Wednesday, October 28, 2015

CADANGAN INISIATIF KERAJAAN UNTUK FELDA DAN WARGANYA DARI BAJET 2016


Cadangan inisiatif di dalam Bajet 2016 akan mampu menyumbang secara positif kepada dua aspek utama yang berkaitan Felda iaitu perniagaan Felda bersama-sama anak-anak syarikatnya di samping dinikmati terus peneroka-penerokanya.

Di dalam perniagaan FELDA, FGV adalah salah satu daripada anak-syarikatnya yakin akan dapat mengharungi cabaran serta akan mampu berada di kedudukan yang lebih kukuh untuk memanfaatkan keadaan pasaran yang hampir pulih sekarang ini. Bajet 2016 juga melengkapi pelan transformasi lima tahun FGV yang menumpukan usaha peningkatan pendapatan, pengoptimuman kos dan kecemerlangan operasi perniagaan mereka.

Pengumuman cadangan kerajaan untuk kenaikan kadar gaji minima di dalam Bajet 2016 telah disambut baik CEO FGV Datuk Mohd. Emir Mavani Abdullah memandangkan ia selari dengan usaha syarikat yang kini cuba mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan meningkatkan bilangan pekerja daripada rakyat tempatan.

Walaupun ia akan memberi impak kenaikan kos operasi syarikat namun ia tidaklahh begitu ketara kerana FGV akan sedaya upaya meningkatkan produktiviti pekerja. Namun Datuk Emir berharap agar pengumuman cadangan kerajaan akan menarik minat rakyat tempatan untuk bekerja di sektor perladangan. Terkini FGV mempunyai kira-kira 53,000 pekerja dengan 63 peratus daripadanya bakal terlibat dengan kenaikan gaji minimum itu.

Kerajaan mengumumkan kadar gaji minima baharu berkuat kuasa 1 Julai 2016 dengan kenaikan daripada RM900 kepada RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM800 kepada RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak, Labuan. Gaji minimum itu melibatkan semua sektor kecuali perkhidmatan domestik atau pembantu rumah.

Usaha kerajaan untuk terus meningkatkan kehidupan peneroka Felda dengan cadangan inisiatif termasuk peruntukan RM200 juta bagi meningkatkan keadaan jalanraya di kawasan penempatan Felda serta pembinaan 20,000 rumah bagi generasi kedua peneroka Felda serta pengurangan rumah FELDA dari RM90,000 kepada RM70,000.

Demi mengutamakan keselamatan peneroka-peneroka Felda di Sabah, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 523 Million untuk pembangunan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) kem tentera di Felda Sahabat. Yang pasti peristiwa hitam yang pernah dialami di Lahad Datu dahulu tidak ingin berulang lagi.

Cadangan kerajaan untuk BR1M dinaikkan ke RM50 setiap kategori turut dinikmati warga FELDA. Pemberian BR1M bagi isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 akan ditingkatkan daripada RM750 kepada RM800. Bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas pula, serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar bantuan akan ditingkatkan daripada RM350 kepada RM400.

Bagi semua penerima di dalam senarai e-Kasih yang berpendapatan bulanan bawah RM1,000 akan menerima RM1,050 manakala bagi Skim Khairat Kematian pula, pemberian RM1,000 akan diteruskan.

Bertepatan dengan tema Bajet 2016 iaitu Mensejahtera Kehidupan Rakyat, Felda dan warganya sebagai tulang belakang ekonomi negara berterusan mendapat keutamaan belanjawan negara setiap tahun. Setiap impian warga Felda dipenuhi dan nasib mereka sentiasa diperbaiki dan perniagaan Felda pula akan terus mendapat sokongan kerajaan agar hasilnya nanti akan dipulangkan semula kepada warganya nanti.

No comments: