Tuesday, October 13, 2015

LAPORAN TAHUNAN MCA DALAM PERHIMPUNAN AGUNG KE 62


Setiap tahun MCA akan membentangkan laporannya kepada ahli-ahli agar dapat mengikuti perkembangan dan hala tuju parti seterusnya. Di dalam merancakkan lagi aktiviti parti, ahli-ahli MCA yang berjumlah lebih dari 1 juta di seluruh tanah air juga telah disuntik semangat bersatu dan setiakawan di antara parti-parti komponen Barisan Nasional yang terjalin sejak 62 tahun lalu.

Buat pertama kalinya, perhimpunan MCA dihadiri delegasi jemputan dari negara-negara ASEAN dan China selain daripada rakan-rakan parti komponen BN. Kehadiran Presiden BN merangkap Perdana Menteri Malaysia merasmikan perhimpunan tahunan ini juga membawa keyakinan bahawa MCA bukan parti politik bangsa Cina yang perlu dipinggirkan seperti tuduhan DAP. Malahan, kehadiran delegasi dari negara-negara lain juga membuktikan bahawa MCA mempunyai hubungan yang erat di peringkat antarabangsa.

Empat perkara pokok yang dibentangkan di dalam lapuran Presiden merangkumi situasi politik semasa, cabaran ekonomi dan transformasi MCA, agenda pendidikan dan persediaan menghadapi pilihanraya.

SITUASI POLITIK SEMASA

MCA bimbang dengan suasana politik negara seperti jerebu yang melanda di mana unsur-unsur ketegangan kaum sedang melanda. Bermulanya percikan api kebencian dari parti politik pembangkang sehingga menggugat kehidupan seharian masyarakat. Oleh itu, Datuk Liow telah mengingatkan semula semangat dan prinsip yang diperjuangkan Barisan Nasional yang berteraskan konsep kesederhanaan dan kepelbagaian yang telah menjadi formula kejayaan Malaysia.
Datuk Liow Tiong Lai telah memetik kata-kata pengasas parti MCA ini pada 30 Mac 1947 “The different communities in Malaya must develop the feeling of nationality of a Malaya type; they must learn to be united among themselves by common sympathies and be willing to cooperate with each other for common purpose, while at the same time preserving their cultural and intellectual independence.”

Dengan semangat inilah maka UMNO, MCA dan MIC dibawah satu perikatan mendapatkan kemerdekaan dan seterusnya menjadi pengasas kepada negara sehingga terbentuknya BN pada tahun 1974 dan terus menerajui pemerintahan.

Oleh itu, Datuk Liow telah mencadangkan satu penyelesaian yang komprehensif agar kerajaan mewujudkan satu Majlis Rekonsilasi dalam mengatasi dan menyelesaikan isu-isu ketegangan kaum, perbezaan fahaman agama dan juga sosio ekonomi masyarakt. Tanggungjawab majlis ini juga perlu melihat dan mencari solusi bagi jurang pemikiran antara kaum, antara generasi serta di antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Selaras dengan pendekatan dan penerapan nilai-nilai Wasatiyyah yang didokong Perdana Menteri Najib Razak, MCA juga mengamalkan dasar tersebut dalam melaksanakan dasar kesederhanaan, keharmonian, dan perpaduan dalam kepelbagaian.



CABARAN EKONOMI DAN TRANSFORMASI MCA

Di dalam menghadapi cabaran ekonomi negara, Datuk Liow menjelaskan perlunya semua lapisan masyarakat perkuatkan azam dan perkukuhkan perpaduan di mana MCA dibawah kepimpinannya telah bersama-sama menjayakan setiap inisiatif kerajaan.

Di antara usaha transformasi MCA, tiga fasa utama iaitu kempen Teguh Bersama, Memupuk Kepelbagaian dan 10 Strategi Hala Tuju Ekonomi telah dilaksanakan dan membuahkan hasil dalam meningkatkan ekonomi rakyat.

Fasa pertama iaitu kempen 'Teguh Bersama' telah kembalikan perpaduan dan keutuhan dalam MCA berbanding dua tahun lalu dan fasa keduanya pula iaitu 'Memupuk Kepelbagaian' pula telah diterjemahkan dalam mencorakkan ciri-ciri unik Malaysia yang menarik daya saing antarabangsa.

Pada tahun ini, MCA telah melancarkan fasa ketiganya iaitu 10 Strategi Hala Tuju Ekonomi yang mensasarkan kumpulan berkepentingan dan memerlukan. Inisiatif 'One Belt One Road' dan MCA adalah pemudahcaranya untuk perdagangan di antara Malaysia dan negara China.

MCA juga telah mewujudkan urusetia Urusetia untuk Kemajuan Keusahawanan Malaysia (SAME) bagi membantu dan menyelesaikan isu IKS terutamanya dari segi pembiayaan kewangan. YAB Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta di dalam bajet 2015 dan memandangkan sambutan yang menggalakkan serta keberkesanan membantu pembangunan ekonomi, MCA berharap agar di dalam bajet 2016, Perdana Menteri dapat meluluskan sekurang-kurangnya RM50 juta lagi serta penubuhan Bank Koperasi Kojadi.

Program Neo Urbanisasi telah diperkenalkan MCA bagi pekan-pekan tahap kedua dan ketiga serta kampung-kampung baru di seluruh negara. Pusat Strategik Urbanisasi Baru pula adalah untuk menambahkan lagi peluang pembangunan ekonomi di tempat masing-masing.

Bagi menghadapi cabaran-cabaran dan peluang-peluang yang lebih luas dalam perdagangan global, MCA menyokong penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPP). MCA akan berperanan membantu perniagaan dan usahawan tempatan meluaskan prospek perniagaan mereka di persada antarabangsa.


AGENDA PENDIDIKAN

MCA berpendirian tegas dan tidak akan akur kepada mana-mana pihak yang ingin menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Dalam usaha meningkatkan pendidikan SJKC, MCA telah melancarkan Pelan Sekolah Pintar 2.0 bagi mempertingkatkan tahap penguasaan Bahasa Malaysia dan Inggeris di kalangan pelajar-pelajar SJKC.

Ketegasan MCA ini bukan sekadar ingin mengekalkan legasi tetapi telah ditegaskan juga oleh YAB PM di dalam ucapannya, kepelbagaian aliran pendidikan adalah juga prinsip Barisan Nasional sejak penubuhannya.

Di dalam menuju pencapaian negara maju menjelang tahun 2020, selain menambahbaik Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR), MCA telah mempersiapkan pusat-pusat pengajian teknikal dan vokasional melalui kolej Technical Vocational Education Training (TVET) di Setapak serta dua lagi kampus di di Kuantan, Pahang dan kampus di Kota Kinabalu, Sabah.

Pertama kali, UTAR telah berjaya melahirkan kumpulan pertama 25 graduan dari fakulti perubatan dan bagi melatih lebih ramai pakar perubatan, MCA sedang berusaha membangunkan sebuah Hospital Universiti Swasta di Kampar, Perak.



BERSEDIA MENGHADAPI PILIHANRAYA

Datuk Liow telah memberi jaminan peribadinya yang MCA akan terus perjuangkan kepentingan majmuk dan khususnya masyarakat Cina. MCA akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang dengan mengutamakan nilai-nilai murni seperti tadbir urus (good governance) yang baik, ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Taktik politik kotor pembangkang yang dahulunya Pakatan Rakyat dan kini timbul pula Pakatan Harapan, akan terus didedahkan MCA. Kekeliruan dan penipuan yang sengaja diwujudkan pembangkang ini jelas terbukti apabila  di antara mereka gagal bersatu dan berkompromi sesama mereka. Justeru, taktik kotor mereka ini hanyalah untuk menutup kegagalan mereka menangani perbezaan dan sekali gus membuktikan impian mentadbir Malaysia hanyalah satu impian kosong.

MCA akan menyedarkan rakyat agar tidak dijadikan mangsa yang akhirnya mereka yang menerima padah akibat dari pertelingkahan yang tiada kesudahan sesama parti-parti pembangkang.

Pendekatan DAP yang gemar menyemai benih kebencian antara kaum dengan pendekatan konfrontasi hanya akan membawa kerugian besar kepada masyarakat Cina. Oleh itu, Datuk Liow menegaskan, MCA di bawah kepimpinannya tidak akan sekali-kali memainkan isu perkauman seperti yang dilakukan DAP yang sebenarnya hanya untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Justeru, MCA tidak pernah dan tidak akan menyerah kalah malah akan terus menggalas tanggungjawab dan amanah yang dipegang sejak kemerdekaan lagi untuk bersama-sama memajukan Malaysia atas dasar kebersamaan dan kesefahaman antara kaum.

Apabila YAB Perdana Menteri telah memberi peluang kedua kepada MCA menduduki jawatan di dalam kabinet kerajaan, maka MCA bukan sahaja berterima kasih malahan MCA perlu mempunyai satu suara dan satu matlamat dalam berganding bahu bekerjasama dalam perjuangan dan jauhkan diri dari bertelagah sesama sendiri.

Memetik kata-kata Aesop, ahli falsafah yunani purba “Those who betray their friends, do not always realize that they are destroying themselves” dan berpesan agar janganlah kita menjadi enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing, Datuk Liow berharap agar perselisihan faham sesama sendiri perlu dihentikan.

Beliau mengakhiri laporan tahunan MCA dengan menyeru ahli-ahli MCA agar bangkit dan bersatu bagi memastikan kesinambungan BN terjamin pada PRU akan datang sebagai satu kenyataan, malahan yang lebih utama ialah memastikan masa depan Malaysia terjamin, aman dan makmur selama-lamanya.

Monday, October 12, 2015

TRANSFORMASI MODUL PLKN 2.0 ... MANTAP


Transformasi Modul PLKN 2.0 adalah sejajar dengan perkembangan semasa negara untuk memenuhi tuntutan tenaga berkemahiran. Oleh itu Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) memperkenalkan 8 modul baru untuk persiapan mulai tahun hadapan.

5 modul utama PLKN 2.0 merangkumi Cergas Tangkas (FIT4LIFE), Bicara Tekno (TECH & TALK), Pembangunan Diri (I-UPGRADE), MalaysiaKu dan Cakna Negara (BE SAFE, BE ALERT) dan 3 lagi sub-modul adalah Kerohanian (SPIRITUALITY), KerjayaKu (MYFUTURE) dan Khidmat Masyarakat (SERVICE LEARNING) yang bertepatan dengan 3 teras utama PLKN iaitu Kesukarelawanan, Perpaduan dan Cintakan Negara.

Pengumuman ini telah dibuat oleh Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Datuk Ehsanuddin Harun Narrashid dan PLKN 2.0 akan dilaksanakan dalam 2 fasa iaitu Program Pembelajaran Bersepadu (ILP) dan Program Sijil Kemahiran Teknikal.

Di antara penambahbaikan lain adalah pengambilan pelatih terbuka kepada sukarelawan di mana diperuntukkan 30 peratus dan selebihnya adalah untuk pelajar-pelajar lepasan sekolah yang mendapat cadangan dan perakuan dari pihak sekolah. Tempoh perlaksanaan program ini juga akan dipendekkan dari 12 minggu ke 8 minggu dan sekali gus mampu mengurangkan kos program serta ia bertujuan untuk membuat penambahan pengambilan bagi setiap program dalam setahun.

PLKN 2.0 juga melibatkan 420 agensi awam kerajaan dan 10 kementerian di dalam program jangkamasa panjang dibuat sebagai Follow-up Program di mana bekas pelatih PLKN 2.0 akan diberi peluang menjalani latihan kemahiran dan amali untuk membina kerjaya mereka kelak. Pelatih yang gagal mendapat peluang melanjutkan pengajian di universiti juga akan berpeluang menyertai program kemahiran. Ini adalah memastikan pelatih-pelatih PLKN tidak menjadi golongan terpinggir yang tiada pekerjaan, tiada kemahiran dan tiada masa depan.

Yayasan Alumni PLKN turut dibentuk bagi mengemaskini data mengenai bekas-bekas pelatih sebelum ini.

Di antara aspek penting yang dipertingkatkan adalah faktor keselamatan samada dari segi perlaksanaan modul mahupun penempatan pelatih. Sehubungan itu, penyelenggaraan semula lebih 80 kem Khidmat Negara seluruh Malaysia telah pun mula dilaksanakan bagi persedian PLKN 2.0 pada Januari 2016 nanti.

Seramai hampir 400 peserta akan mengambil bahagian di mana 309 pelatih adalah dari kalangan sukarelawan, 32 pelatih dari Malaysian Automotive Institute dan selebihnya adalah individu yang membuat penangguhan latihan pada program yang lalu.

Friday, October 09, 2015

KEPIMPINAN MCA TIDAK MUDAH MELATAH DENGAN KENYATAAN MANTAN PRESIDENNYA


Untuk beberapa ketika ini, soalan-soalan panas dari wartawan akan pasti dikemukakan kepada pemimpin-pemimpin MCA setelah mantan Presidennya, Tun Ling Liong Sik secara terbuka menyatakan untuk menyertai gelanggang Tun Mahathir setelah menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di Perth, untuk menuntut agar Perdana Menteri DS Najib Razak meletak jawatan.

Soalan panas akan berterusan setelah di antara Tun Ling dan DS Najib bakal dibawa ke muka pengadilan di mahkamah. Justeru, pendirian dan pandangan kepimpinan MCA terutama dari kepimpinan Datuk Liow Tiong Lai pasti dituntut bukan saja dari wartawan malahan dari kesemua parti politik terutama parti-parti komponen Barisan Nasional.

Oleh kerana pihak Perdana Menteri sedang membawa kenyataan mantan Presiden MCA ke muka pengadilan di mahkamah, maka ketiga-tiga kepimpinan tertinggi MCA secara sebulat suara bersetuju agar ia diadili dan diselesaikan mengikut undang-undang. Secara sebulat suara juga, mereka bersetuju bahawa kritikan Tun Ling adalah pandangan peribadinya dan bukan kenyataan rasmi MCA. Maka Tun Ling perlulah bertanggungjawab ke atas kenyataannya sendiri.

Kematangan dan kebijaksanaan sebeginilah yang perlu dipuji rakyat agar memahami di antara kenyataan rasmi parti dibezakan dengan pandangan peribadi. Walau apa pun yang dikeluarkan oleh mantan-mantan Presiden, itu adalah hak peribadinya yang sememangnya mempunyai tujuan peribadi dan bukan untuk kepentingan parti.

Tetapi ia seolah-olah MCA cuba melarikan diri daripada mendepani isu ini.

Sebagaimana MCA menghormati pandangan peribadi mantan Presidennya, begitu jugalah MCA menghormati tindakan tuntutan ke mahkamah oleh PM Najib Razak dan beliau lebih berhak mengambil tindakan kerana ia lebih kepada peribadi. Begitu juga berlaku apabila Tun Mahathir keluarkan kenyataan-kenyataan mengkritik PM Najib, UMNO tidak mengambil tindakan undang-undang kerana ia perlu diselesaikan didalam gelanggang parti.

Malahan, pendekatan yang diambil MCA memilih untuk menyelesaikan sebarang isu dengan semangat berpasukan dan setiakawan sebagai sebuah keluarga Barisan Nasional. Walau apa pun pandangan parti lawan, keutuhan kerajaan yang ada perlu dipertahankan walau apa pun isu sedang melanda, maka MCA mengajak kita melihat dalam konteks 'the BIG picture'.

Bagi MCA, menyokong kepimpinan Najib Razak adalah keutamaan kerana beliau telah dipilih di dalam amalan demokrasi dan adalah tidak menyalahi undang-undang negara. Seterusnya, sebagai parti penyokong kerajaan segala aspirasi dan perancangan untuk negara dan rakyat adalah lebih baik diberi tumpuan. Tuntutan agar rakyat bersatu menghadapi cabaran yang mendatang adalah juga keutamaan MCA.
 

Thursday, October 08, 2015

PERSEPSI JAHAT LEBIH PENTING UNTUK SABITKAN MP UMNO

Ada pepatah mengatakan mata pena lebih tajam dari pedang, tetapi hari ini di zaman segalanya dihujung jari, nampaknya pepatah ini lebih sesuai ditulis... hujung jari lebih tajam dari pedang. Ia lebih sesuai jika diajukan kepada wartawan dan penulis di portal-portal berita untuk mewujudkan persepsi samada baik mahupun buruk, yang penting persepsi diutamakan.

Ini adalah contoh jari-jari tajam yang menulis berita yang belum disahihkan dan mewujudkan persepsi buruk terhadap seorang Ahli Parlimen UMNO, walaupun dalam waktu yang beberapa jam...



Pada pukul 2.31 ptg, Malaysiakini terbitkan satu artikel bertajuk, "MP Umno akan dipanggil bantu siasatan kes tanah", dengan ulasan bahawa seorang ahli parlimen Umno yang juga pengarah di sebuah anak syarikat Felda didakwa disiasat SPRM berkaitan pembelian tanah di Johor susulan dakwaan salah guna kuasa.

Mkini hanya tulis dari sumber SPRM dan Pengarah Siasatan SPRM Datuk Mohd Azam Baki enggan mengulas dakwaan itu ketika dihubungi.

Jika disemak melalui 'google search', terdapat beberapa portal dan blog yang telah pun berkongsi berita dalam masa beberapa jam sahaja dan di antaranya, yang pasti adalah portal mesra pembangkang seperti Malaysia Chronicle dan Free Malaysia Today.

Maka satu persoalan timbul, siapakah MP tersebut, seorang pengarah di sebuah anak syarikat Felda dan berkaitan Johor? Pasti akan ada yang membuat siasatan dan paling terpantas ialah mencari di laman web anak syarikat Felda, maka nama Datuk Ehsan, MP Kota Tinggi adalah nama yang pasti ingin disabitkan.

Kemudian pada pukul 6.00 ptg, MalaysiaKini tulis pula 'SPRM nafi wakil seorang rakyat Umno disiasat' dengan penafian dari Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdul menahan, menyoal siasat atau meminta seorang anggota parlimen Umno untuk membantu siasatan. 

Malangnya, tidak pula Malaysia Chronicle mahupun Free Malaysia Today atau blog-blog mesra pembangkang kemaskini penafian ini.

Pokoknya dalam jangka waktu hampir 4 jam sebelum penafian SPRM, persepsi buruk terhadap Datuk Ehsan telah mula viral yang beliau menepati teka-teki Malaysiakini. Persepsi jahatnya ialah beliau disabitkan dengan salahguna kuasa dan lebih malang apabila ada yang mula mempercayainya bukan sahaja dari kalangan parti lawan malahan dari parti UMNO sendiri.

Damage done! Datuk Ehsan yang selama ini mempunyai profil yang dihormati mula tercemar. Beliau bukan sahaja berada di dalam Lembaga Pengarah agensi kerajaan Felda, malahan beliau juga adalah Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara dan baru-baru ini di peringkat antarabangsa, beliau telah dilantik sebagai Pengerusi AIPA Fact-Finding Committee (AIFOCOM) ke 12 untuk memerangi kegiatan haram dadah.

Itulah kuasa hujung jari pada era teknologi hari ini, etika kewartawanan dicabuli asalkan rating berita mampu dinaikkan. Rasa bertanggungjawab sudah hilang namun yang penting mampu sensasikan berita dan samada pembaca percaya atau tidak, yang lebih penting 'character assasination' telah bermula untuk seorang ahli politik pro-kerajaan. Bukankah jelas tertulis nama UMNO?

Sebagai pembaca portal-portal berita mesra pembangkang, kita bukan sahaja perlu berhati-hati dengan pemberitaan mereka, malahan perlu memantau setiap perkataan dan para yang ditulis. Sekiranya perlu diambil tindakan undang-undang, ia perlu diteruskan.

Kerosakan yang dilakukan pemberitaan mahupun penulisan seperti ini bukan sekali, malahan telah kerap berlaku. 

Felda telah pun berjaya membawa penulisan-penulisan fitnah dan palsu ke mahkamah dan memenangi saman  ke atas lidah rasmi pembangkang seperti Suara Keadilan dan Harakah.

Tetapi, yang lebih penting, siapa pemberi maklumat kepada portal-portal ini?
 

Friday, October 02, 2015

59,900 PEMANDU TEKSI TELAH HIDU KOMPLOT YB SANTIAGO


Apabila pemandu teksi bertindak suarakan masalah mereka melalui seorang ahli politik, jelas isu yang dibawa hanya untuk kepentingan agenda parti politik tertentu. Apakah Santiago sebagai seorang Ahli Parlimen tidak mengetahui landasan-landasan untuk kemuka sebarang isu rakyat?

Inilah jenis Ahli Parlimen yang konon mewakili rakyat tetapi gemar mencari publisiti murah. Isu nasib pemandu teksi pernah dibawa oleh rakan DAP Santiago iaitu Ahli Parlimen DAP Bukit Bintang dan Kluang tetapi pendekatan yang dipilih adalah lebih terhormat dan profesional. Mereka tidak berdrama dan tidak pula berdemonstrasi tetapi memilih untuk duduk semeja dan berbincang dengan pihak SPAD. Akhirnya masalah pemandu teksi dapat diselesaikan dengan cara lebih terhormat dan Santiago perlu belajar lebih lagi.

Pada 30 September lalu, sekumpulan 100 pemandu telah berkumpul yang diketuai YB Santiago untuk serahkan memorandum masalah-masalah yang dialami pemandu teksi ke pejabat SPAD di Kelana Jaya. Empat isu yang dikemukakan adalah kenaikan harga NPV, GST yang dikenakan ke atas penyelenggaraan kenderaan dan operasi, 50 peratus dari pendapatan pemandu teksi terancam dari teksi-teksi haram dah keempat ialah isu kebajikan pemandu teksi seperti insuran dan SOCSO.

Di antara empat isu yang dikemukakan, hanya satu saja yang berkaitan dengan SPAD iaitu teksi-teksi haram yang sebenar telah menjadi persaingan kepada mereka. Isu teksi Uber dan GrabCar telah pun dan masih dipandang serius pihak SPAD di mana isu ini masih ditangani terutama di pihak penguatkuasaannya.

Berikut adalah statistik jumlah kes yang telah diambil tindakan dalam operasi penguatkuasa SPAD sejak 2011 yang melibatkan perkhidmatan teksi tanpa lesen pengendali yang menyalahi Seksyen 16 APAD 2010;
1. Jumlah Kes bermula Jun 2011 hingga sekarang - 470 Kes.

2. Jumlah Kes Bagi Tahun 2015 sahaja - 240 Kes.

Jumlah Kes bagi yang menggunakan Apps bermula Okt 2014 hingga sekarang - 144 kes. 

a. UBER - 43 Kes.
b. GRABCAR - 97 Kes.
c. Blacklane - 1 Kes.
d. EasyTaxi - 3 Kes.

