Monday, January 16, 2017

MCA KEPADA DAP DAN MISS KOK : JANGAN PURA-PURA LUPA


Dari sejak DAP ditubuhkan sehinggalah mereka telah bersekongkol dengan Dr Mahathir, nampaknya keseluruhan kepimpinan DAP telah mengalami sindrom penyakit yang gemar dikatakan rakan barunya iaitu - MUDAH LUPA!

Baru-baru ini, salah seorang kepimpinan tertinggi DAP dan juga ahli parlimen Seputeh Teresa Kok telah menganggap yang MCA adalah parti konservatif dan tidak inginkan perubahan. Kenyataan Miss Kok ini timbul setelah mereka terpaksa menerima persahabatan yang dianggap jelek untuk menerima Dr Mahathir dan Muhyiddin sebagai rakan politik mereka.

Miss Kok tanpa segan silu mengaku yang DAP saja yang sentiasa menerima perubahan sedangkan mereka tidak sedar yang prinsip parti mereka yang sentiasa  berubah-ubah. Segala pertukaran prinsip mereka dilakukan DAP hanyalah semata-mata untuk kepentingan politik rakus mengikut kesesuaian keadaan dan ini juga menunjukkan betapa terdesaknya DAP.

Senator Dato Chai Kim Sen yang juga Pengerusi Biro Publisiti MCA ingin mengingatkan Miss Kok tentang 3 perkara yang tidak mungkin akan dilupakan rakyat jelata sehingga bila-bila walaupun beliau bersusah-payah cuba untuk memadamkannya.

Pertama sekali , MCA bukan saja menjadi bahan kritikan DAP malahan Dr Mahathir dan Anwar Ibrahim juga adalah bahan utama kritikan DAP ketika kedua-dua mereka berada di dalam kerajaan. Pentadbiran PAS di Kelantan dan Kedah juga pernah dijadikan bahan cemuhan dan kritikan DAP.

Apa yang tidak pernah DAP gelarkan Dr Mahathir dan yang paling terkenal adalah gelaran sebagai seorang pemimpin kuku besi, perasuah dan salah guna kuasa. Tetapi setelah Kit Siang membawa masuk Dr Mahathir ke dalam kumpulan pembangkang, segalanya bagai telah terlupa dan malahan Dr Mahathir telah disucikan dari segala tuduhan dan kecaman DAP yang lalu sehingga beliau kini diangkat sebagai hero.

Begitu juga dengan Anwar ketika di zaman Menteri Pendidikannya, beliau dikecam DAP sebagai seorang rasis yang ekstrim apabila cuba menggugat perkembangan pendidikan kebangsaan China. Setelah Anwar dipecat, DAP sanjung beliau sebagai hero dan penyelamat negara. PAS juga tidak terkecuali dan selepas Barisan Alternatif kemudian Pakatan Rakyat, DAP terus sanjung PAS sebagai parti yang sama-sama liberal. Apakah Miss Kok sudah lupa?

Miss Kok tuduh kononnya MCA takut untuk berubah seperti DAP. Di dalam konteks ini, MCA bukan saja tidak mahu berubah malahan pasti tewas dengan DAP dalam perlakuan mereka yang selalu berubah-ubah seperti pendirian MCA yang tidak akan berganjak menentang hukum hudud yang dibawa PAS.

Ketika sedang bertungkus-lumus membersihkan salahlaku Dr Mahathir dan Anwar, DAP juga tidak akan teragak-agak untuk membuat hubungan dengan PAS.

MCA yakin jika PAS terima pinangan mereka untuk sekian kalinya, parti yang pernah mereka cemuh dan kritik, akan disucikan dan segala tindakan saman akan pasti lenyap dan terpadam.

Oleh itu, MCA ingin mengingatkan DAP agar janganlah terlalu bersusah-payah untuk menjadi 'mudah lupa' kerana walaupun mereka terus mencuba, namun ia mudah dibuktikan dengan segala kenyataan lampau yang sedia terbentang dan dibuka semula oleh rakyat untuk dijadikan bukti betapa DAP adalah satu parti yang sebenarnya tidak berprinsip.

No comments: