Showing posts with label Pudu Sentral. Show all posts
Showing posts with label Pudu Sentral. Show all posts

Wednesday, May 11, 2016

S.P.A.D. ATASI PUNCA KESESAKAN LALULINTAS SEKITAR PUDU SENTRAL





Kesesakan lalulintas melampau sekitar Pudu Sentral telah pun dapat diatasi. Kini pihak S.P.A.D. telah mengetahui puncanya.

Jika ada antara kita yang pernah mengalaminya, sepanjang perjalanan di Jalan Tun Tan Cheng Lock dan Jalan Tun Sambanthan menuju ke Pudu Sentral, kesesakan lalulintas melampau tidak dapat dielakkan dan jika terpaksa, kita hanya mampu berkompromi meredah juga jalan ini. 

Walaubagaimanapun di dalam kajian S.P.A.D., di dalam keadaan jalan sempit dengan lalulintas kenderaan yang sesak, rupanya bas henti-henti dan juga ada bas ekspres yang mengambil dan menurunkan penumpang. Adakalanya bukan sekadar sebuah malahan berderet-deret bas-bas ini berhenti dan menghalang kenderaan lain.


Oleh itu, pihak S.P.A.D. telah mengambil keputusan demikian;
PEMBERHENTIAN PENGAMBILAN DAN PENURUNAN PENUMPANG DI JALAN TUN TAN CHENG LOCK / JALAN TUN SAMBANTHAN KE PUDU SENTRAL

Kuala Lumpur - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat(SPAD)ingin memaklumkan para pengguna perkhidmatan bas ekspres / henti-henti laluan KL– Seremban bahawa, segala aktiviti mengambil dan menurunkan penumpang di sepanjang Jalan Tun Tan Cheng Lock / Jalan Tun Sambanthan (berhampiran denga Stesen LRT Pasar Seni) akan berpindah ke Pudu Sentral berkuatkuasa pada 7 Mei 2016.

Syarikat-syarikat bas yang terlibat secara langsung adalah seperti berikut:

    Sistem Kenderaan Seremban – Kuala Lumpur Sdn. Bhd.
    Suasana Edaran Sdn. Bhd.
    North South Speed Sdn. Bhd.
    Syarikat Kenderaan Bahau Sdn. Bhd.

Syarikat bas bagi kelas lesen yang lain juga tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.

Langkah ini adalah bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna kerana tempat ini tidak sesuai bagi aktiviti mengambil dan menurunkan penumpang bas.

Harap maklum. Terima kasih.
 
Tindakan bijak S.P.A.D. ini sememangnya dinanti-nantikan dan diharap dapat melancarkan lalulintas dan mengurangkan kesesakan yang telah dialami sejak berabad yang lalu. Tindakan S.P.A.D ini juga pasti dari aduan rakyat dan terima kasih S.P.A.D. kerana prihatin.

Friday, October 23, 2015

BILA BAS EKSPRES KE UTARA PINDAH KE TBS, SIAPA AGAKNYA YANG AKAN BANTAH?

Keputusan yang diambil Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengenai perpindahan perkhidmatan bas-bas ekspres ke zon utara dari Pudu Sentral ke Terminal Bas Tasik Selatan (TBS) telah dilakukan setelah perbincangan diadakan dengan pihak-pihak yang berkepentingan.

Pada 20 Januari tahun lalu, pengumuman perpindahan ini telah dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) Tan Sri Syed Hamid Albar dan penangguhan tidak boleh terlalu lama mahupun dalam keadaan tergesa-gesa bagi mengelak kesukaran semua pihak termasuk pengguna.

Berkuatkuasa November 1, 2015 perkhidmatan Bas Ekspres Koridor Utara dengan rasminya akan berpindah ke Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS) yang merangkumi perjalanan ke Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Jika dikatakan perpindahan ini menyulitkan dan menyusahkan pengguna, yang pasti akan terasa hanyalah ulat-ulat tiket. Apabila sistem tiket di TBS mengguna sistem secara berpusat (centralised) dan hanya boleh dituntut di kaunter tiket, secara langsung ulat-ulat tiket ini tidak akan dapat bergiat. Malahan, tiket perjalanan boleh ditempah lebih secara 'online' bagi mereka yang mempunyai kemudahan berinteraksi di internet. Oleh itu, secara langsung kita menyokong polisi toleransi sifar terhadap ulat tiket.

Mungkin ada yang kata kesukaran penumpang untuk ke TBS yang agak jauh tetapi sebenarnya pelbagai kemudahan pengangkutan awam di dalam satu lokasi seperti LRT, KTM Komuter, KLIA Transit dan perkhidmatan teksi salinghubung untuk ke pusat bandar.



Apakah di TBS keselesaan dan keselamatan penumpang terjamin? Kepada sesiapa yang pernah mengunjungi TBS, kita bukan sahaja akan kagum dengan prasarana moden, sistematik dan indah tetapi akan berasa selesa dengan kemudahan yang disediakan seperti bilik istirehat VIP, bilik penjagaan bayi dan kemudahan  mesra OKU. Malahan terdapat skrin paparan elektronik jadual perjalanan bas seperti yang terdapat di lapangan-lapangan terbang untuk menyenarai kedatangan dan pelepasan bas.

Pengurusan TBS juga menyediakan perkhidmatan kaunter yang lebih mesra serta kawalan keselamatan yang ketat di mana, pengunjung bukan sahaja akan rasa lebih selamat malahan pegawai-pegawai keselamatan akan pasti menghulur bantuan kepada penumpang ke destinasi pintu perlepasan dan arah tuju pengunjung TBS.

Pihak SPAD telah mengambil keputusan ini dengan persetujuan pihak-pihak berkepentingan seperti berkepentingan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan pihak Pengendali Bas yang terlibat. Keputusan ini juga mengambil maklum kesan jangkapanjang ke atas Pudu Sentral di mana, masalah kesesakan jalanraya di sekitar Puduraya mampu diatasi apabila sebanyak 545 dari 635 bas ekspres ke utara dipindahkan nanti.

Apa pula perkhidmatan bas yang akan ada di Pudu Sentral nanti? Terminal PS ini akan terus digunakan sebagai terminal bas ekspres jarak dekat dan bas henti-henti termasuk perjalanan dari PS ke Tanjung Malim, KLIA 1, KLIA2 dan Seremban. Malahan, PS akan ditransformasi kepada memainkan peranan sebagai Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan daripada kerajaan dan sektor swasta kepada rakyat.

Dengan kemudahan, keselesaan dan keselamatan yang dijanjikan SPAD kepada penumpang dan operator bas pelbagai kategori termasuklah perkhidmatan rel dan teksi, transformasi ini adalah sangat bertepatan. Mungkin ada yang berasa sedikit janggal untuk waktu terdekat ini tetapi dari semasa ke semasa, kita pasti akan dapat menerima perubahan ini setelah mengalaminya sendiri.

Yang lebih pasti, kita akan menikmati perjalanan ke destinasi dengan lebih yakin dan selesa tanpa gangguan dan penipuan ulat-ulat tiket. 

Sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut, sila layari www.spad.gov.my atau hubungi Hotline SPAD di 1-800-88-SPAD (7723).

Friday, September 25, 2015

SPAD : OPS SERKAP BERMULA 21 HINGGA 28 SEPTEMBER UNTUK CUTI AIDIL ADHA


Setiap kali menjelang cuti perayaan, SPAD akan memastikan penumpang kenderaan awam terutamanya yang menaiki bas ekspres serta teksi selamat sampai ke destinasi mereka. Ia bermula dari mereka menaiki bas di Terminal sehinggalah ketika mereka di dalam perjalanan.

Oleh itu, bermula 21 September lalu, pihak penguatkuasa SPAD telah menjalankan pemantauan dan ia akan berakhir pada 28 September 2015 di dalam Ops SERKAP.

Sepanjang 2 hari pada 21 dan 22 September lalu, pihak penguatkuasa SPAD telah mengesan sejumlah 54 kesalahan yang membabitkan bas, lori dan teksi di seluruh Semenanjung Malaysia.

Pada 23 September lalu pula, operasi membenteras ulat tiket, teksi tidak mengguna meter dan kereta sapu yang mengguna Apps Grab telah dilakukan sekitar Pudu Sentral khusus untuk cuti perayaan Aidil Adha.

Yang pasti, hot-spot ulat tiket di Terminal Pudu Sentral telah berjaya memberkas mereka telah dikesan di mana 2 kes memujuk dan mendesak di bawah kesalahan Seksyen 205 APAD 2010. 2 kes kereta sapu dan 2 kes teksi tidak mengguna meter juga telah dikesan yang melibatkan Sek 16 dan Sek 22 APAD 2010 setiap satu.

Di dalam operasi kali ini, 2 kenderaan mewah iaitu 1 Mercedes Benz dan Toyota Camry adalah di antara kereta sapu yang telah disita dan sekiranya sabit kesalahan, mereka akan didakwa di bawah Sek 205, Sek 16 dan Sek 22 di mana mereka akan didenda di antara RM10,000 hingga RM500,000 dan penjara di antara 1 tahun hingga 5 tahun atau kedua-duanya.

Menurut Mej Jen (B) Dato' Paduka Che Hasni Bin Che Ahmad, Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasaan SPAD, kesemua yang ditahan berusia antara 40 hingga 50 tahun dan juga mendapati kenderaan mewah yang disita mempunyai cukai jalan yang tamat tempoh.

Kepada penggiat-penggiat kegiatan haram ini, operasai membentras yang dijalankan penguatkuasa SPAD tidak dilakukan pada musim cuti perayaan sahaja tetapi pada setiap masa. Jika tidak serik untuk disaman, kereta-kereta anda juga akan disita dan status hak milik anda juga akan dibatalkan serta kenderaan anda bakal dilelong.

Terima kasih kepada pengguna awam yang turut memberi kerjasama kerana melaporkan kegiatan yang menyalahi undang-undang. Diharap lebih ramai yang tampil memberi maklumat agar setiap kegiatan haram dapat dibentras dan pengguna awam tidak dianiaya.

Monday, February 17, 2014

KESALAHAN-KESALAHAN YANG TIADA KOMPROMI DARI SPAD


Negara kita ada undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan kerana Malaysia adalah negara yang berdaulat dan penduduknya bertamaddun.

Bayangkan, selepas lebih dari 56 tahun kita merdeka, Malaysia tidak menguatkuasakan sebarang peraturan dan undang-undang di negara ini, apa akan terjadi?

Peraturan dan Undang-undang yang telah ditetapkan oleh kerajaan bukan untuk menzalimi rakyat atau menyekat suara-suara rakyat malahan dengan adanya peraturan dan undang-undang, maka rakyat akan lebih rasa selamat dan segala perlaksanaan pembangunan serta kepentingan rakyat dapat dilaksanakan dengan teratur dan menepati waktu.

Terdapat segelintir rakyat yang sengaja berfahaman - "Rules are meant to be broken" dan akibat daripada fahaman dan tindakan mereka ini, maka ada yang lain menjadi mangsa mereka.

Kejadian terbaharu seperti laporan MyMetro bertajuk Pegawai SPAD kena tinju, di mana pegawai penguatkuasa SPAD diserang seorang ‘ulat tiket’ dalam kejadian di Pudu Sentral, hanya kerana pegawai tersebut bertindak untuk menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah bas setelah mendapat aduan dari seorang penumpang yang ditinggalkan bas selepas ditengking seorang lelaki yang juga ulat tiket.

Oleh kerana ulat tiket tersebut tidak berpuas hati, maka beliau bertindak menggunakan kayu untuk menyerang.

Di satu kejadian yang lain pula, mengenai bantahan 50 pemandu lori tanah dan batuan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Taman Daya, Johor Baharu, Rabu lalu yang tidak berpuas hati dengan kekerapan operasi oleh SPAD.

Dalam satu kenyataan kepada Bernama, SPAD bertindak kerana terlalu banyak kesalahan melibatkan pemandu lori di zon selatan iaitu sebanyak 674 yang telah direkodkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dari 2013 hingga Januari tahun ini. Di antara kesalahan paling banyak dilakuka adalah lebih muatan dan tidak mengambil langkah-langkah keselamatan bagi pengguna jalan raya lain.

Jika kita benar, mengapa perlu takut pada tindakan? 

Dengan jelas tindakan SPAD adalah untuk memastikan semua rakyat berada di dalam keadaan selamat dan tidak dizalimi oleh sesetengah pihak seperti yang terjadi di Pudu Sentral. Adakah kita ingin terus-terusan dibayangi dengan perangai samseng ulat-ulat tiket ini?

Kepada pegawai-pegawai penguatkuasa SPAD, tugas dan tindakan kamu dihargai walaupun tidak digemari golongan-golongan samseng tersebut.

Dan kepada rakan-rakan sekelian, jangan sekali kita berkompromi dengan segelintir mereka yang melakukan kesalahan... Kita akan terus bersama-sama SPAD membenteras samseng-samseng ini kerana merekalah punca Malaysia di lihat sebagai negara yang tidak selamat!