 11 pasukan penyamaran terdiri daripada 22 anggota penguat kuasa.

Lebih memeranjatkan apabila Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Datuk Che Hasni Che Ahmad mendedahkan terdapat 50 lokasi panas di mana prebet-prebet sapu ini aktif menjalankan kegiatan mereka.

Tempat-tempat yang mempunyai permintaan di mana yang ada ramai orang turun dari terminal bas atau stesen LRT adalah tumpuan prebet sapu. Tidak memeranjatkan apabila prebet-prebet sapu ini boleh didapati walaupun di bandaraya seperti Kuala Lumpur.

Sejak Ops Tegas dilancarkan SPAD pada Jun 2011, sebanyak 148 kes membabitkan prebet sapu direkodkan, di mana tahun ini sahaja sebanyak 36 kes sehingga Julai ini. Walaupun jumlah kes prebet sapu yang dikesan tidak banyak tetapi ia tetap serius kerana melakukan kesalahan.
Kepada pemilik kenderaan prebet sapu, kesalahan mereka adalah di bawah Seksyen 16 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 dan keretanya akan dilucutkan hak daripada pemilik kenderaan.


No comments: