Showing posts with label Krisis Air Selangor. Show all posts
Showing posts with label Krisis Air Selangor. Show all posts

Wednesday, April 30, 2014

CATUAN AIR SELANGOR DIHENTIKAN HANYA SEMENTARA

Kita jangan lupa, sekarang ini berlangsung pilihanraya Parti Keadilan Rakyat dan yang kroniknya ialah perebutan di antara kem Azmin Ali dan kem Khalid Ibrahim.

Kita juga mengetahui, Khalid Ibrahim yang bersungguh merebut jawatan Timbalan Presiden apabila sepenggal lalu, ahli-ahli PKR sibuk mempersoal kedudukan Khalid sebagai Menteri Besar yang tiada jawatan langsung di dalam parti. Kita semua ketahui, mana-mana menteri besar samada di dalam Barisan Nasional ataupun Pakatan Pembangkang, mereka yang dilantik sebagai Menteri Besar atau Ketua Menteri, lazimnya menduduki jawatan tertinggi di dalam parti masing-masing. Mengapa Khalid Ibrahim yang tiada jawatan di dalam parti boleh dilantik sebagai Menteri Besar Selangor pula?

Oleh kerana senario politik PKR ini, maka rakyat Selangor pula yang terpaksa berkorban dengan mengalami catuan air sejak dua bulan yang lalu.

Dikatakan kerajaan Selangor telah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Air pada 29 April dan sidang akhbar yang sepatutnya berlangsung pada hari yang sama selepas mesyuarat telah dibatalkan kerana arahan MB.

Lebih memeningkan rakyat Selangor apabila pada awalnya Khalid Ibrahim, sebagai MB Selangor tidak berani keluar kenyataan samada catuan air di Selangor diteruskan atau dihentikan. Yang ada, hanya kenyataan dari Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kasim berkata, yang memaklumkan mulai Khamis pengguna air di kawasan terbabit dapat menikmati bekalan air seperti biasa.

Walaupun dilihat Pengerusi SPAN mendahului kenyataan MB Selangor, akhirnya kenyataan rasmi dari Kerajaan Negeri Selangor telah dikeluarkan beberapa minit yang lalu;
Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor hari ini mengumumkan penamatan catuan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berkuatkuasa esok.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan penamatan catuan air itu dibuat kerana kerajaan negeri yakin usaha mengepam air bekas lombong dan hujan yang berterusan akan meningkatkan paras air di empangan. - UTUSAN ONLINE
Persoalannya sekarang, mengapa Khalid mengelak untuk membuat sidang media semalam? Apakah dengan diwaikili exco maka seandainya timbul krisis air sekali lagi maka Khalid akan terlepas dari dipersalahkan?

Walaubagaimanapun, berikut adalah kenyataan Khalid di blog beliau dan sama-sama fikirkan;
"... keputusan membatalkan perintah catuan ini akan dikaji dari semasa ke semasa."

"Kerajaan Negeri merayu agar semua rakyat mengamalkan penggunaan air terawat secara berhemah dengan menggunakan air hujan bagi aktiviti luar seperti membasuh kereta atau menyiram pokok."

Dengan kenyataan di atas, jelas dan pasti penamatan catuan air ini bukan bersifat kekal dan ia sebenarnya adalah untuk sementara sehingga selesai pilihanraya PKR nanti.

Dengan saranan Khalid agar rakyat Selangor juga disarankan supaya lebih kreatif dan berinovasi selain daripada  berjimat cermat, maka rakyat Selangor perlu memikirkan untuk mengambil langkah-langkah seperti gambar di bawah ini;



Thursday, February 27, 2014

MB TANDATANGAN MOU TAPI PENASIHAT TIDAK TAHU... BOLEH PERCAYA?

 
Tindakan Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim yang secara tiba-tiba bersetuju untuk menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Menteri Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Datuk Seri Maximus Ongkili telah mengejutkan ramai pihak.

Pihak yang paling terkejut ialah tidak lain daripada Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor yang dilantik oleh MB sendiri iaitu Anwar Ibrahim.
 
Menurut sumber, ekoran tindakan itu ada di kalangan pimpinan PKR yang mengecam Khalid disifatkan cuba bermain ‘tarik-tali’ dengan mengambil langkah populis tersebut. Paling menarik apabila ketika program sesi minum petang anjuran PKR di Kajang petang semalam, Ketua Umum parti itu, Anwar Ibrahim dilihat agak keberatan untuk mengulas tindakan tersebut.
 
Namun apabila diasak berulang kali, Anwar akhirnya terpaksa menjelaskan, dia dan parti langsung tidak dimaklumkan mengenainya. Malah menurut penasihat ekonomi Selangor itu lagi, dia masih mengkaji tindakan tersebut dan tidak dapat memberikan sebarang komen buat masa ini.
 
Terdahulu media melaporkan Khalid hadir dalam satu program menandatangani MoU dengan kerajaan Barisan Nasional yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
MoU tersebut bagi membolehkan kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri berkenaan dengan suntikan dana berjumlah RM2 bilion oleh kerajaan pusat bagi pengambil alihan saham-saham syarikat konsesi.
 
Antara isi kandungan perjanjian tersebut termasuklah kerajaan negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat (PR) akan membenarkan Putrajaya meneruskan Loji Rawatan Air Langat 2. Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberikan pampasan bernilai RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air di Selangor.
 
Ekoran pengambilalihan tersebut, satu konsortium air untuk menguruskan industri air di Selangor akan dibentuk di bawah seliaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB).
 
Kerajaan negeri Selangor menjangkakan pengambil alihan syarikat konsesi tersebut akan selesai dalam tempoh tiga bulan.
 
Sumber turut mendedahkan, tindakan Khalid yang membelakangkan Anwar dan parti itu sebagai satu usaha untuk mengambil hati rakyat Selangor sekali gus menggagalkan sebarang percubaan untuk menggulingkannya sebagai Menteri Besar.
 
Malah permintaan Khalid sendiri yang menawarkan diri untuk menjadi pengarah PRK Kajang dan beberapa langkah yang dilakukan sebelum ini terutamanya dalam isu air adalah bertujuan untuk membina imejnya sebagai seorang pemimpin hebat.
 
"Perlu di ingat, ahli PKR paling ramai adalah di Selangor... jika Khalid berjaya dalam pilihan raya kecil kali ini, ia pasti membina momentum untuk pemilihan parti nanti," kata sumber yang mengatakan di Selangor sahaja ahli PKR adalah sebanyak 130,000 orang,” menurut sumber tersebut.
 
Polemik isu ini di Selangor semakin meruncing apabila kerajaan negeri memutuskan untuk mencatu air ekoran paras tadahan di beberapa empangan menunjukkan tahap yang membimbangkan sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat. Bagi mengelakkan terus menjadi mangsa cemuhan masyarakat, Khalid sebelum ini cuba menyalahkan faktor cuaca dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas).
 
Namun di dalam kenyataan balas terhadap tuduhan Khalid itu, Syabas menjelaskan pihaknya telah memaklumkan kepada kerajaan negeri berhubung kemungkinan berlaku kekurangan bekalan air sejak tahun 2008 lagi.
 
Kesimpulannya Khalid sedar, tindakan Anwar yang ingin bertanding di Kajang adalah untuk memaksanya meletakkan jawatan sebagai menteri besar. Namun sebagai ahli politik yang sering tertidur, ternyata Khalid bukanlah sebodoh yang disangka.
 
Walaupun Anwar sebelum ini berulang kali membayangkan hasratnya yang ingin menjadi menteri besar, namun tindakan terbaru Khalid ini boleh menyebabkan Anwar berputih mata.

Pesanan kepada Anwar, jangan ingat Khalid tidak pandai bermain politik kerana kadangkala anak murid lebih cerdik dari gurunya... kini Khalid membuktikan kepada kita semua, Anwar memang selayaknya diberi jawatan Penasihat Ekonomi Sehengget!!!

Wednesday, February 26, 2014

KRISIS AIR DI SELANGOR : KERAJAAN PAKATAN SELANGOR MENIPU!

Hak Rakyat? Khalid.. DAP, PKR, PAS tipu rakyat Selangor

Krisis air di Selangor bukannya berlaku secara tiba-tiba dan tanpa sebarang petanda. Sejak 2010 lagi kerajaan negeri telah diberi amaran oleh pakar akan terjadinya masalah air yang meruncing dalam beberapa tahun akan datang.
 
Malah, lebih dari itu, jalan penyelesaiannya telah pun dikaji dan dirancang jauh lebih awal dan hanya menunggu perlaksanaan sahaja.
 
Namun, malang bagi rakyat Selangor kerana telah memilih kerajaan dari parti yang lebih mementingkan politik dari pengurusan negeri dan rakyat.  Ketika amaran, kajian dan perancangan dibentangkan, kerajaan negeri menuduh ia hanya sebahagian dari mainan politik UMNO.  Kononnya, projek Langat 2 yang dicadangkan oleh kerajaan pusat untuk menangani masalah bekalan air adalah berunsur kronisme dan bakal menyebabkan tariff air meningkat.
 
Sedangkan hakikatnya, Loji Langat 2 tiada kena mengena dengan tariff air kerana ia merupakan projek kerajaan pusat untuk kesejahteraan rakyat Selangor.
 
Kerajaan PR Selangor juga sebelum ini mendabik dada sebagai lebih arif tentang bagaimana untuk mengatasi masalah bekalan tanpa perlu merujuk kepada rancangan awal oleh kerajaan BN terdahulu mahupun kerajaan pusat, ataupun syarikat bekalan air yang dikatakan kroni UMNO.
 
Kononnya, kerajaan PR mampu mencari kaedah lain yang lebih murah dan praktikal. Sedangkan hakikatnya, kerajaan pusat telah pun membina laluan air dari sungai Pahang ke Selangor dan kerajaan negeri hanya perlu membina Loji Langat 2 sahaja.  Tentu sahaja kaedah ini sudah cukup murah.
 
Namun, ia tetap ditolak oleh PR dengan berbagai-bagai alasan politik.  Kini, setelah semakin lama pembinaan ditangguhkan, tentulah semakin meningkat kosnya.
 
Jika diimbas kembali sejak beberapa tahun dahulu, begitu banyak sekali ‘konon-konon’ yang dikemukakan oleh kerajaan Selangor bagi menepis isu air.
 
Selangor pernah mengumumkan yang kononnya kerajaan negeri akan memproses air lombong bagi menampung keperluan rakyat di mana harganya lebih murah berbanding Loji Langat 2.
 
Memetik sumber dari The Star pada 16 Februari 2012, Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Kesihatan, Pekerja, Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr Xavier Jayakumar berkata, “kerajaan negeri telah meluluskan lesen pemindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd yang mempunyai trek rekod dan kepakaran teknologi terkini dalam menguruskan dan merawat air.  Sekali lagi kerajaan negeri memberi jaminan bahawa isu bekalan air tidak akan timbul malah ia mencukupi sehingga tahun 2020."
 
Dalam satu kenyataan media dalam Selangorku.com, pada 21 Oktober 2012,  Tan Sri Khalid Ibrahim siap memberikan bukti kononnya Selangor tidak akan berhadapan dengan masalah air dalam masa terdekat berdasarkan peningkatan takungan air di Empangan Sungai Selangor yang meningkat sebanyak 55.43 peratus kepada 127.49 meter padu. 
 
Beliau kemudian berkata, “Saya mengesa semua ahli politik terutamanya pihak pembangkang di Selangor supaya berhenti membuat kenyataan-kenyataan mengelirukan mengenai isu air termasuk kedudukan paras takungan di empangan.”
 
Tahun demi tahun berlalu, peringatan demi peringatan diberikan namun kerajaan negeri Selangor terus-terusan menafi yang krisis air akan berlaku dan  kadangkala mengaku pula ia akan berlaku tetapi tiada apa perlu dirisaukan kerana ‘kononnya’ kerajaan negeri mempunyai teknologi terkini yang lebih baik dan lebih murah untuk menangani krisis itu.
 
Akhirnya, 2014 pun tiba dan masih tiada apa-apa penyelesaian yang dicapai oleh kerajaan negeri.  Akibatnya beribu-ribu rakyat Selangor kini terpaksa menanggung sengsara ketiadaan air sehingga berminggu-minggu.
 
Pun begitu, kerajaan PR Selangor masih lagi enggan mengaku kebodohan dan kesilapan sendiri tetapi terus menerus menipu dengan menyalahkan syarikat bekalan air, kalau pun tidak menuduh krisis ini sebagai sabotaj dari kerajaan UMNO.  Hatta, sehingga ke hari ini juga, kita melihat kenyataan Menteri Besar Selangor terus menerus bersifat menipu kononnya bekalan air mencukupi sehingga 5 bulan lagi dengan cuba menyalahkan pihak syarikat bekalan air.
 
Hakikatnya, syarikat bekalan air hanya menyediakan khidmat rawatan dan pengedaran, tetapi masalah ketiadaan air adalah tanggungjawab kerajaan negeri.  Dengan kedegilan kerajaan negeri menerima bekalan dari Pahang melalui Loji Langat 2, maka mereka perlu mencari alternatif lain bagi memastikan bekalan mencukupi.  Di mana proses air lombong yang dijanjikan?   Di mana proses pembenihan awan atau apa saja yang kononnya mampu difikirkan? 
 
Jelaslah bahawa semuanya tipu belaka! 
 
Mungkin parti PR telah terlalu biasa hidup dengan cara menipu.  Oleh itu, walaupun telah menjadi kerajaan, mereka masih lagi membawa sikap menipu dan enggan bertanggungjawab atas apa jua yang berlaku ke atas negeri dan rakyat di bawah pemerintahan mereka.
 
Persoalannya, selama mana sebuah kerajaan negeri boleh bertahan dengan cara menipu? Apapun, terpulanglah kepada rakyat Selangor sendiri untuk menentukannya.