Saturday, January 28, 2017

KIT SIANG HENDAK BERJUMPA PRESIDEN MCA DAN GERAKAN. APA DAH JADI?


Sebelum Kit Siang boleh menjerat mangsa seterusnya, Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong telah mendedahkan yang Kit Siang telah meminta untuk menemui kedua-dua Presiden MCA dan Gerakan dalam kempen 'Save Malaysia' yang diusahakan Dr Mahathir. Ini adalah satu pendedahan yang sangat mengejutkan apabila semua rakyat Malaysia sangat mengetahui bahawa bukan sahaja UMNO malahan MCA juga sentiasa menjadi bahan kritikan dan celaan mulut lantang Kit Siang.

Setelah segala rundingan dengan PAS oleh Muhyiddin dan Azmin sedang buntu, Kit Siang baru-baru ini telah membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Presiden PAS  Hadi Awang bagi meyakinkan bahawa ia dilakukan dengan niat yang baik dan seolah-olah dia menyesal kerana apa yang telah berlaku sehingga tercetusnya konflik di antara mereka.
Rupa-rupanya di dalam drama syahdu ini dengan PAS, di belakang tirai lain pula yang Kit Siang buat. Mungkin bagi sesetengah mereka, ia melihatkan betapa seriusnya Kit Siang untuk berbaik-baik dengan Hadi Awang tetapi jika kita mengetahui seseorang yang licik seperti Kit Siang yang penuh dengan helah, ia hanyalah untuk memenuhi kepentingan politiknya.

Sebelum Kit Siang ingin meneruskan niatnya, Datuk Wee menuntut terlebih dahulu agar beliau menjelaskan pendiriannya samada sekarang ini beliau sedang bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan PAS atau beliau lebih suka untuk memilih MCA dan Gerakan? Seterusnya, Datuk Wee mempersoalkan samada Kit Siang bertindak bagi pihak Pakatan Harapan, partinya atau mungkin ia adalah inisiatif sendiri dan untuk dirinya sendiri?

Bukan sahaja Datuk Wee agak sukar untuk memahami plot politik Kit Siang sejak bersekongkol dengan Dr Mahathir, pendedahan mengejutkan ini sudah pasti menunjukkan betapa Kit Siang, DAP dan Dr Mahathir adalah sangat terdesak. Walaupun tanpa apa-apa pengesahan daripada mereka, niat untuk memastikan satu pasukan pembangkang yang kuat, sebenarnya mereka sedang nazak.

MCA bukan baru setahun jagung dalam dunia politik tanahair dan begitu juga parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional yang sangat memahami bahawa Kit Siang dan DAP adalah rakan yang sekali-kali tidak boleh dipercayai. Sejarah politik negara kita telah menyaksikan betapa DAP sebagai parti oportunis sehingga sanggup menggadaikan prinsip-prinsip untuk bersama parti-parti lain selagi ia boleh memberi manfaat kepada mereka.

Ternyata yang DAP tidak pernah konsisten, untuk kali kedua, DAP telah berbaik-baik dengan PAS hanya semata-mata untuk memancing undi Melayu dan terkini mereka telah sanggup menghumban segala dosa dan salah laku musuh ketat mereka yang mereka sendir telah menuduh dan membongkar. Dr Mahathir dan Muhyiddin yang terkenal dengan pendirian ultra-Melayunya, kini diterima sebagai rakan untuk bekerjasama. 

Dari awal lagi, MCA adalah tegas dalam pendirian mereka untuk menolak undang-undang hudud PAS tetapi tidak seperti DAP yang sentiasa bermain tali dengan PAS demi untuk mendapatkan sokongan Melayu daripada parti dan dengan seterusnya mengkhianati masyarakat bukan Islam. Bagi MCA, sekiranya DAP serius dalam menentang enakmen hudud PAS, mengapa mereka perlu kembali untuk berkawan dengan PAS jika ia tidak bermaksud untuk berterusan mengkhianati penyokong mereka.

Walaupun dengan alasan kempen 'Save Malaysia' yang dimulakan oleh Dr Mahathir, MCA menganggap permintaan Kit Siang untuk bertemu dengan Presiden MCA dan Gerakan sebagai tidak boleh dipercayai dan agak manipulatif. Kit Siang juga nampaknya terlalu terdesak untuk memastikan nasib politik anaknya tidak terkubur selepas pertuduhan rasuah yang berkemungkinan akan berakhir di penjara.

Sehingga Kit Siang dapat menjelaskan tindakannya yang mengkhianati masyarakat bukan Islam dengan memikat PAS, permintaannya untuk bertemu dengan Dato Liow dan Datuk Mah langsung tidak masuk akal.

Sebagaimana yang sentiasa diperkatakan pemimpin-pemimpin MCA, keutamaan mereka untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesejahteraan masyarakat Cina dan juga memberi kemenangan besar kepada Barisan Nasional. 

Ia akan menjadi satu tindakan yang kurang cerdik seandainya MCA bekerjasama dengan Kit Siang demi untuk merealisasikan niat tersiratnya untuk merebut jawatan Timbalan Perdana Menteri sekira pakatan pembangkangnya menang pada pilihan raya umum akan datang.

MCA pasti akan sentiasa berwaspada dengan politikus licik seperti Kit Siang dan Dr Mahathir yang diibaratkan seperti seekor ular yang sanggup berlakon jinak terhadap mangsanya tetapi apabila mereka berada di dalam keadaan terperangkap, tanpa belas kasihan mangsa-mangsa mereka akan terus dibaham.

No comments: