Thursday, June 15, 2017

BUTANG SOS BAKAL DIJADIKAN MANDATORY UNTUK SEMUA PENGENDALI E-HAILING


Setelah beberapa insiden serangan yang melibatkan penumpang Uber samada mereka dirompak, diganggu dan sehingga diserang, kini telah mengakibatkan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengambil tindakan memerintahkan semua pengendali e-hailing di negara ini memasang butang SOS atau butang panik di dalam aplikasi mereka dengan kadar segera.

Berkemungkinan arahan ini akan dijadikan satu mandatory kerajaan di dalam masa terdekat memandangkan selama ini keselamatan penumpang tidak diberi jaminan perlindungan oleh mana-mana pihak.

Langkah keselamatan ini telah pun digerakkan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah apabila pertemuan awal dengan pegawai-pegawai Uber Malaysia telah diadakan untuk memaklumkan keadaan cemas ini.

Sebagai permulaan, Uber harus segera memasukkan ciri  butang SOS yang akan dihubungkan dengan pihak berkuasa seperti SPAD atau PDRM sepertimana yang telah dilakukan oleh Uber India.

Pengendali perkhidmatan e-hailing lain termasuk GrabCar juga telah dihubungi melalui surat untuk memasukkan ciri butang SOS ini ke dalam aplikasi mereka.

Selain pemasangan butang SOS di dalam aplikasi syarikat-syarikat e-hailing, mereka telah diarahkan untuk mengemukakan data pemandu supaya pihak SPAD dapat melakukan pemeriksaan sendiri di samping pemantauan yang dilakukan mereka. Arahan ini akan berkuatkuasa bermula 16 Jun nanti.

Langkah-langkah ini adalah di antara yang perlu diadakan sebelum kerajaan membuat keputusan mengawal selia kesemua pengendali e-hailing dengan meminda Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 di Parlimen yang dijangkakan pada bulan hadapan.

Di antara tindakan yang akan diambil jika dilakukan pemandu-pemandu Uber atau GrabCar adalah seperti menyenarai hitam pemandu terbabit untuk menjadi pemandu syarikat perkhidmatan perkongsian kenderaan ataupun pemandu teksi. Tidak mustahil jika kenderaan yang terlibat juga akan disita untuk siasatan lanjut.

Pasti langkah tegas pihak SPAD ini akan mendapat respon baik dari rakyat memandangkan sememangnya SPAD menitikberatkan keselamatan dan keselesaan rakyat yang juga sumber pendapatan syarikat pengendali e-hailing disamping mereka membuat keuntungan.

No comments: