Thursday, September 03, 2015

PRESIDEN MCA : #SEHATISEJIWA DEMI MALAYSIA


Sehati Sejiwa adalah satu tema yang sinonim dengan perpaduan dan bersatu. Setiap kali dalam meraikan Hari Merdeka, tema perpaduan adalah merupakan mesej penting perlu disampaikan memandangkan rakyat Malaysia yang terdiri dari pelbagai etnik bangsa.

Inilah juga mesej yang ingin diutarakan Presiden MCA Dato' Sri Liow Tiong Lai kepada semua rakyat terutama bangsa Cina yang diwakili parti politik ini.

Jika diimbas kembali sejarah kemerdekaan negara, syarat utama pihak British melepaskan Tanah Melayu adalah apabila bangsa Melayu, Cina dan India dapat bersatu dan ini telah dibuktikan dengan semangat perpaduan di bawah parti Perikatan yang terdiri dari UMNO, MCA dan MIC ketika itu.

Kejayaan Malaysia hari ini telah diperkukuhkan dengan semangat dari Sabah dan Sarawak yang membentuk negara bernama Malaysia.

Lautan mana yang tak berombak, bumi mana yang tak ditimpa hujan. Begitulah negara kita dalam menuju kejayaan, dugaan demi dugaan telah kita lalui dan di dalam era ini, negara kita sedang menghadapi cabaran ekonomi global serta insiden-insiden malapetaka dan tidak kurang dengan serangan persepsi.

Selama lebih setengah dekad, kita bersungguh-sungguh membina jambatan kejayaan dan tiba masanya kita melalui jambatan mempertahankan kejayaan yang telah dibina oleh pemimpin-pemimpin terdahulu. 

 

Oleh itu mesej yang sama juga ingin disampaikan Presiden MCA dan di antara intipatinya adalah;

1. Perjuangkan nilai-nilai asas perpaduan dan keharmonian.

2. Jenguklah semula azam dan kesetiaan pengasas negara terdahulu.

3. Tanpa mengira siapa kita tetapi sebagai rakyat Malaysia, bersatu hati menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan makmur.

4. Janganlah terpedaya dengan anasir-anasir yang cuba menghancurkan khazanah bangsa.

5. Tiba masanya rakyat Malaysia bangkit melindungi apa yang telah dipertahankan pengasas kemerdekaan kita selama ini.
 

Bagi menghadapi cabaran yang mendatang, perpaduan dan bersatunya rakyat Malaysia ditagih, ikuti teks penuh Presiden MCA;

KENYATAAN MEDIA
OLEH YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN

Bersatu Demi Malaysia yang Lebih Kukuh
 

Hari ini merupakan hari penghormatan di atas segala pengorbanan dan jerih payah para pejuang dan bapa kemerdekaan kita dalam membina asas negara yang kita cintai ini. Pada hari ini juga kita mengiktiraf mereka yang terus memperjuangkan nilai-nilai asas perpaduan, keharmonian dan penerimaan seiring dengan tema sambutan Merdeka tahun ini iaitu Sehati Sejiwa.

Sejak merdeka, kita telah membuktikan kekuatan kita sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian bangsa, tradisi, budaya dan kepercayaan. Kebelakangan ini, kita sering diuji dengan pelbagai ujian mendatang dan cabaran ekonomi. Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat Malaysia untuk sama-sama kita imbau kembali azam dan kesetiaan yang tidak berbelah bagi yang telah dipamerkan oleh para pengasas negara yang terdahulu. Kita harus percaya bahawa selagi kita bersatu hati dan teguh bersama, semestinya kita akan dapat mencapai lebih banyak kejayaan sebagai sebuah negara berdaulat.

Oleh itu, marilah kita berdiri bersama, seluruh warganegara rakyat Malaysia, tua dan muda, tanpa mengira bangsa dan kedudukan sosial, dengan azam yang jitu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan makmur.

Kita adalah rakyat Malaysia yang cintakan tanah air ini. Daripada terpedaya dengan anasir-anasir yang cuba memecahbelahkan Malaysia, marilah kita sebaliknya mengekang perasaan curiga dan segala unsur perpecahan sambil berusaha bersama-sama untuk membina sebuah negara yang lebih mapan, baik dari segi ekonomi mahupun sosial. Sudah tiba masanya untuk kita bangkit dan melindungi kepelbagaian budaya kita yang merupakan khazanah bangsa dalam usaha kita menjadi sebuah masyarakat yang lebih maju dan matang.

Sekali lagi, Selamat Hari Merdeka saya ucapkan kepada seluruh rakyat Malaysia. Kepada mereka yang bercuti pada hujung minggu ini, semoga selamat dalam perjalanan dan berhati-hati di jalan raya.

Wednesday, September 02, 2015

TERIMA KASIH EN NUR ISMAL DAN SELAMAT DATANG EN AZHARUDDIN KE SPAD

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diwujudkan pada tahun 2012 dengan bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam darat bagi memenuhi peningkatan perjalanan yang telah mencecah ke 40 juta pada waktu itu.

Setelah kerajaan menggariskan Rancangan Induk Pengangkutan Awam Darat Negara, sebagai agensi kerajaan yang telah diamanahkan untuk perlaksanaannya, SPAD telah bergerak secara dinamik dan pastinya memerlukan seseorang yang berpengalaman dan berpengetahuan luas untuk menerajui agensi ini.

Di antara pengangkutan awam yang mendapat perhatian khusus kerajaan ialah projek keretapi laju di antara KL-Singapura. Memandangkan fokus khusus diperlukan, maka En Mohd Nur Ismal telah diamanahkan untuk menerajui myHSR Corp sebagai Pegawai Eksekutif yang baru.

En Azharuddin mula bertugas sebagai CEO pada 1 September 2015

Bagi meneruskan amanah kerajaan agar operasi SPAD berjalan dengan dinamik untuk mencapai sasarannya, En Mohd Azharuddin Bin Mat Sah telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya, berkuatkuasa 1 September 2015 bagi mengganti En Mohd Nur Ismal.

En Azahruddin pernah memegang jawatan sebagai Pengarah, Greater KL / Lembah Klang dan Bandar Pengangkutan Awam PEMANDU (Persembahan Pengurusan dan Pelaksanaan Unit, Jabatan Perdana Menteri) sebelum dilantik ke jawatan CEO SPAD.

Pelbagai pengalaman dan pengalaman dari pelbagai jawatan penting dalam organsasi seperti Microsoft sebagai Pengarah Kumpulan Sektor Awam, Malaysia, Khazanah Nasional sebagai Naib Presiden Kanan Projek Khas dan Royal Dutch / Shell dengan tugas di Malaysia dan korporat ibu pejabat di London, adalah merupakan satu kelebihan bagi penambahbaikan pengurusan SPAD. Kesinambungan usaha-usaha SPAD dalam memastikan pertumbuhan eksosistem pengangkutan awam darat agar berdaya maju adalah peranan utama yang dipertanggungjawabkan kepada En Azharuddin.

Tan Sri Syed Hamid Jaafar Albar selaku Pengerusi SPAD positif dengan perlantikan En Azharuddin dan yakin dengan kemampuan pengetahuan serta pengalaman beliau untuk bekerjasama dalam menggerakkan setiap rancangan dengan lebih fokus dan lancar.

Pada masa yang sama, Tan Sri Hamid juga mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada En Nur Ismal yang telah bersama-sama SPAD sejak penubuhannya. Bukan sahaja SPAD telah mampu mencapai sasaran perancangannya dalam masa 5 tahun, tetapi En Nur Ismal adalah merupakan rakan kerja yang sentiasa bersama-samanya menghadapi dan mengatasi setiap isu pengangkutan awam darat.

Sepanjang 5 tahun ini juga, En Nur Ismal bersama-sama Tan Sri Hamid telah mampu menyelesaikan beberapa isu kritikal dan di antaranya seperti tragedi kemalangan bas di Genting Highlands, isu kenaikan tambang teksi yang dipolitikkan sesetengah pihak, penyelesaian tuntutan kenaikan kadar tambang bas sekolah serta penyelesaian tuntutan Kesatuan Pekerja KTMB.

Adalah bertepatan apabila kerjasama Tan Sri Hamid dengan En Nur Ismal diibaratkan seperti aur dengan tebing mahupuan seperti isi dengan kuku apabila setiap konflik rakyat yang bersabit pengangkutan awam, mendapat respon pantas dari mereka berdua. Imej SPAD juga telah dibawa ke tahap yang dihormati dan diterima baik rakyat apabila isu-isu seperti ulat tiket, samseng kereta sapu dan lori hantu telah diambil tindakan agresif mengatasinya.

Selama SPAD diterajui Tan Sri Hamid bersama-sama En Nur Ismal, nasib pengusaha-pengusaha bas henti-henti dan teksi telah dapat diselamatkan malahan diperbaiki dengan usaha-usaha rancangan 'win-win' kepada mereka dan juga rakyat.

Terima kasih En Nur Ismal dan Selamat Datang En Azharuddin ke SPAD semoga setiap perancangan akan lebih dinamik dan berterusan.

Monday, August 31, 2015

AMANAT HARI MERDEKA 2015 PERDANA MENTERI NAJIB RAZAK

Friday, August 28, 2015

'MENSYUKURI NIKMAT' BERTEPATAN TEMA HARI PENEROKA FELDA 2015

Bermula dari seseorang yang menganggur, kemudiannya menjadi peneroka dan hari ini ini kita dapat lihat ada di antara peneroka yang telah menjadi majikan sehingga mampu untuk menggaji pekerja yang bekerja di ladang-ladang mereka. Inilah kejayaan Felda dan kita tidak boleh nafi hakikat ini.

Justeru itu, rakyat Malaysia, khususnya warga Felda boleh berbangga serta bersyukur dengan perkembangan dan kejayaan yang dikecapi oleh Felda hari ini.


Maka bertepatanlah tema sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2015 - MENSYUKURI NIKMAT, bakal diraikan pada 30 Ogos 2015 di Kuala Nerus, Kuala Terengganu nanti.

Setiap tahun peneroka Felda diraikan dengan tema yang menepati sasaran perancangannya di mana kita akan dapat menyaksikan perubahan demi perubahan menuju setiap kejayaan dari mula ia ditubuhkan.

Kita ikuti intipati mesej-mesej Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak beliau menerajui tampuk kepimpinan;


2014
Pada tahun 2014, tema sambutan Hari Peneroka Kebangsaan ke-58 adalah "GENERASI BAHARU BERWAWASAN, MEMACU TRANSFORMASI" telah diraikan pada 24hb Ogos di Stadium Jasin, Melaka. Mesej yang telah disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar strategi di fasa kedua mampu membawa Felda sebagai badan ekonomi gagah perkasa atau 'economic powerhouse'.


2013
Hari Peneroka Kebangsaan 2013 pula menyaksikan pelancaran Pelan Integriti Felda yang telah diadakan di Felda Sungai Tiang, Pendang, Kedah dengan bertemakan - Bersama Merealisasikan Transformasi. Perdana Menteri telah mengajak peneroka melihat transformasi Felda ke satu peringkat menjangkau dari hanya soal pembangunan fizikal tetapi ke tahap yang lebih baik bagi mencipta masadepan yang lebih cemerlang. Di tahun inilah, Felda disenaraikan di IPO.


2012
Sambutan Hari Peneroka 2012 pula disambut pada 7 Julai dan sekaligus merasmikan Menara Felda. Majlis yang buat pertama kali diadakan di ibu kota dan pada waktu malam itu dihadiri lebih 20,000 para peneroka dan ahli keluarga mereka dari seluruh negara. Perdana Menteri telah menegaskan bahawa Felda hari ini bukan sembarangan organisasi tetapi telah sampai ke persada antarabangsa.

Simboliknya Menara Felda setinggi 50 tingkat telah diilhamkan daripada bentuk biji sawit, yang terletak di Platinum Park, pusat perniagaan Segi Tiga Emas di ibu kota.

 
2011
Sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan pada 7 Julai 2011 yang bertemakan - Melestarai Kesejahteraan Peneroka. Ia sangat bermakna kepada masyarakat peneroka Felda kerana lokasi sambutan diadakan di Bandar Tun Abdul Razak, Jengka iaitu sebuah bandar bumiputera terulung di negara ini. Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukkan untuk pembinaan 500 unit rumah kos rendah untuk golongan muda generasi felda.

Lagi satu perkhabaran gembira apabila PM mengumumkan pasukan Felda United FC akan menjadikan Bandar Tun Razak Jengka sebagai tuan rumah mereka dan peruntukkan untuk pembinaan sebuah Stadium Felda United sendiri disini. 


2010
Pada 2010, sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan telah berlangsung di perkarangan Maktab Rendah Sains Mara (Felda) , Felda Trolak Jaya, Sungkai, Perak. Majlis telah dirasmikan oleh YAB. Dato' Seri Najib Tun Hj. Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia dengan tema - Meneroka Inovasi Negara.

Pada majlis yang sama juga, Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) telah disampaikan kepada FELDA Keledang, Kota Tinggi dengan hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta. Anugerah ini merupakan anugerah tahun ke-3 ia diberikan kepada perkampungan Felda terceria peringkat kebangsaan.


2009
Hari Peneroka 2009 telah disambut di Felda Maokil dan Perdana Menteri menyeru kepada generasi Felda ketika di dalam memasuki fasa kedua pembangunannya, impian menjadi Gedung Makanan Negara dapat direalisasikan memandangkan ia merupakan satu misi dalam konsep Felda moden. Pada fasa pertama, Felda membuka tanah untuk dijadikan ladang dan bagi fasa kedua pula, Felda perlu membuka minda kepada segala kejayaan yang tidak pernah difikirkan.

Hari Sambutan Peneroka setiap tahun adalah hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap peneroka Felda kerana pada lazimnya di setiap majlis tahunan ini, pasti diumumkan imbuhan samada duit raya mahupun peruntukan-peruntukan tertentu dan ditambah dengan pengumuman dividen saham FGV.

Seharusnya peneroka Felda hari ini berbangga dengan kejayaan Felda yang merupakan ciptaan sistemnya sendiri dan tiba masanya sama-sama 'Mensyukuri Nikmat'  di sepanjang perjalanan transformasi Felda selama 59 tahun dengan jayanya.

Wednesday, August 26, 2015

KOMEN PEMIMPIN MCA DALAM SKANDAL DEIG


Datuk Dr Wee Ka Siong, Timbalan Presiden MCA mempersoal tindakan pengkritik-pengkritik 1MDB yang sangat vokal ketika mempersoalkannya tetapi membisu seribu bahasa dalam isu Darul Ehsan Investment Group (DEIG).

Beliau juga telah mengingatkan para pengkritik 1MDB bahawa laporan lengkap dari pihak Ketua Audit Negara akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-Kira.

Seharusnya sebelum menuding jari dan mencari kesalahan orang lain, mereka perlu melihat diri sendiri terlebih dahulu dan ini adalah prinsip universal yang perlu ada pada semua. Pokoknya kenapa mereka membisu?

Manakala MCA Selangor pula diwakili Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan Negeri MCA Selangor, Ng Chok Sin mempersoal tindakan SELCAT untuk tidak membuka fail siasatan ke atas DEIG walaupun secara jelas menunjukkan syarikat RM2 DEIG beroperasi secara berasingan dari MBI. Ini juga jelas akan mewujudkan konflik kepentingan apabila Azmin menduduki di kedua-dua Lembaga Pengarah. Oleh kerana kerajaan negeri dan DUN tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memantau, sekali gus DEIG bakal dijadikan sebagai mekanisma rasuah dan penyelewengan dana oleh Menteri Besar.

Selama ini, Pakatan sangat megah dengan slogan 'Undi Pakatan untuk memerangi rasuah' dalam setiap siri kempen politik mreka, konon untuk menggambarkan yang mereka adalah barisan pemimpin yang boleh dipercayai dan tidak akan mengamalkan sebarang bentuk rasuah tetapi kini jelas
mereka telah mengecewakan pengundi dan rakyat Selangor.

MCA Selangor juga menuntut tiga Exco negeri dari wakil DAP untuk menyatakan pendirian mereka mengenai tindakan MB Azmin Ali untuk memindahkan aset negeri yang bernilai RM30 bilion dari MBI ke syarikat RM2 DEIG.

Ramai di antara ahli DUN dari kedua-dua belah pihak telah menyuarakan keraguan mereka terhadap DEIG tetapi Exco Kanan dari DAP, seperti Dato Teng Chang serta dua lagi rakan-rakan mereka telah memilih untuk kekal bisu.

Yang paling menghairankan apabila Azmin menyatakan nilai aset Selangor adalah RM6.3 bilion di dalam DUN manakala laporan-laporan berita serta sumber kerajaan negeri mendedahkan ia sebenarnya bernilai RM30 bilion. Apakah Azmin cuba mengelirukan semua pihak?

Di dalam kenyataan media berasingan, Ng Chok Sin mengingatkan kita semua bagaimana gerakan Azmin dan sekutunya telah memaksa Tan Sri Khalid Ibrahim melepaskan jawatannya sebagai Menteri Besar dengan tuduhan tidak amanah dan salah guna kuasa walaupun tiada bukti yang sah. Oleh kerana Azmin dengan nyata berada di ambang segala tuduhan mereka terdahulu, MCA Selangor menyoal PKR, DAP dan juga PAS, apakah beliau juga akan dikenakan dengan standard penilaian yang sama?

Pakatan terkenal dengan gemar mendesak ketelusan dan rasional setiap projek dan polisi kerajaan tetapi tidak pula dengan isu DEIG. Oleh kerana PKR dan DAP bijak mencanang isu 1MDB, mereka sepatutnya melakukan perkara yang sama untuk menghukum percanggahan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

Kegagalan Pakatan Selangor mengambil tindakan ke atas Azmin telah membuktikan slogan kempen pilihanraya 'Sokong Pakatan untuk memerangi rasuah', hanyalah semata-mata satu penipuan demi kuasa. Mereka bukan sahaja gagal memerangi rasuah, malahan nampaknya mereka sedang berhasrat untuk melakukannya di dalam skala yang lebih besar.

Perlu diingatkan bahawa PKR dan DAP jangan melakukan 'double standard' dan mengambil kesempatan ke atas sokongan rakyat dengan berterusan memanipulasi dan kelirukan pengundi.

Dato Ei Kim Hock, Pengerusi Biro SME MCA Selangor pula ingin mengetahui, apakah pendirian Ahli Majlis DAP seperti Dato Teng Chang Khim dan Exco dari PKR seperti Ean Yong Hian Wah dan Ganabatirau Veraman. Apakah sebenarnya mereka menyokong tindakan Azmin apabila mereka tidak membantah di dalam mesyuarat Exco.

Sikap mendiamkan diri dari mereka sebenarnya adalah satu hutang yang perlu mereka bayar kepada rakyat Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya dan selagi tiada penjelasan dan ketetapan mereka, ini bermakna Pakatan Rakyat sedang menghalalkan tindakan Azmin yang ternyata salah mengguna kuasanya mentadbir
aset kerajaan negeri.