4. Status Kes melibatkan penggunaan Apps seperti berikut :

a. NFA - 10 Kes.
b. Denda Mahkamah - 13 Kes.
c. Kompaun - 9 Kes.
d. Proses Makhamah - 49 Kes.
e. Proses Penyiasatan - 63 Kes.

5. Status Mohon Lucut Hak untuk Kes Melibatkan Penggunaan Apps - 110 kenderaan.

Pokoknya, apakah Santiago tidak tahu sumber untuk mendapatkan maklumat di atas atau sengaja tidak mahu mendapatkan maklumat dari SPAD untuk dimaklumkan kepada pemandu-pemandu teksi yang datang ke pejabat SPAD semalam? Bukankah jelas, Santiago lebih memilih untuk mencari publisiti daripada benar-benar ingin membela nasib mereka.

Di dalam ingin menangani isu pemandu teksi, Santiago nampaknya banyak ketinggalan maklumat dan pengumuman awam yang boleh didapati di portal-portal berita termasuklah portal mesra pembangkang yang telah menjelaskan berkali-kali bahawa pihak SPAD tiada masalah dengan perniagaan Uber, GrabCar mahupun syarikat-syarikat teksi yang memberi perkhidmatan melalui aplikasi telefon. Perniagaan mereka berdaftar secara sah di Malaysia.

Namun, SPAD membanteras pemandu-pemandu teksi aplikasi telefon ini yang beroperasi tanpa permit tetapi mengambil upah dari penumpang dan mengguna kenderaan peribadi. Apakah sukar untuk Santiago faham perkara ini?

Tiga isu lain yang dikemukakan di dalam memorandum mereka adalah tiada kaitan dengan SPAD. Isu kenaikan harga NPV adalah bukan dalam bidangkuasa SPAD kerana tuan punyan NPV adalah Petronas. Jika tidak puas hati, Santiago bolehlah heret isu ini ke pengetahuan Petronas.

GST yang dikenakan ke atas penyelenggaraan kenderaan, 'spare parts' dan operasi juga bukan dalam tanggungjawab SPAD. Maka Santiago silalah berjumpa dengan pihak Kastam untuk berbincang dan terus hantar memorandum kepada mereka.

Apakah SPAD bertanggungjawab secara terus ke atas isu kebajikan pemandu teksi seperti insuran dan SOCSO? Jawapannya ia jika pemandu-pemandu teksi ini berada di dalam skim TEKS1M yang diperkenalkan kerajaan. Santiago perlu galakkan 100 pemandu teksi tersebut lebih peka dengan pengumuman kerajaan dan bukan sibuk bermain politik di jalanan dan di Twitter.

Santiago mungkin tidak tahu bahawa di Semenanjung Malaysia sahaja terdapa lebih kurang 60,000 teksi dan sebanyak 37,000 teksi di sekitar Lembah Kelang. Persatuan terbesar yang mewakili pemandu-pemandu teksi di Malaysia ialah Pertubuhan Pemandu Dan Pengusaha Teksi / Limosin Dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA) yang mempunyai lebih dari 20 ribu ahli di Semenanjung Malaysia.

Maka adalah lebih berkesan jika ingin suarakan isu-isu pemandu teksi bersama-sama PETEKMA jika dibandingkan persatuan-persatuan yang mempunyai ahli-ahli yang tidak seberapa ramainya.

Drama yang dilakukan di pejabat SPAD Kelana Jaya dengan mengaturkan teksi Uber mengambil penumpang, kelihatan lucu kerana segala plot drama mereka kelihatan sungguh teratur dan tetapi malangnya telah dijangkakan kerana kehadiran teksi Uber itu sebenarnya adalah untuk memancing perhatian media yang telah berada sejak 9.00 pagi. Santiago akan dapat perhatian media tetapi beliau juga akan ditertawakan 59,900 pemandu teksi di seluruh Semenanjung Malaysia dengan tipu helah politik beliau.