Thursday, July 23, 2015

JAWAPAN TEPAT KEMENTERIAN PENGANGKUTAN SELAR TUDUHAN GUAN ENG



Menuding jari apabila sesuatu isu tidak mampu diatasi adalah kegemaran dan kelaziman Ketua Menteri DAP Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Kini apabila Star Cruises SuperStar Libra menamatkan perkhidmatan mereka di Pulau Pinang dan berpindah ke tempat asal mereka di Hong Kong, Guan Eng dengan tabiat semulajadinya terus menuduh Presiden MCA dan juga Menteri Pengangkutan mensabotaj industri pelancongan Pulau Pinang.

Perangai Guan Eng yang gemar menuding jari ini telah juga diperkatakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA, Tan Teik Cheng sebagai sesuatu kelaziman dan semulajadi. Ini sekali gus telah membuktikan yang tabiat Guan Eng akan mendabik dada dengan apa saja pencapaian di Pulau Pinang tetapi pantas menuding jari dan menyalahkan orang lain jika terdapat kegagalan atau kesilapan.

Sebenarnya keputusan Star Cruise untuk menamatkan perkhidmatan di Pulau Pinang sejak 15 Julai adalah keputusan perniagaan di mana mereka ingin menumpukan laluan pelayaran di antara Taiwan-Jepun.

Tuduhan Guan Eng yang ia menjejaskan industri pelancongan dan penyumbang kepada ekonomi Pulau Pinang juga tidak benar apabila maklumat industri mendapati penumpang Star Cruise hanya melebihi 20% daripada kapal pelancongan lain.

Guan Eng seperti ada agenda yang tersembunyi apabila dia bersungguh-sungguh membesarkan isu Star Cruise ini. Apa saja yang berlaku di Pulau Pinang samada baik atau buruk pasti dijadikan isu politik dan seperti biasa, perkara-perkara positif akan dikaitkan dengannya dan segala yang negatif perlu diletak kesalahan kepada Kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan BN terdahulu.

SuperStar Libra telah berlabuh di Pelabuhan Pulau Pinang selama lima tahun sejak tahun 2010. Malangnya, pendapatan tambahan yang telah diperolehi tidak pernah mendapat perhatian Guan Eng. Begitu juga dengan usaha dan ihsan dari Kerajaan Persekutan menempatkan Star Cruise di Pulau Pinang juga tidak diwar-warkan Guan Eng. Namun apabila ia meninggalkan Pulau Pinang, dengan mudah Guan Eng menuding jari ke Kementerian Pengangkutan pula.

Berikut adalah kenyataan rasmi dari Kementerian Pengangkutan menjawab segala dakwaan Guan Eng;

KENYATAAN AKHBAR

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN MALAYSIA

Dengan merujuk kepada satu kenyataan yang dibuat oleh YB Lim Guan Eng baru-baru ini , Ketua Menteri Pulau Pinang, menuduh Kementerian Pengangkutan mensabotaj industri pelancongan Pulau Pinang berhubung dengan penamatan Star Cruises dari Pulau Pinang, Kementerian Pengangkutan ingin menyatakan dengan jelas, fakta-fakta seperti berikut:

1. Merujuk kepada satu laporan berita baru-baru, pengendali kapal pelancongan telah menyatakan dengan jelas bahawa keputusan untuk memindahkan kapal pelancongan mereka ke pelabuhan asal di Xiamen, China adalah keputusan perniagaan semata-mata dan mereka juga sedang mengkaji untuk melayari perairan Asia Pasifik.

2. Keputusan ini adalah sebahagian daripada usaha syarikat untuk mengoptimumkan kapasiti armada dan memenuhi permintaan bermusim pasaran.

3. Oleh itu, jelas dakwaan bahawa kekurangan insentif daripada Kementerian Pengangkutan serta mempersalahkan sepenuhnya adalah tidak berasas.

4. Sebenarnya, MOT telah mengecualikan kapal persiaran dari polisi "cabotage" di mana kapal persiaran tidak dikehendaki untuk memohon lesen perkapalan tempatan ketika berulang-alik antara dua atau lebih pelabuhan di Malaysia.

5. Ini merupakan satu lagi usaha yang jelas oleh Kementerian bagi menggalakkan pelancongan pelayaran.

6. Apa yang perlu ditekankan adalah hakikatnya bahawa Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT) memang perlu dinaik taraf.

7. Meletakkan dua buah kapal pelayaran yang besar pada waktu yang serentak di SPCT yang dermaganya berkeluasan 400 meter adalah sukar memandangkan kekangan keluasan ruang dan ini telah memberi kesan secara tidak langsung di pelabuhan SPCT.

8. Bagi menampung lebih banyak kapal dan kapal yang lebih besar, keperluan untuk memperbesarkan pelabuhan tersebut perlu dilakukan dengan kadar segera.

9. Walau bagaimanapun, sekatan dari segi keluasan tanah adalah punca halangan.

10. Sejak tahun 2010, apabila SPCT mula beroperasi, Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang telah memohon untuk hak milik tanah dikeluarkan bagi meluaskan terminal pelayaran.

11. Keengganan Kerajaan Negeri untuk mengeluarkan geran tanah telah menghalang usaha kami bagi meningkat dan menaik taraf kemudahan yang selaras dengan wawasan kami di mana ia bukan sahaja bagi mengekalkan syarikat kapal persiaran sediada tetapi juga untuk menarik syarikat lain menjadikan Pulau Pinang sebagai pangkalan mereka dan juga pelabuhan persinggahan.

12. Kementerian berminat untuk membangunkan terminal, bagaimanapun, jelas sekali ia bukanlah usaha di satu pihak sahaja, dan kami perlukan kerjasama dari pihak Kerajaan Negeri juga.

13. Oleh itu, tuduhan-tuduhan yang tidak berasas terhadap Kementerian adalah benar-benar tidak bertanggungjawab.

14. Kementerian ingin menggesa semua pihak untuk mendapatkan penjelasan sebelum membuat sebarang kenyataan, dan di dalam kes ini, dengan jelas sengaja mewujudkan kekeliruan di kalangan orang ramai dan juga pelabur.

[TAMAT]

No comments: