Showing posts with label Ulangtahun MCA ke 67. Show all posts
Showing posts with label Ulangtahun MCA ke 67. Show all posts

Monday, March 07, 2016

DATUK WEE : #MCA TIDAK MAMPU BERPECAH UNTUK TERUS KEKAL RELEVAN


Bukan mudah untuk seseorang mengaku kekalahan dan seterusnya ingin memperbaiki kelemahan dengan terus menabur khidmat kepada rakyat jika beliau bukan seorang yang ikhlas. Itulah pendirian dan iltizam MCA.

Walaupun prestasi MCA mengalami kekalahan di dua pilihanraya umum yang lalu, ia bukan suatu fenomena perubahan politik yang berlaku tanpa sebab, maka kepimpinan MCA yang diterajui Datuk Liow Tiong Lai sangat menyedarinya. Di antara faktor utama kekalahan MCA di pilihanraya lalu adalah akibat daripada  perpecahan di peringkat kepimpinan yang akhirnya menular hingga ke akar umbinya.

Menasihati dan memberi peringatan kepada ahli-ahlinya, pada perhimpunan ulangtahun MCA ke 67 baru-baru ini, Timbalan Presidennya Datuk Wee Ka Siong telah menegaskan bahawa Presiden parti telah berusaha bersungguh-sungguh untuk merapatkan jurang perbezaan di antara kawan dan lawan di dalam parti sejak mengambil alih tampuk kepimpinan pada Disember 2013.

Hanya dengan satu barisan yang bersatu maka segala cabaran di luar akan mampu dihadapi bagi MCA bangkit sebagai pemenang terutamanya di kalanganbangsa yang diwakilinya iaitu bangsa Cina. MCA dan masyarakat Cina mesti bergerak ke hadapan dan ke arah yang sama. Untuk itu, MCA telah mejalin hubungan yang lebih rapat melalui pelbagai platform di antara parti, kerajaan dan bukan kerajaan bagi benar-benar merasai denyut nadi masyarakat.

Di dalam ucapannya sebagai Timbalan Presiden MCA dan juga Pengerusi Jawatankuasa pilihanraya umum, Datuk Wee Ka Siong juga telah memulakan dengan mengingatkan ahli-ahlinya yang MCA tidak mampu untuk berpecah lagi dan perlu bersatu dari atas hingga ke akar umbinya sekiranya tidak ingin ditinggalkan masyarakat Cina.

Pilihanraya akan datang bukan saja ujian penting buat MCA malahan sebagai penentu relevannya parti ini untuk mewakili suara masyarakat Cina terutama sekali di dalam kerajaan.

Datuk Wee telah mengajak pemimpin dan ahli-ahli MCA di semua peringkat agar kesukaran yang dihadapi mereka dijadikan sebagai satu peluang terbuka yang perlu diambil segera.

Sebagai amanah dan tanggungjawab yang telah diberikan kepada beliau untuk menerajui persediaan pilihanraya umum ke 14 ini, Datuk Wee telah membuat persediaan terlebih awal berbanding 2 pilihanraya yang lalu dengan turun padang dan berjumpa hampir kesemua pemimpin-pemimpin hingga ke peringkat cawangan di seluruh tanahair.

Di dalam siri perjumpaan ini, Datuk Wee telah mengambil kesempatan menjelaskan perlunya MCA menang dan akibatnya jika terus mengalami kekalahan. Di samping itu, Datuk Wee juga telah memberi panduan dan bimbingan untuk mempersiapkan diri berhadapan dengan segala tohmahan dan kritikan pembangkang.

Namun, yang penting adalah MCA perlu bersatu. Oleh itu, Datuk Wee memohon agar segala pergeseran dan persaingan lalu di dalam parti, perlu ditamatkan. Sesungguhnya pertelingkahan yang berterusan tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada parti, ahli-ahlinya, masyarakat Cina dan juga rakyat Malaysia.

MCA mampu membantu ke arah memberi kestabilan politik negara dan bukan masanya untuk kucar-kacirkan keadaan untuk menjatuhkan mana-mana pemimpin. Oleh itu, sekali lagi juga MCA tegas dengan pendiriannya untuk memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Apabila MCA bersatu, maka BN pasti teguh!

Sunday, March 06, 2016

PRESIDEN #MCA : MASA UNTUK MENILAI SEMULA DAN BERSEDIA MENUJU KE HADAPAN

Di dalam meraikan ulangtahun ke 67 MCA, Presiden parti Datuk Liow Tiong Lai mengingatkan ahli-ahli MCA untuk mengambil peluang menyemak dan menilai semula prestasi parti untuk bersiap sedia menuju ke masa hadapan dengan menjelaskan visi dan mesej MCA. Ahli-Ahli MCA juga hendaklah berjuang berpandukan landasan nilai-nilai dan prinsip-prinsip yang diperjuangkan oleh pengasas MCA bagi mengemudi aliran politik hari ini.

Adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab MCA untuk menegakkan nilai-nilai ini dan visi parti untuk negara dan masyarakat Cina walau apa pun cabaran getir yang sedang melanda, sebagai Presiden yang dipertanggungjawabkan, Datuk Liow  menegaskan komitmen MCA adalah untuk melindungi kebajikan masyarakat Cina dan sekali-kali tidak akan meninggalkan perjuangan ini.

Mengimbas kembali sejarah lalu, masyarakat Cina sangat memerlukan suara mereka didengari dan ketika itulah Tun Tan Cheng Lock telah bangkit memberi inspirasi kepada mereka dan mendapat sokongan padu dari Dewan Perniagaan Cina, Dewan Perhimpunan Cina dan persatuan Cina di seluruh negara. Tetapi malangnya hari ini, masyarakat Cina telah berpecah dan berbalah.

Oleh itu demi survival yang berterusan, Datuk Liow mengingatkan pentingnya semua lapisan masyarakat Cina bersatu.

Walaubagaimanapun, Datuk Liow menghargai sokongan yang berterusan dan komitmen serta sokongan dari rakan-rakan setia parti, persatuan-persatuan Cina dan tidak ketinggalan dari kumpulan veteran yang sanggup berkongsi kebijaksanaan dan pengalaman serta kejayaan dengan kepimpinan parti hari ini.

Walaupun rakyat berhadapan dengan cabaran ekonomi global yang lembap dan kuasa politik Cina yang berbelah-bagi dan juga isu-isu perkauman dan fanatik agama yang melampau, MCA perlu terus buktikan kemampuannya bukan sekadar dalam berpolitik tetapi melalui pembangunan ekonomi, kebudayaan dan terutama sekali pendidikan.

Politik pembangkang adalah politik kebencian dan mereka akan lakukan apa saja sehingga mampu menabur fitnah dan memutar-belitkan isu hanya untuk meraih undi. Itu bukan cara MCA. Sebagai parti komponen pemerintah, MCA akan terus memacu inisiatif secara aktif ke arah membangunkan negara dan melaksanakan program-program yang bermanfaat kepada kebajikan rakyat.

Sekiranya masyarakat Cina inginkan kehadiran mereka di dalam kerajaan Persekutuan dan juga negeri, MCA perlu diberi peluang mewakili majoriti mereka dan seharusnya membuang sikap yang ibarat 'inginkan kuda berlari pantas tetapi tidak sanggup memberi mereka makan dengan baik."

Bersatu dan perpaduan adalah tunggak kejayaan dan MCA dari awal penubuhannya mementingkan kedua-dua aspek tersebut bersama-sama menyumbang dalam sebuah negara yang berbilang kaum seperti negara kita. Kempen 'Stronger Together' adalah di antara tiga fasa di bawah Pelan Transformasi MCA di bawah kepimpinan Datuk Liow. Kempen ini perlu dimulakan dengan perpaduan di dalam parti dahulu dan barulah melangkah ke seterusnya bagi mencapai perpaduan negara.


Oleh itu, di dalam meraikan ulangtahun MCA ke 67 dengan bertemakan ‘Realise Moderation, Build on Pragmatism’ dan bermaksud merealisasikan kesederhanaan bersandarkan kebenaran dan situasi yang realistik dan bukan retorik, MCA dengan kepimpinan Datuk Liow tegas komited untuk menegakkan perpaduan, keharmonian dan kestabilan untuk kebaikan masyarakat Cina secara keseluruhannya dan tiada siapa yang akan dipinggirkan walaupun ada yang telah tersesat jalannya.

Datuk Liow juga mengambil kesempatan menyatakan yang MCA di bawah kepimpinannya tidak sekali-kali akan berputus asa dalam usaha mereka untuk kekal kukuh kerana mereka ada 'political will' dan ia juga adalah harapan di ulangtahun MCA yang ke 67.