Showing posts with label DongZong. Show all posts
Showing posts with label DongZong. Show all posts

Friday, March 24, 2017

PENJELASAN KHAS UNTUK MEREKA YANG SALAH FAHAM USUL MP KETEREH DALAM ISU UEC


Ucapan  Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa selama seminit ketika membahas titah Yang di Pertuan Agong yang menyentuh isu Unified Examination Certificate (UEC) telah mendapat pelbagai reaksi terutamanya di media sosial dan beberapa NGO. Respond yang diterima rata-rata tidak bersetuju dengan cadangan TS Annuar yang dilihat tidak seharusnya menyokong UEC diiktirafkan kerana didesak oleh pihak yang pernah suatu ketika terlalu rasis terhadap perjuangan bangsa Melayu khasnya.

Malahan TS Annuar pula memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO, parti terbesar bangsa Melayu dan pengerusi salah sebuah institusi terbesar Melayu MARA yang telah melahirkan cendekiawan dari kalangan anak Melayu khususnya. Maka bagi mereka, apa relevannya TS Annuar mencadangkan agar sijil UEC diiktiraf yang jelas tidak menghormati Dasar Pendidikan Negara dan tidak selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.

Beberapa isu pokok berhubung Unified Examination Certificate (UEC) diperjelaskan TS Annuar sendiri adalah seperti berikut;
1. Perkataan 'iktiraf' telah disalahertikan

Samada iktiraf atau tidak, itu adalah kuasa kerajaan dan TS Annuar menekankan yang beliau menyokong dan mempertahankan pendirian kerajaan yang di ketika ini belum lagi mengiktiraf sijil UEC di dalam bentuknya sekarang.

Ketika ini, kerajaan telah pun iktiraf UEC sebagai sijil kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan Maktab Perguruan. Pengiktirafan itu ada dalam sekular bertulis kerajaan.

Apabila TS Annuar menyentuh mengenai mengiktiraf sijil UEC, ia merujuk sebagai sijil kelayakan ke IPTA dan sijil untuk memohon jawatan dalam Perkhidmatan Awam.

2. Kementerian terlibat harus reciprocate (respon)

Dong Zong hari ini telah bertukar kepimpinan yang lebih terbuka dan bersedia untuk berunding. Presidennya Datuk Temenggong Lau telah menunjukkan komitmen Dong Zong untuk berunding atas perkara asas yang menyentuh matapelajaran wajib Bahasa Melayu dan Sejarah. Walaubagaimanapun, TS Annuar tetap hormat kepada apa saja keputusan kerajaan setelah mereka berbincang.

3. Isu sijil UEC dipolimikkan dengan isu perkauman

Di dalam perbahasannya di Parlimen, TS Annuar dengan jelas telah menyentuh yang isu sijil UEC ialah soal pendidikan yang perlu menepati Dasar Pelajaran Kebangsaan dan perlu mematuhi Perlembagaan Negara tanpa kompromi. Ia tidak seharusnya dipandang dari sudut perkauman terutama cauvinisma.

4. Apa yang menyebabkan kerajaan tidak iktiraf sijil UEC?

a. Korikulum yang tidak setara dengan Bahasa Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) iaitu Bahasa Melayu mereka tidak merupakan Bahasa Melayu standard SPM.

b. Kandungan matapelajaran Sejarah tidak memadai yang ditetapkan Kurikulum Kebangsaan. Pengisian matapelajaran Sejarah sekolah Kebangsaan Cina ialah 30% sejarah dunia, 30% sejarah negara China dan 30-40% sejarah Asia yang mana sejarah Malaysia hanya menjadi sebahagian dari sejarah Asia.

5. UEC bercanggah dengan perlembagaan dan akta pelajaran?

Kewujudan sekolah cina persendirian tidak bercanggah dengan perlembagaan. Malah ia wujud sebelum wujud perlembagaan iaitu sebelum tanah air capai kemerdekaan. Manakala Dong Zong telah wujud sejak 1954 dan sekolah-sekolah persendirian Cina juga telah wujud sebelum merdeka.

Apabila negara mencapai kemerdekaan, perlembagaan dibuat tetapi sekolah-sekolah cina persendirian ini dibenar untuk diteruskan. Bila ia dibenarkan, bererti ia ada lesen dan bukan sekolah haram. Ertinya ia lulus di bawah akta yang ada dan dibenarkan di bawah perlembagaan.

Namun Perlembagaan Negara menetapkan sekolah-sekolah persendirian cina ini tidak berhak terima bantuan kerajaan dan segalanya ditanggung sendiri seperti bangunan, guru dan buku kerana tidak mematuhi standard kurikulum pendidikan kebangsaan.

6. Benarkah TS Annuar bertemu Dong Zong atas kapasiti UMNO?

Pertemuan TS Annuar adalah di atas kapasiti peribadinya dengan keizinan Presiden parti tetapi tanpa membuat sebarang kenyataan kerana kerajaan belum membuat keputusan. Begitu juga ketika membahaskan titah Yang di Pertuan Agong dan tercatat di dalam hansard parlimen, TS Annuar menyatakan ia adalah di atas kapasiti peribadi.

Tujuannya jelas, apabila pelbagai andaian dibuat terhadap sijil UEC, maklumat tepat dan mendalam hanya boleh diperolehi dengan engagement bersemuka dan pendekatan positif dan bukan dinilai dengan sentimen dan andaian semata-mata.
 

Tuesday, March 21, 2017

APAKAH UMNO TELAH TUNDUK KEPADA TUNTUTAN DONG ZONG?


Seandainya masyarakat Melayu terutamanya dari kalangan ahli-ahli UMNO masih memandang sinis dan tidak mempercayai ketelusan Dong Zong, ini adalah kerana kenyataan-kenyataan pemimpin mereka di masa lalu yang terlalu rasis dan terlalu memusuhi UMNO dan BN sehinggakan mereka melihat MCA dan Gerakan sebagai tunduk kepada kehendak UMNO.

Namun, sebagai parti yang meneraju pemerintahan negara, UMNO telah berkali-kali diseru Presidennya DS Najib Razak agar lebih inklusif  di dalam pendekatan mereka jika ingin dilihat sebagai parti Melayu yang terbesar di Malaysia ini sebagai parti yang mampu memperjuangkan keadilan untuk semua semua kaum.

Apabila Dong Zong ingin polimikkan sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sehingga sanggup bersekongkol dengan DAP di masa lalu, lantas timbul pula isu perkauman melampau sehingga persoalan pokok iaitu pendidikan telah menjadi isu pinggiran. Sejarah pendidikan bersegmen Melayu, Cina, Inggeris dan Tamil tidak dapat dielakkan kerana inilah juga tuntutan kemerdekaan dari British.

Malahan wujudnya sekolah persendirian cina di awal penubuhan Tanah Melayu berkait rapat dengan penyebaran fahaman komunisma yang menular di kalangan bangsa Cina adalah sangat genting dan akhirnya demi perpaduan rakyat, kerajaan telah mewujudkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berpasakkan Perlembagaan negara.

Buat pertama kalinya di dalam sejarah negara, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO telah menghadirkan diri di dalam majlis Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia anjuran Dong Zong baru-baru ini, Tan Sri Annuar Musa juga selaku Ketua Penerangan UMNO, pelbagai salah faham telah timbul. Kekeliruan ini telah berlanjutan apabila Tan Sri Annuar telah membawa usul pengiktiran UEC ke parlimen di dalam ucapan bahasnya.

Apakah benar Tan Sri Annuar sekarang sedang membawa bangsa Melayu dan kuasa Melayu (UMNO) tunduk dengan kehendak Dong Zong?

Selama ini Dong Zong telah mendakwa tidak mendapat respon positif dari pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke IPTA dan juga kelayakan untuk penjawat awam. Manakala, di pihak kedua-dua kementerian telah menegaskan agar sistem pendidikan sekolah persendirian Cina mematuhi syarat kelayakan yang telah ditentukan di dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Tetapi apabila diteliti apa yang dibawa Tan Sri Annuar di parlimen, isu mengiktiraf UEC seharusnya dilihat dari sudut pendidikan berpasakkan dengan Perlembagaan Negara di mana yang menjadi tuntutan Perlembagaan tidak boleh dikompromi dan pada masa yang sama hak-hak semua kaum juga tidak dinafikan.

Sebagai salah seorang kepimpinan tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar juga dapat merasakan yang kepimpinan Dong Zong hari ini telah menyedari yang selagi mereka dibelenggu dengan politik DAP, perjuangan mereka untuk mengiktiraf UEC tidak akan mendapat penyelesaian dan akhirnya, generasi bangsa Cina akan terus menjadi mangsa politik perkauman DAP.

Langkah berani Tan Sri Annuar ini juga telah mendapat perhatian dari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Kementerian Pendidikan untuk menjalankan kajian mendalam dan mengemukakan syor mereka mengenai UEC yang tidak diiktiraf pada peringkat nasional. Di dalam mengutamakan perpaduan bangsa, Sarawak telah tegas untuk mengiktiraf UEC oleh Allahyarham Ketua Menterinya yang terdahulu dan kini penggantinya berikrar akan meneruskan pengiktirafan ini.

Oleh itu, apakah langkah Tan Sri Annuar Musa membuat usul di parlimen selepas menghadirkan diri di dalam mesyuarat Dong Zong, maka beliau sedang membawa UMNO untuk tunduk kepada kehendak Dong Zong?

Friday, August 30, 2013

MAJLIS PERUNDING MELAYU BERSAMA KETEGASAN TAN SRI MUHYIDDIN


Dong Zong (Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia) tidak pernah menerima dan mengiktiraf segala bentuk Pelan Pendidikan Negara semenjak merdeka dan terkini, NGO itu sekali lagi membuat bantahan terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang bakal dilancarkan pada 6 September akan datang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketegasan Tan Sri Muhyiddin untuk tidak tunduk kepada desakan dan ugutan Dong Zong telah disambut baik oleh Majlis Perunding Melayu di dalam  Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan (KPPK) yang diadakan pada 27 Ogos 2013 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Putra (PWTC.



Dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dihadiri oleh lebih kurang 1500 peserta bersepakat membuat ketetapan melalui resolusi KPPK berdasarkan pernyataan dan cadangan daripada pakar-pakar dan pemikir yang berpengalaman, peserta KPPK dan memorandum cadangan daripada persatuan/tokoh akademik di Sidang Selari Pra-Kongres (Pleno) pada 21 Ogos 2013 di Bangunan MARA, Kuala Lumpur.   

KPPK memutuskan ketetapan dalam Resolusi dan kenyataan 5 Sidang Selari (Pleno) menyokong kuat kandungan 5 Pelan Strategik Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 dan beberapa kenyataan bagi memperlengkapkan lagi pelan tersebut:  


1.
Adalah perlu pihak pemerintah berhenti dari terus menjadikan diri sebagai mangsa sasaran peras ugut (victim of extortionist target) dan juga berhenti daripada melayan tuntutan yang tidak munasabah yang juga bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan 1957 dan segala perundangan yang berkaitan. Jangan biarkan golongan tertentu bermain dengan bom waktu bersiri (series of time bombs) yang memporak-perandakan perpaduan nasional dan keutuhan Perlembagaan negara Malaysia. Segala tindakan ketidakpatuhan (non-compliance) sekian lama itu hendaklah dijadikan pematuhan (compliance) agar tiada kekeliruan dalam pelaksanaan peruntukan perundangan dan dasar negara. Kita perlu tegas dan akur dalam mempertahankan perundangan dan Perlembagaan Persekutuan khasnya Perkara 152 dan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dalam melaksanakan pentadbiran pendidikan negara.  
 
2.
KPPK menyokong kuat usaha Kerajaan merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 berteraskan Perlembagaan, Laporan Razak (1956), Laporan Abdul Rahman Talib dan Akta Pendidikan 1996 dengan meneruskan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006 – 2010 (PIPP). Membina asas dengan menetapkan 5 teras utama bagi merealisasikan Wawasan 2020 dalam usaha Membina Negara Bangsa, Pembangunan Modal Insan, Merapatkan Jurang Pendidikan, Memperkasakan Profesionalisme Keguruan dan Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan. Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pembinaan Negara Bangsa Malaysia dengan melahirkan pelajar yang mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, penguasaan (profisiensi) dwi-bahasa, kemahiran kepimpinan, Jatidiri Kebangsaan (identiti nasional), kekuatan etika dan kerohanian.

3.
KPPK menyokong kuat usaha Kerajaan bagi membina negara bangsa Malaysia yang bersatu padu dengan memperkasa sekolah kebangsaan dan sekolah menengah yang menggunakan satu kurikulum dan peperiksaan dalam Bahasa Melayu di samping memberi peluang kepada murid untuk belajar bahasa-bahasa asing.

4.
Menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk melahirkan rakyat yang mempunyai Jatidiri Kebangsaan dan patriotik berteraskan kepada Perlembagaan, Rukun Negara, Sejarah dan Peradaban Malaysia serta menentang gerakan yang menuntut kebebasan dan hak asasi manusia liberal ala barat.

5.
Mendesak dan menyokong Kerajaan melahirkan rakyat yang menghayati peradaban Melayu dan Islam yang menjadi teras kepada peradaban Malaysia. Bagi mencapai matlamat ini, KPPK berharap Kementerian Pendidikan Malaysia akan memantau Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam usaha memperkasakan peradaban Melayu dan Islam. Kongres juga menyokong usaha Kerajaan mewajibkan Kursus Peradaban Melayu dan Islam di IPT. Sehubungan ini, Kongres membantah IPT yang cuba memperkecilkan peranan Pusat Pengajian Melayu dan Islam di Institusi masing-masing, sebaliknya IPT wajar memartabat dan memantapkannya.

6.
Mendesak Kementerian Pendidikan melaksanakan Bahasa Melayu sebagai pengantar utama di IPT Awam dan Swasta, manakala pembahagian dana penyelidikan serta syarat-syarat kenaikan pangkat turut mengutamakan penyelidikan dan karya ilmiah dalam Bahasa Melayu.
 
7.
KPPK menentang keras usaha beberapa pihak terutama Dong Zhong yang tidak berpuas hati dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 dan bersikap anti-nasional dengan mempersoalkan niat baik kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu dalam semua sistem pendidikan Malaysia. Sepatutnya, Dong Zhong wajib mendidik anak-anak Cina, agar cinta dan taat setia kepada negara Malaysia dengan menyokong satu sistem pendidikan kebangsaan  yang dapat memantap perpaduan dengan memperkukuhkan Jatidiri Kebangsaan yang berteraskan kepada Perlembagaan, Rukun Negara, Sejarah dan Peradaban Malaysia.

8. 
KPPK menyokong kuat usaha Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Malaysia Qualification Agency (MQA) tetap tidak meluluskan Unified Examination Certificate (UEC) yang dikeluarkan oleh Independent Chinese Secondary School (MICSS) yang dituntut oleh Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia untuk menjadikannya setara dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

9.
KPPK juga mendesak YAB Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Malaysia agar bersikap tegas dengan mewujudkan satu sistem pendidikan yang tunggal dan tidak meluluskan penubuhan Sekolah Menengah Cina dan mengiktiraf Kolej Swasta Cina yang tidak mengikut Kurikulum Pendidikan Kebangsaan dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai pengantar utama dalam usaha mewujudkan Jatidiri Kebangsaan dan Perpaduan Kebangsaan. Tiada negara lain yang mempunyai sekolah vernakular seperti di Singapura, Indonesia dan Thailand.  
 
10.
Adalah menjadi harapan KPPK segala kenyataan dan Resolusi ini akan dijadikan panduan bagi memantapkan lagi pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 dan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara. Bagi memartabat dan memperkasakan Dasar Pendidikan Kebangsaan, KPPK meminta YAB Perdana Menteri Malaysia bersikap tegas dan memastikan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dan komunikasi dalam usaha membina negara bangsa Malaysia yang kukuh dan bersatu padu.
 
TERMAKTUB DI DEWAN MERDEKA, 
PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR
PADA 27 OGOS 2013