Thursday, April 10, 2014

AUDIT NEGARA TEGUR RISDA FLEET


Berikut adalah teguran Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang berkenaan kerugian Risda Fleet Sdn Bhd yang telah mencatat kerugian sebanyak RM3.38 juta pada tahun 2011 berbanding RM500,000 tahun sebelumnya. - SH
“Ini menyebabkan Risda Fleet hanya bergantung kepada panel pengangkutan yang dilantik. Audit berpendapat kekurangan lori adalah kritikal kerana hanya 40.8 peratus lori yang berusia kurang daripada 10 tahun masih ekonomik digunakan.

“Sementara lori yang selebihnya telah berusia antara 10 hingga melebihi 30 tahun kurang selamat dari aspek fizikal dan boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar,”

Ambrin berkata, antara kelemahan yang dikesan antaranya terdapat 47 lori yang diselia oleh Smallholders Development Corporation Sdn Berhad (SHDC) tidak menukarkan lesen sedia ada mereka kepada lesen pengendali sebagaimana tempoh ditetapkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Ini pula saranan Audit Negara;
Kecekapan Risda Fleet menggunakan asetnya perlu dipertingkatkan bagi menjana keuntungan yang berterusan pada masa hadapan dan perlu memastikan hanya lori yang mempunyai lesen pengendali dibenarkan beroperasi selaras dengan akta yang ditetapkan SPAD.

Saranan Audit Negara itu adalah penting di mana SPAD telah pun umumkan lesen pengendali pengangkutan awam dikuatkuasa semenjak  Disember, 2011 dan lesen ini adalah diperuntukkan mengikut Akta PAD 2010. Semua pemilik kenderaan pengangkutan awam perlu menggantikan lesen kenderaan kepada lesen pengendali.

Satu Pekeliling Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Bil.8 Tahun 2012 mengenai ‘Syarat-syarat lesen pengendali kenderaan barangan berkenaan spesifikasi kenderaan, jenis barangan dan keadaan barangan yang dibawa sebagai syarat lesen pengendali kenderaan jenis tipper/dumper yang beroperasi di Semenanjung Malaysia.’ Pekeliling tersebut telah berkuatkuasa mulai 25 September, 2012.

Teguran Audit Negara dari aspek fizikal dan keselamatan awam selari dengan Pekeliling syarat-syarat lesen pengendali yang dikuatkuasa pihak SPAD di mana tujuannya adalah untuk;
 
  • Memastikan kenderaan beroperasi mengikut kelulusan asal bagi memastikan keberkesanan peralatan teknikal semasa operasi;
  • Mempertingkatkan aspek keselamatan dan fizikal kenderaan;
  • Mengurangkan kerosakan jalanraya akibat lebih muatan; dan
  • Mengurangkan bilangan kenderaan barangan yang menyumbang kepada kemalangan serta pencemaran alam sekitar.
Pekeliling ini hendaklah dipatuhi oleh semua pengendali perkhidmatan kenderaan barangan, pengendali berlesen perkhidmatan kenderaan barangan di Semenanjung Malaysia dan agensi-agensi Kerajaan yang berkenaan.

Pihak Audit Negara telah pun mengenalpasti beberapa punca utama kerugian Risda Fleet yang bertambah iaitu kelemahan pengangkutan awam. Tindakan terus yang perlu diambil pihak Risda Fleet ialah terus berurusan dengan SPAD supaya dapat memohon lesen pengendali dan meneruskan operasi perniagaan agar kerugian yang dialami dapat dikurangkan.


No comments: