Saturday, June 17, 2017

TRAGEDI BAHAU-KERATONG, SPAD GANTUNG LESEN PENGENDALI DALAM TEMPOH KURANG 48 JAM

Tragedi kemalangan jalanraya yang berlaku di Km 25 Jalan Bahau-Keratong yang telah mengorbankan lapan nyawa dipercayai berpunca daripada tindakan lori treler yang cuba memotong kenderaan di hadapannya tetapi gagal. Akibatnya, lapan nyawa daripada dua keluarga telah terkorban dan seorang kanak-kanak cedera manakala pemandu treler tidak mengalami kecederaan.

Walaupun begitu, pemandu treler tersebut dijangka akan didakwa di Mahkamah Majistret Jelebu pada hari berikutnya. Treler dengan muatan sawit dari arah Keratong telah terbabas ke arah bertentangan setelah gagal memotong motosikal.

Sebuah Myvi dinaiki sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka dari arah bertentangan sempat mengelak treler berkenaan, tetapi berlanggar dengan Toyota Vios yang mengekori di belakang kenderaan berat itu. Manakala sebuah Proton Exora yang dinaiki enam sekeluarga yang mengekori belakang Myvi kemudian gagal mengelak dan bertembung dengan treler yang terbabas, lalu menghempap kereta itu di parit kecil bersebelahan sebelum terbakar.

Memandangkan kemalangan ngeri ini melibatkan pengangkutan awam, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah menggantung lesen pengendali syarikat lori yang terbabit bermula Isnin lalu sehingga siasatan audit pematuhan yang dijalankan berdasarkan Kod Amalan Keselamatan Industri selesai dijalankan oleh SPAD. Pihak SPAD menegaskan yang syarikat itu juga dikehendaki mematuhi syarat keselamatan yang telah ditetapkan.

Dalam tempoh kurang dari 48 jam,  pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengeluarkan satu kenyataan media dimana SPAD dengan serta merta telah menggantung Lesen Pengendali Golden Horse Plantations Sdn. Bhd., pemilik treler yang terlibat dalam kemalangan bersama-sama kesemua kenderaan di bawah kendalian mereka.

Suruhanjaya juga akan membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes berkenaan apabila diperlukan.

Oleh itu tidak ada sebab mengapa pihak SPAD akan bertolak ansur terhadap sebarang perlanggaran amalan keselamatan dan ingin memberikan peringatan keras kepada pengendali supaya mematuhi keperluan keselamatan.

Selagi ada pihak yang sengaja ingin melanggar setiap peraturan dan etika keselamatan jalanraya, selagi itu juga pihak SPAD tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas dan pantas. Apatah lagi jika ia telah mengorbankan nyawa manusia yang seharusnya boleh dielakkan.

Diharap agar pengendali-pengendali pengangkutan darat dapat memberi perhatian serius kepada keselamatan pengguna lain dan memastikan kenderaan mereka mematuhi segala peraturan yang ditetapkan tanpa kompromi. Ini termasuklah ketika memilih pemandu-pemandunya yang seringkali menjadi penyebab utama hampir kesemua kemalangan di jalanraya.

 

No comments: