Monday, June 20, 2016

MENUNGGU KEPUTUSAN KERAJAAN, SPAD PASTIKAN MASALAH INDUSTRI TEKSI MAMPU DIATASI


Di dalam kenyatan media rasmi SPAD pada 18 Jun lalu, mereka memaklumkan telah membawa cadangan penyelesaian industri teksi negara ke pengetahuan kerajaan dan hanya menunggu masa untuk mendapat kelulusan dan dibentangkan di dalam sidang parlimen.

Setelah menjalankan makmal teksi sejak Disember 2015, beberapa masalah utama telah dikenalpasti dan pihak SPAD mendapati ia bukan suatu isu yang mudah untuk menepati kehendak semua pihak. Di antara isu teksi yang sering timbul adalah persaingan yang dihadapi teksi-teksi konvensional dengan permintaan semasa yang menggunakan teknologi terkini.

Perkhidmatan teksi seperti Uber dan GrabCar bukan saja memberi persaingan dari segi kecekapan teknologi yang mereka gunakan tetapi yang lebih utama adalah perkhidmatan yang memenuhi selera dan kehendak penumpang terutamanya mereka di sekitar bandaraya yang mementingkan ketepatan waktu di samping keselesaan dan juga keselamatan.

Walaubagaimanapun, pihak SPAD cuba berlaku adil kepada kedua-dua pemain industri teksi ini di mana di dalam cadangan mereka, pihak SPAD akan memainkan peranan untuk mengawalselia aplikasi yang digunakan Uber dan GrabCar.

Kedudukan SPAD di dalam menangani isu di antara teksi konvensional dan perkhidmatan seperti Uber dan GrabCar bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan beberapa isu yang telah dialami seperti masalah pajakan telah diwarisi sekian lama dan akhirnya menjadi beban kepada pemandu teksi. Pada masa yang sama, pihak SPAD juga harus memikirkan kepentingan penumpang yang merupakan sumber pendapatan kepada pemandu-pemandu teksi ini.

Apa pun usaha yang ingin SPAD laksanakan, akhirnya ia bergantung kepada kesedaran dan sikap ingin bersaing dengan sihat di antara pemain industri teksi konvensional dan teksi Uber atau GrabCar. Sekiranya masih tidak mampu untuk berubah, jangan pula SPAD dipersalahkan lagi kerana bukan SPAD yang menentukan sepenuhnya rezeki mereka tetapi mereka sendiri.

Berikut adalah kenyataan rasmi dari SPAD;
Encik Mohd Azharuddin Mat Sah  
TRANSFORMASI INDUSTRI TEKSI KIAN HAMPIR

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2016 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan yang memperincikan penyelesaian bagi meningkatkan tahap mutu perkhidmatan serta menggalakkan persaingan yang sihat di dalam industri teksi negara.

Makmal teksi yang telah dijalankan oleh SPAD pada Disember 2015, telah mengesahkan bahawa penyelesaian permasalahan di dalam industri teksi bukanlah satu tugas yang mudah dan adalah sukar bagi mendapatkan jawapan yang akan memuaskan kesemua pihak.

Dengan itu, di dalam menyediakan cadangan kepada Kerajaan, Suruhanjaya telah mengambil pendekatan yang seimbang serta memberikan tumpuan kepada usaha memastikan dasar semasa, peraturan-peraturan dan keperluan-keperluan lain akan terus memacu persaingan yang adil bagi industri teksi di masa depan.

Cadangan yang dikemukakan turut menyentuh keperluan perundangan yang diperlukan untuk menangani permintaan yang dijanakan oleh teknologi semasa serta mengawal selia perkhidmatan ‘e-hailing’ seperti Uber dan Grab. Ianya juga bertujuan untuk memberikan kesamaan taraf di dalam medan persaingan yang adil di kalangan pemandu teksi agar mereka dapat kekal bersaing dengan sihat.

Antara syor yang disarankan ialah pemberian lesen teksi individu baru kepada pemandu yang mempunyai rekod yang bersih untuk menggalakkan semangat keusahawanan di peringkat individu. Ia juga menyediakan pilihan yang munasabah bagi pemandu teksi yang berkelayakan, untuk keluar daripada belenggu sistem pajak. SPAD juga mencadangkan lebih banyak pilihan model kenderaan bagi kegunaan pemandu teksi.

“Suruhanjaya berkeyakinan bahawa langkah untuk meliberalisasikan model teksi adalah diperlukan bagi mewujudkan landskap industri yang kompetitif yang dapat memacu industri ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.

"Jelas sekali pembaharuan dan perubahan itu akan memberikan kesan yang besar terhadap industri teksi negara. Sebaik sahaja menerima kelulusan Kabinet, kami akan membuat perincian untuk memastikan bahawa penyelesaian dapat dilaksanakan sebaik mungkin serta mengambil kira kerumitan yang bakal dialami ketika proses peralihan," katanya lagi

Pada bulan Mei 2016, SPAD telah membentangkan cadangan penyelesaian di bawah Program Transformasi Industri Teksi kepada Majlis Ekonomi dan telah menerima maklum balas yang positif. Suruhanjaya akan mengumumkan butiran lengkap program tersebut di dalam masa terdekat, susulan kelulusan Kabinet yang dijangkakan pada bulan Julai 2016. Sementara menunggu keputusan tersebut, SPAD memohon kesabaran dari semua pihak bagi mengelakkan cetusan kontroversi dan kekeliruan.

No comments: