Monday, June 30, 2014

SPAD SETUJU SETELAH KTMB AKUI BERTANGGUNGJAWAB

Sidang Media pada 28 Jun 2014

Lanjutan dari rayuan KTMB untuk menangguhkan penutupan landasan Gua Musang - Gemas kepada SPAD pada 27 Jun 2014 lalu, satu sidang media mengumumkan persetujuan telah dicapai setelah diadakan beberapa siri perbincangan. Kini perlaksanaan menjalankan kerja-kerja membaik pulih landasan keretapi dari Gemas ke Gua Musang akan hanya bermula pada 15 Ogos 2014. Itu adalah persetujuan yang telah diambil di antara SPAD dan KTMB.

SPAD telah membuat arahan mengikut kuasa di bawah peruntukan Seksyen 105 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 serta pemeriksaan berkala oleh jurutera SPAD. Pihak KTMB telah dimaklum dan telah bersetuju akan keadaan landasan yang kritikal dan memerlukan penambahbaikan segera semenjak bulan Januari 2012. Semenjak 2012, 13 kali terdapat kejadian tergelincir dan bernasib baik tiada kemalangan jiwa yang berlaku.

Pihak SPAD juga telah pertimbangkan alasan KTMB di mana di antara tarikh yang diarahkan pada 27 Jun 2014 lalu, akan mengakibat ramai penumpang yang mengguna keretapi di hari perayaan nanti bakal terjejas dan Hari Raya Aidil Fitri akan disambut umat Islam. KTMB juga telah memberi alasan, ketika hari perayaan besar inilah pendapatan KTMB akan memuncak. 

KTMB sebagai syarikat yang bertanggungjawab tidak mampu menjalankan penambahbaikan landasan secara berkala yang didapati dalam keadaan kritikal disebabkan kos penyelenggaraan dan operasi lebih tinggi dari pendapatan, maka SPAD sebagai agensi kawal selia kerajaan terhadap perkhidmatan keretapi Malaysia, telah berusaha dan kini berjaya mendapatkan peruntukan sebanyak RM400 juta bagi kerja-kerja ini. Bagi pihak SPAD, peruntukan kerajaan ini hanya bermatlamat memastikan kemudahan pengangkutan awam sentiasa berada di tahap yang baik dan selamat.



7 syarat awal yang telah dipersetujui KTMB adalah;
 
  1. Memberi jaminan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk meningkatkan peraturan dan pemantauan operasi tren.
  2. Meningkatkan penilaian ke atas landasan dengan mengenakan had kelajuan yang lebih rendah jika perlu.
  3. Meningkatkan pemantauan dan penyenggaraan infrastruktur landasan.
  4. Menyediakan storkereta yang lebih berkualiti.
  5. Kerahan tenaga kerja daripada KTMB untuk menangani situasi kritikal.
  6. Menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau semua pelan tindakan.
  7. Melaksanakan program komunikasi dengan pihak berkepentingan terutamanya orang ramai dan kakitangan KTMB bagi memastikan penutupan separa inidapat dilaksanakan dengan lancar.

Lanjutan daripada permohonan penangguhan itu, setelah diadakan sidang akhbar maka pihak SPAD ingin menegaskan pihak KTMB perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap kejadian yang akan berlaku sehingga 15 Ogos 2014

Di samping itu, pihak SPAD akan memantau sepanjang masa dan KTMB perlu menghantar laporan mingguan perkembangan perlaksanaan apabila kerja-kerja membaikpulih landasan dimulakan.

Oleh yang demikian, seandainya ada di antara 7 syarat yang telah dipersetujui KTMB tidak dipatuhi, maka seandainya berlaku sebarang kemalangan ataupun kejadian, KTMB dipertanggungjawab sepenuhnya.

Walaupun pihak SPAD khuatir dengan keselamatan penumpang keretapi, namun dengan persetujuan bertanggungjawab sepenuhnya dari pihak KTMB maka diharapkan semua pihak juga harus bekerjasama dan tidak kompromi ke atas keselamatan rakyat. 

KTMB perlu memaklumkan dan membuat hebahan kepada rakyat kedudukan keretapi dan langkah-langkah yang telah dan perlu diambil agar penumpang boleh membuat keputusan yang selaras dengan kehendak dan keyakinan mereka.
Dengan syarat-syarat yang dipertanggungjawabkan oleh SPAD, diharapkan penumpang akan berkeyakinan dengan perkhidmatan KTMB terutama di musim perayaan yang akan datang nanti. KTMB diharap tidak selesa dengan kejadian-kejadian lalu yang tidak melibatkan nyawa kerana perlu diingat, saranan SPAD untuk membaikpulih landasan telah dimaklumkan kepada KTMB sejak tahun 2012.

Dengan perancangan kerajaan yang akan melaksanakan keretapi laju pada tahun 2020, seharusnya membaikpulih dan meningkatkan struktur landasan dan stesen sepatutnya diselaraskan dan dipercepatkan.

KTMB seharusnya juga tidak kompromi dengan segala isu keselamatan dan apa yang boleh kita lakukan sekarang hanyalah berharap agar tiada kemalangan yang melibatkan nyawa di dalam tempuh penangguhan.

LEBIH BAIK CEGAH SEBELUM PARAH...

No comments: