Monday, October 19, 2015

MEMORANDUM PETEKMA KEPADA PERDANA MENTERI UNTUK BAJET 2016


Bajet 2016 akan dibentangkan Perdana Menteri DS Najib Razak di Parlimen pada 23 Oktober (Jumaat) ini dan tidak terlambat bagi PETEKMA untuk menyuarakan masalah mereka agar kepentingan pemandu-pemandu teksi tidak diketepikan. 4 perkara pokok telah dikemukakan di dalam satu memorandum ketika Mesyuarat Agung Tahunan pada Sabtu lepas, walaupun Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan telah melancarkan laman webnya pada pertengahan September lalu, mengajak rakyat memberi cadangan dan di antaranya termasuklah kategori pengangkutan.


NGV, TOL DAN GST

Empat perkara yang terkandung di dalam memorandum PETEKMA adalah berkenaan harga NGV, harga tol di dalam bandar, GST dan perkhidmatan haram teksi seperti UBER dan GrabCar. PETEKMA telah menyerahkan memorandum tersebut kepada Tan Sri Dr Rais Yatim, yang juga penasihat PETEKMA serta Penasihat Sosial dan Kebudayaan Kerajaan.

Pada masa yang sama, PETEKMA juga tidak ketinggalan menyatakan penghargaan kepada pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat yang telah berjaya memperjuangkan kenaikan kadar tambang teksi yang sekali gus telah memberi nafas kepada mereka. Namun pada masa yang sama, pemandu dan operator teksi berhadapan dengan kenaikan harga NGV sehingga 45 peratus, kenaikan tol di dalam bandar yang melibatkan dua tol iaitu tol SMART dan Besraya.

Maka pihak PETEKMA memohon agar pihak kerajaan dapat pertimbangkan untuk mengurangkan ataupun menunda kenaikan harga NGV, serta memberikan potongan 50 peratus kepada kenderaan kelas 4 di kedua-dua tol yang telah disebutkan.

Selanjutnya, PETEKMA telah menyatakan masalah pemandu-pemandu teksi yang terpaksa menanggung kenaikan kos operasi seperti alat ganti, bayaran sewa teksi dan pinjaman bank dikenakan GST manakala penumpang terkecuali.


UBER dan GrabCar

Memorandum PETEKMA juga telah menyentuh mengenai aplikasi talian UBER, GrabCar dan seumpamanya apabila kegiatan ini telah menjejaskan pendapatan pemandu-pemandu teksi terutama di sekitar bandaraya. Menurut Pengerusi PETEKMA En Mohd Syahrir Abdul Aziz, syarikat yang mengendali perkhidmatan teksi melalui talian ini perlu diharamkan kerana tidak menepati syarat-syarat SPAD dan PUSPAKOM.

Mereka telah mengelak dari membayar insuran, yuran proses, lesen, pemeriksaan PUSPAKOM dan mengambil kesempatan mengaut untung sehingga mampu menjejaskan pendapatan ahli-ahli PETEKMA yang sedia patuh kepada syarat-syarat SPAD dan PUSPAKOM. Oleh itu, Pengerusi PETEKMA mencadangkan agar adalah wajar sekiranya kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengharamkan aplikasi atas talian yang digunakan.

Walaupun apa yang dikemukakan PETEKMA di dalam memorandum berkemungkinan agak sedikit terlambat untuk PM masukkan ke dalam Bajet 2016 nanti, namun perkara-perkara seperti isu perkhidmatan teksi haram patut ditangani dengan segera kerana ia melibatkan keselamatan di mana sekiranya berlaku kejadian seperti kemalangan, salah laku atau jenayah, samada penumpang mahupun pemandunya tidak akan boleh membuat tuntutan.


HARAPAN PETEKMA

PETEKMA adalah persatuan yang mewakili pemandu-pemandu teksi dan limosin dengan keahlian melebihi 60,000 dan mempunyai 189 cawangan di seluruh negara memohon agar dapat bertemu Perdana Menteri bagi berbincang dan berunding dengan kerajaan serta mendengar denyut nadi mereka. 

Pendekatan PETEKMA adalah berbincang dan berunding dan tidak seperti sesetengah persatuan yang memilih untuk membuat bantahan jalanan ataupun mogok. PETEKMA juga selalu mengadakan perbincangan dan rundingan bersama SPAD, hasilnya berjaya mendapatkan kenaikan kadar tambang teksi yang berpatutan. 

Penguatkuasa SPAD juga telah memainkan peranan yang sangat berkesan mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi ke atas pemandu-pemandu dan kereta Uber dan GrabCar. Namun, selagi aplikasi talian perkhidmatan mereka masih aktif, kereta-kereta haram ini akan masih lagi berkeliaran.

Oleh itu, 4 permintaan PETEKMA di dalam memorandum mereka diharapkan mendapat perhatian dan tindakan kerajaan agar industri teksi dan limosin terutama di bandar-bandar dapat diteruskan dan seterusnya diperkembangkan. PETEKMA juga berharap agar Perdana Menteri dan selaku Menteri Kewangan, dapat menimbangkan permintaan mereka dan sekali gus diadakan perundingan di meja bulat nanti.

No comments: