Showing posts with label FIC. Show all posts
Showing posts with label FIC. Show all posts

Sunday, October 18, 2015

'FELDA HOUSE WEMBLEY' LONDON - PELABURAN HARTANAH FIC BERHASIL


Felda Investment Corporation (FIC), anak syarikat Felda di dalam bidang pelaburan hartanah kini mengorak selangkah lagi pelaburannya di London dengan mewujudkan Felda House di tengah-tengah Wembley, London. Felda House adalah penginapan serupa unit asrama untuk pelajar-pelajar di sekitar Wembley.

Terletak di tengah-tengah Wembley, asrama ini siap pada Julai lalu dengan kos £58.50 juta (£1 = RM6.36).

Kedudukannya yang strategik inilah antara faktor Felda House laris mendapatkan penyewa. Hanya beberapa jarak dari Stadium Wembley dan dekat dengan stesen bawah tanah yang menghubungi pelajar ke universiti di tengah-tengah London.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sangat berpuas hati dengan langkah tepat FIC melabur di Wembley memandangkan segmen hartanah yang semakin pesat di sekitar London. FIC telah pun mengorak langkah dalam pelaburan hartanah dalam Grand Plaza Service Apartment di Bayswater dan Park City Hotel di Kensington.

Ketika merasmikan Felda House Wembley, Tan Sri Isa menyatakan yang beliau tidak menyangka sambutan yang diluar jangka apabila dalam masa 7 bulan saja, semua bilik telah dipenuhi.

Memandangkan kejayaan FIC di dalam kedua-dua pelaburannya di London dan kini asrama penuntut Felda House di Wembley, Tan Sri Isa berharap agar pelaburan ini mampu memberi pulangan jangka panjang memandangkan matawang Pound Sterling lebih kukuh berbanding Ringgit Malaysia.

Selepas dua pangsapuri Grand Plaza di Bayswater beroperasi, ia telah meraih keuntungan sebanyak £5.1 juta dan Felda telah mendapat RM2 juta setiap tahun. Hotel Park City di Kensington pula telah berjaya meningkatkan penginapannya dari 74% ke 90% dan ia semakin popular kerana pakej-pakej tawarannya seperti majlis perkahwinan dan keraian yang boleh diadakan di laman yang luas di hotel ini.

Felda House Wembley menawarkan 449 bilik untuk disewa penginapan yang mampu memenuhi keperluan setiap pelajar dilengkapi dengan kemudahan di setiap bilik terdapat katil, almari dan perabot. Bagi unit studio pula dilengkapi dengan perabot dapur serta bilik mandi. Yang pasti bangunan penginapan ini ada WiFi dan CCTV untuk keselamatan.

Bangunan ke-2 penginapan penuntut dijangka siap pada tahun hadapan dengan anggaran kos sebanyak £109 million. Sebanyak 872 bilik dan dilengkapi dengan lebih kemudahan seperti kolam renang dan gym.

Segmen penginapan pelajar kini dilihat sebagai satu pelaburan hartanah yang sangat memberangsangkan dan ia juga dikategorikan sebagai pelaburan global ketara di arus perdana yang berpotensi memberi pulangan dan nilai yang tinggi.

Wednesday, March 11, 2015

CEO FIC DITAHAN SPRM, JELAS FELDA TEGAS DAN TELUS

Sehari selepas SPRM umumkan bagi mengesahkan tangkapan ke atas CEO anak syarikat FELDA pada 1 Mac 2015, tanpa lengah portal pembangkang mula menulis pelbagai andaian dan tohmahan terhadap Felda dan terutamanya Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusinya. Lebih mendangkalkan penulisan
mereka terus membuat pelbagai spekulasi dan tuduhan melampau.

 
Ada juga usaha cuba untuk mensabitkan Tan Sri Pengerusi apabila anaknya juga terlibat membantu untuk memberi kenyataan dan portal pro-pembangkang melaporkan sebagai ditangkap pula.

Apa yang mereka tidak faham, selepas Felda menandatangani ikrar integriti pada 2012 dan PAC telah umumkan Felda bebas dari rasuah, penahanan CEO Felda Investment Corporation adalah wajar sekiranya pihak pengurusan tertinggi mendapati samada salah guna kuasa atau rasuah diamalkan disiasat pihak SPRM.

Mereka juga dengan mudah melemparkan kononnya pengurusan kewangan Felda lemah yang mengakibatkan saham FGV jatuh dan terus dikaitkan dengan penahanan CEO FIC. 

Ada juga yang kaitkan penahanan CEO FIC berkait dengan pembelian  hotel di London. Jika dibaca kenyataan SPRM, ia adalah dua isu yang berbeza di mana, penahanan CEO FIC melibatkan pembelian sebuah hotel di Port Dickson dan dengan jelas, kejatuhan FGV adalah akibat kejatuhan harga sawit dunia jatuh dan senario ini adalah di luar kawalan Felda.

Malahan Felda yang mengalami kerugian akibat banjir luarbiasa yang melanda negara kita pada akhir tahun lalu juga mampu memberi kesan kepada
prestasi kewangan FGV.

Usaha Felda menegakkan integriti pengurusannya tidak perlu diperlekehkan, malahan perlu diterima baik kerana Felda telah menyatakan bersedia untuk bekerjasama dengan SPRM dalam siasatan ini. Tindakan pengurusan Felda juga perlu diberi sokongan moral dari rakyat kerana berani mendedahkan penyelewengan walaupun melibatkan pengurusan tinggi.

Pihak SPRM tidak akan melakukan siasatan jika tiada pihak yang melaporkannya dan jika kita ingin pertikaikan ketelusan dan ketegasan Ahli Lembaga dan pengurusan Felda, maka apa perlu Felda nyatakan kerjasama bersama SPRM untuk siasatan ini?

Biarkan siasatan dijalankan dahulu sebelum kita menghukumnya dan jadikan ia satu pengajaran bahawa tiada tolak ansur bagi sesiapa yang mengamal perbuatan rasuah terkeji ini walau sesiapa pun dan walau apa pun pangkatnya.

Friday, February 27, 2015

RESTORAN PERTAMA FELDA DI PINTU MASUK ARAB SAUDI


Setelah memiliki hotel di London (baca di sini) dan memiliki Encorp Berhad, sebuah syarikat gergasi hartanah di Malaysia, kini Felda Investment Corporation
Sdn Bhd (FIC) telah membuka restoran pertama Malaysia di Jeddah.

FIC adalah anak syarikat FELDA yang bertanggungjawab dalam aktiviti perniagaan bukan perladangan dan kini terlibat dalam pembangunan hartanah, hospitaliti dan aktiviti pelaburan strategik.

Perancangan membuka restoran di Jeddah ini telah dicadangkan sejak Februari tahun lalu berikutan sambutan menggalakkan terhadap masakan Melayu yang ditawarkan restoran Felda D’Saji di Mekah. Malahan cadangan ini telah mendapat sokongan Konsulat Malaysia di Jeddah dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Pada masa yang sama, Restoran Felda D'saji telah pun bertapak di Mekah dan dari inspirasi itulah maka membuka restoran di Jeddah pula. Restoran dengan 112 tempat duduk yang terletak hab komersil paling eksklusif di Jeddah, Tahlia Street, dikendalikan oleh Felda D'Saji Sdn Bhd, anak syarikat Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd. 

Tahlia Street, Jeddah juga dikenali sebagai Prince Mohammad bin Abdulaziz St., terletak di tengah-tengah Jeddah dan daerah paling kaya di Arab Saudi. Di sini juga terletaknya kawasan membeli-belah dengan butik bagi jenama seperti Prada, Gucci, Versace, Cartier, Chanel, Louis Vuitton, Dolce & Gabbana, Ralph Lauren and Giorgio Armani.

Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah melancarkan restoran di Jeddah baru-baru ini dan yakin peluang terbaik untuk Malaysia dan Arab Saudi mengukuhkan hubungan dengan pencambahan antara budaya. Turut hadir ialah Konsul Besar Malaysia di Arab Saudi, Khalid Abbasi dan Ketua Pegawai Eksekutif FIC, Mohd Zaid Abdul Jalil.

Restoran ini merupakan tambahan kepada pelbagai pilihan makanan di Jeddah, terutama sekali kerana FIC dan D'Saji bukan sahaja mahu menarik pelanggan Malaysia dan Asia tetapi juga mahu memanfaatkan kedudukan Jeddah sebagai pintu masuk ke Arab Saudi.

Walaupun Felda sedang mengalami cabaran perniagaan di sektor perladaganan, dengan pelaburan hartanah dan hospitaliti menunjukkan Felda akan sentiasa berdaya saing. Ini menunjukkan kepelbagaian sektor perniagaan terutama hartanah dan hospitaliti yang dijalankan Felda mampu meletakkan kedudukannya sentiasa mampan dan bertahan di dalam apa jua keadaan.

Thursday, December 18, 2014

FIC PERKUKUH JENAMA FELDA DI LONDON



Tahun lalu, apabila FELDA berhasrat memiliki hotel pertamanya di Bayswater, London, hanya Guan Eng dan DAP saja yang telah cuba menimbulkan keraguan ke atas keupayaan FELDA kerana bagi pendapatnya, FELDA tiada pengalaman untuk mengurus sesebuah hotel dan sekaligus mampu menjejaskan pelaburan FELDA.

Pelaburan hartanah dan menceburkan diri dalam industri perhotelan bukan sesuatu yang baru bagi FELDA. Jika ada yang meragui kemampuan FELDA untuk mengurus sesebuah hotel, sebenarnya FELDA telah pun memiliki lebih kurang 8 hotel di seluruh Malaysia dan di antaranya di Kuala Terengganu, Trolak Mersing, Jengka, Port Dickson dan termasuk Sabah.

Mungkin DAP juga perlu tahu, pada masa yang sama, Felda telah menubuhkan sebuah kolej bagi generasi keduanya yang melatih pelajar dalam bidang 'catering' dan dengan pembelian hotel di London, FELDA juga telah membuka peluang kepada anak-anak FELDA meluaskan pengalaman dan latihanmereka di London.

Kini setelah memiliki Grand Plaza service apartment di Bayswater, anak syarikat milik penuh FELDA pula, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) telah memiliki Grand Plaza Kensington pula sebagai aset pertamanya di London, dan kedua buat FELDA.

Sekaligus, FIC telah perkukuhkan jenama FELDA di dalam industri perhotelan dan mampu menjadi aset pelengkap kepada hotel milik FELDA di London.

Dengan pembelian hotel Grand Plaza Kensington, jumlah keseluruhan hotel dan resort milik FELDA kini telah mencecah 12.

Perancangan strategik FIC dalam mempelbagaikan aset pelaburannya bukan sahaja sekadar melengkapkan rangkaian hotel FELDA di London, namun sebelum ini ia telah pun bergiat aktif dan berjaya mengambilalih syarikat pembangunan hartanah, Encorp Berhad. Adalah menjadi hasrat FELDA untuk perluaskan perniagaan mereka dengan kepelbagaian sektor terutamanya dalam pembangunan hartanah dan pembinaan dan seterusnya di antara organisai yang mencebur dalam sektor hospitaliti.

Seandainya, organisasi-organisasi besar seperti KWSP, KWAP, Tabung Haji dan PNB telah pun memiliki beberapa hartanah di UK, maka apakah FELDA perlu melepaskan peluang mereka untuk memberli aset dan hartanah di sebuah bandaraya kosmopolitan seperti London?

London didorong kadar pertumbuhan sebanyak 8.6% dan merupakan Bandaraya yang paling kerap dikunjungi di dunia. Pada 2013 sahaja, seramai 32.8 juta pengunjung telah pergi ke UK dan ini adalah kadar tertinggi yang telah menggalakkan FCI memilih untuk membeli hotel di London.

Grand Plaza Kensington merupakan sebuah hotel bertaraf 4 bintang dengan 62 unit bilik dan 2 unit servis apartment, terletak di Lexham Gardens, sebuah daerah eksklusif di Kensington dan Chelsea. Pembelian hotel Grand Plaza Kensington di dorong oleh sambutan menggalakkan yang diterima oleh Grand Plaza Serviced Apartments dengan purata kadar penghunian sebanyak 90%, serta potensi tinggi yang dimiliki pelaburan tersebut.

Lokasi hotel ini juga terletak berhampiran kawasan membeli belah paling popular di Barat London iaitu Kensington High Street. Kedudukan strategik hotel ini dan populariti London sebagai salah satu destinasi percutian utama di dunia, terutamanya di kalangan rakyat Malaysia, merupakan antara faktor penting yang dapat menjadikan hotel ini sebagai pilihan utama di kalangan pengunjung kota London.

Grand Plaza Serviced Apartments di Bayswater mensasarkan pengunjung yang bercuti bersama keluarga mahupun secara berkumpulan, manakala Grand Plaza Kensington lebih bertumpu kepada pengunjung yang inginkan penginapan mewah pada kadar yang berpatutan.

Dengan perancangan strategik Felda sebagai syarikat induk untuk melebar dan pelbagaikan pelaburannya, memiliki kedua-dua hotel di London ini, perlu dilihat sebagai satu peluang untuk warga dan generasi kedua Felda terutama yang sedang menjalani latihan 'catering' untuk meningkatkan pengetahuan di persada antarabangsa.

Rakyat Malaysia yang berugama Islam yang sering membanjiri kota London pula tidak akan mengalami kesukaran untuk menikmati makanan halal dan seterusnya tidak merasa gusar apabila berada di kota kosmopolitan London, kerana Felda telah menyediakan penginapan untuk mereka.

Dengan kadar kunjungan yang tinggi di London serta track record hospitaliti Malaysia di antara yang terbaik di dunia, maka FELDA dan FIC yakin pelaburan kedua-dua hotel ini mampu memberi pulangan yang tinggi dan memberi manfaat berpanjangan kepada pemegang sahamnya dan juga tidak ketinggalan warga FELDA juga.

Seandainya DAP masih meragui kemampuan FELDA  menjalankan perniagaan hotel, mungkin FELDA boleh menaja penginapan mereka suatu hari nanti untuk melihat sendiri perkhidmatannya yang terbaik sambil menikmati juadah Malaysia tetapi di KOTA LONDON!

Tuesday, July 08, 2014

ENCORP MILIK FELDA... APA UNTUNGNYA?


Selepas mempunyai FGV (FELDA Global Ventures Holdings) yang menjalankan perniagaan berasaskan tiga komiditi utama, KPF (Koperasi Permodalan FELDA) dan KPF 2, kini penubuhan FIC (FELDA Investment Corporation) yang akan menjalankan perniagaan mengurus tadbir harta dan saham-saham serta aset-aset Felda bernilai berbilion ringgit untuk mempertingkatkan kekayaan FELDA dan hasilnya sudah pasti akan diterima pula oleh warga FELDA.

FIC didaftarkan pada Julai 2013 dan di dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan Felda dalam sektor pembangunan hartanah, sayap pelaburannya, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) telah membeli 49.45 peratus kepentingan dalam Encorp Bhd membabitkan urus niaga bernilai RM239.72 juta.

Dua pemegang saham terbesar Encorp, Lavista Sdn Bhd dan Pegang Impian Holdings Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat berasingan bersama FIC. Ini bermakna pegangan saham Felda di dalam Encorp ialah 49.45 peratus dan juga merupakan pemegang saham terbesar.

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad telah dilantik dengan rasminya sebagai pengerusi dan pengarahnya serta barisan pengarah bukan eksekutif baru yang terdiri daripada Datuk Faizoull Ahmad, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid dan Mohd Zaid Abdul Jalil.

Encorp merupakan syarikat pemaju hartanah yang memiliki beberapa projek hartanah mega berbentuk kediaman dan komersial termasuk di Lembah Klang yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM3 bilion. Dengan rekod yang baik, prestasi masa lalu dan keupayaan Encorp adalah faktor untuk FIC memilih ia sebagai pemacu pembangunan hartanahnya di mana Encorp memiliki keluasan tanah-tanah di bandar-bandar utama seluruh Malaysia.


Antara projek-projek mega tersebut ialah Encorp Strand Mall di Kota Damansara. Encorp Strand Mall berkeluasan 435,000 kaki persegi adalah projek usahasama di antara PKNS dan Encorp di hub komersial Kota Damansara, Selangor seluas 18.6 hektar. Projek ini telah menelan belanja sebanyak RM1.4 bilion yang meliputi 265 suite perniagaan, 14 blok ruang pejabat yang mempunyai halaman persendirian, 278  buah kediaman dengan perkhidmatan dan 2,500 lapangan letak kereta.

Projek pembangunan lain yang diusahakan Encorp termasuk Encorp Marina Puteri Harbour di Iskandar Malaysia, Encorp Cahaya Alam di Shah Alam, the Enclave Hillside Villas di Batu Feringghi, Penang dan kediaman mewah di McCallum Lane, Perth, Australia.

Penganalisa hartanah, C H Williams, Talhar & Wong pula berpendapat  langkah FIC adalah satu strategi yang bijak bagi mempercepatkan pengembangannya di mana satu-satunya cara untuk bergerak lebih pantas adalah melalui usahasama atau penggabungan dan pengambilalihan.

Seorang lagi penganalisa sektor hartanah bersetuju dengan rancangan langkah jangka panjang FIC tidak kira keadaan industri hartanah yang sedang berlaku sekarang. Walaupun pasaran hartanah dijangka agak perlahan dalam masa yang singkat ini, masa bukanlah faktor utama kerana ia akan memberi manfaat kepada FIC dan Felda dalam keuntungan yang lebih besar.

Previndran Singhe, CEO Zerin Properties pula berpendapat ia adalah satu amalan progresif yang biasa, dari kumpulan perladangan menceburi sektor hartanah. IOI Corp dan Sime Darby Bhd adalah di antara contohnya. Mereka bermula sebagai syarikat perladangan dan apabila tanah milik mereka telah capai tahap matang, mereka menceburi dalam pembangunan hartanah. Ini merupakan langkah 'forward thinking' untuk Felda.

Tidak dapat dinafikan, apabila pelaburan FIC memiliki Encorp sebagai langkah yang menguntungkan berdasarkan projek-projek mega yang diperolehi. Apabila Dato Effendi Nawawi juga telah melepaskan sahamnya, apakah langkah seterusnya akan memberi peluang pelaburan hartanah kepada FIC bertapak di Sarawak?