Showing posts with label teski. Show all posts
Showing posts with label teski. Show all posts

Friday, September 23, 2016

BEBAN SISTEM PAJAK TEKSI DIATASI SPAD


Punca keluh-kesah pemandu-pemandu teksi hari ini mungkin ramai yang tidak ketahui dan di atas usaha SPAD yang telah mengadakan sesi-sesi dialog bersama-sama mereka yang terlibat secara langsung di dalam industri teksi termasuklah pengusaha dan pemandu teksi itu sendiri, sistem pajak teksi adalah beban utama pemandu teksi.

Sistem pajak teksi ini telah lama diamalkan dan diperkenalkan di zaman Dr Mahathir lagi. Namun dengan persaingan yang timbul hari ini, segala bentuk usaha cuba dibuat kerajaan kepimpinan PM Najib Razak yang di antaranya memberi pelbagai insentif seperti voucher tayar dan terkini adalah inisiatif lesen individu pula.

Pemandu-pemandu teksi yang terikat dengan sistem pajak ini perlu membayar sewaan harian kepada syarikat-syarikat sehingga tempoh pajakan selesai dan pada kebiasaannya memakan masa antara lima tahun hingga tujuh tahun. Lebih menyedihkan dalam Sistem Pajak ini, pemandu teksi dan kenderaan tidak dilindungi insurans sebaliknya melindungi pihak ketiga dan penumpang sahaja.

Justeru, di antara 11 inisiatif Program Transformasi Industri Teksi (TITP) yang bertujuan mentransformasikan industri teksi di negara ini secara besar-besaran ini, inisiatif SPAD untuk membantu 14,000 pemandu teksi khususnya di Lembah Klang agar dapat peroleh lesen individu mereka.

Dengan inisiatif ini juga, pemandu-pemandu teksi yang mempunyai lesen individu akan dapat meningkatkan pendapatan bulanan mereka di antara RM600 hingga RM800 berbanding ketika terikat dengan sistem pajak yang perlu menolak sewa harian, belanja bahan api, penyelenggaraan teksi di mana mereka hanya mampu membawa pendapatan bersih sekitar RM1,800 sahaja walaupun pendapatan kasar bulanan mencapai RM6,000.

Di samping itu, pemandu-pemandu teksi yang memegang lesen individu, kenderaan, pihak ketiga dan penumpang akan dilindungi insurans.

Pihak kerajaan juga bersedia memberi geran wang tunai sebanyak RM5,000 kepada mereka yang layak untuk membeli kenderaan baru. Dengan ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta.

Berbekal dengan latihan khas untuk pemandu, jaminan keselamatan penumpang dan pemandu melalui pemantauan MeterOn dan pemasangan meter digital serta peningkatan pencapaian penumpang melalui aplikasi seperti EzCab, Budget Taxi Malaysia, Jomtaxi dan iTeksi, kesemua ini bukan saja dapat memperbaiki pendapatan mereka malahan muncullah apa saja jenis perkhidmatan teksi sekali pun, pemandu-pemandu teksi kita akan mampu mengatasi mereka.

Maka, dengan kesungguhan SPAD dan kerajaan kepimpinan PM Najib Razak mengatasi beban pemandu-pemandu teksi yang sediada, negara pasti akan berbangga dengan tahap perkhidmatan teksi dan gelaran teksi di Malaysia sebagai terburuk di dunia pasti akan digantik sebagai - PERKHIDMATAN TEKSI TERBAIK di mana pelancong luar negara pasti akan ternanti-nanti untuk menerima perkhidmatan mereka.

Syabas SPAD dan syabas pemandu teksi sekelian!

Monday, June 20, 2016

MENUNGGU KEPUTUSAN KERAJAAN, SPAD PASTIKAN MASALAH INDUSTRI TEKSI MAMPU DIATASI


Di dalam kenyatan media rasmi SPAD pada 18 Jun lalu, mereka memaklumkan telah membawa cadangan penyelesaian industri teksi negara ke pengetahuan kerajaan dan hanya menunggu masa untuk mendapat kelulusan dan dibentangkan di dalam sidang parlimen.

Setelah menjalankan makmal teksi sejak Disember 2015, beberapa masalah utama telah dikenalpasti dan pihak SPAD mendapati ia bukan suatu isu yang mudah untuk menepati kehendak semua pihak. Di antara isu teksi yang sering timbul adalah persaingan yang dihadapi teksi-teksi konvensional dengan permintaan semasa yang menggunakan teknologi terkini.

Perkhidmatan teksi seperti Uber dan GrabCar bukan saja memberi persaingan dari segi kecekapan teknologi yang mereka gunakan tetapi yang lebih utama adalah perkhidmatan yang memenuhi selera dan kehendak penumpang terutamanya mereka di sekitar bandaraya yang mementingkan ketepatan waktu di samping keselesaan dan juga keselamatan.

Walaubagaimanapun, pihak SPAD cuba berlaku adil kepada kedua-dua pemain industri teksi ini di mana di dalam cadangan mereka, pihak SPAD akan memainkan peranan untuk mengawalselia aplikasi yang digunakan Uber dan GrabCar.

Kedudukan SPAD di dalam menangani isu di antara teksi konvensional dan perkhidmatan seperti Uber dan GrabCar bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan beberapa isu yang telah dialami seperti masalah pajakan telah diwarisi sekian lama dan akhirnya menjadi beban kepada pemandu teksi. Pada masa yang sama, pihak SPAD juga harus memikirkan kepentingan penumpang yang merupakan sumber pendapatan kepada pemandu-pemandu teksi ini.

Apa pun usaha yang ingin SPAD laksanakan, akhirnya ia bergantung kepada kesedaran dan sikap ingin bersaing dengan sihat di antara pemain industri teksi konvensional dan teksi Uber atau GrabCar. Sekiranya masih tidak mampu untuk berubah, jangan pula SPAD dipersalahkan lagi kerana bukan SPAD yang menentukan sepenuhnya rezeki mereka tetapi mereka sendiri.

Berikut adalah kenyataan rasmi dari SPAD;
Encik Mohd Azharuddin Mat Sah  
TRANSFORMASI INDUSTRI TEKSI KIAN HAMPIR

KUALA LUMPUR, 18 Jun 2016 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mengemukakan cadangan kepada Kerajaan yang memperincikan penyelesaian bagi meningkatkan tahap mutu perkhidmatan serta menggalakkan persaingan yang sihat di dalam industri teksi negara.

Makmal teksi yang telah dijalankan oleh SPAD pada Disember 2015, telah mengesahkan bahawa penyelesaian permasalahan di dalam industri teksi bukanlah satu tugas yang mudah dan adalah sukar bagi mendapatkan jawapan yang akan memuaskan kesemua pihak.

Dengan itu, di dalam menyediakan cadangan kepada Kerajaan, Suruhanjaya telah mengambil pendekatan yang seimbang serta memberikan tumpuan kepada usaha memastikan dasar semasa, peraturan-peraturan dan keperluan-keperluan lain akan terus memacu persaingan yang adil bagi industri teksi di masa depan.

Cadangan yang dikemukakan turut menyentuh keperluan perundangan yang diperlukan untuk menangani permintaan yang dijanakan oleh teknologi semasa serta mengawal selia perkhidmatan ‘e-hailing’ seperti Uber dan Grab. Ianya juga bertujuan untuk memberikan kesamaan taraf di dalam medan persaingan yang adil di kalangan pemandu teksi agar mereka dapat kekal bersaing dengan sihat.

Antara syor yang disarankan ialah pemberian lesen teksi individu baru kepada pemandu yang mempunyai rekod yang bersih untuk menggalakkan semangat keusahawanan di peringkat individu. Ia juga menyediakan pilihan yang munasabah bagi pemandu teksi yang berkelayakan, untuk keluar daripada belenggu sistem pajak. SPAD juga mencadangkan lebih banyak pilihan model kenderaan bagi kegunaan pemandu teksi.

“Suruhanjaya berkeyakinan bahawa langkah untuk meliberalisasikan model teksi adalah diperlukan bagi mewujudkan landskap industri yang kompetitif yang dapat memacu industri ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Azharuddin Mat Sah.

"Jelas sekali pembaharuan dan perubahan itu akan memberikan kesan yang besar terhadap industri teksi negara. Sebaik sahaja menerima kelulusan Kabinet, kami akan membuat perincian untuk memastikan bahawa penyelesaian dapat dilaksanakan sebaik mungkin serta mengambil kira kerumitan yang bakal dialami ketika proses peralihan," katanya lagi

Pada bulan Mei 2016, SPAD telah membentangkan cadangan penyelesaian di bawah Program Transformasi Industri Teksi kepada Majlis Ekonomi dan telah menerima maklum balas yang positif. Suruhanjaya akan mengumumkan butiran lengkap program tersebut di dalam masa terdekat, susulan kelulusan Kabinet yang dijangkakan pada bulan Julai 2016. Sementara menunggu keputusan tersebut, SPAD memohon kesabaran dari semua pihak bagi mengelakkan cetusan kontroversi dan kekeliruan.